Dalam
 tersenggok-senggok ketika khutbah Jumaat hari ini (15 Mei), terdengar 
juga aku apa diutarakan khatib kewajipan menimba ilmu dan sambutan Hari 
Guru 16 Mei ini. Kalau tidak diingatkan tok khatib, aku pun tidak 
teringat Sabtu ini (16 Mei) adalah Hari Guru.
Orang
 rumahku seorang guru, jadi aku pun menelefonnya. Sahlah Sabtu ini 
adalah Hari Guru. Tetapi disebabkan Hari Guru jatuh pada Sabtu, kata 
isteriku, sambutannya akan diadakan pada Isnin, 18 Mei. Kepada isteriku 
dan semua guru diucapkan 'Selamat Hari Guru'.
Sebelum isteriku meletakkan telefonnya, sempat aku bertanya, tema sambutan tahun ini. Katanya, 'Guru Pembina Negara Bangsa'.
Khas
 untuk semua guru dan anak murid mereka, aku sertakan sajak 'Guru Oh 
Guru' nukilan SN Usman Awang (kini allahyarham, semoga Allah SWT 
memberkatinya).
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat 'cikgu' kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Sempena
 Hari Guru ini aku teringat pesanan salah seorang guruku yang sudah pun 
meninggal dunia. Katanya, dalam dunia ini janganlah tergila-gila mencari
 pangkat, kuasa, harta, kedudukan dan apa saja berkaitan kehebatan 
dunia.
Ini
 kerana jika kita ada 'benda-benda' ini, orang lain menunggu masa saja 
untuk mengambil atau merampas daripada kita. Sebagai contoh, jika kamu 
ada pangkat, ada orang mahukan pangkat kamu itu. Jika kamu ada kuasa, 
orang lain menunggu masa saja untuk mendapatkan kuasa kamu itu. Mungkin 
mereka akan terkata-kata, "bila dia nak pencen atau...supaya aku 
mengambil tempatnya."
Kemudian
 jika kamu berharta, orang lain pun mahukan harta kamu itu. Kamu 
berusaha keras (sehingga tidak memikirkan halal haram), tetapi akhirnya 
semuanya akan ditinggalkan. Jadi untuk apa kamu berusaha 'bagai nak 
gila' mendapatkan 'benda-benda' yang sentiasa dicemburui orang lain itu.
 Pencopet, perompak, penyamun, perasuah, pembohong; semuanya berusaha 
untuk mendapatkan harta kamu.
Katanya,
 carilah 'benda-benda' yang orang lain tidak boleh rampas daripada kamu.
 Carilah status 'hamba Allah' sebenar yang tidak mungkin orang lain 
merampasnya. Sebagai contoh siapa boleh rampas hubungan erat kamu dengan
 Allah yang boleh diperolehi dengan mengikut jalan ditunjukinya. Siapa 
boleh rampas solat kamu yang khusyuk, siapa boleh rampas zikir kamu atau
 ketenangan hati yang kamu miliki?
Pertingkatkanlah
 ilmu kerana tiada orang yang boleh merampasnya daripada kamu. Malah 
kalau kamu berkongsi (mengajar) ilmu, ia akan bertambah. Apabila ilmu 
dikeluarkan, ia akan menjadi semakin banyak, tidak seperti harta jika 
kamu keluarkan ia akan semakin habis.
Sayidina
 Ali k.w. yang disifatkan sebagai kunci ilmu kepada gedung ilmu 
(Rasulullah s.a.w.) mengingatkan, ilmu dapat menjaga kamu sedangkan 
kalau kamu ada harta, kamu yang akan menjadi hamba menjaganya.
Perkembangan
 semasa mengingatkan aku akan pesanan guruku itu. Hebat pesanannya 
kerana sekarang aku dapat saksikan perkara itu. Orang kini tanpa segan 
silu berebut-rebut mendapat kuasa, pangkat, kedudukan dan harta.
Mereka
 merebutkan kerusi Perdana Menteri, Menteri Besar, Speaker dan 
seterusnya. Aku menggeleng kepala melihat bagaimana seorang Speaker yang
 enggan meninggalkan kerusinya, diangkat bersama-sama kerusinya ke luar 
dewan Dun dan kemudian khabarnya dimasukkan ke dalam sebuah setor.
Benarlah
 pesanan guruku itu, janganlah kamu mengejar pangkat, kuasa dan harta; 
semua orang gila kepadanya. Sebaliknya sibukkanlah diri kamu mendapatkan
 pangkat di sisi-Nya dan itu tidak dapat dilakukan jika tidak berilmu. 
Jadi teruslah mencari ilmu. Hidup kamu akan lebih tenang kerana tiada 
siapa boleh merampasnya daripada kamu.
Kesimpulannya,
 sempena Hari Guru ini, dinasihatkan pada semua termasuk diri sendiri, 
carilah ilmu dan perkayakan diri dengannya kerana ia tidak boleh dicuri 
atau dirompak! Dengan memilikinya, insya-Allah kita akan selamat dunia 
akhirat.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan