Hingga kini, lebih kurang satu setengah batu dari 
pekan Merbok di kaki Gunung Jerai masih terdapat satu tinggalan kuil 
purba atau candi-candi purba yang serupa dengan candi yang didapati di 
tanah Jawa. Inilah satu-satunya kesan purba yang didapati sebagai bukti 
nyata perpindahan penduduk beragama Hindu itu.
Penduduk Kedah (ketika itu terdapat nama-nama lain 
bagi negeri Kedah Tua seperti Kalah, Kalagam, Kalabar dan Langkasuka) 
tidak mempunyai raja atau ketua. Mereka cuma hidup sendiri-sendiri 
sahaja tetapi tetap aman dan damai. Kemudiannya, penduduk makin ramai 
dengan kedatangan orang-orang dari Pulau Serindit (Ceylon).
Kemudiannya, kedudukan mereka di persekitaran itu 
tidak aman lagi akibat serangan dari puak-puak dari utara negeri Kedah 
terutama dari daerah Ligor, Teneserim dan Pegu Burma.
Untuk menahan kemaraan serangan itu, mereka mula 
bersatu dan melantik ketua di antara mereka. Ketua satu digelar Tan 
Dermadewan sementara penolongnya digelar Tun Perkasa. Sejak itu, mereka 
berdualah yang menjadi ketua bagi penduduk di negeri Kedah. 
Bagaimanapun, tidak pula dinyatakan tarikh yang tepat.
Ketika itu, kawasan Kedah termasuklah Kedah yang 
sekarang ini, Pulau Pinang dan Seberang Prai, Perlis, Pulau Langkawi dan
 beberapa tempat di kawasan negeri Thai selatan iaitu seperti Kuala 
Bara, Cik Baling, Ampe di dalam daerah Setul (Satun). Hampir semua 
kawasan itu meliputi kawasan tepi pantai.
Pemerintahan Kedah di bawah kekuasaan Tan Dermadewan 
dan Tun Perkasa itu tidak pula diketahui berapa lamanya. Mengikut buku 
itu yang dipetik dari satu sumber dalam tahun 630M, seorang raja dari 
tanah Gumarun yang lari akibat negerinya diserang oleh Maharaja Farsi 
telah dilantik menjadi raja Kedah yang pertama. Baginda dengan 
orang-orang besarnya lari dengan jalan laut ke timur. Mula-mula sampai 
ke Ceylon, Teluk Burma dan akhir sekali ke Kuala Sungai Khelah (Merbok).
Ketibaan raja itu telah disambut dengan hormatnya 
oleh Tan Dermadewan dan orang-orangnya. Kemudian di tabal menjadi raja 
dan bersemayam di Kota Langkasuka, sebuah kota yang diperbuat daripada 
tanah, mempunyai tiga pintu gerbang.
Dari pengalaman memerintah negerinya di tanah Farsi 
dahulu, Maharaja Derbar Raja telah melantik beberapa orang besar bagi 
membantu baginda memerintah. Baginda telah melantik menteri empat, lapan
 dan enam belas.
Alat-alat kebesaran yang dibawa dari Farsi seperti 
semambu (dinamakan Maha Guru), Negara (gendang kecil), dan nafiri telah 
dijadikan alat-alat kebesaran diraja. Ketiga-tiga benda itu disampul 
dengan kain kuning, ditambah pula dengan beberapa jenis alatan dari Jawa
 seperti gong, serunai dan beberapa buah gendang lagi. Kini, semua 
alat-alat itu dijadikan alat-alat Nobat DiRaja Kedah. Alatan-alatan itu 
tersimpan di Balai Nobat Alor Star, di hadapan masjid Sultan.
Selepas Maharaja Derbar Raja mangkat, iaitu raja 
pertama, ada delapan orang lagi memerintah Kedah sebelum negeri itu 
menerima agama Islam. Raja-raja itu adalah seperti berikut: 
- 
Maharaja Diraja Putera - bersemayam di kota Langkasuka
- 
Maharaja Maha Dewa - bersemayam di Sidim, Kulim
- 
Seri Maharaja Karna Diraja - bersemayam di Kota Aur, Sik
- 
Seri Paduka Maharaja Kerma - bersemayam di Kota Aur, Sik
- 
Seri Paduka Mahraja Maha Dewa - bersemayam di Bukit Meriam
- 
Seri Paduka Maharaja Derma Raja - bersemayam di Bukit Meriam
- 
Seri Paduka Mahraja Maha Dewa II - bersemayam di Bukit Meriam
- 
Seri Paduka Mahraja Derbar Raja - bersemayam di Bukit Meriam
Begitulah susunan raja-raja Kedah sebelum Islam 
mengikut At-Tarikh itu. Tetapi malangnya, tidak pula diketahui bilakah 
tarikh-tarikh mereka memerintah. Bagaimanapun, dalam masa pemerintahan 
tersebut, banyak sudah peristiwa-peristiwa yang berlaku terutama tentang
 perpindahan tempat bersemayam.
Pada masa Maharaja Diraja Putera memerintah, walaupun
 baginda tetap bersemayam di kota Langkasuka, namun sempat lagi dalam 
masa bermain-main mengikut ulu sungai membina sebuah istana di Siong 
dalam daerah Baling sekarang ini.
Begitu juga tatkala Maharaja Maha Dewa memerintah, 
walaupun baginda bersemayam di Kota Bandar tetapi telah juga membuka 
tempat baru dan membina istana. Kali ini bertempat di Sidim dalam daerah
 Kulim. Baginda telah bersemayam di situ dan Kota Bandar diserahkan 
kepada adinda baginda yang bernama Maha Sura.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan