PERKARA
 paling menakutkan untuk kita bayangkan ialah jika negara jatuh bankrap 
yang sudah pasti akan membawa rakyat kepada suatu kehidupan yang 
memeritkan, terpaksa menganggur dan harga barang melambung.
Itulah gambaran diberikan Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) yang 
menjangka hutang negara meningkat 100 peratus berbanding Keluaran Dalam 
Negara Kasar (KDNK) 2019 jika dasar pemberian subsidi diteruskan.
Menurut
 MRS, Malaysia mungkin akan bankrap dalam tempoh sembilan tahun akan 
datang jika polisi yang diamalkan sekarang diteruskan dengan mengambil 
kira jumlah pembiayaan subsidi ditanggung kerajaan mencecah lebih RM70 bilion setahun.
Subsidi boleh dimansuhkan jika rakyat mampu membeli barangan keperluan asas pada harga sebenar.
Malangnya, sebahagian besar rakyat masih tergolong dalam kelompok berpendapatan sederhana dan miskin.
Golongan
 ini masih memerlukan bantuan daripada kerajaan dalam bentuk subsidi 
untuk meneruskan kehidupan kerana kos sara hidup tinggi, terutama mereka
 yang tinggal di bandar besar.
Kerajaan
 seharusnya bersedia menyemak semula pendapatan semua sektor pekerjaan 
di negara ini kepada nilai munasabah supaya masyarakat boleh berkompromi
 sekiranya subsidi ditarik semula.
MRS
 ditubuhkan untuk mengkaji langkah sesuai dalam merasionalisasikan 
pemberian subsidi agar kesan pemansuhan atau pengurangannya tidaklah 
sehingga menjejaskan kehidupan rakyat disampaing berupaya mengukuhkan 
ekonomi negara.
Langkah
 yang seperti ini sangat penting untuk memastikan negara kekal berdaya 
saing sekali gus mewujudkan iklim pelaburan yang telus dan mapan.
Mengikut cadangan makmal itu, pemberian subsidi antara aktiviti perdagangan yang tidak menguntungkan.
Ia menimbulkan kesan ke atas ekonomi Malaysia yang sedang membangun.
Pengumuman
 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengenai 
bahana yang akan menimpa negara dalam tempoh sembilan tahun akan datang 
jika negara masih mengekalkan subsidi termasuk antara kesan jangka panjang yang dijangkakan jika polisi itu diteruskan.
Kalau benar disebabkan subsidi negara boleh jatuh bankrap, rakyat sudah tentu rela ia dihapuskan.
Ini
 kerana tiada rakyat yang mahu negaranya bankrap sekali gus lebih teruk 
menjejaskan berbanding kehidupan yang dilalui sekarang.
Bagaimanapun
 timbul persoalan dalam isu tingkat pendapatan, apakah dengan apa yang 
diperolehi majoriti hari ini, rakyat Malaysia mampu hidup selesa dalam 
keadaan kos hidup mencanak sedangkan tangga gaji di takuk lama?
Usaha
 kerajaan melalui Model Ekonomi Baharu (MBE) dilihat cuba menumpukan 
peningkatan pendapatan per kapita rakyat menjelang 2020 dan 
mempertingkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah serta 
sederhana rendah kepada 40 peratus sepanjang MBE dilaksanakan.
Bagaimanapun, apakah kadar pergerakan gaji atau pendapatan rakyat seiring dengan pergerakan kos hidup secara purata tahunan?
Jika
 kenaikan pendapatan per kapita rakyat selari dengan penghapusan subsidi
 secara berperingkat oleh kerajaan, mungkin ia tidak akan menjejaskan 
kehidupan rakyat secara keseluruhannya.
Bagaimana jika penghapusan subsidi tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat?
Apakah kerajaan boleh beri jaminan jika subsidi dihapuskan, negara lebih kompetitif dan pendapatan rakyat akan meningkat?
Atau
 adakah kerajaan perlu cari jalan memastikan negara kompetitif dan 
pendapatan rakyat meningkat serta kemudian baru hapuskan subsidi 
berperingkat?
Kenyataan
 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi media semalam, 
bahawa kerajaan sedang mencari jalan melindungi dan mengurangkan kesan 
kenaikan kos hidup (dalam konteks ayat beliau merujuk kepada kenaikan
 tol dan tarif elektrik) secara tidak langsung menjawab persoalan itu 
bahawa kerajaan pada masa ini belum menemui sebarang mekanisme sesuai 
untuk mengatasi masalah itu.
Atas
 sebab itulah, di sebalik tindakan mengurangkan atau menghapuskan 
subsidi yang sebagaimana disebut perdana menteri bahawa sesuatu yang 
tidak mungkin dapat dielakkan, rakyat di mana-mana juga menjerit dan membantah kerana berasa hidup semakin terhimpit.
Inilah
 yang meresahkan sebahagian besar rakyat yang ber-pendapat kerajaan 
harus mencari langkah paling sesuai untuk menangani masalah ekonomi 
sebagaimana yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana 
menteri pada era kemelesetan ekonomi 1987 dan 1997, bukan dengan terus 
meletakkan beban kepada rakyat.
Lebih-lebih lagi isu pembaziran, ketirisan, rasuah dan kecekapan masih menjadi isu pentadbiran kerajaan.
Sedangkan
 negara semaju Amerika Syarikat (AS) pun masih memberi subsidi dalam 
pelbagai sektor industri dan perkhidmatan sebagai mekanisme perlindungan
 industri negaranya.
Subsidi tanaman jagung, kerajaan AS memberi sebanyak AS$73 billion sepanjang tempoh 2006 hingga 2009.
Walaupun
 ia menyebabkan barangan komoditi negara sedang membangun terjejas, 
tetapi dari segi pertanggungjawaban AS terhadap industri dan rakyat, 
tidak boleh dipertikaikan.
Dalam
 konteks negara kita, bolehkah kerajaan memberik statistik pulangan dari
 segi daya saing dan gandaan yang bakal diperolehi daripada langkah 
penghapusan subsidi? Bolehkah kerajaan mengunjurkan peningkatan 
pendapatan rakyat hasil tindakan ini?
Kalau
 kenaikan tepung tahun depan sebanyak 20 sen dan tahun seterusnya 25 
sen, maka sehingga 2015, harga tepung akan meningkat kepada RM1.20 iaitu
 lebih 50 peratus kenaikan. Ini belum dikira lain-lain barang kawalan. Apakah ini selaras dengan unjuran pendapatan per kapita rakyat ditetapkan MBE bagi tempoh sama?
Kalau pendapatan kita tinggi, secawan kopi berharga RM10 pun tidak menjadi masalah, satu kepala bufet RM100 pun tidak berbeban.
Sama
 juga dengan harga minyak, bagi yang mampu dan mempunyai kereta yang 
cukai jalannya RM2,000 atau RM10,000 pun tidak menjadi masalah jika 
minyak RM2.50 seliter.
Sejauh manakah MRS yang akan dilaksanakan membantu golongan miskin dan berpendapatan sederhana?
Sementara
 itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk 
Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu menubuhkan jawatan kuasa yang 
serius dan komited memantau kenaikan harga barangan untuk menyekat 
kenaikan harga.
Katanya, bukan rakyat yang patut berjimat cermat tetapi kerajaan harus mengurus perbelanjaan lebih efektif.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan