Punca Punca Dan Langkah Mengatasi Kemalangan Jalan Raya
Assalamualaikum. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berbahagia Tuan Pegawai Daerah Kubang Pasu, pegawai polis trafik, dan hadirin yang dihormati sekalian. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah dalam majlis ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kes
 kemalangan jalan raya menjelang hari raya semakin meningkat sejak 
kebelakangan ini. Pada tahun-tahun lepas kadar kemalangan jalan raya 
pada musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri tidak sebanyak pada 
tahun lepas. Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlakunya 
peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita. 
Antara
 punca utama kemalangan itu ialah kebanyakan pemandu tidak mempunyai 
lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang 
palsu. Oleh itu, apabila tidak memiliki lesen yang sah, maka pemandu 
tersebut sudah semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu kenderaan.
 Hal ini akan mengakibatkan kemalangan. Setiap pemandu harus mempunyai 
lesen kenderaan kerana sebelum seseorang itu memperoleh lesen memandu, 
mereka telah didedahkan dengan teknik pemanduan yang betul. Malah 
apabila mereka lulus ujian pemanduan barulah mereka dianggap layak 
memandu kenderaan. Oleh itu seseorang yang masih tidak mempunyai lesen 
memandu dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan di jalan raya. 
Selain
 itu, kebanyakan kes kemalangan jalan raya juga berpunca daripada 
kecuaian pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam
 keadaan mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah
 hari dan sebelah malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk 
besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya 
mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain
 pada arah yang bertentangan. Saya amat berharap agar para pemandu 
memastikan mereka tidak mengantuk semasa memandu kenderaan mereka. 
Sekiranya pemandu mengantuk mereka dinasihatkan supaya berehat sebentar 
sebelum meneruskan perjalanan. 
Para hadirin sekalian, 
Kemalangan
 juga boleh berlaku apabila pemandu dalam keadaan mabuk. Kemampuan 
pemandu untuk mengawal kenderaan mereka akan menjadi berkurangan apabila
 mereka mabuk. Hal ini kerana mereka memandu dalam keadaan berkhayal. 
Kenderaan yang dipandu mungkin akan membelok ke kiri dan ke kanan 
sehingga menyebabkan kemalangan. Lebih malang lagi jika kecuaian pemandu
 ini melibatkan kemalangan kepada pihak lain. Saya juga berpesan kepada 
semua hadirin agar tidak sekali-kali memandu dalam keadaan mabuk. Ia 
bukan sahaja membahayakan nyawa anda malahan pengguna jalan raya yang 
lain. 
Kita
 seharusnya memandu kenderaan yang sempurna sifatnya. Sebelum memandu 
kenderaan, kita mesti memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk 
dipandu. Contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu 
berada dalam keadaan baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan 
masalah ini. Mereka mengabaikan kesempurnaan kereta mereka. Contohnya, 
mereka tidak mengganti tayar yang haus. Apabila tayar kita sudah haus, 
sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu akan berkurangan. Hal ini lebih
 membahayakan ketika hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar dengan 
jalan raya semakin berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus boleh 
menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. 
Tuan-tuan dan puan-puan,
Bagi
 mengatasi masalah ini, pihak polis trafik telah mengadakan pelbagai 
usaha bagi mengurangkan lagi kadar kemalangan jalan raya. Usaha yang 
dilakukan nampaknya masih kurang berkesan. Pihak kami sering mengadakan 
kempen keselamatan jalan raya terutama sempena sambutan hari raya. Hal 
ini kerana kami telah mendapat maklumat bahawa kejadian kemalangan jalan
 raya semasa musim perayaan meningkat dengan mendadak berbanding 
hari-hari lain. Hal ini kerana semua rakyat di Malaysia akan melakukan 
perjalanan jauh sarna ada pulang ke kampung ataupun pergi melancong. 
Kempen-kempen yang dilakukan tertumpu di jalan-jalan utama di seluruh 
negara. Melalui kempen ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran 
kepada pengguna jalan raya. 
Pada
 tahun lepas, Menteri Besar Kedah telah menyertai kempen keselamatan 
jalan raya. Kempen ini telah diadakan di lebuh raya Bukit Kayu 
Hitam-Sungai Petani. Ketika beliau berucap, beliau telah menekankan 
kesedaran kepada para pemandu agar memandu kenderaan mereka dengan 
cermat. Malah beliau juga turut memberikan baju keselamatan kepada 
penunggang motosikal. Kempen ini sekurang-kurangnya berjaya memberikan 
sedikit pengetahuan kepada pengguna jalan raya. 
Pihak
 polis trafik juga telah memasang kamera perangkap kelajuan. Kami telah 
memasangnya di tempat-tempat yang strategik iaitu kawasan yang biasanya 
dipandu laju oleh pemilik kenderaan. Jika mereka memandu dengan kelajuan
 melebihi 110 km sejam, justeru kamera perangkap kelajuan ini akan 
merakam gambar kereta dan pemandunya. Selepas disemak oleh pegawai kami,
 dan didapati mereka telah melanggar had kelajuan yang dibenarkan, pihak
 kami akan menghantar surat sama kepada pemiliknya. Cara ini telah dapat
 mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama di Lebuh Raya 
Utara-Selatan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
 Pasukan polis trafik bertugas selama 24 jam di sekitar 
jalan raya utama di negara ini. Mereka akan memastikan agar pemandu 
tidak membawa kenderaan mereka dengan laju atau secara berbahaya. Jika 
para pemandu memandu kenderaan mereka dengan laju, mereka boleh disaman 
ataupun kenderaan mereka boleh ditahan. Banyak saman telah dikeluarkan 
oleh pasukan polis trafik melalui cara sebegini terutamanya di sekitar 
bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan di Johor Bahru.
Jelaslah
 bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya berpunca daripada sikap pemandu
 itu sendiri. Seandainya pemandu itu berhati-hati ketika memandu maka 
kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Tetapi seandainya pemandu itu 
masih lagi berdegil dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya justeru 
kadar kemalangan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Oleh 
itu saya berharap agar setiap yang hadir ini menyedari pentingnya kita 
berhemah semasa memandu di jalan raya. Saya juga berharap perkara ini 
dapat disebarkan kepada orang lain yang tidak menghadiri majlis ini. 
Sebelum
 saya mengundurkan diri besarlah harapan saya agar kemalangan jalan raya
 di negara ini dapat dikurangkan. Sekian, terima kasih. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan