Isnin, 15 Oktober 2012

BATU SEMPADAN ANTARA KEDAH DAN PULAU PINANG

31 Ogos akan menjelang lagi.Dua tahun lalu sewaktu 31 Ogos pihak Pinang Tunggal Revisit telah mencoretkan tentang sejarah Batu Sempadan yang wujud di dalam kawasan Pinang Tunggal. Tulisan berkenaan batu sempadan itu dapat dibaca di SINI Hasil coretan tersebut telah menarik perhatian Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas untuk datang dan melawat monumen tersebut dan melakukan serba sedikit kerja kerja pemulihan iaitu dengan membersihkan semak samun dan mengecat semula batu tersebut seperti mana yang terdapat di entry INI. Pun begitu hasrat asal kami untuk menarik perhatian pihak Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal tidak kesampaian. Walaubagai mana pun usaha yang dijalankan oleh Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas telah menarik perhatian Persatuan Siam Kedah yang begitu kuat melobi pihak kerajaan untuk memulihara batu tersebut. Usaha mereka telah bermula sejak tahun 2010 lagi melalui laman web mereka di SINI. 
Akhirnya usaha yang dijalankan oleh mereka telah berjaya kerana pihak Persatuan Siam Kedah mempunyai seorang Senator mewakili kaum Siam yang bernama Senator Boon Som Inong . Dengan sokongan daripada Senator berkenaan dan juga Konsul Thailand di Pulau Pinang, pihak jabatan warisan negara telah mengambil inisiatif melawat tapak berkenaan bersama pihak Senator Boon Som Inong,Pengarah Bahagian Pendaftaran dan Penguatkuasaan Jabatan Warisan Negara dan juga Ketua Pengarah Bahagian Triti Perundangan Kementerian Luar Thailand, Ittiporn Boonprachong.

Kini monumen batu sempadan berkenaan telah pun dipasang dengan pondok yang melindunginya dari panas dan hujan. Yang kami kesalkan ialah usaha permulaan yang dijalankan oleh pihak Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas langsung tidak dinyatakan dalam sidang media berkenaan. Berita penuh lawatan pihak berkenaan telah menjadi sisipan dalam akhbar utama iaitu Utusan Malaysia seperti dipaparkan dalam laman web INI.

Bagi orang melayu, batu Sempadan ini seperti tidak ada signifikannya kerana tidak memberi sebarang faedah kepada orang Melayu. Tapi bagi pihak masyarakat Siam di Malaysia batu ini amat bermakna bagi mereka. Batu ini menjadi bukti kukuh dalam usaha mereka menolak tuduhan pihak-pihak tertentu yang cuba menafikan hak mereka dengan menyatakan mereka adalah pendatang di bumi Malaysia ini. Soal pendatang bukanlah soal penting bagi masyarakat Siam di Malaysia tapi lebih kepada isu hak mereka yang belum dipenuhi walaupun di iktiraf oleh kerajaan sebagai Bumiputra Malaysia. Pun begitu masih terdapat beberapa isu yang masih belum selesai walaupun dengan pengiktirafan mereka sebagai bumiputra. Antara isu yang masih manjadi duri dalam daging bagi masyarakat Siam di Malaysia ialah isu tanah rezab. Mereka masih memperjuangkan hak mereka mendapat tanah rezab sama seperti kaum Melayu yang mempunyai Tanah Rezab Melayu. Disamping itu juga mereka sedang berusaha mendapatkan kouta rumah Bumiputra sama seperti yang dimiliki oleh orang Melayu.

Penulis tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai usaha pihak Masyarakat Siam dan perjuangan mereka memohon hak dari pihak kerajaan kerana saya sendiri mempunyai ramai kawan dari masyarakat Siam. Penulis tidak pernah menganggap mereka sebagai pendatang kerana mereka sebenarnya telah pun berada di sini sebelum British sampai ke Malaya.  Hubungan antara masyarakat Siam dan Melayu telah lama wujud dan mereka seharusnya di berikan hak sama seperti orang Melayu.

Apapun penulis agak terkilan kerana usaha yang pemuliharaan yang dijalan oleh Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas dan juga kami di Pinang Tunggal Revisit,dipandang sepi oleh pihak berkuasa. Untuk pengetahuan semua, penulis telahpun berusaha memperjuangkan nasib Batu Terat Sempadan ini sejak kali pertama mendengar kisahnya dari arwah nenek penulis.Bahkan waktu penulis di tingkatan 3 lagi penulis telah berusaha merakamkan gambar keadaan batu ini yang tidak terurus. Pada waktu itu batu ini sukar untuk didekati kerana terletak di tengah sawah padi. Hanya satu batas sempit yang menghubungkan batu ini dari arah Pulau Pinang dan juga Kedah.Untuk datang dari arah Pulau Pinang, penulis terpaksa memanjat pagar berkawat duri sebelum meniti di atas batas sempit. Baru-baru ini penulis telah menemui semula negatif filem asal yang penulis ambil pada tahun 1998 yang lalu.Jika berkesempatan penulis akan cuba memaparkan wajah asal batu ini pada waktu itu.

Keadaan Batu Terat Pada Tahun 1998
Batu Terat Yang Terletak Di Atas Batas Dihujung Batas Terdapat Kubur Lama Di Dalam Kebun Getah
Pada waktu itu batu ini langsung tidak dipandang orang. Tambahan pula penduduk kampung takut mendekati batu ini kerana kononnya dibawah batu ini ditanam kepala orang bagi mengukuhkannnya. Kalau dapat dilihat di hujung batas ini pula dibawah lindungan pokok getah terdapat beberapa kubur lama yang dikatakan keramat. Itu kisah 15 tahun yang lalu.Kini Batu Terat ini mudah sahaja didekati kerana projek tebatan Sungai Muda menyebabkan kawasan sekeliling batu ini telah di sediakan jalan yang boleh digunakan oleh kenderaan.

Pada mesyuarat Agung Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas yang berlangsung pada 17 Julai 2012 yang lalu, Penulis telah mengusulkan supaya pihak persatuan mencari kembar kepada Batu Sempadan ini. Menurut tulisan sebuah buku yang penulis pernah baca pada awal 1990an yang lalu, sebenarnya terdapat 3 batu seumpama ini yang menjadi tanda sempadan Pulau Pinang selepas perjanjian dengan siam pada 1831. Batu sempadan pertama yang dibina ialah yang terletak di sempadan kampung Terat Batu dan juga Ekor Kucing/ Bukit Sementol Pinang Tunggal. Seterusnya pihak British membina batu-batu sempadan yang lebih kecil dan tidak mempunyai inskripsi sepanjang garis sempadan hinggalah ke bahagian belakang Banjaran  Timur Bukit Mertajam. Di belakang banjaran timur Bukit Mertajam Terdapat sebuah lagi batu Sempadan yang besar yang mempunyai inskripsi. Walaubagaimana pun batu berkenaan dikatakan telah dimusnahkan sewaktu proses pembinaan empangan Mengkuang.Banyak pihak keliru dengan batu batu sempadan lain yang lebih kecil seperti yang terdapat di dalam ladang Sawit di belakang kawasan rumah murah Kampung Selamat.
Kedudukan Tiga Batu Sempadan Yang Mempunyai Tulisan
Memandangkan setiausaha kehormat Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas bertugas di Pusat Kegiatan Guru (PKG), penulis memohon jasa baik beliau untuk menghubungi pengurus PKG-PKG di kawasan Seberang Perai Selatan dan juga Bandar Baharu Kedah untuk membantu proses mengesan batu Sempadan terakhir yang mempunyai inskripsi. Pencarian ini adalah berdasarkan satu petikan dari sebuah buku yang dimiliki penulis. Sayangnya penulis gagal mencari tajuk buku tersebut kerana telah rosak dalam banjir besar 2003 yang lalu.Berdasarkan buku tersebut batu sempadan ketiga terletak di suatu kawasan bernama Bukit Tunggal yang terletak di sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang pada waktu itu 
Catatan Dalam Sebuah Buku Sejarah Berkenaan Kedudukan Batu Sempadan
Ironisnya Bukit Tunggal yang mempunyai nama seakan Pinang Tunggal telah menjadi tempat untuk pihak British meletakkan Batu Tanda Sempadan berinskripsi terakhir. Pada waktu itu sempadan Seberang Perai atau Province Wellesley adalah menggunakan Sungai Muda dan juga Sungai Krian sahaja dan melibatkan negeri Kedah yang terletak di bawah naungan kerajaan Siam. Walaubagaimana pun sekiranya dilihat sempadan Seberang Perai sekarang terdapat satu jaluran tanah diseberang Sungai Krian yang menjadi sebahagian Seberang Perai.Sebenarnya tanah ini telah diberikan oleh Kesultanan Perak selepas perjanjian Pangkor pada tahun 1874 yang juga beransur curang. Kawasan itu kini lebih dikenali sebagai Transkrian.

Pihak Penulis telah berusaha berberapa kali untuk menjejak batu berkenaan tetapi gagal kerana Bukit Tunggal sudah tidak lagi wujud dalam peta terbaharu Pulau Pinang. Walaubagaimana pun pada peta yang penulis miliki pada tahun 1996 nama Bukit Tunggal masih wujud. Kini satu-satunya harapan adalah melalui pertanyaan yang dilakukan oleh Cikgu Anuar. Semoga beliau berjaya menemui kedudukan batu berkenaan untuk dilawati dan dipulihara oleh Persatuan Sejarah Cawangan Kepala Batas. Siapa tahun mungkin selepas penemuan ini Batu Sempadan itu mempunyai nilai signifikan kepada pihak pihak tertentu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin