Rabu, 18 Mei 2011

KEMASUKKAN ISLAM KE NEGERI KEDAH.

Kedah sebagai salah sebuah negeri Melayu yang tertua di Semenanjung mempunyai perhubungan dagangan dengan negeri-negeri Arab sejak perdagangan laut di antara Tanah Arab dan China dimulakan dalam abad ke-5 Masihi. Negeri Kedah telah wujud tidak lewat daripada abad ke-4 Masihi, R. Braddell menyatakan:

    " Dari kalangan Negeri-negeri Melayu, hanya Kedah sahaja yang dapat mengemukakan pelbagai bukti membuktikan penempatan yang berterusan sejak dari abad ke-IV Masihi hingga ke masa orang Melayu Kedah memeluk agama Islam pada abad ke-XV "

Dalam catatan orang-orang India, Kedah dikenali sebagai Kataha dalam bahasa Sanskrit atau Kadaram dalam bahasa Tamil. Dalam catatan orang-orang China, Kedah dikenali sebagai Chieh-ch'a atau Kie-teh'a. Dalam catatan ahli-ahli geografi Arab dalam abad ke-8/9 Masihi pula, Kedah dikenali sebagai Kalah. Sungguhpun Fatimi tidak bersetuju mengatakan Kalah itu Kedah, tetapi sebahagian besar sejarawan memperakuinya. Menurut Braddell, orang-orang Yunani juga telah mengetahui mengenai Kedah dalam abad ke-2 Masihi. Braddell percaya pelabuhan Takola, yang disebut oleh Ptolemy dalam buku Geografinya itu adalah Kedah. Kegiatan perdagangan di antara orang-orang Arab dengan negeri Kedah kian meningkat selepas ini. Sebagai bukti kegiatan perdagangan mereka dengan Kedah di masa itu, dua keping matawang dirham (wang perak) zaman Khalifah al-Mutawakil yang bertarikh 234 Hijrah (848 Masihi ) telah dijumpai di Lembah Bujang. Namun demikian, tarikh sebenarnya Islam bertapak di Kedah tidaklah dapat dipastikan, tetapi secara umum dapat diandaikan bahawa Islam telahpun diperkenalkan di Kedah selewat-lewatnya dalam abad ke-9 Masihi. Syed Naquib menjelaskan:

    "Kita dapat mengandaikan, oleh kerana orang-orang Islam telahpun mempunyai pertempatan yang agak besar di Canton (yang bertarikh seawal abad 1/7), menikmati autonomi dalam bidang agama dan awam yang agak tinggi, mereka tentulah telah mengekalkan pola pertempatan dan organisasi sosial mereka di Kedah dan juga di Palembang, di mana mereka juga telah berhijrah. Peristiwa ini nampaknya telah menandakan permulaan kedatangan Islam ke Kepulauan ini."

Kenyataan di atas boleh dipertanggungjawabkan kerana Kedah pada masa itu merupakan tumpuan lalu lintas perdagangan laut dari Teluk Parsi ke China dan jalan laut dari India ke selatan melalui Selat Melaka. Mengikut Abu Dulaf, Kedah merupakan sebuah entreport pusat perdagangan kayu manis, kapur barus, cendana, gading, timah, rempah ratus, emas, rotan dan hasil-hasil hutan yang lain. Kedah sangat terkenal dengan kayu manis, kapur barus dan timahnya yang tulen. Selain daripada itu, Kedah juga terkenal dengan eksport utamanya iaitu pedang yang dikenali oleh orang-orang Arab sebagai al-sayf al-Hind itu.

Di antara pertengahan abad ke-9 Masihi dan awal abad ke-11 Masihi, kawasan pesisir Kedah merupakan kawasan mewah yang ramai penduduknya dan mempunyai perdagangan yang luas serta tamadun yang tinggi. Braddell telah memetik salah sebuah catatan orang Arab mengenai Kedah pada masa itu. Catatan itu menyatakan bahawa negeri Kedah (Kalah) itu sebuah negeri yang besar, mempunyai tembok yang tinggi, tanaman-tanaman dan sungai yang banyak. Ia juga mempunyai sebuah kubu di mana "pedang India tulen" ditempa. Catatan ini juga mengatakan terdapat ramai orang India, Islam dan Parsi dikalangan penduduk kota itu. Mengikut Mas'udi, Kalah (Kedah) merupakan pelabuhan tumpuan kapal-kapal Islam dari Siraf dan Oman dalam abad itu.

Catatan ini menunjukkan bahawa orang Islam telah berada di Kedah sejak abad ke-9 Masihi lagi. Mereka mungkin telah mewujudkan pertempatan mereka sendiri di sana kerana mereka perlu menetap di pelabuhan itu buat beberapa lama bagi menunggu angin, sama ada untuk balik ke Timur Tengah atau meneruskan perjalanan ke timur. Sebagai bukti wujudnya pertempatan ini, pada 1965 telah dijumpai di Tanjung Inggeris Kedah, sebuah kubur yang bertarikh 291 Hijrah (903 Masihi) kepunyaan seorang hamba Allah yang bernama Syaikh Abdul Kadir bin Husin Syah Alam
"Semua manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan,yang penting kembali dan bertaubat kepadanya,(aku mengharapkan keredaanmu ya Allah)(",)"
Mengikut sejarah Kedah, raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam ialah Maharaja Derbar Raja II. Beliau dikatakan telah diislamkan oleh seorang ulama dari Yaman bernama Syeikh Abdullah bin Syeikh Ahmad bin Syeikh Qaumiri dalam tahun 1136 Masihi (513 Hijrah). Sebagai sultan Islam, ia telah mengambil nama Sultan Muzaffar Syah. Setelah raja memeluk agama Islam, semua menterinya juga berbuat demikian. Selepas itu, mereka telah diikuti oleh rakyat jelata.

Sungguhpun wujud bukti, tarikh 1136 Masihi yang diberikan itu masih lagi disangsikan kerana tidak ada bukti lain yang dapat memperkuatkan dakwaan itu. Tidak ada catatan-catatan baik daripada orang Cina, India atau Arab yang menyebut mengenai sebuah kerajaan Kedah Islam hingga abad ke-15 Masihi. Apa yang pernah disebut ialah wujud orang Islam di Kedah dalam abad-abad ke-9 dan ke-11 Masihi. Ibn Battutta yang melewati kawasan ini dalam abad ke-14 Masihi juga tidak ada menyebut tentang sebuah kerajaan Islam di bahagian Semenanjung ini.

Ketiadaan bukti bukan bermakna agama Islam belum lagi diperkenalkan kepada penduduk Kedah pada masa itu. Kemungkinan besar agama Islam disebarkan pada masa itu memang ada. Orang-orang Islam telahpun membuat perkampungan mereka di Kedah. Di samping itu, kubur Syeikh Abdul Kadir di Tanjung Inggeris membuktikan bahawa Islam telahpun disebarkan di Kedah ketika itu, kerana pada abad ke-10 Masihi, ibu kota Kedah terletak di Kuala Sungai Merbuk, sedangkan kubur di Kuala Kedah. Seandainya pedagang-pedagang itu menumpukan perhatian kepada perdagangan sahaja, masakan Syaikh Abdul Kadir meninggal dunia dan dikebumikan di satu tempat yang agak jauh ke utara. Jadi, kemungkinan penyebaran itu tetap ada walaupun terhad.

Lebih lewat daripada itu terdapat bukti bahawa Kedah pernah ditakluki oleh kerajaan Islam Pasai dalam abad ke-13 Masihi. Sebagai buktinya, di Minje Tujuh Matangkuli, Acheh Utara terdapat sebuah makam yang mencatatkan bahawa Pasai dan Kedah merupakan sebuah kesatuan di sekitar separuh kedua abad ke-14 Masihi. Pada batu nisan makam ini tertulis sebuah syair dalam bahasa Melayu Kuno bercampur Sanskerta dan Arab.Tulisannya bercorak tulisan Jawa Kuno. Sebahagian daripada syair itu berbunyi:

    Hijrat nabi mungstapa yang parasida,
    tujuh ratus asta puluh sa warsa,
    haji catur dan dasa wara sukra,
    raja iman warda rahmatullah.
    Gutra baru basa mpu hak kadah pase ma,
    taruk tasik tanah samuha,
    ilahi ya robbi tuhan samuha,
    taruk dalam swarga tuhan tetuha.
    Yang mangkat pada Jumaat 14 Zulhijjah tahun hijrah nabi besar 781, raja yang beriman Warda Rahmatullah keturunan Barubasa (Barygaza) yang menguasai Kedah dan Pasai meluas ke segala laut dan darat.

Berdasarkan syair di atas, Stutterheim berpendapat bahawa Kedah dan Pasai pada masa itu di bawah satu pemerintahan. Oleh kerana itu, seandainya kenyataan Stutterheim dapat diterima maka dapatlah diandaikan Islam telahpun diperkembangkan atau sekurang-kurangnya diperkenalkan di Kedah pada masa itu kerana Pasai sendiri telah Islam dan pembesar yang dikuburkan itu seorang Islam. Tahun 781 Hijrah itu bersamaan dengan tahun 1380 Masihi.

Namun demikian, bukti yang dikemukakan ini masih boleh dipersoalkan lagi. Walaupun nisan itu jelas menyatakan yang Warda Rahmatullah berkuasa ke atas Kedah dan Pasai, tetapi siapakah Warda ini? Dalam salasilah Raja-raja Pasai tidak ada seorang pun raja Pasai yang bernama atau bergelar Warda Rahmatullah. Tarikh kematiannya 1380 Masihi itu bersamaan dengan zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin bin Sultan al-Malik al-Zahir II (1350-1394). Oleh kerana itu, wujud persoalan apakah catatan yang terdapat pada nisan itu benar?

Tarikh-tarikh awal mengenai kemasukan Islam ke Kedah yang diberikan di atas tadi tidak dapat diterima oleh sarjana-sarjana Barat. Wales mengatakan bahawa Kedah hanya diislamkan kira-kira dalam tahun 1474 Masihi. Ia menolak sama sekali tarikh yang diberikan oleh Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Sejarah Kedah itu. Wales telah membuat andaian mengenai tarikh pemerintahan raja-raja Kedah yang diperolehinya daripada Hikayat Merong Mahawangsa. Ia mengandaikan Phra Ong Mahawangsa, iaitu raja Kedah yang mula-mula memeluk Islam itu memerintah di antara 1452-1476 Masihi dan telah menerima Islam dalam tahun 1474 Masihi, dua tahun sebelum beliau mangkat. Ia telah mengambil gelaran Mudzaffal Syah. Pandangan Wales ini disokong oleh Braddell.

Wan Yahya pula menyatakan Kedah mula-mula menerima Islam kira-kira 1400 Masihi apabila seorang ulama dari Yaman bernama Sheikh Abdullah datang ke Kedah untuk mengajar agama Islam. Sheikh Abdullah juga dikatakan telah menukar nama asal negeri itu iaitu Langkasuka kepada Kedah Darul Aman. Raja Kedah yang pertama memeluk Islam telah mengambil nama Sultan Mahmud Syah.

Sungguhpun beberapa tarikh telah diberikan tentang kemasukan Islam ke Kedah, tetapi tidak satupun dapat dipegang sepenuhnya kerana kekurangan bukti. Walaupun demikian, Kedah telahpun memeluk agama Islam dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah Melaka (1488-1511/28 Masihi). Sejarah Melayu ada menceritakan bahawa Raja Kedah telah datang ke Melaka untuk memohon nobat. Nobat hanya dianugerahkan kepada raja-raja yang beragama Islam seperti yang dianugerahkan oleh Sultan Mahmud kepada Cau Seri Bangsa, pemerintah Patani yang telah memeluk Islam. Ia kemudian digelar Sultan Ahmad Syah. Di samping itu, seandainya Raja Kedah tidak memeluk Islam sudah pasti beliau diminta berbuat demikian oleh pemerintah Melaka seperti yang dilakukan oleh Sultan Mansor Syah terhadap Syah Indera Berma, anak raja dari Cempa (Campa). Selain daripada itu, seandainya Raja Kedah itu bukan Islam adalah lebih baik ia tunduk kepada kerajaan Siam daripada kerajaan Melaka. Sejarah Melayu tidak menyatakan mengenai Melaka menakluki Kedah untuk memaksa Raja Kedah tunduk kepadanya. Kedatangan Raja Kedah itu seolah-olah secara sukarela atau kerana memberi penghormatan, iaitu daripada sebuah kerajaan yang kecil kepada sebuah kerajaan yang besar yang sama sebangsa dan seagama.

Sebagai kesimpulannya, dapat kita katakan Islam telahpun dikenalkan di Kedah sejak abad ke-9 Masihi lagi, tetapi ia hanya menjadi agama negeri pada abad ke-15 Masihi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin