Sekiranya manusia memiliki
hajat-hajat yang tertentu, hendaklah ianya dipinta daripada Allah
Subhanahu wa Ta’ala kerana sesungguh Dia bersifat al-Ijabah
al-Do’a (mengabulkan doa). Firman-Nya:
وَإِذَا
سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ
إِذَا دَعَانِ
Maksudnya:
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka
(beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir
(kepada
mereka);Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia
berdoa kepada-Ku.
-
al-Baqarah (2): 186
Dan di antara tempat yang mustajab
untuk memohon doa terhadap sesuatu hajat adalah ketika solat. Ini
adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ
Maksudnya:
Dan
mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan
mengerjakan solat…
- al-Baqarah
(2) : 45
Oleh itu solat sunat Hajat adalah
solat yang dikerjakan oleh seseorang yang mempunyai hajat tertentu
dan ingin memohon kepada Allah agar memperkenankan hajat tersebut.
Sekiranya kita meneliti buku-buku yang membahaskan tentang solat
sunat Hajat ini maka kita akan mendapati terdapat pelbagai tatacara
perlaksanaan serta jumlah rakaatnya.
v
APAKAH SOLAT HAJAT
DISYARI’ATKAN?
Ibadah yang diterima oleh Allah
Subhanahu wa Ta’ala adalah ibadah yang dikerjakan semata-mata
ikhlas kerana-Nya dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w
yang sabit. Oleh itu, sebelum sesuatu amal ibadah itu dikerjakan
termasuk solat sunat Hajat ini, sewajarnya kita menyelidik terlebih
dahulu adakah benar ia telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w
atau sekadar amalan kebiasaan yang digelar sebagai adat. Sedangkan,
umat Islam wajib membezakan antara adat dan ibadah agar adat yang
menjadi kebiasaan mereka itu tidak dianggap sebagai ibadah.
Lazimnya, dalil yang digunakan untuk
mensyari’atkan solat sunat hajat ini adalah hadis-hadis yang berikut.
Menurut Faaid bin Abdul Rahman yang
meriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa, Rasulullah s.a.w telah
bersabda:
مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي
آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ فَلْيُحْسِنْ الْوُضُوءَ ثُمَّ لِيُصَلِّ
رَكْعَتَيْنِ
ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ وَلْيُصَلِّ عَلَى
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لِيَقُلْ...
قَالَ
أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ وَفِي إِسْنَادِهِ مَقَالٌ فَائِدُ
بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُضَعَّفُ فِي الْحَدِيثِ
وَفَائِدٌ هُوَ
أَبُو الْوَرْقَاءِ
Maksudnya:
Sesiapa yang mempunyai hajat
kepada Allah atau kepada salah seorang bani Adam (manusia) hendaklah
dia berwuduk serta membaguskan wuduknya kemudian solat dua rakaat.
Terus (setelah selesai solat) hendaklah dia menyanjung Allah dan
berselawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia
mengucapkan doa…… Menurut Abu ‘Isa ini adalah hadis Gharib dan dalam
sanadnya terdapat Faaid bin ‘Abdurrahman yang dha’if (lemah) dalam
hadis dan Faaid dia adalah Abu al-Waruqa’.
-
Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dalam Sunannya Kitab
al-Sholaah, no: 441.
Gharib
bermaksud yang asing, jauh, aneh atau susah difahami. Hadis
gharib bermaksud hadis yang diriwayatkan dengan satu sanad atau
hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi. Hadis gharib ini
ada yang sahih, hasan dan juga dha’if (lemah). Namun
begitu hadis yang diperbincangkan ini statusnya dha’if dan
tidak boleh dijadikan sebagai dalil dalam menetapkan sesuatu hukum.
Ini diindikasikan sendiri oleh Imam al-Tirmizi rahimahullah
ketika meriwayatkan hadis ini.
Hadis di atas ini berstatus
dha’if jiddan (sangat lemah) kerana dalam sanadnya terdapat
Faaid bin ‘Abdurrahman Abu al-Waruqa’ dan beliau telah dilemahkan
oleh ulamak hadis seperti Imam al-Tirmizi, Imam Abdullah bin Ahmad,
Imam Ibn Ma’in, Imam Abu Daud, Imam al-Nasaai, Imam Abu Hatim, Imam
al-Hakim, Imam Ibn Hibban dan Imam al-Bukhari rahimahumullah.
Oleh itu hadis di atas tidak boleh dijadikan dalil untuk
mensyari’atkan solat Hajat.
Sebuah hadis berkaitan dengan solat
hajat juga telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Maimun Abu
Muhammad al-Mura’i al-Tamimi. Dia berkata: Yahya bin Abi Kathir
telah menceritakan daripada Yusuf bin
Abdullah bin Salam daripada Abu Darda’ radhiallahu’ anh
katanya: Wahai sekalian manusia! Aku telah mendengar Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ تَوَضَّأَ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ
يُتِمُّهُمَا أَعْطَاهُ اللَّهُ مَا سَأَلَ مُعَجِّلاً أَوْ مُؤَخِّرًا
Maksudnya:
Sesiapa berwuduk dan
menyempurnakannya, kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan
sempurna, apa sahaja yang dimintanya akan diberi oleh Allah baik
cepat mahupun lambat.
- Hadis riwayat Imam Ahmad
dalam Musnadnya, no: 26225.
Hadis ini juga tidak sahih kerana
dalam sanadnya terdapat seorang perawi, iaitu Maimun Abu Muhammad
al-Mura’i. Beliau seorang yang majhul (tidak dikenali)
sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ulamak hadis seperti Imam Ibn
Ma’in, Imam Ibn ‘Adiy, Imam al-Zahabi dan Syeikh Nashiruddin al-Albani
rahimahumullah. Sanad hadis ini juga munqati’
(terputus) kerana Yahya bin Abi Kathir yang merupakan seorang
tabi’ al-tabi’in telah meriwayatkan secara terus daripada Yusuf
bin Abdullah bin Salam. Sedangkan Yusuf merupakan seorang sahabat
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Al-Tabi’in adalah
seseorang yang di dalam hidupnya sempat berjumpa dengan sahabat Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam Manakala tabi’ al-Tabi’in
adalah seseorang yang sempat berjumpa seorang tabi’in. Di
dalam hadis ini, seorang tabi’ al-Tabi’in telah meriwayatkan
hadis secara terus daripada seorang sahabat Nabi s.a.w tanpa
perantaraan daripada seorang tabi’in di dalam sanadnya. Oleh
itu, hadis ini dikategorikan sebagai munqati’, iaitu
terputus sanad.
Namun, Imam al-Suyuti
rahimahullah di dalam kitabnya La’aaliul Mashnu’ah
berpendapat bahawa hadis ini adalah satu-satunya hadis yang sahih
tentang solat hajat. Wallahu’alam.
Maka sekiranya ingin berpegang
kepada hadis ini sebagai dalil keharusan mengerjakan solat hajat,
seseorang hendaklah melaksanakannya menurut tatacara yang bertepatan
dengan hadis tersebut, iaitu:
-
Menyempurnakan wuduk.
-
Solat sebanyak dua rakaat. Tidak disyari’atkan untuk dilaksanakan solat Hajat ini secara berjemaah sebagaimana yang kebiasaannya diamalkan di Malaysia.
-
Tidak ada bacaan ayat-ayat mahupun surah-surah yang tertentu yang dibacakan dalam jumlah tertentu untuk solat Hajat ini.
-
Berdoa sama ada di dalam solat atau sesudah solat. Jika ingin berdoa ketika dalam solat antara tempat yang afdal untuk berdoa adalah ketika sujud dan sesudah membaca tasyahhud akhir sebelum memberi salam. Tidak ada lafaz doa tertentu yang disyaria’tkan bagi solat hajat. Justeru, doa tersebut bolehlah disusun sendiri mengikut apa yang dihajati.
Namun, penulis berpendapat bahawa
riwayat-riwayat yang dianggap sebagai hujah bahawa para
salafussoleh mengerjakan solat hajat bukanlah menunjukkan mereka
mengkhususkan sesuatu jenis solat sunat yang dinamakan solat Hajat.
Tetapi, mereka sebenarnya hanyalah mengerjakan solat sunat mutlak.
Melalui solat tersebut mereka mengambil kesempatan untuk berdoa di
tempat yang afdal untuk berdoa ketika di dalam solat, iaitu ketika
sujud dan sebelum salam dan juga bertawassul dengan amalan
yang mulia, iaitu mengerjakan solat. Oleh itu, tidak hairanlah
sekiranya istilah solat sunat Hajat tidak pernah wujud di dalam
mana-mana hadis yang sabit daripada Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam Wallahu’alam.
Di antara hadis lain yang digunakan
sebagai dalil untuk solat hajat adalah sebagaimana yang diriwayatkan
oleh Uthman bin Hunaif katanya:
أَنَّ رَجُلاً ضَرِيرَ الْبَصَرِ أَتَى النَّبِيَّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ
يُعَافِيَنِي.
فَقَالَ: إِنْ شِئْتَ أَخَّرْتُ لَكَ وَهُوَ خَيْرٌ
وَإِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ. فَقَالَ: ادْعُهْ.
فَأَمَرَهُ أَنْ
يَتَوَضَّأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءَهُ وَيُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ وَيَدْعُوَ
بِهَذَا الدُّعَاءِ:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ
إِلَيْكَ بِمُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ.
يَا مُحَمَّدُ إِنِّي قَدْ
تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى
اللَّهُمَّ شَفِّعْهُ فِيَّ
Maksudnya:
Seorang lelaki buta datang
menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Doakanlah kepada Allah supaya
dia sembuhkan (kembalikan penglihatan) aku.
Nabi bersabda: Kalau engkau
suka untuk bersabar engkau akan mendapat pahala di atas kesabaranmu
(di atas kecacatanmu itu) ataupun boleh juga sekiranya jika engkau
mahu, aku akan mendoakan engkau sekarang (supaya sembuh serta-merta).
Kata lelaki itu: Doakanlah
untuku sekarang. Lalu baginda s.a.w menyuruhnya agar berwuduk dan
menyempurnakannya lalu mengerjakan solat dua rakaat. Kemudian dia
berdoa: Ya Allah Ya Tuhanku! Aku berdoa dan bermunajat kepada-Mu
dengan (perantaraan doa) Muhammad, Nabi yang membawa rahmat.
Ya Muhammad, sesungguhnya aku
telah menghadap dengan (doamu) kepada Tuhanku tentang hajatku ini
supaya dimakbulkan hajatku ini. Ya Allah! Berikanlah syafaat (baginda
s.a.w) kepadaku.
- Hadis riwayat Imam Ibn
Majah dalam Sunannya, Kitab Iqamah al-Solah wa
Sunnah Fiha, no: 1375.
Hadis di atas sebenarnya berkisar
tentang tawassul atau berdoa menggunakan perantaraan yang
selari dengan syarak.
Pertama,
lelaki buta tersebut menggunakan perantaraan amal soleh, iaitu
dengan mengerjakan solat sunat mutlak sebanyak dua rakaat.
Kedua,
lelaki itu juga menggunakan perantaraan doa Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam Bertawassul dengan doa orang soleh
yang masih hidup adalah disyari’atkan manakala berdoa melalui
perantaraan orang yang telah mati seperti di kuburan para Nabi,
sahabat, salafussoleh atau wali adalah bid’ah yang sesat.
v
KESIMPULAN
Dengan penjelasan ini, dapatlah kita
fahami bahawa hadis-hadis tentang solat sunat hajat ini berstatus
lemah. Oleh itu, mengerjakan solat sunat yang dinamakan solat sunat
Hajat masih dipertikaikan kesahihannya. Namun kita dibenarkan untuk
memohon apa jua hajat kita dalam solat sama ada fardu mahupun sunat
terutamanya ketika sujud dan sesudah membaca tasyahhud akhir
sebelum salam. Apa yang lebih utama adalah jika kita panjatkan doa
kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala ketika masih dalam solat.
Menurut Ibnu Taymiyyah rahimahullah dalam Majmu’ al-Fatawa,
Jld. 22, ms. 512-514:
Seseorang yang sedang bersolat sebenarnya sedang
mengadu (bermunajat) kepada Tuhan-nya, maka ketika dia memberi salam
(menunjukkan berakhirnya solat), selesailah sudah munajatnya. Oleh
itu sewajarnya permohonan itu dipanjatkan ketika bermunajat (dalam
solat sebelum salam) kerana ianya lebih mungkin untuk dimakbulkan
jika dibandingkan dengan permohonan yang dipanjatkan setelah dia
selesai bermunajat (selesai solat).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan