Khamis, 30 Ogos 2012

PERBUATAN BUANG BAYI ADALAH BERDOSA

Hukum seorang ibu menggugurkan janin atau kandungannya tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan hadis Nabi.  Namun apa yang jelas, al-Quran dan Hadis Nabi mengharamkan pembunuhan kerana Islam adalah agama yang sangat mementingkan kehidupan dan kesejahteraan manusia seluruhnya.


Antaranya Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan barang siapa membunuh seorang yang beriman dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, dia kekal di dalamnya. Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya” (an-Nisa’: 93). Malah, kejinya perbuatan membunuh juga dapat dilihat dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak halal darah seorang Muslim (haram membunuhnya) kecuali disebabkan berlakunya salah satu daripada tiga perkara: kafir setelah beriman (murtad), zina setelah berkahwin, membunuh jiwa tanpa jiwa (membunuh tanpa alasan yang benar)”.
Namun persoalannya, apabila seorang ibu terpaksa menggugurkan kandungannya, adakah ini bermakna, ibu berkenaan dalam kategori membunuh? Jadi, adakah pengguguran adalah jenayah yang sama dengan pembunuhan? Adakah kandungan atau janin sama nilainya dengan nyawa manusia yang sudah dilahirkan?


Bagi menjawab persoalan ini, ulama sudah membahagikan janin kepada dua peringkat; iaitu peringkat janin sebelum ditiupkan roh dan peringkat janin selepas ditiupkan roh berdasarkan dalil hadis Nabi SAW. Sabda Nabi yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang kamu berada di dalam perut ibunya selama 40 hari sebagai nutfah (air mani), kemudian bertukar menjadi ‘alaqah (segumpal darah) selama itu juga (40 hari), kemudian bertukar menjadi mudhghah (seketul daging) selama itu juga (40 hari), lalu Allah SWT mengutuskan seorang malaikat, maka diperintahkan dengan empat kalimat, dan dikatakan kepadanya: tulislah amalnya, ajalnya, celaka atau bahagia, kemudian ditiupkan roh ke dalamnya (janin)”.
Peringkat pertama ini adalah peringkat ketika janin baru terbentuk sehinggalah ia berumur 120 hari yang bersamaan dengan empat bulan. Ketika ini, janin tidak dianggap sebagai benda hidup, malah janin masih dianggap sebagai benda yang tidak bernyawa kerana roh belum lagi ditiupkan ke dalamnya.
Justeru, jika seorang ibu terpaksa menggugurkan kandungannya atas sebab tertentu yang dibenarkan hukum syarak maka inilah waktu yang paling selamat untuk menggugurkan janin. Ia adalah pandangan, sebahagian ulama daripada Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi’iyyah, dan Hanabilah.


Namun sebahagian besar ulama tetap mengharamkan kecuali demi menjaga keselamatan ibu. Ada juga pandangan dari sebahagian ulama Syaffi’iyah yang membenarkan pengguguran pada peringkat ini walaupun janin itu adalah hasil daripada zina dan rogol. Asas kepada pandangan ini ialah pengguguran janin sebelum umurnya mencecah 120 hari tidak dianggap sebagai pembunuhan, kerana janin belum lagi bernyawa (Muhammad Naim Yasin, 1996 Ali Mahyuddin & Ali Yusuf. (2006).
Walaupun, pengguguran janin ketika peringkat ini tidak dikira sebagai pembunuhan, namun sebahagian ulama daripada Syafi’iyyah dan Hanabilah mengharamkannya, malah mereka makin melarang perbuatan menggugurkan janin apabila janin makin membesar. Dengan kata lain, dosa menggugurkan janin, walaupun tidak sama dengan dosa membunuh jiwa seorang yang hidup, namun perbuatan ini tetap berdosa, dan darjah dosanya semakin membesar dengan meningkatnya umur janin (Muhammad Naim Yasin, 1996).
Pada peringkat kedua pula, iaitu selepas janin ditiupkan roh (selepas 120 hari), semua ulama berpendapat bahawa hukum menggugurkan janin itu berubah menjadi haram dan berdosa kerana janin sudah pun dianggap hidup dan bernyawa (Muhammad Naim Yasin, 1996).
Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan ibu menggugurkan kandungannya ketika peringkat ini, kecuali dengan satu sebab saja; iaitu jika janin mengancam nyawa ibu berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh pakar perubatan, dan pengguguran janin adalah satu-satunya cara dan jalan untuk menyelamatkan nyawa ibu. Asas kepada pendapat ini ialah nyawa ibu lebih berharga daripada nyawa janin. Justeru, nyawa janin terpaksa dikorbankan demi menjaga keselamatan ibu (Muhammad Naim Yasin, 1996).
Adapun alasan kerana malu, takut miskin, dan sebagainya tidak membolehkan seorang ibu menggugurkan kandungannya sebaik saja janin berusia 120 hari.
Menurut Imam Sayyid Qutb, terdapat pertalian yang amat erat antara larangan membunuh anak dan larangan mendekati zina kerana daripada zina lahirlah anak yang tidak diingini, lalu mereka dibunuh dan dibuang begitu saja. Malah, perbuatan berkhalwat antara seorang lelaki dan seorang wanita (berdua-duaan di tempat sunyi) dianggap sebagai muqaddimah (permulaan) dan pintu kepada zina.
Oleh itu, berkhalwat dan segala perbuatan yang boleh membawa seseorang kepada zina turut diharamkan dalam Islam. Asas kepada larangan ini ialah Allah amat menyayangi hamba-Nya. Justeru, Dia yang Maha Pengasih dan Penyayang melarang hamba-Nya daripada terbabit dalam zina yang hanya akan membawa bahaya yang besar kepada diri dan masyarakat seluruhnya (Sayyid Qutb, 2000).
Sayangnya, kebanyakan ibu yang terpaksa menggugurkan janin di Malaysia khasnya adalah hasil daripada hubungan haram (zina). Jika janin itu tidak digugurkan sudah menjadi rahsia umum bahawa bayi itu akan dibuang ke dalam tong sampah, diletakkan di hadapan rumah orang malah masjid tempat ibadat yang begitu suci juga pernah dijadikan sasaran tempat buangan bayi.
Perbuatan membuang bayi pada masa kini menyamai perbuatan Wadulbanat orang Arab pada zaman Jahiliyyah yang menanam hidup-hidup anak perempuan mereka sebelum datangnya pembimbing agung Nabi Muhammad SAW. Malah, perbuatan membuang bayi pada masa kini lebih jahiliah dari perbuatan jahiliah terdahulu kerana pada zaman itu bayi dibezakan jantinanya. Hanya anak perempuan yang ditanam dan bukan anak lelaki, namun sekarang bayi lelaki juga menjadi bayi buangan yang dibuang oleh ibu kandungnya sendiri.
Biasanya wanita yang terlanjur berada dalam dilema berhadapan dengan dua pilihan, membuang bayi atau melakukan pengguguran janin. Ada yang memilih pengguguran janin.
Walaupun pengguguran hasil zina sebelum janin berusia 120 hari dibolehkan oleh sebahagian ulama, namun pengguguran ini bukan menjadi suatu cara untuk mengharuskan atau menghalalkan zina. Wanita yang terbabit dengan masalah zina mesti menyedari bahawa hidup dalam kitaran dosa, zina dan pengguguran, adalah sebuah kehidupan yang penuh kegelapan, penderitaan, penyiksaan, dan penghinaan. Mahukah kita terus dibelenggu dengan dosa, kegelapan, dan penghinaan?
Bertaubatlah dan kembalilah ke pangkal jalan sebelum kematian datang menjemput sedangkan kita masih berada dalam kegelapan dan kealpaan. Berusahalah sedaya upaya untuk keluar daripada kepompong sempit yang penuh dengan najis dan kotoran jahiliah moden, dan carilah cahaya yang dapat melenyapkan kegelapan hati nurani.
Imam al-Shafiie ada menyebut ilmu itu cahaya, dan cahaya yang dapat menyinari kegelapan ini hanyalah dengan mencari ilmu pengetahuan yang berguna.
Pengguguran janin dan pembuangan bayi yang semakin membarah hari ini adalah punca daripada hilangnya rasa tanggungjawab dan rasa hormat terhadap wanita pada tahap yang sepatutnya, dan juga kesan daripada tandusnya penghayatan ilmu agama dalam masyarakat.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama menangani isu keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang semakin mengancam keamanan masyarakat dan menjadi semakin parah seperti penyakit barah terutama isu-isu yang membabitkan penghinaan terhadap wanita seperti masalah zina dan rogol.
Sikap menuding jari ke arah orang lain tidak akan menyelesaikan masalah, malah sikap terpuji ialah setiap orang perlulah melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing serta bersama-sama berusaha dalam menyelesaikan masalah masyarakat dan sama-sama membangunkan masyarakat.
Antara sabda Nabi yang selayaknya menjadi pedoman orang beriman dulu, sekarang dan selamanya ialah: “Setiap kamu adalah pemimpin (yang mempunyai tanggungjawab masing-masing), maka setiap orang akan ditanya mengenai rakyatnya (orang atau tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya)�” (hadis muttafaq ‘alaih).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin