Selatan Thailand yang meliputi wilayah-wilayah (provinces) seperti 
Pattani, Yala, Narathiwat, Satun dan sebahagian dari wilayah Songkhla, 
dikenali juga sebagai Patani. Daerah yang berbatasan dengan  Malaysia 
ini menjadi titik perhatian masyarakat antarabangsa sejak hampir sedekad
 lalu kerana berbagai kejadian keganasan seperti baku tembak, penembakan
 sepihak, peledakan bom, car-bomb dan sebagainya. 
Dalam kertas kerja ini saya hanya  menyorot beberapa aspek dalam kaitan 
dengan kehidupan masyarakat Islam di Selatan Thailand. Dan kertas kerja 
ringkas ini tidak bermaksud untuk mencampuri urusan pemerintahan, selain
 semata-mata untuk menjalankan tugas saya sebagai salah seorang warga 
masyarakat yang cinta kepada kedamain. 
Permasalahan Selatan Thai 
Seperti kita sedia maklum, isu kekerasan dan keganasan tidak hanya 
terjadi di sesebuah negara yang di dalamnya terdapat ummat Islam. Tetapi
 anehnya, kenapa Islam dan ummatnya kerap dijadikan kambing hitam dalam 
 kaitan dengan keganasan di belahan dunia manapun? Setiap ada tindak 
kekerasan, selalu dihubungkaitkan dengan Islam sehingga ummatnya sering 
dianggap sebagai teroris atau kaum pengganas. Kesan daripada anggapan 
tersebut menyebabkan timbulnya kebencian meluas terhadap Islam dan 
ummatnya, yang dikenali dengan istilah Islamofobia. 
Islamofobia adalah istilah kontroversial yang mengarah kepada prasangka 
buruk dan pencitraan negatif terhadap Islam dan muslim. Istilah itu 
sendiri sudah digunakan jauh sebelum tahun 1980-an tetapi menjadi sangat
 popular pasca-serangan World Trade Centre, 11 September 2001. 
Selepas peristiwa 11 September tersebut,  pandangan negatif terhadap 
Islam bertambah buruk. Media massa yang tidak ramah Islam pula seperti 
dengan sengaja melaporkan secara berlebihan tentang berbagai tindak 
kekerasan yang dikaitkan dengan Islam dan ummatnya. Dan hujung-hujungnya
 terbentuklah opini masyarakat dunia,yang menganggap Islam sebagai agama
 yang menggalakkan penganutnya menjadi pengganas. 
Masyarakat Islam di Thailand juga menerima tempias sangat berat daripada
 kebijakan (policy) Amerika Syarikat dalam apa yang dikenali sebagai 
“The War of Terrorist”. Kebijakan ini menimbulkan kecurigaan di kalangan
 masyarakat Islam. Padahal kalau diteliti secara mendalam, kita dapati 
bahawa fahaman golongang yang dikenali dengan nama Ahli Sunnah wal 
Jamaah -- di dalam dan luar negara -- itu, sangat moderat. Bentuk 
perjuangan mereka lebih mengarah kepada aktiviti bercorak akademik 
dengan tujuan untuk membentuk dan membina perdamaian dengan mengadakan 
aktiviti-aktiviti positif seperti seminar, diskusi, forum, penelitian 
dan sebagainya dalam mencari kedamaian serantau. 
Hasil penelitian dan penyelidikan membuktikan bahawa ketegangan dan 
kekerasan yang berlaku di kawasan Selatan Thailand, bukan ditunggangi 
golongan ekstremis Islam dari luar negara. Kita dapati bahawa ketegangan
 dan kekerasan di Selatan Thailand merupakan konflik internal yang 
bersumber daripada perbedaan etnik, bahasa dan budaya.. Yakni reaksi 
ketidak-puasan historikal sekelompok orang terhadap pihak berkuasa. 
Namun yang membuat keadaan di Selatan Thailand menjadi lebih parah 
justeru disebabkan kebijakan memerangi keganasan itu sendiri yang tidak 
benar. Mahu membuat suasana menjadi dingin, aman damai ternyata yang 
terjadi adalah sebaliknya. Keadaan semakin panas dan bertambah tidak 
karuan. 
Ketegangan era baru di Selatan Thailand berawal dengan tragedi 
penyerangan dan perampasan senjata di kem tentera, Rachanakarin Camp, 
dalam wilayah Narathiwat, pada 4 Januari 2004. Sejak kejadian itu sampai
 sekarang ini, Selatan Thailand tidak pernah sepi dari baku tembak, 
pengeboman, pembakaran sekolah, pembunuhan dan sebagainya. 
Selang berapa bulan kemudian, 28 April 2004, terjadi pula baku tembak 
secara serentak dalam wilayah-wilayah Pattani, Yala dan Songkhla. 
Kejadian ini berakhir dengan tragedi di Masjid Keresik, dalam wilayah 
Pattani apabila pihak berkuasa menembak dan menyerang tanpa ampun mereka
 yang berlindung di dalamnya. Sebanyak 32 orang terbunuh dalam masjid 
batu yang dibina pada awal kemusukan Islam di Patani tersebut. 
Peristiwa tersebut memberi tamparan yang berat kepada pihak pemerintah 
apabila beberapa NGO dalam negeri dan asing berpendapat bahawa tindakan 
penyerangan terhadap masjid tersebut sebagai pelanggaran serius terhadap
 Hak Asasi Manusia (HAM) dan sangat tidak manusiawi. 
Pada 25 Oktober 2004, wilayah Selatan Thailand sekali lagi digegarkan 
dengan tragedi Tak Bai. Ceritanya berawal dengan aksi demonstrasi aman 
di depan Balai Polisi Tak Bai, Narathiwat. Tujuannya untuk meminta pihak
 berkuasa membebaskan 6 sukarelawan keselamatan yang ditangkap beberapa 
hari sebelumnya atas tuduhan mencoba untuk mencetuskan pemberontakan 
terhadap pemerintah. Tindakan pihak berkuasa dalam membubarkan para 
demonstran itu berakhir dengan kekerasan. 
Kejadian yang menyayatkan hati itu berlaku dalam bulan Ramadhan. 
Sebanyak 88 orang penunjuk perasaan meninggal dalam keadaan sangat  
menyedihkan. Mereka kehabisan nafas kerana bersusun tindih seperti ikan 
sardin di belakang trak tentera yang membawa mereka ke sebuah kem 
tentera untuk diinterogasi sejauh 100 kilometer lebih. 
Posisi Ummat Islam 
Pemaparan sekilas kondisi ummat Islam dan perkembangan pendidikan Islam 
di Thailand, khususnya di wilayah-wilayah Selatan Thailand sangat 
penting dalam memahami permasalahan sebenar apa yang berlaku. Islam 
adalah agama damai yang cinta kedamaian. Kehadiran Islam di Thailand 
juga melalui jalur kedamaian. 
Thailand adalah sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha 
dan berbahasa serta berbangsa Thai (Siam). Terdapat sekitar 10% dari 
keseluruhan jumlah penduduk Thailand yang beragama Islam. Daripada 
jumlah tersebut, kebanyakan masyarakat Islam tinggal di Selatan Thai 
(Patani). 
Mereka berbangsa dan berbahasa Melayu. Agama Islam dan bahasa Melayu di 
Selatan Thai atau Patani merupakan agama dan bahasa majoriti. Agama 
Islam dan bahasa Melayu merupakan dua komponen yang tidak dapat 
dipisahkan dari kehidupan kelompok majoriti di Selatan Thai. Jumlah 
populasi orang Melayu Islam di Patani adalah 85 peratus. 
Kenyataan ini sangat jelas memperlihatkan perbedaan antara ummat Islam 
di Selatan Thai dan majoriti rakyat Thai. Majoriti rakyat Thai berbangsa
 Siam, berbahasa Siam dan beragama Buddha. Sedangkan ummat Islam di 
Selatan Thai berbangsa Melayu, berbahasa Melayu dan beragama Islam. 
Prof. Madya Dr. Ahmad Omar Chapakia berpendapat, kendati penduduk Islam 
di Thailand merupakan kelompok minoriti, tetapi posisi mereka dianggap 
sangat penting dalam strategi keamanan dan kestabilan politik negara. 
Kedudukan mereka sebahagian besar bertumpu di kawasan selatan, khususnya
 di wilayah-wilayah yang berbatasan dengan negara Malaysia yaitu 
Pattani, Yala, Narathiwat, dan Satun. Di wilayah lain, walaupun mereka 
sebagai golongan minoriti, sebahagian besar dari pada mereka adalah 
majoriti dan dominan di kawasan tertentu. Contohnya di wilayah Songkhla 
kedudukan mereka hanya 20 peratus dari pada jumlah populasi penduduk 
keseluruhan wilayah tersebut, tetapi mereka menjadi dominan di empat 
daerah (district) penting yaitu Chanak, Natawi, Thepha dan Sabayoi. 
Menurut catatan Pusat Statistik Nasional Thailand (2000) penduduk Islam 
di Thailand berjumlah 2.8 juta orang atau 4.6 peratus. Namun demikian, 
kebanyakan pertubuhan Islam menganggap angka tersebut tidak selaras 
dengan kenyataan. Mereka meletakkan jumlah peratusan dan bilangan 
penduduk Islam yang lebih jauh berbeda dengan perhitungan resmi 
kerajaan.  Menurut Prof. Madya Dr. Charan Malulim, pada tahun 2004 
populasi penduduk Islam di Thailand diperkirakan sekitar 6 juta orang 
atau 1:10 daripada jumlah penduduk Thailand. 
Faktor Pencetus Konflik di Selatan Thai 
Dalam draf laporan Jawatankuasa Institut Prapokklau tentang Pembangunan 
Masyarakat Sejahtera menyebut hasil penelitiannya yang menyimpulkan 
bahawa pergolakan di wilayah selatan sebagai konflik politik dan budaya,
 yang mesti diselesaikan dengan cara damai tanpa kekerasan. Tetapi apa 
yang dapat dilihat sekarang ini langkah yang ditempuh pihak berkuasa 
adalah penyelesaian dengan kekuatan persenjataan.Penyelesaian model ini,
 di sesetengah tempat seperti menyiramkan petrol dalam unggun api. 
Suasana yang sudah panas, justeru menjadi lebih panas lagi. 
Menurut pendapat saya, penyebab utama ketegangan dan kekerasan ialah 
ketidakadilan yang terjadi dalam semua sektor. Seperi semua maklum, 
kebanyakan pegawai dan petugas kerajaan yang ditempatkan di Selatan Thai
 berasal dari luar kawasan tersebut. Di mana mereka umumnya tidak faham 
tentang bahasa lokal, buta tentang agama (Islam), tradisi dan budaya 
penduduk Islam setempat. Manakala orang Melayu Islam di kawasan selatan 
sampai sekarang belum mendapat tempat dalam sektor kerajaan kecuali 
sekadar 20 peratus sahaja sedangan jumlah mereka dalam kawasan tersebut 
adalah 85 peratus. 
Dalam buku berjudul ISLAM AGAMA PENJANA KEDAMAIAN SEJAGAT atau ISLAM THE
 RELIGION FOR PEACE saya menegaskan bahawa Islam adalah agama yang 
ciptakan kedamaian.Islam tidak melarang penganutnya bekerjasama dengan 
penganut atau pengikut agama lain. Dan proses perdamaian dalam skala 
apapun harus sesuai dengan prinsip perdamaian secara Islam. Kesan dan 
tujuan isi dalam buku ini adalah supaya masyarakat Islam dan bukan Islam
 baik dari dalam maupun luar negara, dapat memahami hakikat yang 
sebenarnya tentang Islam, yang merupakan agama yang benar-benar 
menciptakan kedamaian yang hakiki. (lihat pengenalan buku ini dalam 
lampiran). 
Tetapi apa yang terjadi di lapangan, dalam usaha untuk menciptakan 
kedamaian di antara satu pihak dengan pihak yang lain masing-masing 
berjalan mengikut kemahuan sendiri-sendiri. Tidak  ada persefahaman 
dalam menuju ke arah perdamaian, khususnya di antara sesama dalam sektor
 pemerintahan. Demikian juga dalam usaha untuk memartabatkan bahasa 
Melayu sejauh ini tidak mendapatkan kerjasama sepenuhnya  dari pihak 
berwenang. 
Padahal soal bahasa Melayu ini tidak kalah pentingnya dalam usaha untuk 
mencipta kedamaian di Selatan Thai. Bahkan dalam hal-hal tertentu, 
komuniti Melayu Patani merasakan ada usaha secara halus dari pihak-pihak
 tertentu untuk menguburkan bahasa Melayu sebelum ianyamenjadi bahasa 
komunikasi penting dalam kalangan masyarakat Asean menjelang tahun 2015 
nanti. 
Seperti dilaporkan Organisasi Kerjasama Negara Islam (OIC) berdasarkan 
laporan utusannya yang berkunjung ke wilayah-wilayah Selatan Thailand 
pada 8 – 11 Mei 2012 yang menyimpulkan antara lain: 
1.    Kemajuan dalam pelaksanaan resolusi 2007 (berkaitan dengan 
pemartabatan bahasa Melayu di Selatan Thai) dalam tempo lima tahun 
(setelah 2007) didapati masih sangat sedikit dan terlalu lamban. 
2.    Kerajaan Thailand masih memberlakukan dekri atau undang-undang 
darurat tentera di wilayah-wilayah Selatan Thai serta masih terdapat  
terlalu banyak personil tentera di kawasan tersebut. 
3.    Dalam aspek penggunaan bahasa Melayu dalam korikulum 
sekolah-sekolah yang majoriti pelajarnya berasal dari etnik Melayu 
didapati perkembangannya sangat sedikit, lemah dan  terlalu perlahan. 
4.    Penubuhan Angkatan Pertahanan Awam yang merekrut orang awam untuk 
mengikuti latihan ketenteraan harus dihentikan. Sebab cara 
membahagi-bahagikan senjata kepada orang awam daripada etnik tertentu 
kelaktidak akan menyelesaikan masalah secara tuntas. Sebab apabila 
disalah-gunakan kesempatan tersebut boleh menyebabkan 
tercetusnyapeperangan antar-etnik (Melayu vs Siam). 
5.    Secara khusus OIC memuji dan menyampaikan rasa hormat kepada 
pemerintah Thailand yang sejauh ini menunjukkan sikap proaktif dalam 
membantu proses perdamaian di Palestin. Hal yang sama juga harus 
ditunjukkan dalam menyelesaikan masalah internalnya sendiri. 
Solusi 
Apa yang dipaparkan di atas hanya sekelumit masalah yang dihadapi 
masyarakat Islam di Selatan Thai. Adapun penyelesaian masalah tersebut 
harus ditempuh langkah-langkah antara lain seperti berikut: 
1.    Memberikan kebebasan dan ruang kepada ummat Islam untuk menghayati
 dan mengamalkan syariat Islam dalam kehidupan harian mereka. Yakni 
dalam bidang-bidang yang tidak menjejaskan kestabilan dan keamanan 
negara. 
2.    Memberikan kebebasan dan kesempatan kepada penduduk Melayu Islam 
untuk menghidupkan budayamereka dalam setiap aspek serta 
menghidup-suburkan bahasa Melayu sesuai dengan hasrat Asean untuk 
memartabatkan bahasa tersebut sebagai bahasa komunikasi penting dalam 
kalangan anggota pertubuhan (Asean). 
3.    Wujudkan persefahaman yang baik di antara semua pihak yang 
berkenaan. Dalam hal ini masyarakat setempat  perlu  memberikan 
kerjasama yang baik dan serius, sementara di antara pihak-pihak dalam 
pemerintahan sendiri juga harus bergerak seiring sejalan. Tidak ada 
percanggahan  di antara kebijakan sivil dan tentera. 
4.    Wujudkan jaringan kerjasama antar-agama untuk menciptakan 
kedamaian dalam arti yang lebih luas. Ia meliputi kerjasama antar-agama 
untuk berdialog dan diskusi dengan para pemimpin agama, para pejuang 
hak-hak asasi manusia, para ilmuan serta orang-orang yang berfikiran 
terbuka dalam upaya menciptakan suasana aman damai di Selatan Thai. 
5.    Pemerintah juga harus konsisten berusaha meningkatkan kualiti 
hidup rakyat di wilayah-wilayah selatan dalam berbagai bidang, tanpa 
mengabaikan faktoragama, bahasa, budaya dan cara hidup masyarakat  
setempat. 
6.    Pemerintah harus dapat membedakan di antara para tetamu yang 
berniat baik dengan tetamu yang tidak dikehendaki. Sebahagian tetamu 
terutama yang datang dari negara-negara Teluk, Arab dan Islam lainnya 
sering merungut tentang sikap sesetengah pegawai pemerintah. Mereka  
dicurigai dan  diekori untuk mengetahui dengan siapa mereka berhubung di
 Selatan Thai. Padahal sesetengah tetamu berkunjung ke Thailand dengan 
niat untuk menghulurkan bantuan kepada institusi pendidikan, 
yayasan-yayasan amal atau badan-badan kebajikan. Sesetengah pegawai 
pemerintah terkadang tidak dapat membedakan di antara yang membawa 
kebaikan kepada masyarakat dan negara dengan tetamu yang mendatangkan 
kemudharatan. Padahal seperti kita maklum, orang Islam di negeri Arab 
sangat suka dengan kelakuan, perangai lemah lembut dan budi bahasa 
rakyat Thai. 
Dalam kaitan dengan usaha untuk mengaplikasikan konsep damai dan 
perdamaian yang hakiki seperti yang dikehendaki  Islam, pihak Universiti
 Islam Yala (YIU) telah menubuhkan Institut  Al-Salam. Tujuan institut 
ini antara lain untuk menyebarluaskan gagasan dan pengetahuan tentang 
damai dan kedamaian berdasarkan prinsip Islam. Dalam hal ini diupayakan 
agar semua pihak terlibat dan ikut ambil bahagian secara proaktif untuk 
mewujudkan dialog kedamaian dan melahirkan jaringan kerjasama dengan 
berbagai pihak, baik di dalam maupun di luar negara dalam menciptakan 
keharmonian sosial dan keamanan serantau. 
Dalam kaitan dengan usaha untuk mewujudkan masyarakat harmoni, pihak 
Universiti Islam Yala juga sedang merintis sebuah projek mega contoh 
yang diberi nama Projek Patani Jaya (Madinatul Salam/Kota Sejahtera). 
Tujuannya untuk menerapkan prinsip kedamaian Islam ke dalam kehidupan 
nyata masyarakat setempat. Ini merupakan salah satu model perjuangan 
secara aman dan damai. 
Projek ini merangkumi pembangunan universiti, hospital, Pusat Islam, 
perkampungan Islam contoh, pusat-pusat perniagaan dan sebagainya. Salah 
satu objektif penyelenggaraan projek ini adalah untuk meningkatkan 
kualiti hidup dan kehidupan masyarakat sejalan dengan tuntutan Islam. 
Kesimpulan 
Islam adalah agama yang damai. Islam menentang kekerasan dan keganasan 
dalam bentuk apapun. Dalam menghadapi berbagai tuduhan dan kesan buruk 
yang telah dicapkan oleh pihak Barat dan sekutunya, ummat Islam harus 
lebih sabar dan bersikap rasional; al-Qur’an menjelaskan bahawa: “Kamu 
sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu. Dan (juga) kamu 
sungguh-sungguh akan mendengar dari orang-orang yang diberikan kitab 
sebelum kamu dan dari orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan 
yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, maka
 sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.” 
(Terjemahan surah Ali ‘Imran (3): 186). Adalah menjadi prinsip dalam 
ajaran Islam bahawa segala macam persoalan haruslah terlebih dahulu 
diselesaikan dengan cara-cara damai dan sabar. Menggunakan kekerasan 
sebelum berupaya menempuh jalan damai akan membawa ummat ini kepada 
keadaan jahiliyah, yang akibatnya adalah kehancuran. 
Ummat Islam tidak dibenarkan bertindak atau menghukum dengan cara 
pukulrata (generalisation). Al-Qur’an menjelaskan bahawa “Dan tidaklah 
seseorang yang berdosa akan memikul dosa orang lain”. Maksudnya tiap 
orang hanya bertanggungjawab ke atas kesalahan dirinya sendiri dan tidak
 dibebankan ke atasnya kesalahan orang lain (Lihat surah: al-An'am (6): 
164; al-Isra' (17): 15; Fathir (35): 17; al-Zumar (39): 7; al-Najm (53):
 38). 
Pihak Barat hendaknya memandang ummat diluar komuniti mereka juga 
mempunyai maruah dan harga diri, sama seperti diri mereka sendiri. 
Keharmonian hubungan antara bangsa akan wujud apabila seluruh kaum boleh
 menghormati dan menghargai antara sesama mereka. Oleh itu, hal-hal 
sensitif yang berkenaan dengan harga diri sesuatu kaum haruslah 
dipelihara. Kebebasan bersuara dan menyampaikan pandangan bukanlah 
bermakna bebas menghina dan melecehkan maruah orang lain. 
Himbauan dan pesan yang disampaikan oleh ummat Islam haruslah 
benar-benar diperhatikan, sebelum mereka menyampaikannya dengan 
menggunakan “bahasa yang bukan berupa kata-kata.”  Dengan menggunakan 
cara damai atau diplomasi santun, ummat Islam di Selatan Thai dapat 
menghilangkan berbagai coreng hitam dan kesan buruk dari para pembuat 
fitnah baik daripada pihak luar maupun pihak dalam negeri sendiri. 
-    - 
Selaku Rektor, saya berbangga kerana Universiti Islam Yala yang saya 
pimpin lahir, membesar dan berkembang pesat pada masa dan keadaan yang 
tepat. Pada peringkat awal sehingga sekarang ini kita menyaksikan 
kerjasama timbal balik yang sangat baik di antara kerajaan dan pihak 
Universiti. Juga ada persefahaman yang baik di antara kerajaan dan 
masyarakat Islam Thailand, terutama yang tinggal di wilayah-wilayah 
selatan. Lebih-lebih lagi dalam era pemerintahan Perdana Menteri, 
Yingluck Shinawatra. Kerjasama yang baik itu sangat dirasakan sekali 
sejak Pol. Col. Thawee Sodsong dilantik menjadi Setiausaha Agung Pusat 
Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan atau South Border Provinces 
Administration Centre (SBPAC). 
Beberapa perkara positif yang dapat kita saksikan antara lain seperti berikut: 
1.    Dalam bidang pendidikan kita menyaksikan keseriusan pihak kerajaan
 untuk merehabitasi kebijakan (policy) yang tidak bijaksana sebelumnya 
dengan mencipta iklim yang kondusif. Di antaranya dengan mengarahkan 
agar segera dibuka semula Sekolah Islam Burapha di Sapom, Narathiwat 
yang ditutup pihak berkuasa sebelumnya. Selain itu kita nampak komitmen 
kerajaan dalam upaya membantu pelajar-pelajar yang punya potensi untuk 
maju dengan memberikan beasiswa untuk mereka menyambung pelajaran di 
dalam dan luar negara, khususnya Malaysia dan Indonesia. Terutama kepada
 keluarga mangsa dari berbagai insiden keganasan. 
2.    Dana khusus sebanyak 175 juta Baht juga disumbangkan kepada 
Universiti Islam Yala dalam bentuk infrastruktur berupapa Bangunan 
Memorial ‘Chalerm Prakiat’, yang sedang dibangunkan. Sumbangan tersebut 
sempena Hari Keputeraan Raja Bhumipol Adulyadej ke-84. 
3.    Dalam bidang kerukunan hidup antar-umat berbagai agama 
dimanifestasikan dengan terselenggaranya Seminar Antarabangsa tentang 
“Religion and Peace Building in ASEAN”  yang berlangsung di Hotel 
Sukhosol, Bangkok dan Universiti Islam Yala pada 17 – 19 September 2012.
 Dalam seminar tersebut hadir tokoh-tokoh agama dari Indonesia, 
Malaysia, Singapura, Brenei Darussalam, Laos, Myanmar, Amerika Syarikat,
 Saudi Arabia, Jepun dan Vietnam. Seminar diselenggarakan Majlis 
Kerjasama Antar-agama untuk Kedamaian Negeri Thai yang disponsori Liga 
Dunia Muslim (Muslim World League) dan bekerjasama dengan Pusat 
Pentadbiran Wilayah Selatan (Thailand). Salah satu resolusi seminar 
ialah dipertegaskan kembali bahawa agama bukanlah faktor yang 
menyebabkan timbulnya keganasan dan kekerasan dalam masyarakat. Agama 
pada hakikatnya adalah pembawa perdamaian untuk masyarakat manusia 
sejagat. Segala permasalahan dalam masyarakat dan negara tidak ada 
solusi terbaik selain agama, khususnya konflik di rantau Asean yang 
majoriti penduduknya adalah ummat beragama. Kerjasama antara penguasa 
dan masyarakat dalam semua sektor sangat penting dalam upaya mengatasi 
dan menyelesaikan masalah kekerasan yang terjadi di Selatan Thai. 
4.    Dalam bidang bahasa pula kita nampak adanya sikap lunak kerajaan 
dengan memberikan ruang udara yang segar terhadap perkembangan Bahasa 
Melayu. Hal itu dapat disaksikan dengan Seminar Antarabangsa 
“Memartabatkan Bahasa Melayu di ASEAN” yang diselenggarakan Universiti 
Islam Yala dengan kerjasama Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan. 
Seminar yang berlangsung di Park View Resort, Pattani, 13 – 15 Oktober 
2012 tersebut mendapat kerjasama dari beberapa perguruan tinggi awam 
dalam dan luar negara. 
5.    Dalam kaitan dengan masa depan Bahasa Melayu juga kita dapat 
merasakan bahawa di depan sana terdapat semacam suatu era baru yang 
cerah sedang menunggu kita. Bahawa kelak masyarakat Islam yang merupakan
 kaum majoriti penutur Bahasa Melayu di bahagian Selatan Thai akan dapat
 menikmati siaran radio dan televisyen dalam bahasa ibunda mereka secara
 terus menerus 24 jam sehari. Komitmen tersebut disampaikan Menteri di 
Jabatan Perdana Menteri, Nivattamrong Boonsongpaisal seperti dikutip 
harian The Nation, edisi 2 Oktober 2012. Menurutnya, mulai tahun depan 
Perkhidmatan Penyiaran Kebangsaan Thailand (NBT) akan mengadakan siaran 
radio dan televisyen dalam Bahasa Melayu di wilayah-wilayah yang 
majoriti penduduknya bercakap dalam bahasa tersebut. Sekiranya sebelum 
ini siaran dalam bahasa Melayu hanya beberapa jam sahaja, mulai Januari 
tahun depan akan ditambah (bukan hanya radio, bahkan televisyen juga) 
menjadi 24 jam 
6.    Dalam hal kebajikan para mangsa keganasan dan kezaliman juga 
nampak ada perhatian serius dari pihak-pihak yang berwenang.  Dalam hal 
ini dapat dilihat sikap proaktif Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan 
Selatan (SBPAC) dalam menyantuni anggota keluarga mangsa yang meninggal 
dunia dalam berbagai insiden keganasan sebelum ini. Yakni dengan 
memberikan konpensasi (ganti-rugi) kepada keluarga (ahli waris) yang 
ditinggalkan berupa wang tunai sebanyak 7.5 juta Baht untuk setiap 
mangsa yang meninggal seperti apa yang  dikenali dengan Tragedi Takbai 
(Narathiwat), Insiden Nongchik(Pattani), mangsa tragedi Masjid Kerisek, 
tragedi Ai Payae, Chok Airongdan sebagainya. 
7.    Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan juga membiayai sebanyak
 200 orang mangsa tragedi kekerasan di Selatan Thai untuk mengerjakan 
ibadah haji pada tahun 2012 yang lalu. Kerajaan juga meluluskan bajet 
saguhati kepada para guru fardhu ‘ain, imam, khatib, bilal, ahli jawatan
 kuasa (AJK) masjid dan Majlis Agama Islam di wilayah-wilayah selatan. 
-  -  - 
Dengan perkembangan yang positif dalam pelbagai aspek tersebut, saya 
secara peribadi sangat optimis sekiranya semua sektor punya komitmen 
yang tinggi dalam penyelesaian masalah dengan cara damai secara sepadu. 
Yakni dengan menggunakan prinsip agama untuk memimpin politik dan 
ketenteraan. Juga diharapkan semua sektor dalam pemerintahan dan rakyat 
dapat bekerjasama dengan baik demi terciptanya kedamaian serantau serta 
memimpin masyarakat Selatan Thai ke arah masyarakat madani yang aman 
damai, maju jaya serta mulia dunia dan akhirat. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan