SoalanUstaz, apakah hukum ‘oral sex' ? atau dalam kata lainnya seks menggunakan mulut iaitu dengan menghisap atau menjilat kemaluan isteri atau mengulum kemaluan suami. Bagaimana pula jika ia dilakukan oleh pasangan kekasih yang belum berkahwin, adakah ia zina? Jika tertelan air mani suami pula ustaz, bagaimana ye?..Terima kasih atas jawapan ustaz.- Anak Empat -
Jawapan
Berkenaan isu oral seks, ulama terbahagi
kepada dua kumpulan :-
Yang mengharuskan :
Dr Syeikh Yusof Al-Qaradawi (rujuk www.islamonline.net)
berfatwa harus untuk mencium kemaluan isteri atau suami dengan syarat
tidak menghisap atau menelan apa jua cecair yang keluar darinya. Menelan atau
menghisap sebegini adalah MAKRUH disisi Islam kerana ia salah satu bentuk
perlakuan zalim (meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya) dan melampaui batas
dalam hubungan seksual.
Apa yang pasti diharamkan menurut beliau
adalah ‘anal sex' atau seks melalui lubang dubur, kerana terdapat nas yang
jelas mengharamkannya, adapun ‘oral seks' tiada sebarang nas jelas dari Al-Quran
dan hadis yang melarangnya.
Pandangan ‘harus' atau boleh dilakukan ini
dikongsi oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Al-Jumaah dan juga Dr. Sabri `Abdul Ra'ouf (Prof
Fiqh di Univ Al-Azhar) apabila
mereka menegaskan, tindakan ini harus selagi mana ianya benar-benar dirasakan
perlu bagi menghadirkan kepuasan kepada pasangan suami dan isteri, terutamanya
jika ia dapat menghindarkan pasangan ini dari ketidakpuasan yang boleh membawa
mereka ke lembah zina kelak.
Perbincangan ringkas
Namun begitu, saya kira kesemua mereka
yang mengharuskan termasuk Syeikh Yusof Al-Qaradawi tidak pula menghuraikan
satu isu yang mungkin boleh dipanjangkan perbahasannya, iaitu bab kenajisan air mazi dan
air mani.
Justeru, saya mengira fatwa beliau mungkin
boleh digunakan jika dalam keadaan tiada sebarang cecair dikeluarkan semasa
aktiviti oral sex ini dilakukan. Namun keadaan ini dikira sukar berlaku kerana
bagi seseorang yang normal, nafsu yang meningkat pastinya akan mengeluarkan
cecair pelincir iaitu mazi.
Air mani lelaki dan wanita dianggap najis
menurut mazhab Hanafi dan Maliki. Mazhab Syafie dan Hanbali pula mengganggapnya
suci.
Namun semua ulama bersetuju air mazi
adalah najis. Hasilnya, majoriti pandangan ulama yang menyatakan menelan dan
hisap termasuk cecair mazi ini adalah haram atau makruh berat. Beberapa ulama
kontemporari menegaskan perlu membasuh dengan segera jika terkena mazi tadi.
Mazi ibarat najis lain yang dianggap kotor
dalam Islam, justeru haram memakan tahi, meminum air kencing dan termasuk juga
air mazi ini. Bukan sekadar haram memakan najis malah ulama empat mazhab juga
memfatwakan haram menjual najis (kecuali diketika wujudnya teknologi untuk
menggunakannya sebagai baja), apatah lagi untuk menjilat, hisap dan menelannya.
Sudah tentulah ia lebih lagi diharamkan.
Selain itu, menurut undang-undang Malaysia
juga ia adalah satu perara yang tidak normal, khusus buat orang yang agak luar
biasa nafsunya.
"Oral seks" juga tergolong dalam
kategori perlakuan seks luar tabie, ia adalah salah menurut Seksyen 377B Kanun
Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sebat dan 20 tahun
penjara.
Justeru, mana-mana pasangan kekasih yang
melakukan perkara ini, boleh dilaporkan dan diambil tindakan oleh undang-undang
Malaysia. Dari sudut undang-undang Islam, ia dikira berdosa besar dan bolehlah
dijadikan sebat dan 20 tahun penjara tadi sebagai peruntukan ta'zir di dalam
Islam bagi mereka yang sabit bersalah.
Ulama Yang Mengharamkan
Kebanyakan ulama Saudi mengharamkan
perbuatan ini, ini dapat dilihat dari fatwa-fatwa berikut [1] :-
Mufti Saudi Arabia bahagian Selatan,
Asy-Syaikh Al`Allamah Ahmad bin Yahya An-Najmi menjawab sebagai berikut,
"Adapun hisapan isteri terhadap
kemaluan suaminya (oral sex), maka ini adalah haram, tidak dibolehkan. Ini
Kerana ia (kemaluan suami) dapat memancarkan mani, mazi dan lain-lain. Kalau
memancar, maka akan keluar darinya air mazi yang ia najis menurut kesepakatan
(ulama'). Apabila (air mazi itu) masuk ke dalam mulutnya lalu ke perutnya maka
boleh jadi akan menyebabkan penyakit baginya.
Melalui pandangan ini, kita dapat melihat
satu point yang penting, iaitu sejauh mana tindakan ini boleh memberikan kesan
buruk kepada kesihatan pasangan. Menurut pembacaan saya, ulama yang membolehkan
perilaku ini juga bersetuju untuk mengganggapnya haram jika dapat dipastikan
dan dibuktikan dari sudut saintifik, ia boleh membawa bakteria dan menyebabkan
penyakit yang serius.
Saya teringat pakar sakit puan, Dr Ismail
Thambi pernah menyatakan bahawa bakteria yang berada di mulut adalah sangat
banyak berbanding di kemaluan, justeru beliau menyatakan tindakan ‘oral sex'
dibimbangi boleh membawa penyakit kemaluan disebabkan bahagian mulut pasangan
yang mempunyai banyak bakteria dan kuman.
Selain itu, seorang lagi ilmuan Islam
iaitu Syeikh Nasiruddin Albani berkata :-
"Ini adalah perbuatan sebahagian binatang,
seperti anjing. Dan kita mempunyai dasar umum bahawa di dalam banyak hadits,
Ar-Rasul melarang untuk tasyabbuh (menyerupai) haiwan-haiwan, seperti larangan
beliau turun (sujud) seperti turunnya unta, dan menoleh seperti tolehan
serigala dan mematuk seperti patukan burung gagak. Dan telah dimaklumi pula
bahawa Nabi Shallallahu `alahi wa sallam telah melarang untuk tasyabbuh (menyerupai) dengan orang kafir,
maka diambil juga daripada makna larangan tersebut pelarangan tasyabbuh dengan
haiwan-haiwan-sebagai penguat yang telah lalu, apalagi haiwan yang telah
diketahui keburukan tabiatnya. Maka sewajarnya seorang muslim - dan keadaannya
seperti ini - merasa tinggi untuk menyerupai haiwan-haiwan"
Namun, pendapat peribadi saya mendapati
pandangan dan dalil yang digunapakai oleh Syeikh Albani ini adalah tidak begitu
kukuh, namun saya tidak berhasrat untuk membincangkannya dengan panjang lebar
di ruang ini.
Tindakan men‘generalize' semua jenis
persamaan (tasyyabbuh) sebagai haram secara total juga boleh didebatkan
kesohihannya. Demikian juga menyamakannya dengan perilaku binatang, benarkah
binatang melakukan ‘oral seks'?, jika sekadar menjilat mungkin ye, namun
menghisap kemaluan si jantan? Adakah binatang yang melakukannya?. Saya
tidak pasti. Bagaimana pula binatang ada juga yang mencium dan memeluk
pasangannya. Adakah mencium dan memeluk juga diharamkan kerana menyerupai binatang.?
Sudah tentu tidak.
KESIMPULAN
Melalui perbincangan dan pendedahan
ringkas di atas, jelas kepada kita perbezaan dua kumpulan ulama ini. Dari hasil
penelitian terhadap pendapat mereka bolehlah saya rumuskan bahawa :-
1) Elok dijauhi aktiviti ini dan menghadkan
kepada perilaku seks yang lebih sihat bersama pasangan. Ini bagi menjauhi
perklara khilaf.
2) Harus bagi suami isteri untuk mencumbu
kemaluan pasangan mereka dengan syarat tidak menghisap, jilat dan menelan apa
jua cecair. Ia juga dituntut untuk membersihkan mulut dan kemaluan mereka
sebelum melakukan aktiviti ini sebaik mungkin bagai meninimakan kemungkinan
penyakit. Namun ia makruh yang cenderung kepada haram (makruh tahrimi) jika
perbuatan ini sengaja untuk meniru-meniru perbuatan aksi seks melampau golongan
bukan Islam dan juga binatang.
3) Haram hukumnya menelan mazi dan mani
pasangan kerana Islam mengharamkan umatnya dari melakukan perkara kotor
sebegini, sama juga seperti diharamkan menjual najis (kecuali baja yang akan
diproses melalui dengan bahagian kimia)
4) Hukumnya menjadi harus berdasarkan
keringanan khusus yang diberi oleh Islam atau disebut ‘rukhshah' kepada
pasangan yang amat perlukannya bagi mengelakkan ketidakpuasan dan membawa
masalah besar rumah tangga atau lebih dahsyat lagi, zina secara rambang diluar
rumah.
5) Hukum melakukannya bersama pasangan
kekasih atau mana-mana pasangan sebelum nikah yang sah adalah haram, dosa besar
dan boleh didakwa dengan hukuman 20 tahun penjara di Malaysia. Namun ia tidak
dianggap berzina dalam erti kata dan takrif zina yang disebut di dalam
kitab-kitab Fiqh Islam. Ia hanya dianggap sebagai muqaddimah zina atau
perdahuluan zina. Dalam kaedah fiqh Islam, "Apa-apa yang membawa kepada
haram, hukumnya adalah haram jua"
Sebagai akhirnya, selain dari membincangkan
soal hukum, kita mesti jelas bahawa hukum Islam sentiasa ingin melahirkan
keutuhan rumah tangga dan masyarakat. Kita mesti sedar dan berfikir samada
tindakan oral seks ini benar-benar membawa sesuatu yang berharga buat
keharmonian rumahtangga kita, dan apa pula kesannya kepada nafsu diri. Adakah
ia semakin mampu dikawal atau semakin buas sebenarnya.
Kita bimbang, tindakan ini boleh membawa
kepada keinginan nafsu yang semakin membara dan tidak terkawal sehingga
membhayakan diri dan masyaarakat di sekeliling kita disebabkan nafsu buas dan
luar biasa yang sentiasa dilayan ini. Layanlah nafsu secara berpada-pada agar
tidak ditawan olehnya kelak. Fikirkan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan