Satu 
dapatan kontroversi yang pernah tersiar di dada akhbar suatu ketika 
dulu, memaklumkan kepada masyarakat bahawa hanya seorang sahaja daripada
 887 orang pelajar remaja perempuan bermasalah yang ditemu ramah mengaku
 belum pernah mengadakan hubungan seks. Sama ada kita percaya ataupun 
tidak, itulah angka yang diberitahu kepada kita oleh seorang pensyarah 
dari Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) yang menjalankan kajian tentang
 hubungan seks sebelum kahwin bagi remaja-remaja perempuan yang dikenal 
pasti berisiko tinggi terbabit dalam kes-kes seperti itu   
Bagi 
sesetengah pihak, dapatan kajian seperti di atas, jika benar sekalipun, 
sepatutnya tidak didedahkan kepada umum, kerana dibimbangkan akan 
mengundang keresahan di kalangan masyarakat, terutamanya ibu bapa. 
Justeru, tidak pelik sekiranya terdapat pihak-pihak tertentu yang 
seolah-olah mempertikaikan kredibiliti kajian tersebut, termasuk meragui
 data-data yang dikemukakan, kaedah dan metodologi pengumpulan data, dan
 jumlah sebenar yang terlibat, malah mempersoalkan makna seks dalam 
kajian itu sendiri.
Lupakan
 dahulu tentang kesilapan taip yang berlaku dalam kajian tersebut, 
kerana isu remeh-temeh tersebut bukannya persoalan kita di sini. Lupakan
 dahulu jumlah sebenar yang terlibat dengan andaian terdapat sebahagian 
daripada responden tersebut bercakap bohong. Namun yang menjadi 
persoalannya di sini ialah hakikat bahawa hubungan seks di kalangan 
remaja sememangnya berlaku, telah dan sedang berlaku. Kenapa dan mengapa
 gejala ini boleh berlaku? Jawapannya, pasti bukan sehala sahaja, kerana
 isu ini saling berkaitan dengan isu-isu yang lain.
Secara 
fitrahnya manusia diciptakan untuk saling mengenali pasangan 
masing-masing. Bagi remaja lelaki, perasaan ingin mengetahui anggota 
sulit perempuan pastinya meluap-luap sesudah bergelar akil baligh. Kalau
 dahulu remaja lelaki selalu dilihat mengendap orang perempuan mandi di 
sungai atau perigi, namun kini dengan teknologi yang canggih, alternatif
 kepada perbuatan tersebut berlambak-lambak.
Di 
pasar malam, video lucah boleh didapati dengan begitu mudah dan murah 
sekali. Di internet, akses kepada laman web lucah bukanlah sesuatu yang 
sukar, walaupun kerajaan mendakwa telah berusaha untuk menghalangnya. 
Dan kini, dengan wujudnya telefon bimbit berkamera, gambar wanita bogel 
dan aksi-aksi yang mengghairahkan boleh sahaja dirakam dan kemudiannya 
disebarkan melalui Perkhidmatan Pesanan Multimedia(MMS).
Bagi 
remaja perempuan pula, keinginan yang sama seperti remaja lelaki juga 
mungkin wujud. Namun biasanya dalam keadaan terkawal, serta diimbangi 
perasaan takut untuk mencuba dan sifat semula jadi mereka yang pemalu. 
Bagaimanapun, golongan ini mudah menjadi mangsa keadaan lantaran 
pergaulan bebas dengan rakan-rakan lelaki yang kebiasaannya akan 
mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kejujuran teman wanita 
mereka.
Banyak 
kes yang kita dengar remaja perempuan diberi minum air yang telah 
dicampurkan dengan pil kuda bagi mengkhayalkan dan meransang keinginan 
seks mereka. Ketika dalam keadaan tidak sedar atau separuh sedar itulah,
 remaja tersebut menjadi mangsa rogol dan rakaman aksi bogel. Akhirnya 
mereka menjadi mangsa touch 'n' go dan terperangkap dalam lingkaran 
ganas yang mengelilingi mereka.
Sebahagian
 daripada remaja terbabit mengambil sikap berdiam diri lantaran malu 
dengan peristiwa yang berlaku. Manakala sebahagian yang lain pula 
mungkin terpaksa dan dipaksa untuk terus terlibat dalam kegiatan tidak 
bermoral. Bagaimanapun, tidak mustahil terdapat sebahagian daripada 
mereka yang mulai seronok dan gian dengan apa yang berlaku, lalu tidak 
segan-segan menjadi 'Minah Rempit' dan perempuan simpanan bagi teman 
lelaki mereka.
Selain 
itu, desakan hidup untuk kelihatan bergaya dan menarik juga sedikit 
sebanyak turut menyumbang kepada hubungan seks di kalangan remaja 
perempuan. Siapa yang tidak mahu memiliki telefon bimbit pintar, memakai
 pakaian dan perhiasan yang berjenama terkenal, serta menikmati juadah 
di hotel-hotel dan restoran-restoran lima bintang. Semuanya ini mudah 
diperoleh oleh remaja-remaja terbabit lantaran kini semakin banyak 
terdapatnya 'sugar daddy' yang masing-masing diketahui mempunyai masalah
 dengan isteri di rumah.
BILA SEMUA ORANG TIDAK BERETIKA
Di 
zaman yang serba canggih ini, risiko untuk mengandung akibat hubungan 
seks luar nikah mungkin sudah tidak menjadi suatu yang membimbangkan 
lagi bagi remaja-remaja perempuan yang berisiko tinggi tersebut. Mereka 
mungkin telah dipujuk oleh teman lelaki mereka yang berjanji untuk 
menggunakan kondom semasa melakukan hubungan seks tersebut.
Jika 
ditakdirkan mengandung juga, jangan bimbang, sekarang ini terdapat pil 
yang boleh menggugurkan kandungan yang boleh didapati dengan mudah di 
farmasi-farmasi dan kedai-kedai ubat Cina. Jika petugas di farmasi A 
enggan menjual pil tersebut kerana kegagalan anda mengemukakan 
preskripsi doktor, pergi sahaja ke farmasi X. Jika gagal mendapatkan pil
 tersebut melalui pintu hadapan, sekali lagi jangan bimbang, pintu 
belakang ternganga luas.
Kemudian,
 jika pil yang dimakan gagal menggugurkan kandungan haram tersebut, 
jangan panik, doktor-doktor palsu yang berkhidmat di klinik-klinik 
swasta bersedia sepanjang masa membantu anda, asalkan anda sedia 
membayar perkhidmatan yang ditawarkan. Bukan setakat doktor-doktor palsu
 sahaja, malah doktor-doktor yang kononnya tulen, tetapi tidak pernah 
serik melacurkan etika kedoktoran mereka juga bersedia mengatasi masalah
 kehamilan remaja-remaja perempuan terbabit.
Dalam 
hal ini kita dapati ibu bapa mungkin lansung tidak mengetahui bahawa 
anak gadis mereka sebenarnya sudah tidak sunti lagi. Oleh itu, 
pendedahan kajian ini kepada umum sekurang-kurangnya akan menyedarkan 
ibu bapa tentang kemungkinan anak-anak mereka juga mungkin terlibat 
dalam kes-kes seperti ini. Maklumlah ibu bapa sekarang ini tidak 
mempunyai banyak masa untuk mengawasi pergerakan dan kegiatan anak-anak 
mereka kerana kedua-duanya sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Maka 
jelaslah kepada kita sekarang ini bahawa masalah ini saling berkait 
rapat dengan masalah-masalah yang lain. Justeru, penyelesaian kepada 
masalah ini mestilah secara menyeluruh, bukannya terarah kepada para 
remaja sahaja. Dalam hal ini, terdapat cakap-cakap yang menyarankan agar
 pendidikan seks atau reproduktif diperkenalkan di sekolah-sekolah 
sebagai sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah ini.
Kempen 'Seks Selamat' dengan mengedarkan kondom kepada masyarakat, sebenarnya menggalakkan zina
PENDIDIKAN SEKS: MODEL BARAT VS ISLAM 
Bagaimanapun,
 kita mempunyai sebab untuk merasa bimbang seandainya kurikulum 
pendidikan seks tersebut sebahagian besarnya diambil dari Barat. Hal ini
 kerana pendidikan seks dalam Islam bukan sahaja setakat mengajar para 
pelajar supaya menjauhkan diri daripada melakukan zina, malah mendekati 
zina pun sudah dianggap sebagai satu kesalahan dan dosa besar. Begitu 
juga, tidak memadai jika kita hanya memberitahu para remaja bahawa 
penyakit AIDS boleh dielakkan jika mereka memakai kondom jika mereka 
memakai kondom semasa melakukan hubungan seks.
Pendidikan
 seks dalam Islam yang biasanya dibincangkan dalam kitab-kitab fikah 
sebenarnya sudah lengkap dan menyeluruh. Pertama sekali ibu bapa 
diingatkan agar memisahkan tempat tidur mereka dengan anak-anak, dan 
tempat tidur antara anak-anak lelaki dengan anak-anak perempuan, iaitu 
selewat-lewatnya ketika anak-anak berusia tujuh tahun. Anak-anak juga 
hendaklah dididik supaya mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum memasuki
 bilik tidur ibu bapa mereka.
Kemudian,
 anak-anak tadi diajar tentang tanda-tanda baligh bagi kanak-kanak 
lelaki dan perempuan, dan tanggungjawab mereka setelah mencapai umur 
tersebut. Mereka juga diajar tentang batas-batas aurat bagi lelaki dan 
perempuan, serta batas-batas pergaulan antara kedua-duanya. Selain itu, 
mereka juga diminta menjaga pandangan mereka daripada melihat 
perkara-perkara yang tidak baik, di samping bertanggungjawab menjaga 
kehormatan diri masing-masing.
Islam 
juga menekankan tentang peri pentingnya perkahwinan, serta memudahkan 
jalan kearah perkahwinan dengan memberi perhatian terhadap keberkatan di
 sebalik mas kahwin yang rendah, pemilihan bakal isteri dan suami yang 
berasaskan kepada agama, dan tanggungjawab yang wajib dipikul sama ada 
oleh isteri mahupun suami. Sebelum itu, Islam tidak lupa mengajar 
umatnya tentang adab-adab semasa bertunang, termasuk mengharamkan 
meminang anak gadis yang telah disunting.
Oleh 
itu, pendidikan seks dalam Islam bukan sahaja merangkumi hubungan antara
 lelaki dengan perempuan, tetapi turut melibatkan ibu bapa, masyarakat, 
pemerintah, dan yang pentingnya, tanggungjawab masing-masing, pihak 
terhadap diri, pasangan mereka, dan Allah s.w.t Sehubungan ini, pihak 
kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran disarankan agar menyusun semula
 kurikulum yang sedia ada, termasuk memikirkan semula kaedah pengajaran 
dan pembelajaran berkaitan pendidikan seks dengan mengambil kira 
perkembangan yang berlaku pada hari ini.
"Pendidikan seks dalam Islam bukan sahaja merangkumi hubungan antara lelaki dengan perempuan, tetapi turut melibatkan ibu bapa, masyarakat, pemerintah, dan yang pentingnya, tanggungjawab masing-masing pihak terhadap diri, pasangan mereka, dan Allah s.w.t"
Sekali 
lagi, jangan kita berbalah tentang angka, kerana sebelum ini pun kita 
telah acap kali berbalah tentang angka. Hasilnya, bukan sahaja punca 
kepada masalah tersebut gagal ditangani, malah angka tersebut pula 
semakin bertambah tahun demi tahun. Jangan tanya orang lain, tanya diri 
kita sendiri. Apakah yang telah kita lakukan bagi mengubah angka-angka 
tersebut menjadi sifar?

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan