Allah SWT 
berfirman:
"Di sanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya seraya 
berkata: 'Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. 
Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa. Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil 
Zakaria, sedang ia tengah berdiri melakukan solat di mihrab (katanya): 
'Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran (seorang puteramu) 
Yahya, yang membenarkan kalimat (yang datang) dari Allah, menjadi ikutan, 
menahan diri (dari hawa nafsu) dan seorang nabi termasuk keturunan orang-orang 
soleh." (QS. Ali 'Imran: 38-39)
"Hai Yahya, ambilah al-Kitab (Taurat) itu dengan 
sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih anak-anak, 
dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami dan kesucian (dari dosa). 
Dan ia adalah seorang yang bertakwa, dan banyak berbakti kepada kedua orang 
tuanya, dan bukanlah ia orang yang sombong dan derhaka. Kesejahteraan atas 
dirinya pada hari ia dilahirkan, dan pada hari itu ia meninggal dan pada hari ia 
dibangkitkan kembali." (QS. Maryam: 12-15)
"Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar 
gembira kepadamu akan (memperoleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang 
sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia." (QS. 
Maryam: 7)
Inilah Yahya seorang Nabi yang Allah SWT bersaksi bahawa 
sebelumnya tak seorang pun yang serupa dengannya. Yaitu seorang Nabi yang Allah 
SWT berkata tentangnya:
"Dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi 
Kami." (QS. Maryam: 13)
Sebagaimana Khidir diberi ilmu dari sisi Allah SWT, maka 
Yahya diberi rasa cinta dari sisi Allah SWT. Al-Hanan ialah ilmu yang luas yang 
terkandung di dalamnya sesuatu kecintaan yang dalam terhadap makhluk dan alam. 
Hanan ialah salah satu dari tingkat cinta yang bersumber dari ilmu. Yahya adalah 
seorang Nabi yang menjadi cermin dari ibadah, zuhud, dan cinta. Nabi Yahya 
mengungkapkan cinta kepada semua makhluk. Ia dicintai oleh manusia, 
burung-burung, binatang buas, bahkan gurun dan gunung. Darah Nabi Yahya 
tertumpah ketika beliau berusaha mempertahankan kebenaran yang disampaikannya di 
istana raja yang lalim. Peristiwa tragis itu berkaitan dengan seorang penari 
pelacur. Para ulama banyak menyebutkan keutamaan Yahya. Yahya hidup sezaman 
dengan Nabi Isa dan termasuk kerabat dekatnya dari sisi ibu (anak 
bibinya).
Ada hadis yang meriwayatkan bahawa Yahya dan Isa pernah 
bertemu pada suatu hari. Lalu Isa berkata kepada Yahya, mintakanlah ampun bagiku 
wahai Yahya. Sesungguhnya engkau lebih baik daripada aku. Yahya berkata: 
"Mintakanlah ampun bagiku wahai Isa kerana engkau lebih baik daripada aku." Isa 
berkata: "Tidak, engkaulah yang lebih baik daripada aku. Engkau mengucapkan 
salam kepadaku sedangkan Allah SWT mengucapkan salam kepadamu." Kisah tersebut 
menunjukkan keutamaan Yahya ketika Allah S"WT menyampaikan salam kepadanya pada 
hari ia dilahirkan, pada hari ia mati, dan pada hari ia dibangkitkan kembali 
dalam keadaan hidup. Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah pergi dan menemui 
para sahabatnya. Pada suatu hari, beliau mendapati mereka sedang menyebut-nyebut 
keutamaan para nabi. Ada yang mengatakan, Musa kalimullah (seorang nabi yang 
diajak bicara oleh Allah SWT). Ada yang mengatakan, Isa ruhullah (tiupan roh 
Allah SWT). Dan ada juga yang mengatakan, Ibrahim khalilullah (seorang kekasih 
Allah SWT).
Demikianlah para sahabat berbicara tentang para nabi 
lalu Rasulullah saw menemui mereka. Ketika Rasul saw mendapati mereka tidak 
menyebut nama Yahya, beliau berkata: "Di manakah putera seorang syahid yang 
mendapatkan banyak penderitaan, yang memakan pohon kerana takut dosa, di manakah 
Yahya bin Zakaria."
Sementara itu, datanglah musim semi di Palestina dan 
bumi tampak semakin menghijau dan langit semakin terang. Bulan dengan cahayanya 
menembus puncak-puncak pohon dan kebun. Bunga-bunga mawar dan jeruk semakin 
berkembang dan baunya tersebar ke udara. Dan burung- burung yang sedang 
berterbangan tampak bernyanyi dan melantunkan lagu-lagu kegembiraan di 
tengah-tengah suasana yang ceria dan penuh keindahan.
Kemudian lahirlah Yahya. Kelahiran Yahya dipenuhi banyak 
mukjizat. Beliau lahir pada saat ayahnya Zakaria berusia lanjut sehingga tampak 
seakan-akan ia putus asa kerana tidak akan mempunyai keturunan. Beliau lahir 
melalui doa yang suci yang bersumber dari hati Nabi Zakaria yang suci dan tulus. 
Nabi Yahya lahir di tengah-tengah masa yang dipenuhi dengan puncak kesucian 
sebagaimana juga dihiasi dengan puncak kelaliman. Maryam adalah simbol puncak 
kesucian di zamannya. Mihrabnya penuh dengan bau yang harum yang memancarkan 
kalimat- kalimat solat yang terus menerus dan zikir yang bersumber dari hati 
yang suci. Masjid tampak dipenuhi dengan gelombang orang-orang yang solat dan 
orang-orang mukmin yang berzikir. Namun nun jauh di sana kelaliman tetap 
membunyikan genderangnya.
Yahya dilahirkan dan masa kecilnya tidak seperti 
lazimnya masa yang dilalui oleh anak-anak. Umumnya anak-anak saat itu bermain 
hal-hal yang tidak berguna, sedangkan Yahya tampak serius sejak beliau kecil. 
Anak-anak kecil saat itu merasa senang dan terhibur ketika mereka menyeksa 
binatang, sementara Yahya justru memberi makan bintang- binatang dan burung dari 
makanannya sebagai bentuk belas kasihan darinya, bahkan terkadang Yahya sendiri 
makan dari daun-daun pohon atau buahnya. Ketika beliau menginjak usia dewasa, 
maka cahaya wajahnya semakin bersinar dan hatinya penuh dengan hikmah dan cinta 
kepada Allah SWT serta kedamaian. Yahya adalah seseorang yang menyukai membaca 
sejak usia dini. Beliau rajin membaca dan menggali ilmu. Ketika beliau masih 
kecil, Allah SWT memanggilnya: "Hai Yahya, ambilah al-Kitab (Taurat) itu dengan 
sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih 
anak-anak."
Yahya mendapatkan perintah—saat beliau masih kecil—untuk 
mengambil Kitab dengan kekuatan. Yakni, hendaklah ia belajar kitab dengan penuh 
ketelitian, Yaitu kitab syariat. Allah SWT memberinya kemampuan untuk mengetahui 
syariat dan memutuskan perkara manusia saat beliau masih kecil. Yahya adalah 
orang yang paling alim di zamannya dan paling banyak menerima hikmah. Beliau 
mempelajari syariat secara sempurna. Oleh kerana itu, Allah SWT memberinya 
kekuasaan saat beliau masih kecil. Beliau mampu menyelesaikan persoalan di 
antara manusia dan menjelaskan mereka rahsia-rahsia agama, bahkan beliau 
mengenalkan mereka jalan kebenaran dan mengingatkan mereka dari jalan kesalahan 
atau kebatilan. Kemudian Yahya semakin dewasa dan ilmunya makin bertambah serta 
kasih sayangnya pun makin meningkat, baik kepada kedua orang tuanya mahupun 
kepada binatang. Kasih sayang Nabi Yahya meliputi segala 
sesuatu.
Beliau mengajak manusia untuk bertaubat dari dosa 
mereka; beliau memandikan mereka di sungai Jordania agar mereka menyucikan diri 
mereka dengan taubat; beliau mengajak mereka untuk menyembah Allah SWT. Di sana 
tidak terdapat seseorang yang tidak suka kepada Yahya atau menginginkan 
keburukan baginya. Yahya adalah seseorang yang sangat dicintai oleh 
masyarakatnya kerana ia memang seorang yang penyayang, seorang yang bertakwa, 
seorang yang alim, dan seorang yang berbudi mulia. Beliau keluar dan pergi ke 
gunung dan kebun bahkan gurun dan tinggal di dalamnya selama berbulan-bulan 
untuk menyembah Allah SWT dan menangis di hadapan-Nya serta solat. Beliau 
merasakan kedamaian di daratan, bahkan beliau tidak memperhatikan makanannya. 
Beliau makan dari daun-daun pohon dan minum dari air sungai. Bahkan beliau makan 
belalang dan juga rumput. Beliau tidur di gua mana pun yang ditemuinya di gunung 
dan lubang mana pun yang didapatinya di bumi.
Terkadang beliau masuk di suatu gua gunung lalu beliau 
menemukan binatang buas di dalamnya seperti serigala atau singa namun kerana 
kesibukannya dan konsentrasinya saat berzikir kepada Allah SWT dan solat 
sehingga beliau tidak lagi memperhatikan serigala atau singa. Serigala dan singa 
itu melihat Nabi Yahya lalu mereka mengetahui bahawa ini adalah seorang Nabi 
Allah SWT yang sangat berbelas kasih kepada binatang, maka binatang-binatang 
buas itu menundukkan kepalanya dan meninggalkan tempat itu dengan tenang 
sehingga Nabi Yahya tidak mendengar suara mereka.
Pada kesempatan yang lain, Nabi Yahya memberi makan 
binatang- binatang buas dengan penuh kasih sayang. Bahkan beliau tidak makan di 
malam harinya kerana makanannya diberikan kepada binatang-binatang itu. Beliau 
merasa puas saat menjadikan solat dan zikir sebagai makanan dari hatinya sebelum 
beliau memberi makanan pada tubuhnya. Beliau makan dari daun-daun pohon. Beliau 
bermalam atau bergadang dalam keadaan air matanya berlinangan saat berzikir 
kepada Allah SWT dan tenggelam dalam lautan cinta dan bersyukur kepada-Nya. 
Ketika Nabi Yahya berdiri di depan manusia untuk mengajak mereka menyembah Allah 
SWT, maka beliau mampu membuat mereka menangis kerana cinta dan khusyuk. Beliau 
mampu mempengaruhi hati mereka dengan kebenaran yang dibawanya dan beliau 
menampakkan bahawa beliau memang dekat dengan Allah SWT.
Pada suatu hari, Nabi Yahya keluar menemui manusia. 
Masjid tampak ramai dipenuhi orang-orang. Nabi Yahya berdiri dan beliau mulai 
berbicara: "Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan aku untuk menyampaikan 
kalimat-kalimat yang telah aku kerjakan dan aku telah memerintahkan kalian untuk 
juga mengerjakannya. Hendaklah kalian menyembah Allah SWT dan tidak 
menyekutukan-Nya. Barang siapa yang menyekutukan Allah SWT dan menyembah 
selain-Nya, maka ia seperti seorang budak yang dibeli oleh majikannya lalu ia 
bekerja dan memberikan tenaganya kepada tuan selain tuannya. Siapakah di antara 
kalian yang ingin memiliki budak seperti itu. Dan aku memerintahkan kalian untuk 
melaksanakan solat. Sesungguhnya Allah SWT melihat hamba-Nya saat ia solat. Oleh 
kerana itu, jika kalian solat, maka hendaklah kalian berusaha untuk khusyuk. Aku 
pun memerintahkan kalian untuk berpuasa, maka siapa yang melakukan demikian, 
maka ia seperti seseorang lelaki yang mempunyai bingkisan dari misik yang baunya 
harum. Setiap lelaki ini berjalan, maka akan terpancarlah bau harum misik 
darinya. Aku pun memerintahkan kalian agar banyak melakukan zikir kepada Allah 
SWT, maka orang seperti itu seperti seorang lelaki yang dicari-cari oleh 
musuhnya lalu ia segera berlindung dalam benteng yang kuat. Dan benteng yang 
paling kuat adalah zikrullah dan tiada keselamatan tanpa benteng 
itu."
Nabi Yahya mengakhiri nasihatnya lalu ia turun dari 
mimbar dan kembali ke gurun. Di gurun itu hanya terdapat pasir yang berterbangan 
dan tiada suara lain selain suara angin dan nafas pohon serta suara kaki-kaki 
binatang buas dan gerakan batu-batu gunung. Di sanalah Yahya berdiri di 
tengah-tengah kesunyian ini. Beliau melaksanakan solat dan 
menangis.
Kemudian terjadilah pergelutan hebat antara Nabi Yahya 
dan pemerintah yang berkuasa. Salah seorang penguasa di zaman itu adalah seorang 
yang lalim dan sempit akalnya. Kerosakan tersebar di istananya. Ia mendengar 
berita tentang Yahya. Ia heran kerana banyaknya manusia yang memberikan 
penghargaan dan penghormatan yang luar biasa kepada Yahya sedangkan ia sebagai 
seorang raja tidak mendapatkan penghormatan yang demikian 
besar.
Raja tersebut ingin memperkosa isteri saudaranya di mana 
ia mempunyai anak perempuan yang memiliki kecantikan yang terkenal. Dalam cerita 
disebutkan bahawa anak perempuan itu mampu melakukan tarian yang mengagumkan 
sambil memakai tujuh helai baju. Setiap ia menari, maka terlepaslah setiap baju 
yang dipakainya dan pada tarian yang terakhir, ia tampak dalam keadaan 
telanjang.
Raja bertanya kepada Yahya, apakah ia boleh menikahi 
isteri saudaranya. Yahya menjawab, itu tidak diperbolehkan. Raja tetap berbicara 
kepada Yahya dan mendesak kepadanya agar membolehkannya menikah dengan wanita 
yang disukainya itu, dan hendaklah Yahya mencari solusi atau fatwa yang sangat 
memuaskannya. Namun Yahya menolak keras untuk memenuhi permintaan raja itu. 
Kemudian Yahya pun meninggalkannya. Akhirnya, raja tampak marah kepada Yahya dan 
memerintahkan agar Yahya dipenjara. Kemudian raja itu pun memperkosa isteri 
saudaranya. Anak perempuan wanita itu yang suka menari telah melihat Yahya saat 
ia berbicara dengan raja. Anak perempuan itu sangat tertarik akan ketampanan 
Yahya dan keagungan keperibadiannya.
Ringkasnya, wanita yang ahli menari itu pun merasa jatuh 
cinta kepada Yahya. Ia pergi menemui Yahya di penjaranya dan ia melihat Yahya 
dalam keadaan duduk solat dan menangis. Wanita itu terus mengawasi Yahya saat 
beliau solat sampai selesai. Lalu ia meletakkan dirinya di bawah kaki Yahya dan 
memintanya agar mencintainya sebagaimana ia mencintai Yahya. Yahya menjawab 
bahawa di dalam hatinya tidak ada cinta lain selain cinta kepada Allah SWT. 
Wanita itu pun bangkit dari tempatnya dalam keadaan putus asa. Ia meninggalkan 
Yahya dalam keadaan hatinya dipenuhi kebencian padanya. Ia kembali ke istana 
raja.
Waktu Isyak telah berakhir. Raja mulai meminum minuman 
kesukaannya, yaitu khamr. Wanita itu memberikan minum kepada raja. Makin 
banyaknya raja minum, sampai-sampai raja merasa bahawa kepalanya seperti belon 
besar dan ia sebentar lagi akan terbang. Di sanalah wanita penari itu segera 
memakai pakaian tarian dan kembali kepada raja. Raja melihatnya dan ia merasa 
kepalanya bertambah besar dan wanita itu mulai menari. Lalu dipukullah rebana 
dan berbagai alat muzik sehingga wanita itu tampak menari dan menikmati 
tariannya. Pada tarian ke tujuh ia berhenti lalu membuka wajahnya sambil berkata 
kepada raja: "Wahai tuanku, aku ingin bertanya sedikit kepadamu." Raja yang 
sedang mabuk itu berkata: "Segala sesuatu yang engkau inginkan akan kuberikan 
kepadamu sekarang juga." Wanita itu berkata: "Aku menginginkan kepala Yahya bin 
Zakaria."
Mendengar perkataan itu, raja segera sadar dari mabuknya 
lalu ia merasakan ketakutan. Ia berkata kepadanya: "Mintalah kepadaku yang lain 
saja." Wanita itu berkata: "Aku menginginkan darah Yahya bin Zakaria." Wanita 
ini adalah simbol keburukan. Raja berkata sambil minum minuman keras yang 
keempat kalinya setelah empat puluh kali: "Bunuhlah Yahya!" Akhirnya, pemimpin 
pasukan raja mengeluarkan perintah kepada anak buahnya untuk menghabisi Yahya. 
Kemudian Yahya menemui ajalnya secara tragis dan meneguk madu 
syahadah.
Injil Mata pada pasal yang keempat belas menyebutkan 
suatu riwayat sebagai berikut:
"Hirdus telah menangkap Yuhana lalu ia memasukkan ke 
dalam penjara kerana Hirduya isteri dari saudaranya. Sebab Yuhana berkata 
kepadanya, engkau tidak boleh mengambilnya sebagai isterimu. Ia ingin membunuh 
Yuhana tetapi ia khuatir terhadap reaksi masyarakat kerana mereka menganggapnya 
sebagai seorang Nabi. Ketika diadakan acara kelahiran Hirdus salah seorang 
perempuan anak dari Hirduya menari di tengah-tengah para hadirin sehingga Hirdus 
merasa kagum, kerananya kemudian ia bersumpah bahawa apa pun yang diminta penari 
itu akan diturutinya. Wanita itu berkata: "Berikanlah kepadaku kepala Yuhana." 
Sebetulnya raja itu keberatan tetapi ia sudah terlanjur bersumpah dan disaksikan 
orang-orang di sekitarnya, maka ia pun memerintahkan agar permintaan wanita itu 
dituruti. Kemudian kepala Yuhana dikirim dari penjara, dan diberikan kepada 
gadis itu, lalu gadis itu membawanya kepada 
ibunya."
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan