Dalam keghairahan rakyat bergembira menerima 
perkhabaran pemberian pelbagai insentif daripada  kerajaan sebagaimana 
diumumkan Dato' Seri Najib Razak dalam Bajet 2013, terdapat beberapa 
perkara penting yang menghanyutkan rakyat dengan pengumuman itu. 
Peningkatan defisit dan hutang negara serta pemberian "one off" antara 
perkara penting agar rakyat tidak terjerumus dalam perangkap Kerajaan 
Umno-BN. Ikuti temubual NYZA AYOB, ADZHAR TAJUDDIN dan  ARIF ATAN dalam 
wawancara eksklusif pakar ekonomi, Dr Rosli Yaakop di Pejabat Editorial Harakah pada 3 Oktober lalu.
Adakah sistem cukai yang dikenakan berpatutan seperti cukai ke atas syarikat dan cukai pendapatan.
DR ROSLI YAAKUB: Cukai
 di Malaysia jika diukur nisbah hasil cukai kepada KDNK secara 
relatifnya adalah tinggi iaitu 14 -16 peratus. Sedangkan di Singapura 
hanya 13-14 peratus. Di Indonesia 11-13 peratus; Kemboja 9-11; Filipina 
12-14 peratus; China 9-10 peratus;  India 9-11 peratus. Ini menunjukkan 
secara relatifnya beban cukai di Malaysia lebih tinggi berbanding negara
 Asia yang lain. Namun demikian bilangan rakyat Malaysia yang membayar 
cukai hanya 1.7 juta orang sedangkan tenaga kerja di Malaysia berjumlah 
12 juta orang. Ini menggambarkan, di sana banyak pengecualian cukai. 
Yang kedua, ini menunjukkan bilangan rakyat Malaysia yang berpendapatan 
rendah yang tidak termasuk ruang lingkup cukai. 
Alasan utama, pendapatan rendah dan tidak payah bayar cukai. Saya rasa 
kerajaan sedar akan hal ini. Dan beban cukai di Malaysia adalah tinggi. 
Kerajaan kena turunkan cukai pendapatan peribadi kira-kira satu peratus 
lagi. Jadi cukai pendapatan korporat di Malaysia kekal 25 peratus dan 
cukai pendapatan peribadi diturunkan kepada 26 kepada 25 peratus. Namun 
demikian kadar cukai ini lebih tinggi daripada cukai pendapatan korporat
 di Singapura iaitu 17 peratus. Dan kadar pendapatan individu di 
Singapura juga dalam lingkungan 17 peratus. Paling tinggi pun 20 
peratus. 
Adakah Dr rasa pelaksanaan cukai ini termasuk dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)?
Walaupun kerajaan mengatakan hasil cukai di Malaysia tidak mencukupi 
untuk menampung perbelanjaan tahunan Malaysia dan sebahagian besar 
adalah jasil petroleum, kerajaan melihat di sana ada keperluan untuk 
meningkatkan lagi kutipan cukai daripada rakyat Malaysia. Maka kerajaan 
dalam Bajet 2013 itu telah membayangkan akan melaksanakan Cukai 
Perkhidmatan dan Barangan (GST). Kerajaan nampaknya nak laksanakan 
secepat mungkin. Jika tidak memikirkan akan menghadapi masalah besar 
penentangan rakyat yang membolehkan dia kalah dalam PRU 13, GST mungkin 
telah diperkenalkan tahun ini. Tetapi memandangkan di sana ada 
penentangan besar daripada rakyat dan mood rakyat tidak menyokong 
pelaksanaan GST, kerajaan Umno-BN nampaknya menunda pelaksanaan ini 
tetapi Menteri Kewangan membayangkan ianya akan tetap dilaksanakan 
tetapi hanya masa tidak ditentukan. 
Apakah Pakatan Rakyat bersetuju dengan GST?
Daripada cara ia dibentangkan, kerajaan memang berazam hendak laksanakan
 GST. Dan kita tidak setuju pelaksanaan GST kerana banyak perkara yang 
perlu diperbaiki daripada segi belanjawan dan kewangan negara. Satu, 
masalah rasuah yang menyebabkan ketirisan hasil negara...masalah 
pembaziran yang mana hasil negara tidak digunakan sepenuhnya. Ketirisan 
daripada segi menaikkan harga projek kerajaan dan banyak wang digunakan 
untuk projek-projek mewah yang bersifat gajah putih dan perkara mungkar 
seperti ini, maka tidak wajar rakyat Malaysia dibebankan dengan perkara 
seperti ini. 
Cukai GST ini adalah satu cukai yang boleh kita samakan seperti pukat 
harimau. Orang kecil kena. Orang besar kena. Semua orang kena masuk 
dalam pukat tuh....ikan bilis ke... ikan duyung ke... ikan jerung ke. 
Semua masuk. Cukai GST ini kena pada semua orang kecuali pelaksanaan 
cukai ini disertakan dengan pembaikan dalam pengurusan kewangan negara 
dan membanteras rasuah disertakan dengan program kebajikan kepada rakyat
 miskin dan berpendapatan rendah yang komprehensif kecuali ia disertakan
 dengan penurunan kadar cukai korporat kepada kadar cukai pendapatan 
individu dan kenaikan cukai GST secara beransur-ansur. 
Maknanya GST lansung tak sesuai dilaksanakan...
Ia tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kecuali kita tidak kisah dengan
 beban cukai yang akan ditanggung oleh rakyat. Selain itu, kita lihat 
Singapura apabila ia laksanakan GST, ia laksanakan secara berfasa-fasa. 
Dan cukai korporat serta cukai pendapatan individu diturunkan 
sikit-sikit. Singapura juga mengadakan program kebajikan yang 
komprehensif sehingga cara yang dilaksanakan Singapura untuk pelaksanaan
 GST itu tidak membebankan rakyat. Kita juga perlu ingat Singapura 
melaksanakan GST hanya setelah ia berstatus negara maju. Di mana 
pendapatan per kapita Singapura melebihi USD 15 ribu. Kita masih miskin 
nak laksanakan GST dan akan membebankan orang miskin.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan