
credit photo: .freemalaysiatoday.com
Kita 
mempunyai pilihan untuk sekadar melihat jerebu ini sebagai satu kejadian
 bencana alam yang penjelasannya berlegar pada laporan berita serta 
penerangan saintifik. Namun Allah SWT memberi peringatan bahawa 
bencana-bencana hasil perbuatan tangan manusia itu, adalah kejadian 
bermesej daripada-Nya.
Telah 
timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan 
sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang 
demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan 
perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka 
kembali (insaf dan bertaubat). [Al-Rum 30:41]
Apa yang sedang Allah bicarakan dalam musibah?
Kerosakan
 itu hasil kerja tangan manusia sendiri. Dan bencana kerosakan yang 
dialami pula, baru sedikit. Tangan manusia mampu menghasilkan bencana 
yang berganda-ganda lagi. Bencana datang bukan untuk menghukum. Tetapi 
mahu menyedarkan.
Agar kita kembali.
Bagaimana pula dengan asap jerebu?
Langsung
 teringat kita kepada apa yang berlaku di zaman Nabi sallallahu alayhi 
wa sallam seperti yang disebut di dalam surah al-Dukhan:

- Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)
- Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan”.
- (Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!”.
- Bagaimana mereka dapat beringat (menyempurnakan janji mereka hendak beriman itu)? Pada hal mereka telah pun didatangi seorang Rasul yang memberi keterangan-keterangan (yang cukup untuk mereka beriman)!
- Sekalipun demikian, mereka juga berpaling ingkar daripada menerima keterangannya sambil berkata (sesama sendiri): “Dia seorang yang diajar (oleh bangsa asing), dia juga seorang yang gila!”
- Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar).
- (Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya).
BENCANA KAUM MUDHAR

Berkenaan
 ayat 10 hingga 14, Al-Bukhari (hadith 4821) dan Muslim (hadith 2798) 
mendatangkan riwayat Ibn Mas’ud radhiyallahu anhu bahawa sesungguhnya 
kaum musyrikin Mudhar apabila mereka berkeras mengingkari seruan Nabi 
Muhammad sallallahu alayhi wa sallam dan menentang baginda dengan segala
 bentuk keangkuhan dan kekejian, Baginda telah mendoakan mereka kemarau 
yang pedih seperti yang pernah menimpa umat manusia di hari-hari 
pemerintahan Yusuf alayhi al-Salam. Lalu mereka ditimpa dengan kemarau 
yang teruk hingga ke tahap menampung makan dengan menjamah tulang.
Ketika 
itu, langit mereka diselubungi asap tebal yang menyeksa. Kaum Mudhir 
mendatangi Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam merayu agar Baginda 
memohon kepada Allah agar diturunkan hujan untuk kaum Mudhar kerana 
sesungguhnya belenggu asap itu memusnahkan mereka.
Baginda telah memohon kepada Allah dan Allah memperkenankan permohonan baginda.
Hujan turun.
Al-Bukhari mendatangkan riwayat yang menyambung kisah tentang ayat ke 15 dan 16.
Setelah asap itu hilang, kehidupan kembali normal, mereka kembali kufur kepada Allah.
“Sesungguhnya
 (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu 
akan kembali (kufur ingkar). (Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran 
kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan 
yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan 
menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya).”
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan