
Akibat kematian ayah atau ibu, seorang 
anak akan merasakan suatu kekosongan dalam hidupnya. Kosong dari curahan
 kasih sayang dan segala aspek yang memenuhi keperluan hidup seperti 
makan, minum, pakaian, dan lain-lain.
Ini menyebabkan seseorang anak yatim itu
 selalu dihantui oleh perasaan sedih dan hampa. Realiti yang ada di 
tengah masyarakat sekarang menunjukkan bahawa majoriti anak yatim yang 
tidak mendapat perhatian yang sewajarnya mengharungi kehidupan yang 
begitu sukar, menyedihkan dan tersisih.
Islam, sebagai agama yang 
menitikberatkan perihal kasih sayang sangat menekankan agar kita 
mengambil berat terhadap anak yatim sehinggakan al-Quran sendiri secara 
khusus banyak membicarakan masalah anak yatim ini lebih daripada perihal
 anak-anak yang lain secara umum. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang 
maksudnya:
”Rumah yang terbaik adalah rumah yang di
 dalamnya terdapat anak yatim yang dihormati dan diperlakukan dengan 
baik. Rumah yang terburuk adalah rumah yang di dalamnya terdapat anak 
yatim yang dizalimi dan diperlakukan dengan buruk”.
Anak yatim yang mendapat perhatian dan 
kasih sayang yang cukup daripada mereka yang menjaganya semestinya akan 
merasa bahagia dan aman. Namun sekiranya ia tidak mendapat apa yang 
seharusnya ia peroleh, hidupnya akan rosak dan hal ini menjadi lebih 
parah jika ia jatuh ke pangkuan orang yang tidak bertanggungjawab yang 
mendidiknya secara salah dan membentuknya menjadi peribadi yang 
merugikan masyarakat.
Gambar Yang Menyayat Hati
Gambar 
yang menyayat hati ini diambil dari salah sebuah rumah anak yatim, yang 
menunjukkan seorang anak yatim melukis gambar ibunya di atas lantai dan 
tidur dipangkuannya, dalam usaha untuk mendapatkan kasih sayang dan 
belas kasihan seorang ibu. – nourislam.com
Sayangilah Anak Yatim
DALAM al-Quran sebanyak 23 kali disebut 
perkataan ‘yatim’ dan penggunaan kata-kata yatim itu merujuk kepada 
kemiskinan dan kepapaan. Ertinya mereka yang berada dalam golongan yatim
 (anak yatim) memerlukan perhatian dan pembelaan daripada masyarakat 
untuk membolehkan mereka hidup selesa dan sempurna seperti orang lain 
yang mempunyai penjaga (ayah atau ibu).
Al-Quran secara jelas menegaskan dalam 
beberapa ayatnya yang menyuruh kita berbuat baik kepada anak yatim. 
Surah al Baqarah, ayat 220, Allah SWT berfirman bermaksud; “Mereka 
bertanya kepadamu mengenai anak yatim, katakanlah: Memperbaiki keadaan 
mereka adalah baik.”
Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa 
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai 
kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak 
daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik 
kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di 
syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara 
jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Mengulas hadis riwayat Ahmad itu, 
Al-Hafizah Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: “Cukuplah sebagai bukti yang 
menetapkan dekatnya kedudukan Nabi dengan kedudukan orang yang mengasuh 
anak yatim, kenyataan bahawa antara jari tengah dan jari telunjuk tidak 
ada jari yang lain.”
M Khalilurrahman Al-Mahfani dalam sebuah
 bukunya mencatatkan mengenai anak yatim: “Anak yatim adalah satu 
daripada komponen kehidupan yang harus kita rahmati. Dengan kata lain, 
kita harus menjadi rahmat bagi mereka, bukan menjadi musibah.”
Rahmat bagi mereka dizahirkan dalam 
bentuk kepedulian yang nyata, antara lain mengasuh mereka dalam keluarga
 kita, membantu ekonomi dan pendidikan, menjadi orang tua asuh, serta 
aktif mengelola rumah asuhan.
Sesungguhnya Islam adalah agama yang 
sangat menitikberat kesejahteraan umatnya, terutama nasib golongan yang 
lemah seperti orang miskin, ibu tunggal dan anak yatim. Sehubungan itu, 
Allah SWT memerintahkan kepada Nabi-Nya dengan firman-Nya dalam surah 
Ad-Dhuha ayat 9 yang bermaksud: “Adapun terhadap anak yatim, maka 
janganlah engkau berlaku sewenang-wenangnya.”
Dalam surah lain, Allah SWT berfirman 
yang bermaksud: “Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah 
dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga 
dan (persalinan dari) sutera. ” (Surah Al-Insaan 76:12)
Sesiapa yang berlaku tidak baik atau 
bersikap zalim terhadap anak yatim pasti akan menerima balasan daripada 
Allah SWT dan golongan ini dianggap antara satu ciri orang yang 
mendustakan hari akhirat. Firman Allah SWT bermaksud: “Tahukah kamu 
orang yang mendustakan hari akhir? Itulah orang yang mengherdik anak 
yatim dan tidak menganjurkan untuk memberi makan orang miskin.” (Surah 
Al-Ma’un ayat 1-3)
Jelaslah bahawa pahalanya sangat besar 
bagi sesiapa yang berbuat baik atau memelihara anak yatim. Dalam sebuah 
hadis daripada Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang 
bermaksud: “Orang yang memelihara anak yatim dalam kalangan umat 
Muslimin, memberinya makan dan minum, pasti Allah SWT akan masukkan ke 
dalam syurga, kecuali ia melakukan dosa yang tidak boleh diampun.” 
(Hadis riwayat Tirmidzi)
Banyak hikmah dan kebaikan apabila anak 
yatim dalam keluarga dan anak yatim itu dijaga dengan baik. Allah SWT 
akan memberi rahmat dan kasih sayang-Nya dan keluarga kita akan 
berasakan ketenangan dan kebahagiaan, tetapi jika anak yatim yang ada di
 bawah peliharaan atau pun jagaan kita diperlakukan tidak baik, maka 
perbuatan itu akan menerima balasan daripada Allah.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah 
bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik rumah di antara orang Islam adalah
 rumah yang didalamnya ada anak yatim yang diperlakukan dengan 
sebaik-baiknya dan seburuk-buruk rumah adalah rumah yang di dalamnya ada
 anak yatim, namun diperlakukan dengan buruk.” (Hadis riwayat Ibnu 
Majah)
Allah SWT juga berjanji akan memberi 
pahala dan ganjaran yang setimpal kepada kaum Muslimin yang membantu 
meringankan beban anak yatim dengan memberi sumbangan wang ringgit 
(derma atau sedekah). Banyak sedikit sumbangan yang diberikan itu bukan 
ukurannya, tetapi keikhlasan yang penting. Allah melihat apa yang ada 
dalam hati.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang 
bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi 
siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan 
bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya)’, dan apa saja yang kamu infakkan, 
maka Allah akan menggantikannya dan Dialah pemberi rezeki yang 
sebaik-baiknya.” (Surah Saba ayat 39).
Dalam surah lain Allah SWT berfirman 
yang bermaksud: “Apa saja yang kamu infakkan maka sesungguhnya Allah 
mengetahuinya. Orang yang berbuat zalim tidak ada seorang penolong pun 
baginya.” (Surah Al-Baqarah ayat 270)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 
“Tidak ada suatu pagi yang dilalui oleh seorang hamba kecuali dua 
malaikat turun. Satu daripadanya berkata: Ya Allah, berilah ganti orang 
yang berinfak (dermawan). Malaikat yang satu lagi berkata: Ya Allah, 
berilah kehancuran bagi orang yang kedekut.” (Hadis riwayat Bukhari, 
Muslim dan Ahmad dari Abu Hurairah).

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan