Ajaran sesat ialah ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam
sedangkan pada hakikatnya bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. Di
Malaysia, ajaran sesat bukanlah suatu perkara yang baru. Bahkan dipercayai
telah mula berakar sejak abad ke-19[1]
melalui Ajaran Taslim oleh Mohammad Shafie di Kampung Seronok, Seberang Perai,
Pulau Pinang. Di Selangor, ajaran sesat pertama ialah Ajaran Ahmadiah atau
Qadiani yang bertapak di Jeram pada 1930-an.
Kebelakangan ini nama-nama ajaran
sesat seperti Ayah Pin, Haji Kahar Rasul Melayu, Islam Jamaah dan ajaran
Qadiani banyak menghiasi berita-berita berkenaan ajaran sesat. Secara pandangan
mata kasarnya, masyarakat yang tidak terlibat dengan ajaran-ajaran sesat ini
pasti pernah terfikir betapa tidak logiknya amalan-amalan yang dilakukan oleh
ajaran-ajaran sesat ini.
Sebagai kajian kes, ajaran Haji Kahar Rasul Melayu yang bermula di Kg
Kemensah, Ulu Klang, Selangor ini menonjolkan Haji Kahar Ahmad yang mengaku
dirinya sebagai seorang rasul Umat Melayu. Antara ajaran[2]
´menarik´ dan ´pelik´ yang ditawarkan oleh ´Rasul Umat Melayu´ ini ialah
berkenaan Surah Yaasin merupakan kitab suci yang diturunkan kepadanya dan solat
lima waktu tidak wajib kerana ´Rasul Umat Melayu´ mendakwa tidak ada sebarang
dalil daripada kitab suci Al-Quran berhubung kewajipan menunaikan solat.
Selain itu mengikut Imam Surau Kg Kemensah, Ustaz Zawawi, ‘Rasul Umat
Melayu’ ini juga mendakwa bahawa meminum arak dapat menerangkan hati di samping
boleh dibuat berwudhu’. Manakala Ketua Kg Kemensah[3],
Mohd Razali Bulat yang mengakui mengenali Haji Kahar ini sejak kecil dan
merupakan rakan sekampungnya menjelaskan bahawa ada suatu tarikan pada Haji
Kahar ini yang menyebabkan ajarannya boleh berkembang dan mempunyai pengikut.
Antara yang disebut adalah bagaimana pertuturan Haji Kahar ini yang baik
dan langsung tidak menyakiti hati orang lain dalam konteks pergaulan harian
beliau bersama masyarakat. Perkara ini turut diakui oleh Aziz Wahab selaku
Setiausaha JKKK Kg Kemensah di samping menyatakan bahawa gelaran Rasul Melayu
itu pada asalnya bukan datang daripada mulut Haji Kahar sendiri, akan tetapi
berkemungkinan besar dijaja oleh pengikut-pengikutnya.
Akhirnya beliau sendiri mengisytiharkan bahawa beliau telah dilantik
sebagai Rasul Umat Melayu, kerana dakwanya Nabi Muhammad saw adalah Rasul untuk
orang Arab. Dan selepas tiga tahun[4]
mengelak daripada dibicarakan atas beberapa pertuduhan, akhirnya beliau berjaya
diberkas pada 16 September 2009 di sebuah kediaman di Sungai Long, Kajang dan
akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Beberapa faktor[5]
dikenalpasti sebagai antara punca yang mendorong seseorang individu itu terlibat
dengan kumpulan ajaran sesat.
- Jahil ilmu agama
- Akidah rapuh
- Lemah spiritual
- Mudah terpengaruh
- Teruja dengan ilmu kerohanian
- Mengambil jalan mudah
- Penguatkuasaan yang lemah
- Tidak prihatin
- Pengaruh luar
Selama ini ajaran sesat yang lebih
mendapat perhatian pihak berkuasa agama dan pendedahan media adalah ajaran
sesat dalam bentuk amalan seperti yang telah dibincangkan dalam bahagian
pendahuluan.
Namun begitu dewasa ini, perkembangan
ajaran sesat menjadi semakin maju. Ajaran sesat tidak lagi tertumpu kepada
ajaran dalam bentuk amalan yang secara akal waras dapat menilai betapa tidak
masuk akal ajaran tersebut dengan Islam. Tetapi kini ajaran sesat telah
berkembang kepada ajaran dalam bentuk pemikiran.
Nyatanya ajaran berbentuk pemikiran
adalah lebih berbahaya[6]
kerana pada dasarnya ia mengamalkan ajaran Islam tetapi sebenarnya menanamkan
pemikiran yang mengeliru dan menyelewengkan. Antara yang menjadi ancaman adalah
pemikiran Islam Liberal dan Pluralismen Agama di samping faham-faham
sekularisme, sosialisme, kapitalisme dan aliran pemikiran yang sebenarnya
menyesatkan umat Islam.
Islam Liberal[7]
adalah satu bentuk pemikiran jahiliyah baru moden yang dianuti cerdik pandai
Muslim khususnya yang berlatar belakang pendidikan Barat yang cuba membebaskan diri daripada
disiplin ilmu agama gagasan para ulama. Pemikiran yang berasal dari ideologi
Sekular-Liberal yang berasal dari Barat bertujuan untuk menimbulkan keraguan
terhadap kebenaran ajaran Islam.
Perkembangan ajaran Islam Liberal di
nusantara khususnya di Indonesia
telah berkembang dengan pesat sekali dengan jenama Jaringan Islam Liberal
(JIL). Nama-nama tokoh[8]
mereka seperti Luthfi Assyaukanie, Ulil Abshar-Abdalla dan Ahmad Sahal. Dan
bagi mewajarkan pemikiran mereka ini, golongan ini menyatakan bahawa kehadiran
mereka adalah bagi melawan fahaman Islam Militan dan faham ‘jihad’ sebagai
pengesah serangan terhadap ajaran agama lain.
Golongan Islam Liberal ini dalam
kerangka mengkritik sistem pemerintahan dan politik dalam Islam melalui karya
seorang ulama Al-Azhar yang telah ditarik balik status Azharnya, Islam wa
usul al-hukm, Ali Abdul Raziq. Dalam cubaan beliau untuk mencabar[9]
pemikiran tentang kedudukan khilafah dan kerajaan dalam Islam, beliau
menyatakan, “Risalah Muhammad- risalah bukan pemerintahan, agama bukan Negara,
Muhammad adalah seorang rasul bukan raja. Al-Quran menafikan Muhammad adalah
pemerintah, sunnah turut menafikan, sifat asasi Islam turut menafikannya”
Sementara Pluralisme Agama[10]
pula menaja fahaman bahawa semua agama adalah sama tujuannya, yang berbeza
adalah cara atau jalan menuju Tuhan. Dengan menggunakan firman Allah berikut
untuk menyokong fahaman ini:-
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ
هَلْ تَنقِمُونَ مِنَّا إِلاَّ أَنْ آمَنَّا بِاللّهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا
وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلُ وَأَنَّ أَكْثَرَكُمْ فَاسِقُونَ
“Katakanlah: "Hai Ahli kitab, apakah kamu memandang kami salah,
hanya lantaran kami beriman kepada Allah, kepada apa yang diturunkan kepada
kami dan kepada apa yang diturunkan sebelumnya, sedang kebanyakan di antara
kamu benar-benar orang-orang yang fasik?"(Al-Maidah:59)
Akan tetapi
banyak lagi ayat-ayat lain yang menjelaskan kebenaran Islam dan sekaligus
menolak fahaman pluralisme agama ini:-
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللّهِ
الإِسْلاَمُ
“Sesungguhnya agama (yang diridai) di sisi Allah hanyalah Islam”(Ali
Imran:19)
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ
الإِسْلاَمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ
الْخَاسِرِينَ
“Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali
tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk
orang-orang yang rugi.”(Ali Imran:85)
Selain itu fahaman sekularisme yang umpama duri dalam daging di kalangan
masyarakat Islam sudah menjadi sebati dalam kehidupan seharian. Ajaran
memisahkan agama Islam dalam aspek kehidupan serta menjuzu’kan Islam kepada
segmen-segmen kehidupan tertentu yang dirasakan sesuai dengan citarasa semasa.
Islam hanya diambil dan digunakan pada sisi-sisi yang memberi keuntungan.
Justeru timbul fahaman bahawa Islam dan politik adalah perkara yang berasingan,
politik tidak boleh dibawa di dalam masjid serta kemuncak sesat fahaman ini
adalah berkenaan kuasa pengadilan dan kedaulatan hukum tertinggi atau “hakimiyyah
Ilahiyyah”[11] yang
sepatutnya merupakan hak mutlak Allah dinafikan.
Pemuka-pemuka politik dan penguasa sentiasa merasakan bahawa sekali
mereka berkuasa, kekuasaan itu tertakluk kepada mereka tanpa menyedari bahawa[12]
hanya Allah sahaja yang memiliki hak mengeluarkan hukum sebab Dia-lah
satu-satunya Pencipta:-
إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ لِلّهِ
“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah”(Al-An’am:57)
Setelah dikenalpasti jenis-jenis
ajaran sesat dan juga beberapa faktor yang mendorong pengembangannya, perlu dibincangkan
kaedah yang boleh diambil untuk mengatasi terus berkembangnya ajaran-ajaran
sesat.
- Meningkatkan kefahaman terhadap ajaran Islam: tidak kira sama ada ajaran sesat berbentuk amalan mahupun pemikiran, kefahaman seseorang Muslim terhadap pegangan agamanya perlu diperteguh. Soal aqidah khususnya perlu dipelajari di samping disiplin ilmu yang lain juga perlu diperkemas.
Di sinilah masjid dan surau khususnya yang lebih dekat
dengan masyarakat memainkan peranannya secara berkesan. Kuliah-kuliah pengajian
dengan topik-topik pengajian yang menarik di samping tenaga pengajar yang
berupaya menarik minat mengaji di kalangan masyarakat perlu diperhebatkan.
Masjid dan surau bukan sekadar tempat untuk solat
berjemaah, membaca Yaasin dan tahlil mahupun acara-acara ritual semata-mata,
tetapi masjid dan surau adalah pusat perkembangan ilmu dan menangkis
pemikiran-pemikiran yang menyesatkan ummat.
Dengan imarahnya masjid dan surau dengan kelas
pengajian, pasti ajaran-ajaran sesat yang pelik-pelik tidak mendapat tempat di
hati masyarakat yang dahagakan ilmu untuk mendalami ajaran Islam.
- Membaiki sistem penguatkuasaan: banyak komen dibuat terhadap sistem penguatkuasaan pihak berkuasa agama dalam membanteras ajaran sesat. Antaranya menyatakan hukuman yang terlalu ringan[13] berbanding zaman Khulafa’ Rasyidin yang sudah mengenakan hukuman bunuh terhadap ajaran sesat ataupun yang mengaku sebagai nabi.
Hukuman dan denda seperti dalam Enakmen Jenayah
Syariah (Selangor) 1995 mahupun ‘penalti 356’ yang digelar dari Akta 559 boleh
dikatakan ‘gagal’ membendung secara tuntas gejala ajaran sesat ini.
Sistem pemulihan pihak-pihak yang pernah terlibat
dengan mana-mana ajaran sesat juga perlu dikaji dan diperbaiki mengikut
peredaran masa kerana dinamika ajaran sesat juga sentiasa berubah mengikut
zaman yang mana penyelidikan harus diberikan kepada ajaran sesat dalam bentuk
pemikiran kerana ia lebih kompleks dan mencabar untuk diatasi.
- Sistem tauliah yang lebih relevan: pengimbangan antara pentauliahan dengan membanteras penyebaran ajaran sesat perlu diteliti. Bukan menjadi rahsia lagi bahawa sesi temuduga untuk mendapatkan tauliah mengajar di sesebuah negeri bukan untuk menilai kredibiliti dan tahap keilmuan seseorang pendakwah. Tetapi yang menjadi pokok persoalan adalah untuk mengetahui kecenderungan pendakwah ini terhadap aliran pendekatan “Wahabi” ataupun sebaliknya.
Manakah lebih utama, tahap keilmuan seseorang itu sama
ada sudah memperolehi kelulusan di peringkat sarjana muda, sarjana mahupun
kedoktoran ataupun memperolehi tauliah untuk menyampaikan Islam? Jika
pentauliahan itu lebih penting, nescaya sekian ramai lulusan bidang agama di
Negara ini akan tersekat daripada menyampaikan Islam dan sekaligus membuka
ruang kepada pengembangan ajaran sesat akibat keperluan aktiviti dakwah yang tidak
dapat diisi oleh pendakwah-pendakwah yang ditauliahkan.
Pun begitu untuk mengetepikan terus pentauliahan ini
juga tidak boleh dilaksanakan bagi mengelakkan pengembangan ajaran-ajaran sesat
oleh individu yang tidak mempunyai autoriti dan kefaqihan dalam bidang agama
menyebarkan ajaran yang dirasakannya benar.
Justeru satu sistem pentauliahan yang lebih relevan
perlu dicadangkan. Sistem yang dapat mengimbangi antara keperluan mengisi
aktiviti dakwah yang sah dan benar serta
bagi mengelakkan berkembangnya ajaran sesat akibat tiadanya satu sistem
‘pelesenan’ kepada pihak yang ingin menyampaikan Islam. Dan juga sistem yang
jauh daripada prejudis terhadap aliran pemikiran yang berbeza dan juga
keterbukaan dalam menerima perbezaan pandangan dan pendapat dalam Islam.
Mungkin saranan dan tuntutan[14]
daripada Kumpulan Intelektual Muslim Muda khusus berkenaan sistem tauliah ini
wajar diambil sebagai usaha untuk mengembangkan Islam di samping membuktikan
keterbukaan Islam.
Ajaran sesat bukanlah suatu perkara
yang boleh diselesaikan dalam sehari semalam. Bahkan dinamika ajaran sesat yang
muncul mengikut peredaran zaman memerlukan cendekiawan Islam dan ulama yang
juga lebih dinamik dan mampu serta lebih berani mematahkan sebarang bentuk
ajaran sesat sama ada dari segi amalan mahupun pemikiran secara lebih terbuka,
adil dan akademik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan