1- Persoalan Tentang Cinta
Cinta
merupakan satu anugerah yang suci, murni dan mulia. Namun kebanyakan
manusia telah menodai kesucian cinta dengan meletakkan cinta itu pada
landasan dosa dan maksiat. Perkara tentang cinta banyak dinukilkan dalam
novel-novel, lagu-lagu, syair-syair dan telah banyak dipersembahkan
dalam bentuk drama-drama dan filem. Namun apakah sebenarnya cinta? :
“Apakah
cinta? Adakah cinta hanya perasaan kasih dan sayang antara lelaki dan
perempuan sahaja atau cinta merupakan perkataan rekaan yang dicipta
melalui perasaan sahaja? Mengikut Kamus Dewan cinta adalah
perasaan kasih sayang terhadap seseorang. Sebenarnya cinta boleh
ditafsirkan dengan seribu istilah mengikut si pencipta dan suasana.
Namun pada asasnya cinta membawa maksud bekerja bersama-sama, ketawa
bersama-sama, membangun bersama-sama, samada kejayaan kecil atau besar” (Robiah Kulop Hamzah, Remaja dan Cinta, 1993).
Keasyikan bercinta menyebabkan beberapa persoalan timbul dalam jiwa golongan yang bercinta:
“Adakah
cinta seorang lelaki sama dengan cinta seorang wanita? Apakah yang
perlu dilakukan untuk memperkatakan cinta? Dari manakah datangnya
kekuatan cinta yang begitu dahsyat? Apakah saya benar-benar dicintai?
Apakah dia tidak mengkhianati cintanya? Adakah dia sungguh-sungguh
mencintai saya? Bagaimanakah sebenarnya cinta yang agung? Benarkah orang
tidak boleh hidup tanpa cinta? Mengapa saya menjadi mangsa cinta?” (Robiah Kulop Hamzah, Remaja dan Cinta, 1993).
Jika
kita perhatikan dalam sejarah penciptaan Adam dan Hawa dan bagaimana
zaman-zaman yang telah berlalu pasti ada cerita cinta agung yang
sentiasa diriwayatkan dan berterusan lalu mencanang keajaiban cinta,
sehinggakan terciptalah dan lahirlah pelbagai falsafah cinta, tafrifan
dan istilah-istilah cinta yang hebat-hebat serta unik dari pelbagai
bangsa, budaya, lapisan masyarakat, peringkat umur, sehingga setiap
insan yang mendengar perkataan "Cinta" ini merasa
teruja untuk menikmati keindahan cinta. Sebagai contohnya cerita cinta
agung Laila dan Majnun yang melahirkan pemikiran falsafah "Cinta tidak
mengenal rupa" begitu juga kisah romantis Romeo dan Juliet yang
menyebarkan pemikiran "Cinta tidak mengenal darjat" dan banyak lagi.
Barangkali jika kita senaraikan kalimah-kalimah cinta yang menukilkan
istilah-istilah cinta sahaja pun, tentu akan menghasilkan satu karya
yang melibatkan berjilid-jilid pembukuan. Itu tidak termasuk
cerita-cerita dan riwayat-riwayat cinta, belum juga termasuk,
karya-karya syair, puisi, seloka, pantun, sayembara dan
gurindam-gurindam cinta. Begitulah hebat dan dahsyat penangan cinta
dalam kehidupan umat manusia sejak penciptaan cinta pertama Adam dan
Hawa.
2- Mengapa Pelajar Sekolah Ingin Bercinta Dan Bolehkah Mereka Bercinta ?
Seperti
yang kita sedia maklum, sebenarnya fenomena bercinta di kalangan
pelajar sebenar telah lama wujud dan tidak dapat dibendung. Ini kerana
ia merupakan naluri semulajadi setiap remaja, iaitu perasaan ingin
menyayangi dan rasa ingin disayangi dengan berlainan jantina.
Persoalan
pertamanya, mengapa pelajar sekolah ingin bercinta? Pertama sekali
penulis ingin membawa pembaca sekalian terobos balik sejarah silam atau
masa lalu kita, kita sebagai orang dewasa pernah melalui waktu-waktu dan
alam remaja, apakah perasaan dan emosi kita ketika itu? Bukankah sama
sahaja dengan apa yang sedang dialami dan dirasai oleh remaja zaman
sekarang? Kita terlalu ingin merasai betapa kebahagiaan perasaan
dicintai dan perasaan ingin mencintai dengan yang berlawanan jantina.
Jangan kita lupa bagaimana keghairahan kita pada waktu itu untuk
mendapat kepuasan cinta. Begitu jugalah apa yang sedang dialami pelajar
sekolah zaman sekarang, kerana dorongan perkembangan fisiologi dan
perkembangan unsur seksual dan emosi dalam diri remaja pada peringkat
selepas akil baligh mendorong jiwa semulajadi mereka untuk bercinta.
Persoalannya,
bolehkah pelajar bercinta? Kebiasaan yang kita dengar daripada jawapan
masyarakat, remaja yang menjalinkan cinta dalam alam persekolahan telah
menjalinkan hubungan "Cinta terlarang". Apakah benar ia patut disebut
sedemikian rupa sedangkan kita pernah melalui zaman seusia denga mereka
dan pernah merasai perasaan dan emosi sedemikan? Bagi menjawab persoalan
ini, mari kita lihat jawapan dari seorang tokoh apabila diajukan soalan
ini oleh seorang pelajar:
“Menjalin
satu perhubungan cinta bukan satu gurauan. Jika anda merasa diri anda
sudah matang dan bersedia ke arah itu ia bukan satu masalah.
Bagaimanapun, cuba
jalinkan hubungan cinta itu sekiranya adik sudah benar-benar yakin
serta mampu menghadapi pasang surut dalam dunia percintaan. Melibatkan
diri dalam percintaan ketika di bangku sekolah mungkin boleh menjejaskan
pelajaran anda. Oleh itu anda jangan mudah terpengaruh dengan keadaan
keliling. Dalam menjalin satu perhubungan lakukan mana yang diredhai
asalkan tidak membawa masalah kepada anda.” (Puan Amina Hj Noor, Persoalan Remaja Masa Kini, 1998).
Bagi
penulis, inilah jawapan dan pandangan yang tepat. Kita perlu sedar kita
hanya mampu melarang pelajar dari terjebak dengan cinta, namun kita
tidak mampu membendungnya kerana ia merupakan fenomena semulajadi dalam
kejadian manusia. Jika kita melarang sekalipun, pelajar tetap akan
bercinta secara berahsia, ini akan merumitkan lagi keadaan, kerana jika
berlaku apa-apa yang tidak diingini seperti terlanjur berzina, adalah
kerana kita tidak tahu dan tidak kenal dengan siapa mereka bercinta
sehingga banyak kes-kes yang buang bayi tidak dikenali siapa ayahnya
yang tidak bertanggungjawab itu. Oleh sebab itu, bukan jalan terbaik
untuk kita melarang pelajar daripada bercinta, tapi kita perlu mengawal
dan mebimbing remaja bagaimana bercinta secara sihat, iaitu bercinta
dengan kawalan batas syariat agama serta adab-adab bangsa, agar tidak
menjunamkan remaja ke lembah salah laku seks, dosa dan maksiat.
Pelajar sekolah bercinta kerana ingin merasai indahnya kebahagiaan perasaan berkasih-sayang
3- Keruntuhan Moral Pelajar Akibat Bercinta
Kebanyakan
pelajar yang bercinta terjebak dalam salah laku seks. Ini berlaku
kerana keghairahan yang memuncak pada usia remaja. Maka berlakulah
bermacam-macam keruntuhan moral dan salah laku seks yang berlaku di
kalangan pelajar. Menurut kebanyakan pelajar bercinta adalah menjadi hak
individu dan mereka perlukan kebebasan untuk bercinta. Namun sebenarnya
mereka bukan bercinta dengan erti kata bercinta mengikut landasan
Syariat, tetapi mereka bercinta mengikut landasan hawa nafsu dan syaitan
iblis, demi kepuasan, sehingga berlakulah pelbagai keruntuhan akhlak
dan moral. Sebagai contohnya menularnya gejala bohsia di kalangan
pelajar-pelajar sekolah:
“Mulanya
kebebasan secara kecilan, semakin hari semakin besar, kononnya mahu
bertemu dengan kawan-kawan sekolah, hal ini mendapat restu pula dari
kedua orang tuanya, tetapi sebaliknya bukanlah bertemu dengan
kawan-kawan sekolah seperti yang diperkatakan pada orang tuanya, tetapi
bertemu dengan kawan lelakinya, mereka ke hulu ke hilir dengan
bermotosikal atau sebagainya, mereka pergi ke mana sahaja sesuka hati
mereka. Di kalangan gadis bohsia, dara tidak menjadi persoalan lagi pada
mereka, apa yang mereka mahu ialah keseronokan kehidupan yang bebas,
mereka ini mahukan kepuasan seks”. (Robert Hamly, Bohsia: Punca dan Penyelesaiannya, 1995)
Apa
yang sudah terjadi kepada pelajar sekolah kita? Menjadi bohsia dan
bohjan? Menjadi perempuan murahan dan tidak bermaruah? Menjadi lelaki
rosak perosak?
Ini
baru menceritakan tentang masalah kewujudan fenomena bohsia hasil dari
kesan bercinta di kalangan remaja sekolah, belum lagi kita pergi kepada
keruntuhan moral lain seperti kes buang bayi. Bayi terbuang kini menjadi
lambakan di tengah-tengah kehidupan moden dan bertamadun. Apakah
bencana yang menimpa umat ini? Seolah-olah ia telah menjadi satu "trend"
atau budaya dan kebiasaan masyarakat moden. Atau apakah bencana ini
satu elemen dari pra dan pasca kemodenan? Salah siapa? Salah pelajar,
guru, masyarakat, ibubapa atau pentadbiran negara?
Realiti ini adalah kesalahan kita semua !!!
Antara
punca utama pelajar ingin bercinta ialah kerana hasil dari pemodenan,
ibubapa yang dihimpit kesibukan, porak peranda dan berpecah belah,
menyebabkan pelajar mencari pasangan untuk mendapatkan perhatian dan
kasih sayang :
"Di
peringkat sekolah menengah, ramai daripada pelajar-pelajar sudah pandai
bermain cinta dan mempunyai teman istimewa buat penghibur hati yang
duka lara." (Ann Wan Seng, Kerenah Remaja Hari Ini, 1994)
Anak-anak terbuang dari pelajar sekolah dari bangsa kita, agama kita !!!
"Di
kalangan remaja belasan tahun mereka dikuasai oleh emosi lebih daripada
pertimbangan akal fikiran yang rasional. Oleh yang demikian tidaklah
hairan seandainya remaja di bangku sekolah lagi telah berani mengadakan
pertemuan di tempat-tempat yang agak sulit. Bukan setakat itu, kebebasan
dalam pergaulan mereka kadang-kadang menimbulkan perkara-perkara yang
tidak baik berlaku seperti hamil di luar nikah, dirogol, bersekedudukan
dan terlibat dalam kegiatan maksiat dan diperangkap oleh
sindiket-sindiket untuk dijadikan gadis penghibur. Setiap hari sering
terdapat berita di akhbar-akhbar berita berhubung gadis diperkosa,
menggugurkan anak dan mengadakan perlakuan sumbang secara
terang-terangan." (Ann Wan Seng, Kerenah Remaja Hari Ini, 1994)
Lambakan
bayi terbuang, hasil "Cinta Terlarang" atau hasil "Cinta Terlepas
Pandang" ? Bagaimana pelajar sekolah yang masih muda dan mentah
melakukan hal ini? Di mana ibubapa, sekolah dan masyarakat ?
|
4- Mengapa Bercinta Mengakibatkan Pelajar Melakukan Salah Laku Seks ?
Cinta hawa nafsu, cinta untuk kepuasan syahwat di kalangan pelajar sekolah, gejala atau BENCANA !!!
Kebiasaan
di kalangan pelajar yang terjebak dalam percintaan di alam persekolahan
sememangnya terlibat dengan aktiviti-aktiviti salah laku seks. Fenomena
ini berlaku kerana perhubungan cinta yang mereka jalinkan di dorong
oleh perkembangan fisiologi yang mula aktif, agresif dan sensitif di
samping peralihan peringkat psikologi pelajar itu sendiri. Pada
peringkat remaja sememangnya satu peringkat kebangkitan minat seks mula
tumbuh dan bercambah dalam diri remaja:
“Dalam
masa remaja adalakalanya muncul rasa ketegangan seksual dan kebangkitan
nafsu yang semuanya terbenam dalam latar belakang hidup sehinggalah
akil baligh. Di kalangan remaja lelaki dan perempuan masih ramai yang
masih tidak mengetahui bagaimana hendak berhadapan dengan desakan ini.
Kebangkitan tekanan seksual ini merupakan salah satu sifat asas dalam
pembesaran. Lazimnya terjalin secara semulajadi dan kemudiannya akan
memasuki proses kea rah menjadi seorang jejaka dan gadis. Tanpa disedari
muncul satu tenaga baru dalam perasaan diri setiap diri remaja. Remaja
lelaki mula menyedari bahawa remaja perempuan adalah menggoda dan
menarik hati mereka. Begitu juga bagi pihak remaja perempuan mula
menyedari bahawa remaja lelaki adalah berbeza dan diperlukan dalam
kehidupan mereka.” (Khadijah Haidi Khalid, Meneroka Alam Remaja, 1994).
Tekanan
dan desakan kebangkitan seksual yang meluap-luap di zaman remaja inilah
yang mendorong pelajar yang bercinta bertindak di luar kawalan iaitu
dengan melakukan aktiviti seksual. Lebih-lebih lagi kedua-dua pihak
pelajar lelaki dan perempuan ini tidak berupaya untuk membendung proses
perbuatan terkutuk itu kerana ingin melempiaskan nafsu seksual yang
tersekat di jiwa, lantas telah memerosokkan kedua pelajar ini ke lembah
aktiviti salah laku seksual.
Masalah
ini menjadi semakin kronik apabila wujud pula rangsangan-rangsangan
luar yang menaikkan syahwat dan keghairahan pelajar-pelajar yang sedang
bercinta. Lebih-lebih lagi dalam era dunia ICT dunia tanpa sempadan
serta kebebasan media massa, telah menjadikan fenomena salah laku seks di kalangan pelajar bercinta ini menjadi semakin parah:
"Pengaruh media massa
adalah besar dalam mempengaruhi pola tingkah laku anak muda.
Kecenderungan remaja kepada seks pada lazimnya dikaitkan dengan peranan
media massa yang selalu menonjolkan cerita-cerita yang berunsur seks yang ghairah. Penonjolan unsur-unsur lucah dalam media massa
dan elektronik memberikan kesan yang besar di dalam pembelajaran seks
kepada remaja yang sedang membesar. Sebagai anak muda yang baru akil
baligh dorongan dan kecenderungan tentang kehendak nafsu seks yang
bergelora dalam diri mereka sentiasa sahaja membara." (Ann Wan Seng, Kerenah Remaja Hari Ini, 1994)
Bencana
salah laku seks di kalangan pelajar yang bercinta ini menjadi semakin
dahsyat dengan wujudnya saluran-saluran rangsangan seksual dalam
pelbagai bentuk samada dari segi bahan atau tempat-tempat panas dengan
aktiviti-aktivit seksual :
"Akibatnya
remaja berusaha mencari saluran yang tersendiri untuk memenuhi tuntutan
naluri itu samada melalui pembacaan, video lucah, berkunjung ke tempat
pelacuran dan mendengar cerita-cerita orang-orang dewasa. Kesemua
saluran ini digunakan disebabkan remaja mempunyai keinginan untuk
mengenal tuntutan nafsu seks dan kehidupan berkelamin yang dapat
dipelajarinya daripada media massa dan kehidupan seharian." (Ann Wan Seng, Kerenah Remaja Hari Ini, 1994)
Penulis
tertanya-tanya, mengapa fenomena bercinta di kalangan remaja
majoritinya cinta yang membinasakan diri remaja, mengapa tiada kawalan
media dan kawalan budaya persekitaran? Mengapa tidak terkawal penjualan
bahan-bahan lucah? Bahkan kebanyakan mereka diberi lesen sah untuk
menjual bahan-bahan lucah dan merosakkan seperti arak? Mengapa
pusat-pusat hiburan, pusat-pusat maksiat, pusat-pusat perjudian dan
pelacuran tidak terkawal bahkan ia aktif secara terbuka di tengah-tengah
masyarakat? Di mana pihak berkuasa yang bertanggungjawab? Mengapa
mereka membiarkan masyarakat dan remaja sekolah terjebak dan rosak? Apa
agenda mereka? Membangunkan negara? Lalu di mana tanggungjawab
sensitiviti mereka dalam beragama? Mungkinkah mereka ini golongan yang
terlalu dayus untuk menegakkan kebenaran?
5- Apa peranan dan tanggungjawab pihak ibubapa, sekolah dan masyarakat ?
Bila
mana berlaku sesuatu bencana, pasti ada pihak yang akan dipersalahkan
dan diminta dipertanggungjawabkan atas malapetaka yang terjadi. Dalam
masalah cinta di kalangan remaja yang menjurus ke arah bencana moral
ini, siapa atau pihak mana yang perlu kita persalahkan? Siapa atau pihak
mana yang perlu menjawab dan bertanggungjawab atas bencana yang
berlaku? "Cinta" itu kah bencana atau sikap pihak-pihak tertentu yang
sebenarnya menjadi pencetus bencana ini ? Pihak yang ditudingkan jari ke
arah mereka, apa yang tindakan yang perlu mereka laksanakan bagi
menangani bencana ini ? Seperti yang kita sedia maklum, kebiasaannya dan
lazimnya, jika berlaku bencana moral di kalangan pelajar, ada 4 pihak
yang pasti menjadi tumpuan segala kesalahan disandarkan kepada mereka.
Pertama ibubapa, kedua pihak sekolah ketiga masyarakat dan keempat,
kepimpinan negara. Sememangnya tidak dinafikan, keempat-empat pihak
tersebut menjadi pencetus dan penyumbang kepada bencana dan malapetaka
moral yang sedang meledak di negara kita ini. Sebagai golongan yang
berhati perut, keempat-empat golongan ini perlu tahu apa tanggungjawab
serta peranan mereka dalam menangani kebejatan moral yang maha dahsyat
ini.
Sekarang
kita muhasabah semula diri kita berkaitan bencana yang sedang berlaku
ini, bukankah sikap kita yang berdiam diri dan mementingkan diri
sebenarnya antara sebab dan punca berlakunya bencana ini? Bukankah kita
semua bersalah kerana tidak bersatu hati mencegah dan membanteras
bencana ini?
5.1 Peranan Ibubapa
Golongan ibubapa memang sangat patut dipersalahkan, kerana kita semua sedar, didikan pertama dari ibubapa sangat mempengaruhi gaya
perlakuan anak-anak, maka merupakan satu kesalahan besar kepada para
ibubapa menyalahkan pihak lain jika anak mereka rosak, kerana mereka
perlu sedar "Jangan salahkan pasaran jika kilang menghasilkan produk
yang tidak berkualiti".
Menurut
Khadijah Haidi Khalid (Meneroka Alam Remaja, 1994) salah satu peranan
penting bagi ibubapa ialah kemahiran mendengar dan komunikasi dengan
anak-anak. Di mana beliau menyatakan, kepentingan corak komunikasi
ibubapa dengan anak-anak, amat mempengaruhi gaya perlakuan anak-anak. Ibubapa perlulah setia mendengar sedia membantu
menyelesaikan masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh anak-anak, buka
jalan dan ruang kepada anak-anak untuk meluahkan rasa, bahkan ibu bapa
perlu berkongsi masalah dengan anak-anak dengan nada ingin tahu, cuba
menghormati dan memahami situasi anak-anak. Ibubapa juga perlu mengawal
dan menapis ego dan emosi dari dilempiaskan ke arah anak-anak jika apa
yang diluahkan tidak bersesuai dengan pandangan dan pendirian ibubapa
sendiri. (Khadijah Haidi Khalid, Meneroka Alam Remaja, 1994)
Seterusnya,
perkara paling asas bahkan paling utama yang sering diabaikan oleh
golongan ibubapa ialah penerapan dan pemantauan pendidikan agama dalam
diri anak-anak. Sekadar memberi input atau fakta-fakta agama tidak
memadai untuk mengawal tingkah laku anak-anak. Perkara yang lebih utama
dari sekadar memberi input dan fakta-fakta agama ialah anak-anak
perlukan penghayatan agama melalui contoh-contoh tauladan serta
penerapan nilai agama dalam diri mereka. Kerana dibimbangi anak-anak
hanya akan beramal kerana ia menjadi suatu adat kemudian apabila berlaku
sesuatu yang tidak sesuai dengan jiwanya, lalu kemudiannya perlakuan
anak itu berubah 180 darjah:
"Pernah
seorang pelajar mengalami kegoncangan yang hangat setelah putus
hubungan dengan seorang sahabat wanitanya. Perubahan berlaku, di mana
yangdulunya dia aktif solat, rajin ke masjid, usrah yasinan dan
mendengar ceramah-ceramah agama, akhirnya dia buat mogok solat, seperti
kecewa kepada Tuhan. Ia menjadi orang yang berputus asa, kononnya kabur
masa depan kerana teman wanitanya diambil orang." (Drs. Zulpan Nasution, Menangani Masalah Remaja Muslim, 1996)
Nah,
betapa terbukti, sekadar memberi info agama tanpa penerapan serta
penghayatan tidak cukup konkrit sebagai perisai diri buat para pelajar.
Justeru itu, ibubapa perlu mendepani masalah ini dengan penuh hikmah dan
bijaksana.
5.2 Peranan Sekolah
Seperti yang kita sedia maklum, sekolah
bukan sekadar berperanan sebagai institusi pendidikan, bahkan ia juga
berfungsi sebagai sebuah institusi sosial yang sangat mempengaruhi moral
pelajar. Dalam menangani masalah bercinta di kalangan pelajar,
pendidikan Islam dan pendidikan moral tidak mencukupi, pelajar perlu
juga mendapat dan pendidikan seks yang terbuka supaya para pelajar tahu
batas-batas dan risiko-risiko dalam bercinta, agar mereka lebih
berhati-hati dan berwaspada agar tidak terlanjur dengan
aktiviti-aktiviti salah laku seks, dosa dan maksiat-maksiat lain:
"Proses
pembesaran tanpa diiringi dengan pengetahuan seks telah menyebabkan
para remaja mencari saluran-saluran lain untuk mendapatkan sedikit
pengetahuan tentang seks. Amat malang
sekali sudahlah ibubapa tidak mahu melayan pertanyaan anak-anak, di
sekolah pula guru-guru melarang pelajar-pelajarnya membicarakan tentang
seks." (Ann Wan Seng, Kerenah Pelajar Hari Ini, 1994)
Sememangnya
kita tidak dapat menafikan perbincangan dan pendedahan seks boleh
mengakibat seseorang pelajar itu terjebak ke arah perbuatan salah laku
seks lembah dosa dan maksiat. Namun kita perlu sedar seks juga mempunyai
pengertian positif, kerana seks telah wujud dalam jiwa manusia sejak
dilahirkan lagi. Pendidikan seks yang ingin diterapkan di
sekolah-sekolah bukanlah untuk mengajar para pelajar bagaimana cara
untuk melakukan seks, tetapi sebaliknya bertujuan mengawal perilaku seks
pelajar dengan menyampaikan mesej tentang bahayanya perlakuan seks
bebas dan liar tanpa sebarang ikatan perkahwinan.
Pendidikan
seks yang ingin diterapkan di sekolah-sekolah pasti ada pengimbangnya,
seperti penerapan nilai dalam Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
Bahkan dalam pendidikan seks itu sendiri menerapkan batas-batas
kesusilaan dan etika agama:
"Sekiranya
pendidikan seks dapat disampaikan dengan cara yang ilmiah dan betul,
masalah kelucahan dan kekotoran seks tidak timbul. Sebenarnya
pelajar-pelajar telah didedahkan dengan pendidikan seks, yakni melalui
mata pelajaran Sains dan Biologi.......Pendekatan memperkenalkan
pendidikan seks harus mengambil kira beberapa factor seperti psikologi,
biologi, dan perkembangan remaja. Faktor-faktor ini sekiranya
digabungkan dengan ilmu pengetahuan yang ilmiah dan pengajaran agama
tentu dapat memberikan kita satu alternatif kea rah menyelesaikan
desakan nafsu seks anak-anak muda yang membara." (Ann Wan Seng, Kerenah Pelajar Hari Ini, 1994)
5.3 Peranan Masyarakat
Satu
penyakit kronik dalam sosial masyarakat kita ialah, sikap
"Individualistik". Penyakit ini berpunca dari sikap masyarakat yang
menganggap tidak mengapa jika berlaku sesuatu perkara buruk ke atas
orang lain, yang penting asalkan dirinya sendiri hidup tenang.
Masyarakat
perlu berubah, bukan sahaja berani untuk menegur, bahkan bersedia untuk
menerima teguran. Jika pelajar ingin bercinta, masyarakat perlu bimbing
fitrah mereka agar tidak menjadi fitnah. Masyarakat boleh membantu
pelajar dengan memperbanyakkan aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan
pelajar-pelajar, agar pelajar-pelajar yang bercinta ini berada di bawah
pemantauan pihak ibubapa dan masyarakat. Masyarakat yang dimaksudkan
termasuklah badan-badan bukan kerajaan, badan-badan korporat,
organisasi-organisasi dan persatuan.
Suasana, budaya, kepercayaan dan gaya
hidup masyarakat turut mempengaruhi gelora jiwa para pelajar yang
bercinta. Sekiranya sesebuah masyarakat itu tinggi kekuatan ruhaninya,
para remaja yang bercinta pasti tahu batas-batas dan adab-adab bercinta,
agar tidak terlanjur dan tidak terhumban ke lembah dosa dan maksiat.
Tetapi sekiranya masyarakat jahil dengan ilmu agama, maka pastinya
remaja yang bercinta itu akan terlibat dengan aktiviti salah-laku seks.
Masyarakat sebagai satu medium penyampai dan institusi besar yang
membimbing dan membentuk remaja. Sekiranya pelajar-pelajar yang bercinta
ini terjebak dengan aktiviti-aktiviti salah laku seks, bermakna
masyarakat di sekelilingnya memang seperti itu. Kerana budaya
masyarakatlah yang mempengaruhi perilaku pelajar. Pelajar-pelajar
sekolah pula meniru dan belajar perlakuan masyarakat berdasarkan
pemerhatian mereka secara berperingkat. Oleh yang demikian, peranan
setiap individu dalam masyarakat ialah menyuburkan amalan hidup
berpegang teguh dengan ajaran, hukum hakam agama serta adab-adab dan
nilai-nilai baik yang wujud dalam budaya dan adat.
6- Kesimpulan/Penutup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan