Kaum Madyam, kaumnya Nabi Syu'ib, adalah segolongan bangsa Arab 
yang tinggal di sebuah daerah bernama "Ma'an" di pinggir negeri Syam. 
Mereka terdiri dari orang-orang kafir tidak mengenal Tuhan Yang Maha 
Esa. Mereka menyembah kepada "Aikah" iaitu sebidang padang pasir yang 
ditumbuhi beberapa pohon dan tanam-tanaman. Cara hidup dan istiadat 
mereka sudah sangat jauh dari ajaran agama dan pengajaran nabi-nabi 
sebelum Nabi Syu’ib a.s.
Banyak orang di zaman kita beranggapan bahawa agama hanya 
merupakan program-program yang kosong dan nilai-nilai akhlak semata. 
Ini adalah keyakinan klasik dan salah. Pada hakikatnya, agama adalah 
sistem dalam kehidupan dan pergaulan. Intinya ialah hubungan dengan 
Allah s.w.t. Oleh kerana itu, usaha memisahkan antara masalah-masalah 
tauhid dan perilaku manusia dalam kehidupan mereka sehari-hari bererti 
memisahkan agama dari kehidupan dan mengubahnya menjadi adat-
istiadat, tradisi-tradisi, dan acara-acara ritual yang hampa. Kisah Nabi 
Syu’ib menampakkan hal yang demikian secara jelas. 
Allah s.w.t mengutus Syu’ib pada penduduk Madyan: 
"Dan kepada (penduduk) Madyan (kami utus) saudara mereka, Syu 'ib. 
Ia berkata: 'Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan 
bagimu selain Dia.'" (QS. Hud: 84) 
Ini adalah dakwah yang sama yang diserukan oleh setiap nabi. Dalam hal 
ini tidak ada perbezaan antara satu nabi dan nabi yang lain. Ia 
merupakan dasar akidah dan tanpa dasar ini mustahil suatu bangunan 
akan berdiri. Setelah peletakan bangunan tersebut, Syu’ib mulai 
menyuarakan dakwahnya: 
"Dan janganlah kamu kurangi takaran dan timbangan. Sesungguhnya 
aku melihat kamu dalam keadaan yang baik (mampu) dan 
sesungguhnya aku khawatir terhadapmu akan azab hari yang 
membinasakan (kiamat)." (QS. Hud: 84) 
Setelah menjelaskan masalah tauhid secara langsung, Nabi Syu’ib 
berpindah pada masalah muamalah sehari-hari yang berkenaan dengan 
kejujuran dan keadilan. Adalah hal yang terkenal pada penduduk Madyan 
bahawa mereka mengurangi timbangan dan mereka tidak memberikan 
hak-hak manusia. Ini adalah suatu kehinaan yang menyentuh kesucian 
hati dan tangan sebagaimana menyentuh kesempurnaan harga diri dan 
kemuliaan. 
Para penduduk Madyan beranggapan bahawa mengurangi timbangan 
adalah salah satu bentuk kelihaian dan kepandaian dalam jual-beli serta 
bentuk kelicikan dalam mengambil dan membeli. Kemudian nabi mereka 
datang dan mengingatkan bahawa hal tersebut merupakan hal yang hina 
dan termasuk pencurian. Nabi Syu’ib memberitahukan kepada mereka 
bahawa beliau khawatir jika mereka meneruskan perbuatan keji itu 
nescaya akan turun kepada mereka azab di mana manusia tidak akan 
dapat menghindar dari seksaan itu. Perhatikanlah bagaimana campur 
tangan Islam melalui Nabi Syu’ib yang diutus kepada manusia di mana ia 
memperhatikan persoalan jual-beli dan mengawasinya: 
"Hai kaumku, cukupkanlah takaran dan timbangan dengan adil, dan 
janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka dan 
janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat 
kerosakan." (QS. Hud: 85) 
Nabi Syu’ib meneruskan misi dakwahnya. Beliau mengulang-ulangi 
nasihatnya kepada mereka dengan cara yang baik dan mengajak ke jalan 
yang baik, tidak ke jalan yang buruk; beliau menghimbau kepada mereka 
untuk menegakkan timbangan dengan keadilan dan kebenaran dan 
mengingatkan mereka agar jangan merampas hak-hak orang lain. 
Merampas hak-hak orang lain itu tidak terbatas pada jual-beli saja, 
namun juga berhubungan dengan perbuatan-perbuatan lainnya; beliau 
memerintahkan mereka untuk menegakkan timbangan keadilan dan 
kejujuran. Demikianlah seruan dari agama tauhid dan akidah tauhid di 
mana ia selalu menyuarakan kejujuran dan keadilan. 
Agama selalu memerintahkan manusia untuk menjalin kerjasama sesama 
mereka dalam kehidupan sehari-hari dengan cara-cara yang bijaksana 
dan baik, baik menyangkut hubungan kerja, hubungan peribadi mahupun 
hubungan lainnya. Al-Quran al-Karim mengatakan: "Dan janganlah kamu 
merugikan manusia terhadap hak-hak mereka. "Dan kata as-Syai' 
(sesuatu) dalam ayat tersebut diucapkan kepada hal-hal yang bersifat 
materi dan yang bersifat non-materi (rohani) di mana masuk dalam 
kategori itu perbuatan-perbuatan dan hubungan-hubungan yang 
menghasilkan. Al-Quran melarang segala bentuk kezaliman, baik 
kezaliman berkenaan dengan menimbang buah-buahan atau sayur-
sayuran mahupun kezaliman dalam bentuk tidak memberikan 
penghargaan terhadap usaha manusia dan pekerjaan mereka. Sebab, 
kelaliman terhadap manusia akan menciptakan suasana 
ketidakharmonisan yang berakibat pada timbulnya penderitaan, sikap 
putus asa, dan sikap tidak peduli, sehingga pada akhirnya hubungan 
sesama manusia berjalan tidak harmonis dan menimbulkan kegoncangan 
dalam kehidupan. Oleh kerana itu, Al-Quran mengingatkan agar jangan 
sampai ada manusia yang berbuat kerosakan di muka bumi: 
"Dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan 
membuat kerosakan. Sisa (keuntungan) dari Allah adalah lebih baik 
bagimu jika kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah 
seorang penjaga atas dirimu." (QS. Hud: 85-86) 
Yang di maksud al-'Atsu ialah sengaja membuat kerosakan dan bertujuan 
untuk membuat kerosakan. Janganlah kalian membuat kerosakan di muka 
bumi; janganlah kalian sengaja untuk menciptakan keonaran di muka 
bumi. Apa yang ada di sisi Allah s.w.t adalah hal yang terbaik buat kalian 
jika kalian benar-benar beriman. Kemudian Nabi Syu’ib memberitahu 
kepada mereka bahawa ia tidak memiliki sesuatu kepada mereka; ia 
tidak dapat menguasai mereka tidak juga ia selalu mengawasi mereka. 
Beliau hanya sekadar seorang rasul atau utusan untuk menyampaikan 
ajaran Tuhannya: 
"Dan aku bukanlah seorang penjaga atas dirimu. " (QS. Hud: 86) 
Dengan cara yang demikian, Nabi Syu’ib menjelaskan kaumnya bahawa 
masalah yang mereka hadapi saat ini sangat penting dan sangat serius, 
bahkan sangat berat. Beliau memberitahu mereka akibat yang bakal 
mereka terima jika mereka membuat kerosakan. Selesailah bahagian 
pertama dari dialog Nabi Syu’ib bersama kaumnya. Nabi Syu’ib telah 
mengawali pembicaraan dan kaumnya mendengarkan. Kemudian beliau 
berhenti dari pembicaraannya dan sekarang kaum membuka 
pembicaraan: 
"Mereka berkata: 'Hai Syu’ib, apakah agamamu yang menyuruh agar 
kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapak-bapak kami atau 
melarang dan berbuat apa yang kami kehendaki tentang harta kami. 
Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal 
" (QS. Hud: 87) 
Para penduduk Madyan yang kafir mereka biasa merampok dan 
menyembah al-Aikah, yaitu pohon dari al-Aik yang dikelilingi oleh dahan-
dahan yang berputar di sekelilingnya. Mereka termasuk orang-orang yang 
menjalin hubungan sesama manusia dengan cara-cara yang sangat keji. 
Mereka suka mengurangi timbangan; mereka mengambil yang lebih 
darinya dan tidak menghiraukan kekurangannya. Perhatikanlah semua itu 
dalam dialog mereka bersama Syu’ib. Mereka berkata, "wahai Syu’ib 
apakah agamamu yang memerintahkanmu...?" Seakan-akan agama ini 
mendorong Syu’ib dan membisikinya serta memerintahnya sehingga ia 
mentaati tanpa pertimbangan dan pemikiran. Sungguh Syu’ib telah 
berubah dengan agamanya itu menjadi alat yang bergerak dan alat yang 
tidak sedar. Demikianlah celaan dan tuduhan keji yang dialamatkan oleh 
kaum Nabi Syu’ib kepadanya. Agama Syu’ib telah membuatnya gila dan 
membuatnya nekad untuk memerintahkan mereka meninggalkan apa 
yang selama ini mereka sembah dan disembah oleh kakek-kakek mereka. 
Kakek-kakek mereka telah menyembah tumbuh-tumbuhan dan pohon-
pohonan sementara agama Syu’ib memerintahkan mereka untuk hanya 
menyembah Allah s.w.t. Kenekatan model apa dari Syu’ib ini? 
Dengan ejekan dan penghinaan ini, Nabi Syu’ib menghadapi dialog yang 
terjadi dengan mereka. Kemudian mereka kembali bertanya-tanya 
dengan penuh keheranan dan dengan nada mengejek: "Apakah agamamu 
yang menyuruh agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapak-
bapak kami." Tidakkah engkau sedar wahai Syu’ib bahawa agamamu ingin 
mencampuri keinginan kita dan cara kita menggunakan harta kita? 
Apakah hubungan keimanan dan salat dengan muamalah materi? 
Dengan pertanyaan ini, kaum Nabi Syu’ib mengira bahawa mereka 
mencapai suatu tingkat kecerdasan. Mereka mengemukakan di 
hadapannya masalah keimanan, dan mereka mengingkari adanya 
keterkaitan antara perilaku manusia dan muamalah mereka serta 
perekonomian mereka. Ini adalah masalah yang klasik; ini adalah usaha 
untuk memisahkan antara ekonomi dan Islam di mana setiap nabi justru 
di utus untuknya meskipun nama-nama mereka berbeza-beza; ini adalah 
masalah kuno yang diungkap oleh kaum Nabi Syu’ib di mana mereka 
mengingkari bahawa agama turut campur dalam kehidupan sehari-hari 
mereka, perekonomian mereka dan cara mereka menggunakan harta 
mereka. Mereka menganggap bahawa menginfakkan harta atau 
menggunakannya atau menghambur-hamburkannya adalah suatu yang 
tidak berhubungan dengan agama. Hal itu menyangkut kebebasan 
peribadi manusia. Bukankah itu hartanya yang khusus lalu mengapa 
agama turut campur di dalamnya? 
Demikianlah pemahaman kaum Nabi Syu’ib kepada Islam yang dibawa 
oleh Nabi Syu’ib. Kami kira pemahaman demikian sedikit atau banyak 
tidak berbeza dengan pemahaman banyak masyarakat di zaman kita 
sekarang mereka menganggap bahawasanya Islam tidak memiliki kaitan 
dengan kehidupan peribadi manusia dan kehidupan perekonomian 
mereka. Oleh kerana itu, manusia dapat menggunakan harta mereka 
sesuai dengan kemahuan mereka: "Sesungguhnya kamu adalah orang yang 
sangat penyantun lagi berakal." 
Mereka ingin mengatakan kepada Nabi Syu’ib, seandainya engkau seorang 
yang bijaksana dan memiliki pemikiran yang matang nescaya engkau 
tidak akan mengatakan apa yang telah engkau katakan. Mereka kembali 
mengejek Nabi Syu’ib dan merendahkan dakwahnya. Seandainya Anda 
bertanya kepada kaum Nabi Syu’ib tentang pemahaman agama mereka 
maka mereka pasti mengingkari bahawa agama adalah sebagai sistem 
dalam kehidupan yang menjadikan hidup lebih mulia, lebih suci, lebih 
adil dan lebih pantas manusia untuk menjabat sebagai khalifatullah di 
muka bumi; seandainya Anda bertanya kepada mereka tentang agama 
nescaya mereka memberitahumu bahawa ia hanya berupa kumpulan 
nilai-nilai rohani yang baik yang tidak mewarnai kehidupan sehari-hari. 
Dengan pemahaman seperti ini, agama hanya sekadar hiasan. Ini adalah 
pemahaman yang menggelikan kerana Allah s.w.t mengutus para nabi 
dan ajaran-ajaran yang mereka bawa bukan untuk perhiasan dan main-
mainan.
Maha Suci Allah s.w.t dari semua itu. Allah s.w.t mengutus para nabi-Nya 
dengan membawa sistem baru dalam kehidupan, yaitu sistem yang 
mencakup nilai-nilai dan pemikiran-pemikiran yang itu semua tidak akan 
bermakna jika tidak berubah menjadi suatu sistem dalam kehidupan 
secara umum dan mengatur kehidupan secara khusus. Dengan 
pemahaman seperti inilah agama menjadi mulai dan agama menjadi 
benar adanya. Dan dengan asumsi seperti ini, kita memahami seberapa 
jauh campur tangan agama dalam persoalan-persoalan kehidupan sehari-
hari: dimulai dari hubungan-hubungan cinta sampai undang-undang 
perkahwinan, bahkan cara mengambil keputusan hidup sampai sistem 
dalam menginfakkan wang dan menggunakannya, juga sistem dalam cara 
menggunakan dan mengagihkan kekayaan dan sebagainya. Jika manusia 
memahami agama seperti ini maka jadilah agama sesuatu kebenaran. 
Dan kalau tidak, agama laksana puing-puing saja. 
Nabi Syu’ib mengetahui bahawa kaumnya mengejeknya kerana mereka 
menganggap agama tidak turut campur dalam kehidupan sehari-hari. 
Namun, beliau menghadapi semua itu dengan penuh kelembutan dan 
kasih sayang kerana beliau yakin apa yang beliau bawa adalah kebenaran. 
Beliau tidak peduli dengan ejekan mereka dan tidak tersinggung 
dengannya dan tidak mempersoalkan hal itu; beliau memberi pengertian 
kepada mereka bahawa beliau berada di atas kebenaran dari Tuhannya; 
beliau adalah seorang nabi yang mengetahui kebenaran; beliau tidak 
melarang mereka untuk meninggalkan sesuatu yang di balik larangan itu 
mendatangkan keuntungan peribadi buatnya; beliau tidak ingin 
menasihati mereka dalam kejujuran agar pasar menjadi sepi dan 
kerananya beliau mengambil manfaat; beliau hanya sekadar seorang nabi 
di mana dakwah setiap nabi tergambar dalam ungkapan yang singkat: 
"Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku 
masih berkesanggupan. " (QS. Hud: 88) 
Yang beliau inginkan hanya al-Islah (usaha membuat perbaikan). 
Demikianlah kandungan dan inti dakwah para nabi yang sebenarnya. 
Mereka adalah al-Muslihun, yaitu orang-orang yang membuat perbaikan; 
mereka memperbaiki akal, memperbaiki hati dan memperbaiki 
kehidupan yang umum dan kehidupan yang khusus: 
"Syu’ib berkata: 'Hai kaumku, bagaimana fikiranku jika aku 
mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku 
dari-Nya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? 
Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) 
apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) 
perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik 
bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah 
bertawakal dan hanya kepada-Nya-lah 
aku kembali.'" (QS. Hud: 88) 
Setelah Nabi Syu’ib menjelaskan tujuan-tujuannya kepada mereka dan 
menyingkapkan kebenaran dakwahnya, beliau mulai mengotak-atik akal-
akal mereka; beliau mengungkapkan kepada mereka bagaimana 
pergelutan orang-orang sebelum mereka dengan para nabi sebelumnya, 
yaitu kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh, dan kaum Nabi 
Luth yang masa mereka tidak jauh dengan masa Nabi Syu’ib. Beliau mulai 
berdialog dengan mereka dan mengingatkan mereka bahawa sikap 
penentangan mereka justru akan mendatangkan seksaan bagi mereka. 
Nabi Syu’ib mengingatkan mereka bagaimana nasib orang-orang yang 
mendustakan kebenaran: 
"Hai kaumku, janganlah hendaknya pertentangan antara aku (dengan 
kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat hingga kamu ditimpa azab 
seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Hud atau kaum Saleh, 
sedang kaum Luth tidak (pula) jauh (tempatnya) dari kamu. Dan 
mohonlah ampun dari Tuhanmu kemudian bertaubatlah kepada-
Nya,sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. " 
(QS. Hud: 89-90) 
Usai Nabi Syu’ib berdakwah kepada Allah s.w.t dan menjelaskan al-ishlah 
(usaha memperbaiki masyarakat) dan mengingatkan mereka bahaya 
penentangan serta menakut-nakuti mereka dengan menceritakan kembali 
seksaan yang diterima orang-orang yang berbohong sebelum mereka. 
Meskipun demikian, Nabi Syu’ib tetap membukakan pintu pengampunan 
dan pintu taubat bagi mereka. Beliau menunjukkan kepada mereka kasih 
sayang Tuhannya Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Namun kaum 
Nabi Syu’ib memilih azab. Kekerasan hati mereka dan keinginan mereka 
untuk mendapatkan harta yang haram serta rasa puas dengan sistem yang 
mengatur mereka, semua itu menyebabkan mereka menolak kebenaran: 
"Mereka berkata: 'Hai Syu’ib, kami tidak banyak mengerti tentang apa 
yang kamu katakan itu.'" (QS. Hud: 91) 
Kami tidak memahamimu. Engkau adalah seorang yang mengacau; 
engkau mengatakan sesuatu yang tidak dimengerti: 
"Dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang 
lemah di antara kami." (QS. Hud: 91) 
Beliau dikatakan sebagai orang yang lemah kerana orang-orang fakir dan 
orang-orang yang menderita adalah orang-orang yang beriman padanya, 
sedangkan orang-orang kaya dan para pembesar telah menentang 
mereka. Demikianlah pertimbangan umumnya manusia yang tidak 
memiliki kekuatan cukup untuk menghadapi kebenaran dakwah Nabi 
Syu’ib di mana beliau dianggap sebagai orang yang lemah: 
"Kalau tidaklah kerana keluargamu tentulah kami akan 
merejammu."(QS. Hud: 91) 
Seandainya kalau bukan kerana keluargamu dan kaummu dan orang-orang 
yang mengikutimu nescaya kami akan menggali suatu lubang dan kami 
akan bunuh kamu di lubang itu dengan cara melempari kamu dengan 
batu: 
"Sedang kamu pun bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami." 
(QS. Hud: 92) 
Kaum Nabi Syu’ib berpindah dari cara mengejek pada cara menyerang. 
Nabi Syu’ib telah menyampaikan bukti kepada mereka setelah mereka 
mengejeknya, lalu mereka mengubah cara mereka berdialog. Mereka 
memberitahunya bahawa mereka tidak memahami apa yang beliau 
katakan dan mereka melihat bahawa Nabi Syu’ib sebagai orang yang 
lemah dan hina. Dan seandainya kalau bukan kerana mereka takut 
(kasihan) 
kepada keluarganya nescaya mereka akan membunuhnya. Mereka 
menampakkan kebencian kepada Nabi Syu’ib dan ingin sekali untuk 
membunuhnya kalau bukan kerana alasan-alasan yang berhubungan 
dengan keluarganya. Menghadapi ancaman itu, Nabi Syu’ib tetap 
menunjukkan sikap lembutnya lalu beliau bertanya kepada mereka 
dengan maksud untuk menggugah ke sekian kalinya akal mereka: 
"Syu’ib menjawab: 'Hai kaumku, apakah keluargaku lebih terhormat 
menurut pandanganmu daripada Allah. " (QS. Hud: 92) 
Apakah cukup rasional jika mereka membayangkan hal tersebut? Mereka 
melupakan hakikat kekuatan yang mengatur alam. Sesungguhnya hanya 
Allah s.w.t Yang Maha Mulia dan Maha Kuat. Seharusnya mereka 
mengingat hal itu; seharusnya seseorang tidak takut kepada apapun 
selain Allah s.w.t dan tidak membandingkan kekuatan di alam wujud ini 
dengan kekuatan Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t Yang Kuat dan hanya Dia 
yang mengatur hamba-hamba-Nya. 
Tampak bahawa kaum Nabi Syu’ib mulai kesal dan semakin kesal 
dengannya, lalu berkumpullah para pembesar kaumnya: 
"Pemuka-pemuka dari kaum Syu'ib yang menyombongkan diri 
berkata: 'Sesungguhnya kami akan mengusir kamu hai Syu’ib dan 
dengan orang-orang yang beriman bersamamu dari kota kami, kecuali 
kamu kembali kepada agama kami.'" (QS. al-A'raf: 88) 
Mereka menggunakan tahap baru dengan cara mengancam Nabi Syu’ib; 
mereka mengancamnya untuk membunuh dan mengusir dari desa 
mereka; mereka memberi pilihan kepada Nabi Syu’ib antara terusir dan 
kembali kepada agama mereka yang menyembah pohon-pohon dan 
benda-benda mati. Nabi Syu’ib memberitahu kepada mereka bahawa 
masalah kembalinya ia ke agama mereka adalah masalah yang tidak 
berhubungan dengan masalah-masalah yang disebutkan dalam perjanjian. 
Sungguh Allah s.w.t telah menyelamatkan beliau dari agama mereka lalu 
bagaimana beliau kembali lagi padanya? Beliau yang mengajak mereka 
pada agama tauhid lalu bagaimana beliau mengajak mereka untuk 
kembali pada kesyirikan dan kekufuran? Beliau mengajak mereka dengan 
cara yang lembut dan kasih sayang sementara mereka 
mengancamnya dengan kekuatan. 
Demikianlah pertentangan antara Nabi Syu’ib dan kaumnya semakin 
berlanjutan. Nabi Syu’ib memegang amanat dakwah untuk menghadapi 
para pembesar, para pendusta, dan para penguasa kaumnya. Akhirnya, 
Nabi Syu’ib mulai mengetahui bahawa mereka tidak lagi memiliki 
harapan kerana mereka telah berpaling dari Allah s.w.t: 
"Sedang Allah kamu jadikan sesuatu yang terbuang di belakangmu? 
Sesungguhnya pengetahuan Tuhanku meliputi apa yang kamu 
kerjakan. Dan (dia berkata): 'Hai kaumku, berbuatlah menurut 
kemampuanmu, sesungguhnya aku pun berbuat (pula). Kelak kamu 
akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakannya 
dan siapa yang berdusta. Dan tunggulah azab (Tuhan). Sesungguhnya 
aku pun menunggu bersama kamu." (QS. Hud: 92-93) 
Nabi Syu’ib berlepas diri dari mereka. Mereka telah berpaling dari agama 
Allah s.w.t bahkan telah mendustakan nabi-Nya dan menuduhnya bahawa 
ia tersihir dan seorang pembohong. Maka, setiap orang hendaklah 
melakukan apa saja yang diinginkannya dan hendaklah mereka menunggu 
azab Allah s.w.t. Kemudian pergelutan antara Nabi Syu’ib dan kaumnya 
berakhir adanya fasa baru. Mereka meminta kepada Nabi Syu’ib untuk 
mendatangkan azab dari langit jika beliau termasuk orang-orang yang 
benar. Dengan nada mencabar dan menentang, mereka berkata: "di 
mana azab itu, di mana seksaan yang dijanjikan itu? Mengapa terlambat 
datang?" 
Mereka mengejek Nabi Syu’ib dan beliau dengan tenang menunggu 
datangnya azab Allah s.w.t. Allah s.w.t mewahyukan kepada beliau agar 
keluar bersama orang-orang mukmin dari desa tersebut. Akhirnya, Nabi 
Syu’ib keluar bersama para pengikutnya dan datanglah azab Allah s.w.t: 
"Dan tatkala datang azab Kami. Kami selamatkan Syu’ib dan orang-
orang yang beriman bersama-sama dengan dia dengan rahmat dari 
kami, dan orang-orang lalim dibinasakan oleh satu suara yang 
mengguntur, lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumahnya. 
Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. Ingatlah, 
kebinasaan bagi penduduk Madyan sebagaimana kaum Tsamud telah 
binasa." (QS. Hud: 94-95) 
Ia adalah teriakan sekali saja satu suara yang datang kepada mereka dari 
celah-celah awan yang menyelimuti. Mula-mula mereka barangkali 
bergembira kerana membayangkan itu akan membawa hujan tetapi 
mereka dikejutkan ketika datang kepada mereka seksaan yang besar 
pada hari yang besar. 
Selesailah masalah ini. Mereka menyedari bahawa teriakan itu membawa 
bencana buat mereka; teriakan itu menghanguskan setiap makhluk yang 
ada di dalam negeri itu. Mereka tidak mampu bergerak dan tidak mampu 
menyembunyikan diri dan tidak pula mereka dapat menyelamatkan diri 
mereka. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan