Jumaat, 3 Januari 2014

SURAT TERBUKA KEPADA MEDIA THAI.

Tidak dinafikan bahawa media mempunyai pengaruh yang besar dalam suatu masyarakat. Peranannya bukanlah sekadar menyampaikan berita dan maklumat kepada umum tetapi juga mempengaruhi pandangan atau sikap masyarakat, melalui laporan dan tulisan. Oleh yang demikian wartawan dianggap agen perubahan masyarakat.
Dalam konteks konflik politik di Selatan( Patani ) media utama ( dalam bahasa Thai) telah lama berperanan dalam pemberitaan. Pada pandangan kami sebagai pejuang Patani, didapati pandangan umum ( general opinion) dan cara pemberitaan yang dilakukan oleh para pengamal media dan wartawannya masih lagi berada di takok lama. Dengan kepesatan kemajuan di bidang penyebaran maklumat dalam dunia siber terkini tidak banyak perubahan yang dapat kita saksikan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa media Thai  TIDAK PERNAH  atau JARANG BENAR  berlaku adil kepada gerakan pejuang Patani dalam pemberitaannya. Dari tempuh masa 50 tahun lalu hingga sekarang masih lagi belum berubah.
Perkataan,panggilan atau istilah tertentu terhadap pejuang Patani seringkali membawa gambaran negatif apabila tersiar dalam media Thai. Satu daripada panggilan itu ialah "Penjahat atau Pengganas  Selatan" . Jelas sekali ia mencerminkan sikap prejudis yang melampau dan amat berat sebelah. Apakah wajar dilabelkan para pejuang yang membela nasib bangsanya sendiri sedemikian, hanya kerana semata-mata mereka menentang penguasaan Thai keatas mereka secara kekerasan? Kalau demikian apakah juga Raja Naresuan dan Raja Taksin itu Penjahat dan Pengganas kerana mereka juga bangkit menentang penguasaan Burma atas Ayutthaya pada masa lalu, juga secara kekerasan.?
Apabila Al-Marhum Tuan Guru Haji Sulong mengemukakan tuntutan 7 perkara pada tahun  1953 M beliau bukan sahaja ditangkap dan penjarakan, tapi juga dibunuh akhirnya atas tuduhan "memberontak " . Beliau hendak memberontak terhadap siapa? Apakah niat beliau mahu menukar kerjaan di Bangkok, atau hanya sekadar menuntut hak dan keadilan bagi Orang Melayu Islam di Selatan? Label ini masih lagi kekal sampai hari ini dan terus dijaja oleh pengamal media tertentu di Thailand tanpa mempedulikan sensitiviti rakyat Patani yang menyanjungi beliau sebagai seorang ulama besar.
Para pejuang juga dipanggil "Kumpulan/Gerakan Pemisah " . Perlu diperjelaskan bahawa KESEMUA gerakan perjuangan Patani adalah gerakan PEMBEBASAN (Liberation), bukan PEMISAH( Separatist). Dari segi ilmu sains politik ada perbezaan yang jelas antara gerakan pembebasan dengan gerakan pemisah .
Kesemua panggilan atau istilah tersebut dicipta secara sengaja oleh pemerintah Thai bagi memberi gambaran yang negatif terhadap para pejuang. Malangnya pihak media Thai , tanpa usul perikasa atau kajian secara objektif dan mendalam telah menelan bulat-bulat momokan itu, sekali gus meletakkan pihak pejuang pada keadaan yang dipandang serong oleh masyarakat awam Thai dan juga di mata dunia.
Berdasarkan perinsip utama kewartawanan "  Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang benar." Dalam konteks Patani  nampaknya tidak begitu. Wartawan Thai seringkali dilihat mengekori pasukan tentera atau polis, atau orang orang kerajaan ke suatu lokasi untuk membuat liputan. Ini sudah cukup bagi rakyat umum mengecap mereka sebagai "orang di pihak kerajaan" lalu tidak memberi kerjasama atau menyalurkan maklumat sebenar kepada mereka. Sedangkan maklumat sebenar adalah penting. Kerana halangan bahasa dan sikap tidak profesional , malas berusaha lebih, mereka mudah berpuas hati dengan maklumat dari sumber "second-hand", atau lebih malang lagi mereka catat apa sahaja yang "disuapkan" kepada mereka oleh pihak kerajaan. Lalu dapat disaksikan banyak lapuran berita yang selalunya berakhir secara "stereotype" begini : Pihak berkuasa masih lagi menyiasat kejadian itu, dipercayai dilakukan oleh para penjahat dari kawasan tersebut.
Barangkali mereka lupa pada perinsip ini :To seek out and disseminate competing perspectives without being unduly influenced by those who would use their power or position counter to the public interest ,iaitu berusaha mencari dan menyampaikan pandangan  pandangan yang berbeza tanpa dipengaruhi oleh mereka yang (secara salah) menggunakan kuasa atau jawatan mereka bertentangan dengan kepentingan umum. Dalam melaksanakan tugasnya seorang wartawan menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama.
 Media Thai juga sedikit sekali memberi ruang kepada pihak pejuang menyuarakan pendapat untuk disampaikan kepada masyarakat umum seluruh Thailand, guna memberi penjelasan atas beberapa isu penting. Atau apakah sikap mereka itu seperti : mengapa mesti memberi ruang dan liputan kepada penjahat dan pengganas?  Sampai sekarang rakyat umum Thai masih lagi bertanya : mengapa orang Melayu di Selatan bangun menentang kerajaan ? Mengapa gunakan cara kekerasan ? Mengapa mahu berpisah dari Thailand ? Mengapa bom di sana sini melibatkan bukan sahaja pasukan bersenjata tetapi juga orang dan  harta awam ? Mengapa guru ditembak mati ? ..dan beribu ribu soalan lagi
Perinsip kewartawanan : Give voice to the voiceless; document the unseen ( Berikan suara kepada yang tidak mampu bersuara ; rakamkan perkara terselindung ),  ini menggesa supaya pihak media  membuka ruang dan peluang bagi pihak yang tertindas mengutarakan "suara" mereka. Pihak media Thai juga disarankan supaya mendokumenkan per kara perkara yang "diselindungi" secara sengaja, supaya apa yang benar akan terserlah. Jika tidak selama itulah khalayak umum Thai tidak akan mendapat maklumat sebenar dan orang Melayu Patani ,khususnya para pejuang ,akan terus dianggap sebagai penjahat, penentang kerajaan  atau lebih teruk lagi sebagai pengganas, sedangkan hakikatnya mereka berjuang untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas.
Berlainan pula dengan wartawan dan media asing. Mereka amat professional dengan pendekatan yang proaktif dan hasil pemberitaanya tidak berat sebelah. Mereka tidak mengharapkan sesuatu maklumat itu "disuapkan", tetapi berusaha keras untuk mendapat maklumat sebenar secara " Engaging the community" - berdamping dengan masyarakat. Meskipun mereka juga menghadapi kekangan bahasa dan budaya seperti wartawan Thai, akan tetapi sikap profesionalisma mereka yang  berpegang teguh dengan perinsip dan etika kewartawanan, mereka mudah sahaja memperolehi maklumat  dari sumber  asli yang boleh dipercayai(authentic) . Masyarakat Melayu Patani, terutama penduduk kampung, lebih mesra dengan wartawan asing berbanding wartawan Thai .
Sebab itulah kita dapati berita dan maklumat yang di siarkan kepada khalayak umum oleh media asing jauh lebih baik dan bernilai daripada media Thai sendiri.  Kadang kala terdapat perbezaan fakta dan maklumat , malah  bertentangan lansung dengan apa yang disiarkan oleh media Thai. Masyarakat dunia yang bilangan beribu juta, juga Bangsa Melayu di Nusantara seramai lebih 300 juta, kini lebih memahami  penderitaan dan perjuang rakyat Patani jika dibandingkan dengan bilangan 60 juta rakyat Thai yang masih belum fahami konflik di Selatan .
Satu lagi isu penting dalam pemberitaan media Thai ialah fakta sejarah. Dalam konteks sejarah Patani, bermula dari era Empayar Langkasuka sampai kepada masa kini, media Thai lebih cenderung untuk merujuk kepada versi sejarah yang ditulis oleh bangsa mereka sendiri. Kedudukan dan perhubungan  negara bangsa pada masa lalu, khususnya melibatkan konflik Patani-Siam, hanya dilihat dari kaca mata sejarah Siam sahaja. Maka timbullah silap anggapan bahawa Patani itu asalnya milik Siam , negeri-negeri Melayu di Utara Semenanjung Melayu        ( Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis )  adalah juga milik mereka. Sejarah Thai juga mendakwa sebahgian besar wilayah-wilayah yang kini berada dalam Negara negara jiran seperti Laos, Khmer  dan  Myanmar adalah pada asalnya miliki mereka. Pada hal jika dibaca sejarah versi negara-negara terbabit kita dapati mereka pula yang mendakwa kesemua kawasan tersebut itu adalah hak milik mereka tetapi ditakluki oleh Siam pada masa masa tertentu.
Jika kita rujuk kepada catitan sejarah yang direkodkan oleh bangsa bangsa asing yang pernah berhubung dengan Patani pada zaman dahulu seperti  China, Jepun , Belanda , Portugis , Inggeris dan juga Arab, kita akan dapati catitan mereka amat jauh berbeza dan bertentangan dengan yang ditulis oleh orang Siam. Fakta inilah yang selalunya diabaikan oleh pengamal media Thai.
 Sudah begitu lama media Thai melabelkan pejuang Melayu Patani sebagai penjahat , pengganas dan pemberontak. Tetapi oleh kerana orang Melayu tidak ada saluran untuk bersuara, perasaan tidak puas hati itu terpendam begitu sahaja,berpuluh tahun lamanya. Ironisnya,baru baru ini, apabila pihak pejuang memanggil bangsa Thai sebagai "penjajah", mereka sangat terkejut dan terus melenting. Maka kita dapati media Thai mula berperanan membakar api kemarahan itu dalam siaran dan lapuran mereka. Sukar bagi mereka menerima hakikat bahawa mereka juga adalah satu kuasa penakluk atau penjajah di rantau ini. Padahal dalam sejarah bangsa Melayu di Nusantara sudah makruf bahawa bangsa Siam adalah satu kuasa penakluk dan penjajah seperti juga para penjajah dari benua Eropah.
 Proses Damai Kuala Lumpur  melalui Persetujuan Umum Berkenaan  Proses Dialog Perdamaian bertarikh 28 Febuari 2013 M telah membuka lembaran baru dalam memberi pengiktirafan kepada pihak pejuang. Mereka bukan lagi dirujuk sebagai penjahat atau pengganas tetapai secara rasmi digelar" mereka yang mempunyai pandangan dan ideologi berbeza daripada kerajaan (Thai). Hampir kesemua media asing utama dunia memberi perhatian yang serius dan bersikap optimistik terhadap  perjalanan proses ini ke arah perdamaian. Tetapi lain pula dengan setengah-setengah media Thai yang bukan sahaja bersikap dingin dan memandang serong usaha kerajaan mereka sendiri mahu mencarai penyelesaian secara damai, mereka menimbulkan banyak persoalan dan yang lebih teruk lagi ada yang bersikap anti proses damai. Kalau mereka tidak mahu konflik ini diselesaikan secara damai, apakah ada alternatif lain yang boleh mereka kemukakan ? Atau apakah media Thai mahu lihat pergolakan ini berterusan dengan korban jiwa dan harta benda yang lebih banyak, sama seperti sikap golongan tertentu yang akan hilang pengaruh dan perolehan dari imbuhan tertentu sekiranya berlakunya damai ? Apakah itu agenda mereka?
Di akhir-akhir ini kita dapati sebilangan kecil wartawan dan pengamal media Thai mula "celik mata" mahu melihat kebenaran untuk dihidangkan kepada masyarakat umum, bukan lagi "skrip" berat sebelah yang disudukan kepada mereka oleh pihak berkuasa. Mereka berusaha secara sendirian dengan gigih, membuat penyelidikan  dan siasatan teliti, berdamping dengan masyarakat yang berlainan bangsa, bahasa dan budaya . Apa yang mereka perolehi sebagai balasan ialah kepercaya rakyat yang dengan rela  membuka pintu hati  meluahkan apa yang mereka ketahui dan apa yang terbuku di hati. Sebab itu kita dapat baca beberapa lapuran berbeza dari mereka ini,termasuk juga beberapa dokumentari, tentang beberapa peristiwa penting seperti kejadian Tragedi  Tak Bai yang diulas semula, kematian pejuang As Shahid Mat Rosol, pertempuran yang melibatkan syahidnya Ustaz Rahim atau "Pele Hitam" peristiwa tembak menembak di Paku, Thung Yang Deng dan yang terkini berkenaan dengan proses damai. Kesemua itu membawa perspektif baru dan seimbang bagi pemberitaan di Selatan. Melalui media seperti ini juga pandangan dari pihak pejuang mula boleh didengari. Malang sekali lapuran atau pandangan sedemikian kemudiannya dicap sebagai "suara BRN".
 Sesungguhnya tidak ada pilhan lain bagi wartawan atau pengamal media Thai selain daripada membuat anjakan paradigma ( Paradigm Shift ) dengan kembali menghayati Perinsip-perinsip Kewartawanan Sejagat ( The Universal Principles of Journalism ) dan juga  Perinsip-perinsip Panduan kepada Wartawan (Guiding Principles for Journalists), tanpa takut atau mengharapkan imbuhan tertentu. Dengan cara itu sahaja suara dari rakyat kerdil akan didengari  , kebenaran akan terserlah  dan keadilan akan terlaksana . Ia juga mampu meletakkan kerjaya kewartawanan dan media Thai pada satu tahap yang boleh dipercayai, diyakini dan dihurmati , bukan sahaja oleh masyarakat setempat , tetapi khalayak umum yang lain di seluruh Thailand dan Dunia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin