| Mitos Cerita Beras Terbakar Langkawi | 
|  | 
| Beras Terbakar | 
Satu cerita sejarah Pulau Langkawi yang 
termasyhur ialah cerita "Beras Terbakar". Tempat yang dikata beras 
terbakar itu ialah di Kampong Raja, Mukim Padang Matsirat. Luas kawasan 
tempat yang didapati beras terbakar itu ialah kira-kira tiga puluh kaki 
persegi. Dalam yang didapati tertanam dalam tanah lebih tiga kaki. 
Apabila hujan lebat beras itu timbul.
Mengikut cerita orang tua-tua, Pemerintahan Pulau 
Langkawi 200 tahun dahulu sampai kurun sembilan belas bertempat di 
Kampong Raja yang tersebut. Ini boleh dibuktikan iaitu seorang daripada 
Pegawai Daerah, Pulau Langkawi, yang telah meninggal dunia 80 tahun 
dahulu telah dikuburkan di kampung ini dan kubur itu ada sampai 
sekarang.
Berbalik kepada cerita beras terbakar itu, selepas 
beberapa bulan pembunuhan Mahsuri dengan perintah Datuk Seri Kerma Jaya,
 datuk yang memerintah Langkawi pada masa itu, pulau ini telah diserang 
dengan hebatnya oleh orang-orang Siam.
Tempat pertempuran yang dahsyat dan di mana Datuk 
Seri Kerma Jaya dan panglima-panglimanya yang gagah telah terkorban 
ialah di Selat Berhala Balik iaitu selat jalan masuk ke Pelabuhan Kuah 
sekarang.
Sebelum pertempuran yang tersebut itu berlaku, Datuk 
Kerma Jaya berasa Pulau Langkawi akan tewas, oleh itu ia beri hukum 
kepada orang-orangnya sekalian beras simpanan hendaklah di tanam supaya 
tiada terlepas ke tangan musuh.
Ketewasan Datuk Kerma Jaya bagi mempertahankan Pulau 
Langkawi, mengikut kepercayaan orang-orang pada masa itu dan sampai 
sekarang pun, ialah dengan kerana sumpahan Mahsuri yang berbunyi "Dengan
 kerana kezaliman yang dijatuhkan ke atasnya, Pulau Langkawi tidak akan 
aman dan makmur sehingga tujuh keturunan". Satu daripada bukti sumpahan 
itu ialah beras simpanan terbakar.
Beras terbakar itu sampai sekarang digunakan oleh 
sesetengah orang sebagai penawar bagi orang-orang demam panas dan 
kepialu dan ubat sakit perut.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan