Khamis, 30 Ogos 2012

MANUSIA SEMAKIN BERANI MELAKUKAN MAKSIAT TIDAK TAKUT KEPADA AJARAN ALLAH SWT


Meneliti berita terbaru beberapa hari lepas berkenaan janin yang dibuang dan kepalanya pecah terhantuk di longkang kerana dibawa oleh aliran air yang deras, menguris hati ini. Janin yang berusia empat bulan itu dibuang bagaikan sampah, tiada harga bagi satu nyawa manusia oleh manusia lain yang bersifat kehaiwanan.
Bukan mudah untuk membaca bait-bait laporan tentang berita yang menyayatkan hati itu walaupun sudah dihidangkan dengan mungkin ratusan laporan seumpamanya kerana ianya melibatkan nyawa manusia yang sepatutnya menjadi perkara yang paling dihargai oleh manusia, akan tetapi disia-siakan begitu sahaja oleh tangan-tangan yang
tidak takut akan janji hukuman dari Allah atas dosa membunuh. Begitulah apabila agama dibakulsampahkan oleh masyarakat. Amat sukar untuk hati menerima ajaran agama apabila hati telah dipenuhi dengan kekotoran dosa dan noda. Tiada lagi rasa takut kepada Allah. Kejahatan masyarakat ini adalah hasil dari perbuatan tangan-tangan manusia.Benarlah firman Allah dalam surah ar-Rum yang menyatakan bahawa

“Telah timbul kerosakan dan bala bencana di darat oleh dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan tangan-tangan manusia”

Pernah diwar-warkan dahulu untuk digubal akta bagi memperuntukan hukaman yang berat berkaitan kesalahan kes pembuangan bayi ini oleh kabinet. Cetusan idea itu turut dipersetujui oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Maka telah dipersetujui oleh kabinet untuk menetapkan kes pembuangan bayi akan disisasat dibawah akta 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori jika sabit kesalahan. Kelulusan oleh kabinet itu telah dilakukan kira-kira hampir dua tahun lalu iaitu pada bulan Ogos 2010. Setelah itu, sehingga kini, masih belum kedapatan walau seorangpun pesalah yang dikenakan dengan hukuman berat seperti yang dijanjikan. Apakah maknanya dengan hukuman berat yang dijanjikan, sedangkan kes pembuangan bayi masih terus-terusan berlaku?

Statistik yang diambil bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan, manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun 2010 sehingga Kabinet membuat keputusan itu. Kes yang dicatat tahun ini saja hampir menyamai jumlah 65 kes yang berlaku di seluruh negara pada 2006. Malah, dikatakan dalam tempoh 24 jam selepas keputusan Kabinet itu diumumkan, empat lagi kes buang bayi dilaporkan. Ini tidak termasuk kes kelahiran anak luar nikah yang jumlahnya mencapai ratusan ribu. Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Negara, sejumlah 257,411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf, dicatat dalam tempoh 2000 sehingga Julai 2008, sebahagian besarnya Melayu. Statistik ini hingga tahun 2010 sahaja. Bagaimana 2011 dan 2012?

Apa yang sangat jelas disini ialah ada dua perkara yang tidak seiring perjalanannya dalam hal ini iaitu hukuman berat yang bakal dikenakan dengan perlaksanaan kepada hukuman itu. Laungkanlah seberat mana sesuatu hukuman itu, tapi sekiranya tidak disertakan dengan perlaksanaan hukuman sebenar, maka manusia tidak akan takut.Inilah tanda gagalnya undang-undang jenayah masa kini. Apa ada pada ugutan tanpa disertakan perlaksanaannya? Kes pembuangan bayi ini adalah bermula daripada pergaulan bebas, bermesra-mesra dengan pasangan berlainan jantina dan kemudiannya berzina. Adakah remaja yang masih muda dan bertenaga dan masih mencari-cari nikmat dunia itu akan meninggalkan zina yang penuh kenikmatan itu hanya kerana diugut?

Lihat sahaja kes penari tiang di Seremban baru-baru ini. Kes-kes sebegini adalah diantara penyebab permulaan kepada zina dengan mempertontonkan aksi-aksi ghairah demi sedikit wang. Atas kesalahan menari tiang dan berpakaian menjolok mata, mereka didenda sebanyak RM25 seorang oleh mahkamah. Denda yang dibayar sambil tersenyum oleh mereka sepertimana gambar mereka di muka depan sebuah akhbar yang melaporkan kes tersebut baru-baru ini. Ada diantara mereka seperti GRO sanggup berbuat lebih dari itu sepertimana pendedahan-pendedahan kerja-kerja “pintu belakang” mereka dibongkar oleh pihak berkuasa apabila membuat serbuan di tempat-tempat sebegitu. Inilah kegagalan kepada sistem undang-undang yang ada sekarang ini. Mengugut dengan hukuman yang berat, kemudian apabila ada kes yang boleh dikaitkan atau permulaan kepada kes yanglebih berat (seperti tarian tiang ini yang menghala kearah zina) maka hukuman ringan dikenakan. Lebih mencengkam jiwa apabila ada komen dari menteri yang mengatakan bahawa janganlah lihat hanya kepada denda RM25 itu sahaja akan tetapi kaunseling yang diberikan kepada pesalah itu yang lebih penting. Kenyataan yang sungguh merentap dan menghiris hati bila dibaca.

Berbeza dengan undang-undang Islam. Islam mengugut akan mengenakan hukuman berat dan Islam mewajibkan manusia melaksanakannya, tiada pilihan hukuman ringan. Apabila disebut hudud, maka ianya dari Allah dan tiada manusia yang boleh membuat tawar menawar. Tersebut dalam satu kisah ketika salah seorang perempuan dari kalangan Bani Ma’zum didapati bersalah kerana mencuri, maka rasulullah s.a.w memutuskan hukuman potong tangan ke atas wanita itu. Maka bermesyuaratlah orang-orang penting dari Bani Ma’zum bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih ringan untuk wanita itu. Kemudian diutuskan wakil mereka menemui Usamah bin Zaid, cucu angkat kesayangan baginda untuk menyampaikan hasrat mereka. Maka apabila dipersembahkan kepada rasulullah rayuan itu, merah padamlah muka baginda kerana marah. Antara lain sabda baginda ialah kaum sebelum ini telah dibinasakan oleh Allah kerana apabila mereka dari kalangan kaya dan berpangkat melakukan kesalahan, maka hukuman yang ringan sahaja dikenakan.

Manakala apabila kaum yang lemah dan miskin melakukan kesalahan maka hukuman berat dijatuhkan dan baginda bersabda lagi bahawa jika sekiranya anak perempuan kesayangan baginda Fatimah binti Muhammad bersalah kerana mencuri, maka baginda akan memotong tangannya. Begitulah keadilan dan ketegasan Islam yang tidak memilih ‘bulu’. Tidak akan
berundur seincipun apabila diperintahkan Allah. Itulah ketinggian taqwa seperti yang selalu disebut khatib dalam khutbah Jumaat. Dek kerana ketegasan itulah maka manusia takut dengan hukuman Allah. Apa dikata, dikota.

Islam mengutamakan pencegahan dalam perkara dosa. Islam seboleh-bolehnya tidak mahu menghukum manusia. Oleh kerana itu diseru manusia agar mencegah diri dari melakukan dosa besar. Lihatlah apabila Allah berfirman dalam surah al- Isra’

“Dan janganlah kamu menghampiri zina”.

Dia tidak menyebut “melakukan” tetapi “menghampiri”. Apabila hampirpun jangan, maka apatah lagi melakukannya. Begitulah keindahan pencegahan yang Allah anjurkan kepada kita. Akan tetapi awas untuk manusia yang tetap juga berdegil untuk melakukan dosa besar, maka hukuman yang dijanjikan amatlah berat. Dan jika pemerintah tidak melaksanakannya maka pemerintah itu pula akan dikenakan azab oleh Allah diakhirat nanti. Maka tiada jalan lain lagi kecuali kita kembali kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan semua laranganNya. Telah terbukti kegagalan sistem yang dibina oleh manusia untuk membentuk dan mengawal manusia. Kerana manusia tidak mencipta manusia. Hanya sistem yang terbaik adalah datangnya dari pencipta manusia itu sendiri iaitu Allah. Maka bersegeralah kita kembali kepada Allah.

Akhirnya saya menyeru kepada semua remaja-remaja, belia-belia dan muda-mudi yang sedang sibuk dengan mencari kenikmatan dunia agar segera meninggalkan perkara-perkara dosa yang bakal mengundang kemurkaan Allah. Kita bukannya tidak boleh berhibur dan mencari keseronokan, akan tetapi mestilah berpada-pada dan dalam lingkungan yang dibenarkan Allah. Ayuh pemuda-pemudi sekelian, jangan sia-siakan masa muda kamu dengan perkara yang bakal merugikan kamu sendiri. Kamulah generasi yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara dimasa depan. Ustaz mengharapkan diri ustaz dan kamu serta keluarga kita semua dilindungi Allah sentiasa insyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin