Rabu, 16 Mac 2011

KHUTBAH JUMAAT.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dari minbar Jumaat yang mulia ini khatib berseru kepada dirinya sendiri dan para hadhirin sekalian, marilah kita bersama-sama meningkatkan taqwa di dalam segenap aspek kehidupan dengan melaksanakan tuntutan mentaati segala perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan ketaqwaan yang sebenar kita semua akan beroleh kebahagiaan di dalam kehidupan di dunia ini, disusuli kebahagiaan abadi di akhirat yang amat kita harapkan.
idang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya, kebahagiaan di dunia hanya akan dapat direalisasikan apabila kita didampingi oIeh anggota keluarga dan anak-anak yang sama-sama memahami dan mengamalkan syariat Islam. Anak-anak yang beginilah disebut di dalam Al-Quran sebagai "Qurrata A'yun" penyejuk mata ayah bonda.
Sidang jamaah yang dikasihi,
Kecelaruan yang ditimbulkan oIeh golongan remaja bukan sesuatu yang baru bagi kita. Di samping ia sesuatu yang membuktikan kegagalan kita mendidik mereka, ia adalah suatu kebimbangan yang wajar dipandang serius oIeh semua pihak, khususnya ibu bapa. Statistik serta kajian pihak berkuasa, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta Institusi Pengajian Tinggi Tempatan menunjukkan betapa jenayah di kalangan remaja meningkat setiap tahun dengan serius. Selain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan setiap tahun. Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes pada 2008 yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan. Mereka terbabit dengan pelbagai kes jenayah termasuk membunuh, merogol, mencuri, pecah rumah dan sebagainya. Kajian menunjukkan 43.1 peratus remaja menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan berbanding 38 peratus yang merujuk kepada ibu bapa. Sementara, 14.8 peratus menjadikan disko sebagai tempat mencari hiburan.
Kajian juga menunjukkan 31.7 peratus adalah terbabit merokok dan 13.6 peratus ketagih alkohol. Sementara 25.2 peratus menganggap agama tidak penting.
Semua hasil kajian ini bukan saja petanda kepada kecelaruan remaja hari ini, malahan ia membuktikan kecenderungan mereka untuk terpengaruh dengan budaya yang bercanggah dengan agama. Ternyata ia sedang melanda dengan hebat di dalam rentak hidup remaja kita. Malah, ramai remaja juga menganggap agama tidak lagi penting dalam kehidupan mereka.
Sidang jamaah yang dikasihi,
Realiti permasalahan remaja hari ini perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan waspada. Ingatlah!, bahawa mereka adalah golongan yang akan menjadi penentu corak bangsa dan negara kita di masa hadapan. Jika tiada usaha membendung dan memperbaiki dilakukan, kita pasti akan melihat kehancuran yang sangat menghinakan pada generasi akan datang. Jika kita gagal membimbing mereka, remaja akan menjadi golongan yang banyak menimbulkan masalah di dalam masyarakat. Apakah yang akan berlaku kepada generasi yang mencerminkan bangsa kita suatu masa nanti jika remaja hari ini terus hanyut dalam keruntuhan akhlak seperti melepak, penagihan dadah, seks rambang, pembuangan bayi, jenayah juvana, lari dari rumah, kelakuan lucah, minum arak, berdisko, rempit dan lain-lain. Meskipun pelbagai langkah dan usaha telah dijalankan untuk membanteras kegiatan tidak bermoral dan keruntuhan akhlak remaja ini, namun nampaknya kerenah mereka semakin menjadi-jadi dan masalah sosial ini semakin meningkat setiap tahun.
Sidang jamaah yang dirahmati Allah sekalian,
Berdasarkan kajian yang pernah dibuat di Universiti Islam Antarabangsa, banyak faktor yang mengundang kepada salah laku remaja ini. Antaranya ialah:
1- Kegagalan ibu bapa dalam mendidik anak-anak dan memberikan pendidikan agama sejak di peringkat awal kanak-kanak. Didikan awal inilah faktor paling penting bagi memperteguhkan jati diri remaja berhadapan dengan cabaran dunia yang melalaikan. Benarlah Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oIeh Imam Al-Bukhari dan Muslim jelas menyatakan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak :
"Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih) dan ibu bapanyalah yang mencorakkan kehidupan anak mereka sama ada menjadi yahudi, nasrani atau pun majusi ".
2- Kegagalan ibu bapa memberikan perhatian yang mencukupi serta kurangnya kasih sayang kepada anak-anak. Lazimnya anak-anak yang terbiar tanpa perhatian dan pengawasan ibu bapa akan menjadi liar dan mudah terjebak ke dalam pelbagai bentuk gejala sosial.
Pengarauh rakan sebaya. Ibu bapa yang gagal berperanan sebagai teman dan tempat merujuk anak-anaknya akan berhadapan dengan masalah ini. Remaja akan lebih rapat dan selesa bersama rakannya dan akan mudah terpengaruh dengan rakan-rakannya itu. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Imam Ahmad daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
st1\:*{behavior:url(#ieooui) }
"Seseorang itu berada di atas (pengaruh) agama rakannya, maka perhatikanlah setiap kamu dengan siapakah dia bergaul".
2- Pengaruh dari media elektronik dan media massa. Contohnya, rancangan yang berunsur keganasan atau seks akan membentuk remaja yang rosak dan kasar akhlaknya kerana media mempengaruhi remaja dengan cara pantas lalu mereka segera meniru gaya dan budaya yang ditontoni. Inilah agenda yahudi dan kristian yang sejak dahulu berusaha gigih menjahanamkan dan mempengaruhi umat Islam dengan budaya liar mereka. Rasulullah s.a.w. telah memberi ingatan kepada kita semua tentang hakikat ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oIeh Imam Al-Bukhari daripada Abu Sa'idil-Khudriyyi Radhiallahu ‘Anhu:
st1\:*{behavior:url(#ieooui) }
"Sesungguhnya kamu akan mengikut jejak langkah orang-orang yang terdahulu dari kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggalah jika mereka memasuki lubang biawak sekali pun nescaya kamu akan turut mengikutnya. Kami bertanya; "Wahai Rasulullah!, adakah yang kamu maksudkan itu orang yahudi dan nasrani?. Jawab Baginda: Siapa lagi? (jika bukan mereka)".
2- Persekitaran yang tidak baik. Pemantauan perlulah dilakukan bagi memastikan golongan remaja tidak dicorakkan dengan persekitaran yang negatif seperti pusat-pusat hiburan, tempat-tempat perjudian, kelab-kelab malam, karaoke dan lain-lain. Pengaruh persekitaran ini akan membentuk syahsiah remaja ke arah negatif.
Hadirin mukminin yang dikasihi,
Walau apa sekali pun faktor yang merosakkan remaja pada hari ini, kita hendaklah bekerjasama dalam usaha membendung masalah mereka dan berusaha membawa mereka keluar dari kemelut ini;
1- Ibu bapa perlu kembali berperanan sebagai penaung, pendidik dan teman yang dapat meluangkan masa untuk memberi panduan dan kasih sayang kepada remaja.
2- Para guru perlu lebih serius dan gigih mendidik akhlak remaja di samping menyampaikan pembelajaran di sekolah. Bimbing dan doronglah mereka kepada kebaikan sehingga terbentuk jati diri yang ampuh bagi menghadapi cabaran semasa.
3- Seluruh anggota masyarakat juga perlu peka dan sentiasa bersedia menegur dengan berhikmah dan membimbing remaja jika mereka tersilap langkah.
4- Remaja sendiri harus menggunakan akal yang dianugerahkan oIeh Allah kepada mereka untuk menilai setiap perbuatan dan keputusan yang bakal mereka lakukan. Hindari segala perlakuan yang negatif. Jangan asyik menyalahkan ibu bapa, guru-guru dan persekitaran. Gunakanlah usia remaja dengan aktiviti yang berfaedah untuk meraih ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin.
5- Masyarakat seluruhnya mestilah sedar sehebat mana pun kemajuan yang dicapai semuanya tidak bererti jika akhlak remaja runtuh. Bahkan ia adalah petanda keruntuhan sesebuah bangsa dan negara di masa akan datang.
6- Pemerintah perlu melaksanakan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dan membanteras unsur-unsur berlakunya kemaksiatan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan Program Generasi Selangor bagi melahirkan remaja yang berkualiti. Ia bagi melahirkan Generasi Al-Quran yang sedang dilaksanakan melalui Program Pendidikan Kerajaan Negeri Selangor.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Antara kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah :
Pertama- Remaja adalah aset agama, bangsa dan negara yang perlu dipelihara dan dipastikan keutuhannya demi memastikan kesinambungan bangsa dan negara yang berdaulat.
Kedua- Kecelaruan identiti dan permasalahan remaja hari ini telah sampai ke tahap yang membimbangkan. Justeru semua pihak perlu kembali merenung dan bertindak secara bekerjasama menangani permasalahan ini.
Ketiga- Remaja beriman dan berakhlak mulia adalah impian semua. Hanya dengan kembali kepada didikan dan panduan Islam, impian ini akan menjadi kenyataan.
Akhirnya, lihatlah betapa Allah pernah memuji golongan pemuda beriman yang tetap teguh mempertahankan iman mereka di dalam surah Al-Kahfi ayat 13 - 14 :
"Sesungguhnya mereka itu adalah anak-anak muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami sekali-kali tidak akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh daripada kebenaran".
Khutbah Kedua
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin