Khamis, 13 Disember 2012

SEJARAH THAILAND

Jika pada hari ini ditanya kepada pelajar sekolah hinggalah kepada ahli politik, kawasan manakah yang dikatakan sebagai semenanjung Tanah Melayu? Pasti jawapannya adalah 11 buah negeri di semenanjung Malaysia kini. Tetapi sempadan semenanjung Tanah Melayu sebenarnya jauh lebih luas, iaitu meliputi daripada pulau Singapura di bahagian selatan hinggalah ke utara di segenting Kra yang di bawah wilayah Negara Thai dan Myanmar pada hari ini.



Pada masa dahulu, semenanjung Tanah Melayu turut meliputi wilayah Segenting Kra yang kini termasuk di dalam wilayah Negara Thai dan Myanmar. Penduduk di Negeri Patani bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Kelantan (Yawi) sementara penduduk Melayu daripada wilayah Setul hinggalah ke Rundung dan Pulau Dua (Kawthoung) di dalam wilayah Myanmar pada hari ini bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Kedah.

Penduduk Melayu di kawasan ini bukanlah pendatang, sebaliknya merupakan kaum pribumi yang telah menduduki kawasan ini sejak zaman berzaman, iaitu warisan daripada Kerajaan Srivijaya dan Langkasuka.


Binaan di Rundung (Ranong) yang menjelaskan sempadan sebenar bumi Melayu dan Siam
Selepas kejatuhan Kerajaan Siam yang berpusat di Ayuthia pada tahun 1767 akibat serangan Burma, telah bangkit satu kuasa Thai iaitu Kerajaan Thonburi di bawah pemerintahan Raja Taksin. Raja Taksin ini telah menyerang Kerajaan-kerajaan Melayu di Negeri Ligor, Cahaya, Rundung, Terang, Ghraibi, Bukit, Bedalung dan Singgora. Negeri Patani terselamat daripada serangan tersebut. Walaubagaimanapun, benteng terakhir negeri Melayu ini kemudiannya berhadapan dengan serangan demi serangan daripada pihak Thai.

Anglo-Siamese Treaty, 1909, yang dibuat antara British dengan pihak Thailand telah memisahkan sama sekali semenanjung Tanah Melayu kepada dua bahagian. Perjanjian ini dibuat tanpa melibatkan perbincangan dengan Raja-raja Melayu di negeri-negeri yang berkenaan. Wilayah-wilayah milik Melayu daripada Patani, Singgora, Setul hinggalah ke segenting Kra telah diakui British sebagai hak milik Thai.


Ketika era pemerintahan Phibun Songkram, Perdana Menteri Thai pada tahun 1938, dia telah menukar nama Negara Siam kepada Prathet Thai/Thailand. Secara umumnya, Thailand bermaksud “Negara Bagi Orang-orang Bebas”, tetapi secara metaforiknya, ia bermaksud “Tanah Orang-orang Thai”. Phibun Songkram memerintah secara kuku besi dan berhasrat menjadikan Thailand sebuah negara kesatuan berdasarkan kepada budaya Kaum T’ai dan agama Buddha Theravada. Kaum-kaum minoriti termasuklah Melayu telah dipaksa untuk “menjadi Thai” melalui pemaksaan dasar Thai Ratthaniyom.

Selain daripada itu, nama-nama tempat yang berbaur Melayu di kawasan segenting Kra juga telah diubah kepada sebutan dalam Bahasa Thai. Di bawah ini dinyatakan kembali nama sebenar antara sebahagian kawasan-kawasan di bahagian selatan Siam dalam Bahasa Melayu yang telah di’Thai’kan untuk peringatan dan rujukan kita semua serta generasi akan datang khasnya.


Phuket (Bukit). Nama lain ialah Tongkah.
Thalang (Tanjung Salang)

Yala (Jala)
Betong (Betung)
Bannang Sata (Benang Setar)
Raman (Reman)
Kabang (Kabae / Kabe)
Krong Pinang (Kampung Pinang)

Narathiwat (Menara)
Tak Bai (Tabal)
Rueso (Rusa)
Su-ngai Kolok (Sungai Golok)
Su-ngai Padi (Sungai Padi)
Tanyongmat (Tanjung Mas)
Buketa (Bukit Tar)

Pattani (Pantai Ini)
Sai Buri (Selindung Bayu @ Teluban)
Yaring (Jaring)
Krue Sae (Gersik)
Panare (Penarik)
Yarang (Jarang @ Binjai Lima)

Songkhla (Singgora) bermaksud ‘Bandar Singa’
Chana (Chenok)
Na Thawi (Nawi)
Thepha (Tiba)
Saba Yoi (Sebayu)
Ranot (Renut)
Sadao (Sendawa)
Samila Beach (Pantai Bismillah)

Satun (Setul)
Khuan Don (Dusun)

Phang Nga (Pungah). Ada sumber lain mengatakan daripada nama 'Kuala Bunga'.
Ko Similan (Pulau Sembilan)
Ko Panyee (Pulau Panji)
Ko Phi Phi (Pulau Pi Ah Pi)
Takua Pa (Kupa)

Phattalung (Bedalong / Merdelong)

Trang (Terang)

Ranong (Rundung)

Krabi (Ghraibi)

Chaiya (Cahaya)

Nakhon Si Thammarat (Nagara Sri Dharmaraja / Bandar Sri Raja Dharma). Nama lama bagi negeri ini ialah ‘Tambralingga / Ligor’.

Tenasserim (Tanah Seri). Di dalam wilayah negara Myanmar (Burma) pada hari ini.


Pada hari ini, British-Malaya telah merdeka dan bergabung bersama Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia. Singapura yang didiami oleh majoriti kaum Cina kemudiannya telah disingkirkan dan membentuk pemerintahan republik sendiri. Daerah Pulau Pinang dan Daerah Seberang Perai, tidak seperti Daerah Dinding yang telah dipulangkan kembali kepada Negeri Perak, tidak dipulangkan semula kepada Negeri Kedah sebaliknya kekal menjadi sebuah negeri berasingan dengan majoriti penduduknya pada hari ini berketurunan Cina.

Sementara nasib kaum Melayu yang di bawah Negara Thai masih tidak jelas. Pada hari ini, Kaum Melayu hanya masih menjadi majoriti di Negeri Setul, empat daerah di Negeri Singgora iaitu Tiba, Chenak, Sebayu dan Nawi serta di Negeri Patani (Hari ini telah dipecahkan kepada Patani, Yala dan Narathiwat). Hanya masyarakat di wilayah-wilayah ini sahaja yang masih mampu bertutur dalam Bahasa Melayu mengikut dialek tempatan.

Sementara masyarakat Melayu Islam di wilayah asal Melayu lainnya disebabkan menjadi kaum minoriti, kebanyakannya telah berintegrasi dengan kaum Thai dan tidak mampu lagi untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Hanya agama Islam sahaja yang menjadi petunjuk mereka merupakan keturunan Melayu. Walaubagaimanapun, masyarakat Melayu di wilayah Pulau Dua (Kawthoung), Myanmar, masih lagi bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Kedah pada hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin