Sabtu, 1 Disember 2012

BERSIH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.  Renungan  "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

SELEPAS Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012, melalui blog ini saya ada menulis beberapa komentar mengenainya. Dalam artikel bertajuk 'Perjalanan Bersihku...', antara lain saya menulis: "Ketika perhimpunan Bersih 3.0, saya saksikan sejumlah gambar besar PM Najib Razak sengaja diletakkan di atas jalan raya; dengan orang ramai terutama anak-anak muda memijak-mijaknya (ada yang berposing ketika memijak gambar itu); layaknya macam gambar George W Bush dan juga bapanya George Sr Bush (ketika menjadi Presiden Amerika) yang diinjak-injakkan oleh warga Iraq ketika Perang Teluk dulu.

"Sekalipun menyokong Himpunan Bersih 3.0 (hadirnya saya sebagai buktinya); saya tidak malu menyatakan perkara ‘tidak baik’ atau yang boleh membawa natijah tidak baik pada hari perhimpunan itu. Seumur hidup saya tidak pernah saksikan gambar PM terdahulu dipijak-pijak oleh rakyat. Najiblah PM pertama yang gambar-gambarnya diinjak-injak oleh rakyat (berdasarkan pengalaman saya). Tentunya hal ini boleh dibahaskan dan diusahakan jawapannya oleh ahli politik, sosiologi, psikologi dan agamawan.
"Bagi saya yang dangkal ini, ada tiga hal yang saya fikirkan mengenai kejadian tersebut. Pertama begitu bencinya segelintir rakyat kepada PM Najib sehingga mereka sanggup berbuat begitu dan kedua, segelintir anak-anak muda kita begitu rendah akhlaknya sehingga gagal mengawal diri daripada bertindak secara keterlaluan.
"Manakala yang ketiga mungkinkah pembawa gambar itu yang kemudian memijak-mijaknya adalah penyamar yang sengaja mencetuskan provokasi bertujuan menaikkan kemarahan rakyat bagi memancing mereka melakukan perkara di luar kawalan? Saya tidak dapat menjawab persoalan ini, cuma melaporkan apa yang saya saksikan dengan mata sendiri hal yang berlaku pada ‘Hari Bersih 3.0 itu’."
Kini selepas sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-55 tahun, hampir saban hari rakyat disogokkan dengan apa didakwa kebiadapan segelintir individu menginjak-injak gambar PM dan isterinya melalui siaran berita TV dan media massa lain. Beberapa orang sudah ditangkap, hampir semuanya golongan muda.
Seperti kebimbangan yang saya nyatakan dalam komentar saya selepas Perhimpunan Bersih 3.0, perlakuan melampau segelintir anggota masyarakat terutama di kalangan generasi muda tidak boleh dibiarkan; namun kita tidak boleh terus dengan mudah tanpa usul periksa menuding jari kepada mereka dan juga pembangkang seperti dihebah-hebahkan hampir setiap hari oleh media massa. Ini kerana jika menuding jari satu jari kepada seseorang atau pihak, tiga lagi jari menuding ke arah diri kita sendiri.
Hal inilah yang perlu kita fikirkan; apa sebenarnya sudah berlaku kepada masyarakat kita sehingga ada anak-anak muda berperangai begitu jelik sekali. Bagi memuzakarahkan hal ini, marilah kita rujuk kepada kata-kata bijak pandai kita termasuklah dari segi bahasanya. Ada menyebut, baik pemimpin, baiklah orang dipimpinnya; sebuah hadis diriwayatkan oleh Ibnul Abdul Barr dan Abu Naim bermaksud: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.;“Dua golongan daripada umatku, apabila mereka baik, baiklah manusia dan apabila mereka rosak, rosaklah manusia. Itulah dia pemimpin dan ahli fiqh (ulama).”
Anak-anak muda yang rosak akhlaknya, secara tidak langsung menggambarkan perihal pemimpinnya. Mereka cerminan pemimpin. Ada sejumlah peribahasa Melayu menjelaskan hal ini, seperti 'bapa borek anak rintik'; 'bagaimana acuan begitulah kuihnya', 'apa yang disemai itulah yang dituai'; dan 'jika guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari'.
Kini kita dapat saksikan betapa kroniknya masyarakat. Aneka jenayah semakin menjadi-jadi. Pembunuhan, rogol, memeras ugut, merompak dan rasuah sudah menjadi bahan biasa hiasan dada-dada akhbar dan media elektronik. Daripada institusi keluarga sehinggalah ke peringkat tertinggi seperti pemimpin kerajaan semuanya bermasalah.
Malah ada pemimpin negara mempamerkan contoh buruk dengan menggalakkan budaya asing K-pop atau berjoget semasa merayakan Aidilfitri. Jadi tak hairanlah jika anak muda kita pun terkinja-kinja akan K-pop, budaya songsang yang cuba diterapkan dalam masyarakat. Gejala songsang ini seolah-olah tidak mempunyai penamatnya. Lagi ditegur, lagi menjadi-jadi, laksana mencurahkan minyak ke dalam api. Nasihat pun tidak diendahkan, bagaikan mencurah air ke daun keladi.
in negara dan politik tidak dapat menunjukkan contoh baik, bagaimana golongan muda dapat diharapkan menjadi warga baik pada masa depan. Ramai yang menolak malah memperlekeh dan menghina hukum Allah seperti hudud. Apabila tidak melaksanakan hukum Allah SWT manusia jauh daripada barakah-Nya kerana di dalam undang-undang-Nya ada kehidupan.
Akhir-akhir ini semakin banyak pihak dan pemimpin gila untuk berkuasa. Mereka sanggup berbuat apa saja. Fitnah termasuk dalam hal-hal sangat jelik seperti tuduhan seks menjadi 'basahan' saja bagi mereka. Berdasarkan perkembangan politik semasa, kita berasa sedih dan jijik dengan perlakuan sesetengah pemimpin politik terutama yang beragama Islam.
Mereka seolah-olah mengesahkan tanggapan bahawa politik itu kotor; untuk berkuasa seseorang itu perlu bijak mencuri peluang sekalipun haram kerana matlamat menghalalkan cara (Machiavelli). Dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara. Buatlah apa sekalipun, yang hak tetap hak dan yang batil tetap batil. Yang haram tetap haram, yang halal tetap halal.
Jika pemimpin 'main kotor', maka anak muda pun mula 'main kotor'. Jadi apabila mereka bertindak kotor seperti memijak-mijak gambar pemimpin, jangan hanya salahkan mereka. Mereka adalah cerminan pemimpin - jika guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin