Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat R.ha telah berkata, "Kami
 telah mengadu kepada Rasulullah S.A.W sedang Baginda pada waktu 
berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban. Maka kami 
bertanya, apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? 
Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita? Maka bersabda Rasulullah
 
S.A.W, "Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditangkap, 
lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian ada yang 
digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan 
sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya, namun demikian itu 
tidak memalingkan ia dari agamanya. Demi Allah, Allah pasti akan 
menyempurnakan urusan ini (Islam) sehinggalah musafir dari Sana'a ke 
Hadhra Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi 
kamu adalah golongan yang gopoh". - Riwayat Imam Bukhari
Keghairahan untuk meraih kemenangan 
perlu ditenangkan seraya kita merujuk kepada manhaj perjuangan Nabi kita
 Muhammad S.A.W bagaimana Baginda S.A.W membina kemenangan. Hadis yang 
saya bawa sebagai renungan yang memaparkan bagaimana sikap Nabi S.A.W 
disaat berhadapan dengan keadaan yang sangat kritikal, apabila Para 
Sahabat sering di siksa dengan dahsyat oleh kuffar musyrikin. Antara 
mereka ialah Khabbab al Arat yang disalai oleh musyrikin di atas bara 
api dan dikelar jasadnya dengan besi panas sehingga masak dan luluh 
daging jasadnya. Kesan penyeksaan tersebut meninggalkan parut yang 
sangat hodoh pada diri Khabbab.
Satu ketika Khabbab pergi bertemu Nabi S.A.W yang sedang beristerehat di tepi Kaabah lantas bertanya, "Apakah Tuan tidak berdoa kepada Allah agar kita menang?
Sahabat sekalian, yang bertanya
 ini adalah insan yang berjuang malah menghadapi penyeksaan dahsyat oleh
 musuh dengan begitu tabah sekali. Yang bertanya ialah sahabat yang 
sanggup mempertaruhkan nyawa untuk pertahankan prinsip dan pegangan 
agama. Insan yang bertanya ialah Sahabat yang telah mewaqafkan dirinya 
untuk Islam dan perjuangan suci ini, tiba-tiba... Nabi S.A.W menjawab 
bahawa orang terdahulu lebih teruk menerima penyeksaan dari musuh-musuh 
Allah Taala sehingga ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua 
dan jasadnya disikat dengan sikat besi sehingga bercerai daging dari 
tulangnya namun mereka tetap mempertahankan agamanya.
Maka kamu yang datang meminta-minta agar
 didoakan kemenangan, biarpun kamu sangat perit berhadapan dengan 
kezaliman musuh, kamu adalah golongan yang gopoh dan tidak sabar menanti
 kemenangan yang dijanjikan Allah Taala.
Sifat Kemenangan
Kemenangan adalah suatu yang dianugerah 
oleh Allah Taala. Ia ( kemenangan ) tidak boleh dicipta oleh kita dengan
 maksud tiada kemenangan buatan kita selain ia anugerah Allah Taala dan 
tiada short cut untuk mencapai kemenangan. Demikianlah sunnatullah 
terhadap kemenangan atau nusrah yang dijanjikan buat mereka.
Pengertian lain yang senada dengan 
maksud perbahasan ini ialah betapa tidak sekali-kali tidak kita memetik 
buah yang belum masak. Sebagai analogi yang boleh saya bentangkan 
sebagai renungan kita bersama ialah bagaimana situasi seekor anak ayam 
yang masih berada di dalam cengkeram telur sebelum ia dilahirkan ke bumi
 yang ganas ini. Anak ayam di dalam cengkerang telur tersebut, mahu 
tidak mahu ia terpaksa menunggu satu tempoh matang ia menetas dan 
akhirnya hidup untuk membesar seperti ayam yang lain. Andai kata anak 
ayam ini tidak sabar untuk menetas demi melihat alam yang indah ini lalu
 ia cuba untuk memecahkan cengkerang telur dari dalam dengan paruhnya 
yang masih muda, nescaya usahanya itu gagal dan sia-sia.
Sikap tidak sabar ibunya juga boleh 
membawa padah kiranya tidak sabar ingin melihat anak kesayangannya lahir
 atau menetas lalu ia memecahkan cengkerang telor itu dengan paruhnya 
yang kuat, maka keluarlah anaknya tetapi tidak mampu bertahan lama 
kerana belum masanya yang matang bagi ia hidup. Anak ayam itu akan mati 
binasa angkara sikap gopoh ibunya.
Syarat Kemenangan
Saya kira demikianlah 
perihal perjuangan yang kita dokong ini. Walaupun kita ini bukanlah anak
 ayam yang masih lemah tetapi kita mesti sabar menanti detik kemenangan 
yang bakal di anugerahkan oleh Allah Taala setelah kita berjaya 
mendatangkan syarat-syarat kemenangan dengan baik dan berkesan. Kita 
mesti mengambil sunnatullah dalam perjuangan suci ini dengan kita gigih 
berjuang, ikhtiar melepasi segala cabaran, ikhlas dan istiqamah dalam 
mengenderai perjuangan, tabah mendepani ujian serta halangan dan 
berkorban apa jua sebagai taruhan buat perjuangan mulia ini.
Jangan sekali-kali kita menerobos keluar dari landasan sunnatullah ini kerana tidak sabar hendak menang dengan hanya kita melihat riak-riak kemenangan yang tidak pasti tetapi sarat dengan janji-janji manis kemenangan kononnya.
Jangan sekali-kali kita menerobos keluar dari landasan sunnatullah ini kerana tidak sabar hendak menang dengan hanya kita melihat riak-riak kemenangan yang tidak pasti tetapi sarat dengan janji-janji manis kemenangan kononnya.
Saya menjangkakan, jika kita berfikir 
seperti ini pasti ada orang kata inilah golongan yang masih berminda 
pembangkang bukan minda pemerintah. Kita bukan tidak mahu kemenangan, 
tetapi kita mestilah melihat kepada beberapa persoalan bersama 
jawapannya terlebih dahulu.
Pertama : Untuk apa kemenangan itu mahu dicapai? Apakah ia bermaksud memberi kemenangan kepada Islam?
Kedua : Bersediakah 
kita dengan kemenangan? Apakah kemenangan itu kelak tidak menjadi fitnah
 kepada kita dan perjuangan yang didokong ini?
Ketiga : Bagaimana 
kemenangan itu dicapai? Apakah ia tidak melanggar batas syara' dan 
prinsip amal Islami? Kerana sudah tentu kaedah Islam ialah "matlamat tidak menghalakan cara".
Semua persoalan diatas mesti dijawab 
dengan hati yang jujur, jiwa yang tulus dan aqal yang ikhlas mengenai 
bagaimana situasi kita terhadap kemenangan yang ingin dicapai.
Ulama Seperti Tukang Tolak Kereta Buruk
Kita pasti sahaja tidak
 mahu mengulangi sejarah pejuang-pejuang Islam dan para Ulama al 
mujahidin sewaktu mereka menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan 
negara. Setelah mereka berjuang mempertaruhkan tenaga, darah dan nyawa 
mereka akhirnya apabila negara tersebut mencapai kemerdekaan, golongan 
sekular yang mengambil alih pemerintahan negera. Inilah yang berlaku ke 
atas ulama pejuang kita di Indonesia. Tengku Daud Baerueh pernah 
berulang kali (3 kali) bertanya kepada Sukarno, "Untuk apa kita menentang Belanda?"
Soalan ini ditimbulkan setelah Sukarno 
berhempas pulas memujuk Tengku Daud Baerueh membantunya menentang 
penjajahan Belanda setelah menyedari Tengku mampu menggerakkan ummat 
Islam amnya dan pemimpin-pemimpin mereka khasnya. Sukarno juga berulang 
kali menjawab bahawa kita mahu merdekakan negara kemudian dirikan 
syariat Islam di atas tanah tinggalan penjajah. Setelah berpuas hati 
dengan jawapan tersebut, Tengku telah mengerahkan seluruh anak-anak 
muridnya serta guru-guru pasentren untuk bangkit menentang Belanda.
Akhirnya apabila Indonesia mencapai 
kemerdekaan, bukan sahaja Tengku diketepikan dan dipenjara malah Sukarno
 tidak melaksanakan Islam di Indonesia sebagaimana yang dijanjikan. 
Tengku dipenjara sehingga ia hanya dibebaskan di akhir pemerintahan 
Suharto.
Negara kita juga menyaksikan sejarah 
yang sama. Setelah nyawa ditaruhkan oleh Tuan Guru Hj. Hassan bin Munas,
 Ustaz Abu Bakar al Baqir dan Tuan Guru Hj. Abdul Rahman bin Limbong 
untuk menentang Inggeris, akhirnya negara merdeka menyaksikan golongan 
sekular yang mengambil alih pemerintahan negara.
Ulama' hanya menjadi golongan yang 
diajak untuk menolak kereta buruk. Apabila kereta telah hidup, ia terus 
meluncur laju ke hadapan tanpa sempat mengucapkan terima kasih pun 
sebaliknya yang ditinggalkan ialah asap hitam berkepul dari ekzos kereta
 buruk tersebut.
Tiada Short Cut Mencapai Kemenangan
Short cut bagi 
mengusahakan kemenangan buat perjuangan kita yang murni ini, ia mungkin 
boleh tercapai tetapi ia hanyalah sebuah kemenangan yang rapuh dan 
fragile. Short cut hanya laluan yang sering digunakan oleh golongan 
musta'jilun (gopoh) yang mungkin berjuangnya tidaklah setara mana tetapi
 angin nak menang kelihatan berganda-ganda volumenya .
Pengalaman ditangkap, dipenjara, 
dimaki-hamun, di ISA dan pelbagai penyeksaan tentu sahaja belum menyamai
 seksaan yang dialami oleh Khabbab al Arat yang telah dikelar jasadnya 
dengan besi panas. Bayangkanlah, betapa insan pejuang seperti Khabbab al
 Arat itu masih disifatkan oleh Nabi S.A.W sebagai gopoh, maka apalah 
halnya kita hari ini yang masih tidak setahap mana pengorbanan untuk 
Islam.
Bukan bermakna kita tidak mahu menang 
dan selesa pula menjadi orang yang kalah, tetapi kita doakan agar 
kemenangan yang kita capai tidak menjadi fitnah kepada diri dan 
perjuangan Islam ini. Apa yang lebih jelas ialah kita berjuang dan 
berkorban sehabis daya dan upaya guna memastikan Islam berdaulat di atas
 tanahair kita dengan mengambil sunnatullah dalam perjuangan ini.
Antara sunnatullah dalam perjuangan ini, firman Allah Taala bermaksud, "Jika
 sekiranya (perjuangan) ini suatu capaian hasil yang dekat dan 
perjalanan yang singkat nescaya mereka (musyrikin) akan mengikut engkau,
 akan tetapi (perjuangan) ini jauh perjalanannya dan dirasakan sukar ke 
atas mereka" - Surah At Taubah:42
Demikian juga Firman Allah yang bermaksud, "Dan
 ingatlah ketika orang-orang kafir merancang untuk memenjarakan kamu, 
membunuh kamu dan menghalau kamu keluar daerah, mereka merancang dan 
Allah Taala juga merancang dan Allah Taala sebaik-baik perancang" - Surah al Anfal:30
Jauh perjalanan, sukar halangannya, di 
penjara, dibunuh dan dihalau adalah 5 item sunnatullah yang mesti 
ditempuh melengkap manhaj perjuangan ini. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan