Rasuah
merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan
tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini
kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan
memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna
kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk
kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.
Perkataan
rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran,
rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan
jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini,
dari segi undang-undang semua perkataan “ memberi dan menerima suapan”
adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.
Biasanya,
rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk
mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya
dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak
memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya
memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Sebagai umat Islam, keredhaan
dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititikberatkan dalam apa juga
urusan. Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini.
Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Daripada
Abu Hurairah RA. ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang
yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal
hukum- menghukum”.
Perbuatan
rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang
terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal
dengan perbuatan mereka ini. Rasulullah SAW telah bersabda yang
bermaksud :
“ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.
Allah telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan
janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di
antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu
bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang
berdosa sedang kamu mengetahuinya”. (al-Baqarah : 188)
PANDANGAN ISLAM MENGENAI RASUAH
Budaya
rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang
terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan. Langkah
pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu terhadap
mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah, seperti
sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud :
“ Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”.
Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :
“Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.
Berdasarkan
dalil-dalil diatas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini.
Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan
sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini.
PUNCA BERLAKUNYA RASUAH
Antara punca berlakunya rasuah ialah :
a) Kelemahan
peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa
rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga
dengan seribu satu alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori
“Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza. Mereka
mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang
tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat
kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang
lemah keperibadiannya.
b) Kelemahan
kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan
kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan
terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.
c) Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia
mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena
menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari
perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada
perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok
atau diumpan tanpa disedari.
d) Modenisasi.
Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan
kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan
bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat.
Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung
sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor
berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk
memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah
diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan
bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya.
e) Politik.
Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada
masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa,
memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih
populariti dan sebagainya.
KESAN-KESAN RASUAH
Perbincangan
mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan
fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah,
tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada
sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung
kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan
hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara
kita.
Selain
itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka
pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan
yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah
ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.
Kesan
yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan
pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia
menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian
kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan
pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. seperti yang berlaku di
Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos
dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.
LANGKAH-LANGKAH MENCEGAH RASUAH
Antara langkah mencegah rasuah adalah seperti berikut :
1.Memantapkan Iman Dan Mengukuhkan JAtidiri
Keimanan
dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk
membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama
ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan
rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan
rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka luas di
hadapan mata.
2. Mamasukkan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan
-Benci
kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan
dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik benci
rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab,
amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang
yang bebas daripada rasuah.
3. Meningkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Hukuman
Siasatan
dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar
masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak
dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para
pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.
4.Memudahkan urusan menggunakan ICT
-Prosedur
diproses yang panjang, sukar dan lambat perlu diperkemaskan dan
dipermudahkan dengan menggunakan kelebihan ICT. Penggunaan borang,
proses temu duga dan seumpamanya perlu diringkaskan supaya
tidak membebankan orang ramai khususnya para peniaga, kontraktor dan
pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat menghindari bahaya rasuah
kerana tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan proses.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan