Sejarah awal negeri Kedah amat rumit sekali hendak 
diketahui orang. Kerana mengikut dari sumber-sumber yang boleh 
dipercayai seperti dari buku-buku Hikayat Merong Mahawangsa dan 
At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah bahawa negeri ini telah dibuka 
kira-kira seratus tahun sebelum dari Nabi Muhammad dilahirkan, iaitu 
kira-kira dalam tahun 470M, atau kira-kira seribu tahun terdahulu dari 
pembukaan kerajaan Melayu Melaka.
Ianya sezaman dengan tumbuhnya lain-lain kerajaan di 
benua Asia seperti Kerajaan P'an P'an, Hunan, Cenla dan Campa yang 
sekarang telah hilang namanya dalam sejarah dan berganti dengan 
nama-nama kerajaan yang baru pula.
Memandang masa yang begitu lama, tentulah ahli-ahli 
sejarah tidak dapat memberi keterangan lanjut dan tarikh yang tepat 
mengenai sejarah negeri itu.
Mengikut Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), penduduk 
asal negeri Kedah (Pulau Serai) ialah keturunan gergasi. Manakala raja 
pertama pula ialah Merong Mahawangsa sendiri yang berasal dari indera 
kayangan dan bersahabat baik dengan raja Rom. Ketika Merong Mahawangsa 
mengiringi Putera Raja Rom untuk berkahwin dengan Puteri China, angkatan
 mereka telah karam dibinasakan oleh burung geruda yang telah bersumpah 
sebelum itu dengan Nabi Allah Sulaiman a.s. untuk menggagalkan 
perkahwinan kedua anak raja itu.
Bila angkatan itu binasa, masing-masing membawa diri.
 Merong Mahawangsa berusaha untuk menyelamatkan Putera Raja Rom itu 
tetapi gagal. Akhirnya Merong Mahawangsa sampai di Pulau Serai (Kedah) 
dan dilantik menjadi raja kepada kaum gergasi yang mendiami pulau itu. 
Pulau Serai itulah dipercayai Gunung Jerai yang ada sekarang ini. 
Agaknya kawasan tanah rendah di persekitaran gunung itu belum lagi 
timbul dari aras laut. Dari keturunan Merong Mahawangsa inilah terus 
menerus memerintah negeri Kedah sampai sekarang ini.
Ada enam orang raja sebelum negeri Kedah menerima 
agama Islam. Mereka itu ialah Raja Merong Mahawangsa, Raja Ong 
Mahapudisat, Raja Seri Mahawangsa, Seri Maha Inderawangsa, Raja Ong Maha
 Perita Deria (Raja Bersiong), Raja Phra Ong Mahapodisat dan Raja Phra 
Ong Mahawangsa iaitu raja yang mula-mula menerima agama Islam dengan 
gelaran Sultan Mudzaffar Syah.
Menurut tawarikh Siam pula, susunan raja sebelum 
menerima agama Islam adalah seperti berikut; pertama - Phra Ong 
Mahawangsa, kedua - Phra Ong Mahapodisat, ketiga - Seri Mahawangsa, 
keempat - Sri Maha Inderawangsa, kelima - Phra Ong Maha Yatidahara, 
keenam - Phra Ong Mahapodisat dan ketujuh - Phra Ong Mahawangsa iaitu 
Sultan Mudzaffar Syah (sultan yang mula-mula menerima agama Islam).
Bagaimanapun, jika dibandingkan antara buku-buku 
tersebut nyatalah At-Tarikh Salasilah negeri Kedah lebih sesuai 
dijadikan rujukan sejarah. Ramai pengkaji-pengkaji sejarah Kedah yang 
merujuk buku tersebut kerana buku HMM dan Tawarikh Siam merupakan buku 
hikayat cuma yang lebih banyak mengaitkan dengan kisah-kisah dongeng dan
 tidak mempunyai faktor-faktor yang dapat dipegang oleh mereka terutama 
dari segi tarikh.
Buku HMM lebih sesuai dikatakan sebagai buku hikayat 
sahaja dan bukannya buku sejarah. Bagaimanapun buku tersebut digunakan 
juga untuk dibuat perbandingan terutama tentang nama-nama raja yang 
memerintah.
Dalam HMM, cuma ada tercatat tujuh orang raja sahaja 
yang memerintah negeri Kedah sebelum menerima Islam, begitu juga 
Tawarikh Siam, sementara di dalam buku At-Tarikh ada tercatat sembilan 
orang raja. Bagaimanapun, cuma ahli sejarah sahaja yang dapat memberi 
kenyataan yang sebenar.
Mengikut At-Tarikh karangan Muhammad Hassan bin Dato'
 Kerani Muhammad Arshad bahawa penduduk awal negeri Kedah bermula dari 
pelarian penduduk tanah Jawa yang datang kira-kira seratus tahun sebelum
 keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. di Mekah. Pelarian itu 
bukan sahaja tertumpu khusus ke negeri Kedah saja, malahan bertaburan di
 sepanjang pantai semenanjung Malaysia yang ketika itu lebih terkenal 
dengan nama Tanah Segara Masin. Orang-orang pelarian itu dipanggil 
'Melayu' bererti lari.
Perpindahan atau pelarian itu berlaku bukanlah 
bertujuan untuk mencari-cari tempat baru tetapi adalah bagi 
menyelamatkan nyawa setelah negeri mereka (tanah Jawa) diserang oleh 
bangsa Hindustan yang berbahasa Sanskrit dan beragama Hindu.
Di Kedah, tempat yang menjadi tumpuan ialah di 
persekitaran kaki Gunung Jerai, mungkin ketika itu pantai kerana waktu 
pelayaran masing-masing menjadikan puncak Gunung Jerai itu sebagai 
pedoman.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan