RAWATAN TRADISIONAL
Islam
amat menitikberatkan soal-soal aqidah dan syariah. Segala amalam dan
kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber asal Al-Quran,
Hadiths, Ijmak dan Qias adalah ditolak.
Namun amalan khurafat ( superstitions ) yang diwarisi oleh nenek
moyang kelihatan masih terus juga bertapak di tengah masyarakat masa
kini dan menjadi semacam satu masalah yang menganggu kejernihan dan
kestabilan Aqidah Islami.
Pembahasan mengenai khurafat adalah terlalu luas. Dengan itu di sini
kami tumpukan skop pembahasan kepada pengertian khurafat, bentuk-bentuk
khurafat yang masih dipraktikan masa kini, khususnya penggunaan tangkal,
azimat & wafaq dan bahaya amalan-amalan tersebut, khususnya masalah
penggunaan khadam jin dan masalah saka.
Diharapkan memalaui lelaman ini, dapat digerakkan usaha membenteras
amalan-amalan tersebut daripada terus menular agar masyarakat dapat
diselamatkan daripada terjebak dalam bahaya syirik. Firman Allah yang
bermaksud :
"..... dan siapa yang ingkar ( akan syariat Islam ) sesudah dia
beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya ( yang baik ) dan adalah dia
pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi."
( Al-Maidah :5 )
"..... dan sesiapa di antara kamu yang murtad ( berpaling tadah )
dari agamanya ( agama Islam ), lain dia mati sedang dia kafir, maka
orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya ( yang baik ) di
dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di
dalamnya ( selama-lamanya )"
( Al-Baqarah : 217 )
Maka itu, persoalan khurafat ini adalah satu perkara yang amat penting
dan serius. Kelihatannya ia perlu difahami dengan baik dan tepat, untuk
membolehkan ia ditangani secara bijaksana dan segera, agar ummah tidak
perlu terus terperangkap dalam bahaya yang dibawanya, samada yang
membabitkan persoalan hidup mereka di dunia ini, atau yang lebih utama
lagi, yang membabitkan persoalan kehidupan mereka di akhirat kelak.
- Perkataan khurafat ini berasal dari bahasa arab : kharafa-yakhrifu-kharfan-khurafatan.
- Dari pandangan bahasa Inggerisnya merujuk kepada "superstition".
- Dalam bahasa Latinnya yang membawa maksud sesuatu yang dipetik,
atau cerita bohong, dongeng dan tahayul, atau sesuatu hal yang tidak
masuk akal, atau sesuatu yang dusta tetapi menarik.
Rujukan teknikal kepada istilah ini adalah tertumpu kepada pengertian berikut :-
- Pegangan atau iktikad yang tidak bersandarkan kepada asas
realiti dan tidak juga bersandarkan asas agama, seumpama ungkapan atau
perbuatan atau juga bilangan tertentu yang disangkakan boleh
mendatangkan kebahagian ataupun kecelakaan.
- Semua kepercayaan, keyakinan atau kegiatan yang tidak bersumber dari ajaran agama, tetapi diyakini bahawa hal tersebut memiliki dasar dari agama.
- Dongeng, kisah, legenda, cerita, asumi, kepercayaan atau
keyakinan yang tidak benar. Ia adalah iktikad yang batil, di mana
lawannya ialah iktikad yang benar ( al-haq ).
- Setiap pengajaran yang jelas bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
- Semua perkara yang dicipta oleh manusia melalui
pemikiran karutnya tanpa asas syariah atau akal sihat; kemudian diyakini
pula sebagai boleh mendatangkan manfaat ataupun menolak bala.
Berdasarkan pelbagai definasi teknikal yang tercatat di atas, ciri dan skop istilah khurafat boleh disimpulkan sebagai merangkumi aspek-aspek berikut :-
- Adanya unsur kepercayaan dan iktikad yang diyakini.
- Ia secara jelasnya bukan datang daripada sumber ajaran agama
Islam, serta bertentangan pula dengan logik akal dan realiti, dan kerana
itu ia merupakan sesuatu yang batil yang langsung tidak mengandungi
unsur kebenaran.
- Ia diyakini sebagai boleh mendatangkan kebahagian/manfaat atau kecelakaan/bala.
|
BERTAPAKNYA AMALAN KHURAFAT DI RANTAU INI |
Lembaran sejarah
telah memcatatkan bahawa manusia yang menghuni rantau ini memulakan
keagamaan mereka dengan menganut fahaman dinamisme-animisme.
DINAMISME
Fahaman dinamisme ialah suatu kepercayaan yang menyakini adanya
tenaga atau kuasa ghaib yang tidak berperibadi pada tumbuh-tumbuhan,
benda-benda, haiwan ataupun manusia sendiri.
Ia berupa prestasi luar biasa yang dimiliki. Maka itu,
lelaki yang sangat berani, kayu yang paling kuat, pokok yang lebih
banyak buahnya dipercayai mempunyai kuasa yang lebih banyak daripada
lainnya.
ANIMISME
Adapun fahaman animisme pula merupakan kepercayaan akan adanya jiwa dan roh yang dapat mempengaruhi kehidupan alam manusia.
Biasanya animisme akan menimbulkan sesuatu praktis seperti
pemujaan dan perhambaan diri kepada sesuatu kuasa ghaib yang
berperibadi, dengan mengharapkan perlindungan atau pertolongan bagi
mendapatkan sesuatu.
Pertolongan makhluk halus adalah sebenarnya daripada makhluk jin.
PENGARUH HINDUISME-BUDDHISME
Seterusnya rantau ini dipengaruhi ajaran Hinduisme-Buddhisme.
Hinduisme-Buddhisme itu sebenarnya sudah mempunyai
unsur-unsurdinamisme-animisme yang tersendiri dan keadaan ini
menyebabkan dinamisme-animisme tidak tergugat dan terus berkembang
KEDATANGAN ISLAM
Sekalipun agama Islam merupakan agama yang cukup ketat dan
cukup tegas unsur tauhidnya, namun cara dan pendekatan pendakwahan dalam
proses penyebarannya di rantau kita ini adalah berlansung dalam bentuk
yang penuh toleransi dengan sikap tidak mengubah, tetapi menyesuaikan :
Dari itu, upacara persembahan dan pemujaan yang diwarisi daripada
fahaman animisme dan Hindu-Buddha tidak terus dihapuskan tetapi
diubahsuai. Maka adat-adat persembahan dan jamuan kepada roh-roh diubah
kepada kenduri tahlil yang dimakan bersama. Adat membakar kemenyan dan
bacaan mentera kepada roh-roh selepas mati diubah kepada upacara tahlil
dan doa dengan nada yang panjang dan sedih.
Dengan pendekatan dakwah bergini ramai sekali golongan manusia memeluk agama Islam tanpa perlu berlakunya pertumpahan darah.
Nanum amalan-amalan keIslaman menjadi bercampur-aduk dengan kepercayaan amalan-amalan yang diwarisi dari nenek moyang kita.
Amalan menyeru, memohon dan memuja makhluk ghaib (
dinamisme-animisme ) masih dihayati dan dipraktik, sekalipun sudah
memeluk Islam
Perlu ditegaskan bahawa satu sikap yang amat terlarang
menurut hukum Islam ialah sikap meminta-minta pelbagai jenis hajat
daripada makhluk jin.
Dalam kontex ini Allah berfirman yang bermaksud :
"Dan bahawa sesungguhnya adalah ( amat salah perbuatan ) beberapa
orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta
pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan
itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat."( Al-Jin 72:6 )
Sekalipun yang diseru itu datangnya daripada golongan jin
Islam yang sahih, ini dilihat sebagai bermasalah dari segi pandangan
Islam yang murni. Dan tentulah akan lebih-lebih dilarang apabila jin
yang berkaitan datangnya daripada golongan jin yang kafir.
Pengekalan tradisi campur-aduk seumpama inilah yang menjadikan ajaran
Islam yang dihayati dan diamalkan oleh sebahagian umat Islam di seluruh
dunia, termasuk di negara kita, menjadi tercemar dan tidak murni.
|
Khurafat muncul dalam bentuk-bentuk yang berbagai-bagai samada dalam bentuk berikut :
Perbuatan tertentu
Ungkapan tertentu
Cerita atau kisah tertentu
Bilangan tertentu
Konsep, prinsip atau mazhab tertentu
Pembahasan mengenai bentuk khurafat adalah terlalu luas. Dengan itu kami
tumpukan skop pembahasan pada penggunaan tangkal, azimat, wafaq,
mentera-mentera asing dan salah-guna ilmu kebatinan, terutama dalam seni
mempertahankan diri. Ini amatlah penting dibincangkan memandangkan
amalan-amalan tersebut masih berleluasa dikalangan umat Islam hari ini.
Azimat, Tangkal dan Wafaq
Azimat, merupakan sebarang benda-benda yang
dipercayai dapat menahan daripada ancaman atau dapat mencegah terjadinya
musibah ke atas diri, keluarga dan harta benda.
Azimat juga diyakini mempunyai kekuatan ghaib dan dipercayai ada khadamnya dari makhluk-makhluk ghaib.
Tangkal, merupakan salah satu bentuk azimat untuk
dipakai seperti gelang tangan yang diperbuat dari benang, kalung yang
diperbuat dari dahan-dahan kayu atau untuk diletakkan di tempat-tempat
tertentu dengan maksud melindung dari gangguan syaitan seperti kemenyan
yang dibalut dengan kain dan diletak di penjuru rumah.
Wafaq, adalah azimat dalam bentuk tulisan-tulisan
berupa huruf, angka, rajah atau gambar yang ditulis atas kertas atau
kepingan tembaga. Ia ditulis dalam bahasa yang tidak difahami dan
kadangkala bercampur-aduk dengan ayat-ayat Al-Quran.
PERSOALAN :
Adakah boleh menggunakan azimat yang dituliskan padanya ayat-ayat Al-Quran, atau nama-nama Allah?
Walaupun pada ulama berbeza pendapat mengenai isu ini, namun dalil-dalil yang melarang pemakaian semua bentuk azimat adalah :
- Kerana umum hadis yang melarang azimat dan tidak disebutkan pula pengecualiannya.
- Kerana boleh menjurus kepada penghinaan Al-Quran, di mana
kadangkala pemakaiannya memasuki tempat-tempat bernajis ataupun sedang
dalam keadaan berjunub, haid dan lain-lain lagi.
- Menganggap remeh ayat-ayat Al-Quran dan bertentangan dengan apa
yang dimuatkan di dalamnya. Allah menurunkan Al-Quran untuk menjadi
petunjuk dari kegelapan, bukan sebagai azimat.
MENTERA
Di antara perbuatan-perbuatan khurafat yang bertentangan dengan
tauhid ialah mengucapkan kata-kata mentera yang tidak diketahui
maknanya. Namun diyakini bahawa mentera itu berpengaruh menolak
kejahatan atau boleh mendapatkan pertolongan khadam jin ataupun
malaikat.
Nama-nama dan kata-kata asing yang tidak pasti ertinya
dikhuatiri mengandungi nama-nama jin dan jika diulang-ulang, tentunya
akan disambut seruan itu oleh jin-jin tersebut.
|
Perkara
khurafat-khurafat juga boleh dilihat apabila manusia menyalahguna ilmu
kebatinan terutama dalam ilmu mempertahankan diri ( silat ), ilmu
perbomohan, ilmu andaman traditional atau ilmu kebidanan traditional. Di
sini kami akan muatkan sahaja perbincangan tentang salah gunanya ilmu
kebatinan dalam seni persilatan yntuk memberikan gambaran khurafat yang
boleh terkandung di dalamnya.
|
ILMU MEMPERTAHANKAN DIRI ( SILAT ) |
- Memang ada keperluan bagi seorang Islam mempersiapkan diri dan melengkapkan senjata untuk mempertahankan diri, agama dan negara
- Namun bahayanya timbul apabila dalam ilmu mempertahankan diri
terdapat syarat-syarat yang mempunyai unsur-unsur penyembahan, pemujaan,
penghambaan diri dan permohonan bantuan dari kuasa atau atau tenaga
ghaib.
- Diantara syarat-syarat tersebut termasuk :-
- menyediakan pengeras seperti pulut kuning, limau purut, kain putih, bayaran pengeras dan sebagainya.
- melakukan acara gerak silat membuka atau menutup gelanggang setiap kali memulakan dan menamatkan latihan.
- semah gelanggang dengan menyembelih ayam atau menyiram darah binatang ( sebagai sajian untuk makhluk-makhluk tertentu ).
- mandi dengan air mandian tertentu sbagai lambang membuang sial.
- tidak boleh banyak menyoal tindakan guru, mesti ada sifat taasub dan berserah kepada guru.
- perlu bertapa sebelum diberikan sesuatu ilmu.
- tidak boleh meninggalkan solat, padahal sudah jelas wajibnya dalam Islam.
Amalan-amalan di atas jelas mengandungi unsur-unsur khurafat! Diharapkan
para pengamal silat atau seni mempertahankan diri bersifat waspada dan
peka akan perkara-prekara tersebut sebelum melibatkan diri dalam bidang
tersebut.
Unsur-unsur khurafat yang serupa boleh juga
didapati dalam amalan ilmu kebatinan lain seperti ilmu perbomohan, ilmu
perbidanan dan lain-lain; contohnya semah pantai, sembelihan binatang,
buang ancak, memanggil roh datuk nenek dan sebagainya. Maka manusia
mestilah menghindarkan diri daripada mereka yang mempraktikkan
amalan-amalan ini sekiranya nyata bertentangan dengan aqidah, syariat
dan akhlak Islam yang sebenar.
|
KESAN & KEROSAKAN AMALAN KHURAFAT |
Terdapat banyak
kesan & kerosakan dari amalan khurafat, namun di sini kami tumpukan
kepada 2 perkara yakni dosa Syirik dan bahaya pewarisan Saka.
Bahaya terjerumus ke dalam dosa SYIRIK
- Apabila manusia mengamalkan perkara khurafat, mereka akan meyakini
bahawa dari kalangan makhluk ada yang boleh memberi manfaat dan mudarat.
- Memohon perlindungan, memuja, mentaati selain dari Allah
SWT, jelas syirik dan dosa syirik adalah dosa yang terbesar yang tidak
diampuni Allah SWT.
"Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa syirik dan Dia mengampuni
segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang
dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah SWT, maka
sesungguhnya ia telah berbuat dosa besar." ( An-Nisa : 16 )
Bahaya Pewarisan SAKA
- Seperti yang telah dibincangkan, amalan khurafat dan ilmu-ilmu
kebatinan selalunya ada kaitan dengan jin, samada dibela, dibuat
sahabat, diseru, dipuja, ditaati atau disihirkan kepada seseorang.
- Makhluk halus atau jin ini akan berdamping dengan tuannya
dan akan terus berdamping bersama kaum keluarganya setelah tuan yang
asalnya telah meninggal dunia.
- Makhluk yang seperti inilah yang dinamakan SAKA, yang diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi.
- Penurunan boleh dilakukan secara terang, di mana dinyatakan
kepada waris yang paling 'layak' menerima amalan atau ilmu kebatinan
tersebut.
- Penurunan boleh juga berlaku secara tidak langsung apabila
waris menerima barang-barang tertentu seperti keris, lembing, tangkal,
batu geliga dan seterusnya. Saka itu akan mempengaruhi pewaris untuk
meneruskan amalan seperti melanggiri keris dengan air limau atau
mengusapkannya dengan kemenyan dan sebagainya.
- Saka yang diwarisi boleh menyakiti pewarisnya dengan
berbagai masalah seperti memporak-perandakan rumahtangga, menyesatkan
iman, menyebabkan tuannya bertindak tidak waras, menyrang tuannya ketika
uzur atau setelah terlalu tua, dan sebagainya.
|
Praktis khurafat masih terus bertapak kukuh dan berlansung dalam kadar
yang agak subur di tengah-tengah masyarakat kini. Usaha-usaha
pembenterasan mesti terus digerakkan agar masyarakat dapat diselamatkan
daripada terjebak dalam unsur negatif ini.
Proses pembenterasan hanya boleh berkesan dengan ilmu mengenainya.
Mulakanlah dengan mengeluarkan segala unsur-unsur khurafat itu dari diri
kita sendiri dan mengembalikan tauhid kita kepada Allah SWT dengan
sepenuhnya.
Mudah-mudahan kita akan dapat juga nantinya menyelamatkan ahli
masyarakat kita dari menjadi mangsa virus khurafat yang cukup bahaya
ini, Insya-Allah.
KETURUNAN SIAM MALAYSIA.
Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan