Khamis, 19 Mei 2011

HIKAYAT MERONG MAHA WANGSA.

Hakikatnya, sejarah tidak pernah berbohong, hanya manusia tidak mahu menerima kebenarannya.
Menonton filem dari Thailand berjudul, The Queens of Langkasuka, menimbulkan persoalan dan percanggahan antara cereka sebuah filem dengan fakta sebenar sejarah.
Namun, pujian harus diberikan atas keberanian pembikin filem di Thailand menghasilkan filem epik berlatarbelakangkan sejarah Kerajaan Melayu Patani yang sudah lebih dua abad menjadi wilayah jajahan negara gajah putih itu.
Tambahan pula, filem ini dihasilkan pada saat wilayah Melayu di selatan Thailand sedang bergolak yang sehingga sekarang tidak menampakkan kesudahannya. Keterujaan turut dirasai melalui mutu pembikinan filem dan lakonan yang setaraf dengan filem epik bikinan Hollywood.
Namun, filem The Queens of Langkasuka yang kos pembikinannya menelan belanja hampir 200 juta Bath, tidak lari daripada mencetuskan kontroversi apabila unsur cereka dan mitos yang diketengahkan melampaui fakta sejarah.
Terdapat tiga persoalan utama yang diragui kebenarannya; persoalan jangka masa sebenar era pemerintahan ratu; kewujudan meriam gergasi; dan tragedi peperangan dalam lipatan sejarah Kerajaan Patani.
Menurut judul filem ini sahaja iaitu The Queens of Langkasuka sudah cukup mengelirukan kerana merujuk Kerajaan Langkasuka dengan zaman pemerintahan Raja-raja Perempuan Patani.
Sememangnya, “ Kerajaan Langkasuka” merupakan kerejaan tertua di utara Semenanjung Tanah Melayu yang wujud seawal abad pertama Masihi. Zaman pemerintahan Raja-raja Perempuan hanya merujuk zaman “ Kerajaan Melayu Patani” pada abad 16 dan 17 Masihi.
Penggunaan istilah “Langkasuka” untuk merujuk Raja-raja Perempuan Patani merupakan penyimpangan fakta sejarah yang jelas. Hal ini demikian kerana watak yang ditonjolkan dalam filem ini melibatkan Raja Hijau (1584-1616) sebagai raja pemerintah “Kerajaan Patani” yang dibantu oleh dua adindanya iaitu Raja Biru (1616-1624), dan Raja Ungu (1624-1635) yang silih berganti menaiki takhta pemerintahan Kerajaan Patani.
Seorang lagi ratu yang memerintah kerajaan Patani ialah Raja Kuning (1635-1686) yang merupakan puteri Raja Ungu hasil perkahwinan dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghafur Muhaiddin Syah (rujuk buku, Raja Campa & Dinasti Jembal dalam Patani Besar: Patani, Kelantan & Terengganu oleh Abdul Halim Bashah. Kubang Kerian: Pustaka Reka, 1994).
Ada sumber yang menyatakan bahawa tajuk asal filem ini ialah The Queens of Patani ditukar pada saat akhir kerana tempias iklim politik Thailand berhubung dengan keganasan yang berlaku di tiga wilayah selatan mutakhir ini.
Pihak berkuasa Thailand tidak seharusnya merasakan penggunaan istilah “ Patani” dalam tajuk asal filem ini bakal membangkitkan semangat penduduk Melayu Patani, lantas menyemarakkan gelombang keganasan di selatan Negara itu! Malah karya dan sejarah sebenar Kerajaan Melayu Patani tidak seharusnya dipinggirkan. Sikap prejudis dan berfikiran kuno seperti itu harus dikikis.
Persoalan kedua berkenaan dengan senjata perang iaitu meriam gergasi. Simboliknya, The Qeens of Langkasuka memulakan ceritanya dengan tenggelamnya sebuah meriam gergasi ke dasar lautan. Akhir ceritanya pula, meriam yang sama tenggelam buat kali kedua.
Meriam gergasi tersebut dibawa dari Belanda ke Patani sebagai hadiah persahabatan antara Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) dengan kerajaan Patani pimpinan Ratu Hijau. Namun, meriam tersebut tidak sempat sampai ke Patani dan tenggelam ke dasar lautan setelah cubaan sekumpulan lanun yang merancang untuk merampas takhta Raja Hijau.
Dari sudut fakta sejarah, kerajaan Patani sebuah kerajaan Melayu yang digeruni musuh kerana kehebatannya membuat meriam tembaga. Kekuatan “bedil tembaga” buatan orang Melayu Patani menjadikan kerajaan mereka sebagai salah satu kerajaan terkuat di Semenanjung Tanah Melayu.
Senjata inilah yang menjadi benteng pertahanan daripada serangan musuh tradisi bangsa Melayu iaitu orang Siam. Bagi orang Siam pula, setiap kali menyerang Patani, pasti mereka berasa bimbang dan gerun dengan kehebatan meriam gergasi Patani (sila rujuk, Meriam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu Nusantara, oleh Othman Mohd. Yatim dan Mohd. Zambri A.Malek. kuala Lumpur: Jabatan Muzium dan Antikuiti, 1994).
Sejarah membuktikan bahawa Kerajaan Patani memiliki tiga buah meriam tembaga gergasi yang digeruni musuh. Ketiga-tiga buah meriam ini dikenali sebagai Seri Patani, Seri Negeri dan Mahalela. Seri Patani dan Seri Negeri merupakan meriam tembaga yang paling besar pernah dihasilkan di Nusantara dengan ukuran 22 kaki panjang, 9 inci lilitan mulut, dan setebal 4 inci tembaga tulin.
Kini, meriam tersebut ditempatkan di tengah-tengah Bandar Raya Bangkok, di hadapan markas angkatan tentera, Kementerian Pertahanan Thailand setelah dirampas oleh askar Siam pada 1786. Hanya Seri Patani yang berjaya dirampas oleh askar siam. Meriam Seri Negeri dan Mahalela tenggelam di dasar laut Singgora semasa dalam pelayaran ke Bangkok.
Penawanan meriam Seri Patani dianggap sebagai lambang kemenangan Siam ke atas negeri Melayu Patani. Lantas, berkuburlah sebuah kerajaan Melayu yang berdaulat selama lebih dua abad.
Persoalan ketiga, berkenaan dengan peristiwa peperangan dalam lipatan sejarah Kerajaan Melayu Patani. Tema utama dalam filem The Queens of Langkasuka ialah peperangan antara Kerajaan Patani pimpinan Raja Hijau dengan kumpulan lanun yang diketuai Putera Rawai, anak luar nikah dayang istana dengan panglima Kraben, bekas panglima istana Patani yang derhaka.
Putera Rawai ialah cucu kepada salah seorang bendahara Raja Hijau yang menjadi tali barut untuk merampas takhta Kerajaan Patani. Filem tersebut memaparkan Kota Patani diserang oleh gabungan pasukan tentera Patani berjaya mempertahankan kota Patani walaupun Raja Hijau terkorban dalam peperangan ini.
Manakala cerita sebenar sejarah Patani pula, musuh yang sentiasa menyerang kota Patani ialah Kerajaan Siam. Ahli sejarah mencatatkan bahawa askar Siam menyerang Patani secara besar-besaran sebanyak lima kali iaitu pada 1603,1632,1633,1638, dan sehingga akhirnya dapat menawan Patani pada 1786 pada zaman Sultan Muhammad, seorang pembesar negeri yang menaiki takhta Patani pada saat pergolakan politik dalaman dan perang saudara.
Hal ini bererti Siam mengambil masa selama 183 tahun untuk mengalahkan tentera Patani. Sepanjang kedaulatan Kesultanan Melayu Patani selama lebih kurang 286 tahun, kebanyakan masa dihabiskan untuk mempersiapkan pertahanan bagi menghadapi serangan pihak Siam.
Menariknya, sebelum Patani jatuh ke tangan Siam, tentera Patani berjaya menumbangkan askar Siam dalam empat serangan pertama. Keempat-empat serangan ini berlaku pada zaman pemerintahan empat Ratu Patani iaitu Raja Hijau (1603), Raja Ungu (1632), dan Raja Kuning (1638).
Walaupun Patani dipimpin oleh wanita, kepimpinan empat orang ratu berhati waja ini mampu mengekang dan mengalahkan kuasa besar seperti Siam. Malah berjaya membawa Patani ke era kegemilangan pada abad ke-17 masihi.
Hakikatnya, sejarah tidak pernah berbohong, hanya manusia sahaja tidak mahu menerima kebenarannya.
Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pengarah dan penerbit filem ini, Nonzee Nimibutr, kerana membuka mata dunia bahawa terdapat sebuah kerajaan Melayu berdaulat di bumi negara “gajah putih” ini yang majoriti penduduknya berketurunan Melayu dan memiliki agama, budaya, bahasa, adat resam, serta pengalaman sejarah yang cukup berbeza daripada majoriti rakyat Thailand keseluruhannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin