Sejarah
 pencapaian di zaman kegemilangan Patani cukup banyak, jika dibincangkan
 secara ilmiah dan kajian dilakukan dengan lebih mendalam. Penulis tidak
 menafikan bahawa sebelum ini banyak pembentangan kajian telah 
dijalankan oleh banyak pihak serta dibentangkan. Tetapi bagi penulis, 
pembentangan yang dilakukan hanyalah seperti nasi kerabu yang kekurangan
 rencah dan kerabunya.
Di
 dalam sejarah Langkasuka sehinggalah namanya bertukar menjadi Patani, 
tiada kemusnahan teruk berbanding peristiwa kejatuhan Patani 1785. 
Walaupun pernah menerima asakan kuat daripada Siam mahu pun Burma, kerajaan Patani tidak pernah jatuh sungguh pun telah beberapa kali berundur dan memindahkan istana kota
 sebelum melakukan serangan balas terhadap musuhnya. Peristiwa kejatuhan
 Patani ini merupakan satu tamparan hebat bukan sahaja kepada bangsa 
Melayu, bahkan juga umat Islam di Nusantara (Asia Tenggara). Selain itu 
negeri-negeri Arab juga turut tersinggung dengan jatuhnya bumi Serambi 
Mekah Nusantara itu. Mereka juga telah beberapa kali turut menghantar 
bantuan bagi membebaskan Patani dari belenggu kezaliman Siam.
 Namun takdir Allah SWT telah mengatasi usaha hambanya yang sangat 
dhaif. Kerana semua dari kejadian Allah Taala itu mempunyai banyak 
rahasia dan hikmah…
Sebelum
 Sultan Muhammad, Sultan Patani 1774 – 1785, memegang tampuk amanah 
sebagai pemerintah, Patani telah ratusan tahun telah diserang sebagai 
cubaan menakluki bumi Melayu itu. Namun setelah Islam bertapak dengan 
teguh di Patani bermula awal abad ke-15 Masehi, pihak Siam
 telah melihat Patani dari sudut lain pula. Iaitu kekuatan Patani bukan 
hanya kekentalan semangat orang Melayu Patani serta semangat 
persaudaraan Melayu seNusantara sahaja. Tetapi keimanan serta semangat 
jihad muslim Patani merupakan ledakan hebat yang muncul kerana pada masa
 itu Empayar Islam adalah salah satu kuasa besar yang memerintah dunia. 
Maka Siam
 telah menukar startegi daripada serangan sembrono kepada serangan 
berbentuk tektikal. Penukaran strategi ini terpaksa dilakukan kerana 
peranan ulama bukan sekadar berdakwah, bahkan sebahagian mereka pula 
telah ditabalkan raja/sultan, manakala sebahagian yang lain pula adalah 
panglima-panglima tentera Patani. Hal inilah yang menyebabkan golongan 
ulama terus diburu untuk dihapuskan sehingga ratusan tahun lamanya.
Pada
 hari ini, umat Melayu tidak didedahkan secara khusus bagaimana sebelum 
Nusantara ini jatuh ke tangan penjajah, bahawa mereka itu bersaudara. 
Kekuatan persaudaraan itu lebih kukuh setelah kedatangan Islam. Aceh 
contohnya adalah negeri Islam yang banyak berjasa di rantau Tanah Melayu
 ini, kerana negeri itu adalah sebuah tempat paling awal penghuninya 
menerima cahaya Islam. Apabila saudaranya di negeri lain menghadapi 
musibah, Aceh adalah negeri yang paling awal menghantar bantuan. Begitu 
juga setelah keseluruhan nusantara telah menerima dakwah Islam, maka 
mereka saling bertolongan dalam semua perkara. 
|  | 
| Tuan Guru Haji Sulong: Bapa Revolusi Patani | 
Peranan
 ulama juga turut tidak didedahkan secara meluas di dalam sejarah 
Melayu. Golongan itu hanya digambarkan sebagai pendakwah semata-mata. 
Hanya beberapa tokoh sahaja yang dinyatakan secara umum tentang peranan 
menentang penjajah. Apakah perkara ini sengaja dibiarkan atau sistem 
pendidikan berpaksikan barat telah menenggelamkan peranan ulama ini. 
Atau apakah kerana mereka itu sendiri jahil tentang  sejarah….
Bersambung
 kembali tentang kisah kejatuhan Patani dan rentetan sejarah sebelum 
kejatuhannya semasa pemerintahan Sultan Muhammad. Pada tahun 1776, Siam cuba
 menduga apakah Sultan Muhammad yang baru menaiki tahta itu akan mudah 
tunduk terhadap helah mereka. Ketika itu mereka menggunakan alasan 
bahawa Siam telah diserang oleh Burma.
 Lalu dihantar satu perutusan meminta supaya kerajaan Patani menghantar 
bantuan sebanyak 80,000 bath, bagaimana pun Sultan Muhammad tidak 
melayan kerana baginda telah mengetahui tujuan sebenar Raja Siam tersebut. Di pihak Siam pula, mereka telah mempunyai alasan untuk menyerang Patani kerana tidak menghantar bantuan seperti yang dikehendaki.
Dalam tahun 1782 pula, Raja Siam
 bernama Phya Tak Sin telah dibunuh oleh panglimanya dengan tujuan 
merampas kuasa. Panglima yang berketurunan Maha Cakri tersebut telah 
melantik dirinya sendiri sebagai Raja Siam bergelar Phra Putrra Yu’ Fa Chula Lok atau Raja Rama. Raja Rama inilah yang memindahkan pusat pemerintahan dari Thonburi ke Bangkok.
Dua tahun kemudian, pada tahun 1784, Burma telah menyerang negeri Ligor yang berada dalam jajahan Siam. Raja Rama telah menghantar bantuan tentera dari Bangkok ke Ligor yang diketuai oleh adiknya sendiri (Raja Muda Siam) untuk menentang tentera Burma. Peperangan itu telah belangsung selama beberapa bulan yang berakhir setelah tentera Burma berundur meninggalkan Ligor.
Raja Muda Siam kemudian membawa tenteranya ke Singgora yang ketika itu juga telah berada di dalam jajahan Siam, untuk mengatur strategi pemerintahan dari sana. Satu perutusan telah dihantar oleh Raja Muda Siam ke Patani supaya tunduk dan menjadi negeri di bawah jajahan Siam tanpa perlu berlakunya peperangan. Alasannya ialah Patani telah engkar tuntutan supaya menghantar bantuan pada tahun 1776.
Di
 Patani pula, Sultan Muhammad telah bermesyuarat dengan dengan 
pembesar-pembesar negeri. Keputusannya ialah bersedia untuk berperang 
jika Siam
 meneruskan niat menakluk dan menghapuskan kedaulatan Islam di Patani. 
Rakyat Patani pula menyambut berita persediaan perang itu dengan hati 
terbuka kerana peluang jihad telah ada di depan mata mereka. Mereka 
mudah menerima seruan jihad tersebut kerana ketika itu Patani merupakan 
pusat dakwah Islam di Nusantara. Ramai ulama telah dilahirkan di Patani 
begitu juga pendakwah luar seperti Aceh, Jawa, Palembang, Sulawesi, 
Borneo, Mindanao, Arab dan India juga datang berdakwah atau mendalami 
ilmu mereka di sana.
Meski
 pun peralatan senjata perang Patani telah usang dan ketinggalan zaman, 
namun rakyat Patani tidak melihat senjata perang itu sebagai penyebab 
menang atau kalah di medan
 perang. Keyakinan dengan pertolongan Allah SWT sahaja adalah azimat 
terbaik dan tiada yang lain dapat menentukan kalah menang dalam perang 
tersebut, melainkan atas kuasa Allah Taala jua. Begitulah tahap keimanan
 rakyat Patani pada waktu itu dalam amalan mereka sebagai umat Islam.
Rakyat
 Patani yang menyertai pasukan pertahan telah dibahagikan kepada dua 
pasukan. Pasukan pertama berkawal di kubu-kubu di tepi pantai untuk 
menahan serangan Siam
 dari arah laut. Pasukan kedua berkawal di hadapan Kota Istana Chabang 
Tiga. Meriam Seri Negara dan Meriam Seri Patani yang telah beberapa kali
 mengalahkan tentera Siam dalam peperangan sebelumnya, telah dibawa semula ke luar kota
 Istana untuk menyambung tugas yang sekian lama berehat, semenjak 
pemerintahan Raja Kuning lagi. Peperangan terakhir menggunaka kedua-dua 
meriam tersebut menentang Siam ialah pada tahun 1632 dan 1633, iaitu 
lebih 150 tahun ianya disimpan dan tidak digunakan.
Beberapa hari selepas rakyat Patani bersedia menghadapi serangan Siam, maka tibalah angkatan perang Siam
 yang diketuai oleh Phraya Kalahum di Kuala Patani. Mereka berlabuh di 
situ kerana menunggu masa yang sesuai untuk melancarkan serangan.
Sewaktu angkatan Siam
 berlabuh di Kuala Patani, terdapat pakatan jahat untuk menjatuhkan 
Patani, yang didalangi oleh salah seorang pembesar Patani. Pembesar 
tersebut adalah orang Siam
 berasal dari Ligor bernama Nai Chan Tung. Beliau bersama beberapa orang
 rakannya telah datang ke Patani dan melakukan banyak jasa dan bakti 
kepada negeri Patani. Di atas jasanya itu Sultan Muhammad telah menaruh 
kepercayaan serta melantiknya sebagai pembesar raja.
Rancangan
 jahat yang dilakukan oleh Nai Chan Tung ialah dengan berpura-pura serta
 bermuka-muka dengan Sultan Muhammad. Beliau telah mengadap Sultan 
Muhammad dengan tergopoh gapah apabila angkatan Siam
 mula tiba di Kuala Patani. Lalu menceritakan kebimbangan serangan 
tersebut serta berjanji di hadapan Sultan Muhammad bahawa beliau sanggup
 berperang dengan bangsa sendiri untuk mempertahankan Patani. Beliau 
memohon supaya dilantik sebagai ketua pasukan Patani di kubu tepi pantai
 dan dikurniakan sebuah perahu besar lima
 hasta beserta kelengkapan senjata dan meriam. Melihat kesungguhan Nai 
Chan Tung, Sultan Muhammad telah terpedaya dengan helah yang dikenakan 
terhadap baginda. Lalu diperkenankan permohonan tersebut.
Nai
 Chan Tung keluarlah dengan perahunya menuju ke arah kubu pertahanan 
pantai Patani dengan penuh sifat kepuraan. Rancangan khianatnya untuk 
menderhaka terhadap Patani semakin hampir tercapai. Apabila menjelang 
waktu malam, beliau kemudiannya menuju ke arah kapal angkatan Siam dan meminta kebenaran untuk berjumpa Phraya Kalahum. Di hadapan panglima Siam
 tersebut, Nai Chan Tung telah mendedahkan rahsia pertahanan Patani, 
menerangkan lokasi kubu-kubu tentera serta tempat simpanan senjata. 
Setelah selesai membocorkan rahsia pertahanan Patani, Nai Cham Tung 
terus melarikan diri ke Singgora. 
Apabila
 tiba saat terbaik untuk melancarkan serangan, Phraya Kalahum pun 
mengarahkan pasukan meriamnya membedil secara serentak ke arah kubu-kubu
 pertahanan pantai Patani. Banyak bedilan tersebut tepat mengenai 
sasaran kerana rahsia lokasi kubu-kubu tersebut telah berada di tangan 
pihak Siam. Walaupun Setelah pertahan pantai Patani semakin lemah, maka angkatan Siam
 mula mendarat di pantai. Pasukan Patani tetap melawan sehinggalah 
mereka semua terkepung dan terputus hubungan dengan pertahan di hadapan kota dalam negeri. Namun pasukan itu dihancurkan dan ditawan oleh tentera Siam. Meriam mereka pula telah dirampas dan kubu mereka juga telah diambil alih oleh tentera Siam.
Setelah pasukan pertahanan pantai jatuh ke tangan Siam,
 Phraya Kalahum mengarahkan tenteranya melancar serangan ke dalam 
negeri. Serangan tersebut bagaimana pun mendapat tentangan hebat 
daripada rakyat Patani. Manakala Sultan Muhammad sendiri telah keluar 
mengatur pertahanan dari serangan Siam. Meriam Seri Negara dan Seri Patani telah berjaya meredakan kemaraan tentera Siam daripada menghampiri kota. Peperangan tersebut telah berlaku selama beberapa hari sehingga akhirnya tentera Siam berjaya menghampiri pasukan pertahanan kota.
 Maka berlakulah peperangan secara berdepan dan senjata pendek seperti 
pedang, keris, tombak, lembing, parang dan sebagainya digunakan.
Peperangan tanpa henti selama beberapa hari itu menyebabkan Sultan Muhammad turut serta berada di tengah-tengah medan pertempuran. Pasukan Siam
 telah menggunakan bedilan meriam yang menyebabkan peluru berkenaan 
telah mengenai baginda. Akibat terkena peluru meriam tersebut, Sultan 
Muhammad telah mangkat di medan
 pertempuran disaksikan oleh rakyatnya sendiri. Akibatnya pertahanan 
pasukan Patani mula berpecah dan berundur. Akhirnya Kota Istana jatuh ke
 tangan orang Siam dan mengakibatkan kekalahan pertama kali dalam sejarah kedaulatan Patani.
|  | 
| Trajedi Takbai: Sejarah Mengingatkan Kekejaman Siam Berterusan | 
Tentera Siam
 berada di Patani selama kira-kira sebulan dengan membuat kerja menagkap
 orang-orang Melayu, tidak kira lelaki, perempuan, kanak-kanak bahkan 
orang tua. Habis mereka dibunuhnya. Semua harta benda rakyat Patani 
telah dirampas dan akhirnya Kota Istana Chabang Tiga telah dibakar 
sehingga menjadi arang.
Sebelum tentera Siam pulang ke Bangkok,
 Phraya Kalahum telah mengisytiharkan undang-undang penakluk untuk 
menghapuskan hak orang Melayu. Orang Melayu ditangkap seramai mungkin 
untuk dijadikan hamba tawanan perang. Meriam Seri Negara dan Seri Patani
 yang dibina semasa pemerintahan Raja Biru turut dirampas untuk dibawa 
kembali ke Bangkok. 
Meriam Seri Negara bagaimana pun terjatuh ke muara Kuala Patani semasa 
kerja pemunggahan dilakukan. Hanya meriam Seri Patani yang dapat 
diangkut dan telah diletakkan di hadapan bangunan Jabatan Pertahanan di  Bangkok.
Di
 sini jelaslah bahawa punca kejatuhan Patani adalah berpunca daripada 
pembocoran rahsia pertahanan Patani oleh Nai Chan Tung kepada Siam. Pengkhianatan adalah punca utama kepada kejatuhan kerajaan Islam Patani ini. Nai Cham Tung adalah bangsa Siam yang dilantik sebagai pembesar telah melakukan pengkhianatan kepada orang Melayu.  Faktor-faktor
 lain adalah punca sampingan yang tidak mempengaruhi secara langsung 
kekalahan Patani tersebut. Jika dikaji dengan teliti dalam sejarah Tanah
 Melayu, kejatuhan kerajaan sebenar ialah melalui pengkhianatan oleh 
orang luar yang tinggal di dalam negeri. Mereka inilah yang menunggu 
masa untuk menangguk di air keruh…..


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan