Malaysia pada hari ini didiami oleh 
pelbagai bangsa, kaum dan etnik dari Perlis hingga ke Sabah. 
Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, 
bahasa, agama dan adat resam. Corak masyarakat Malaysia seperti ini 
berlaku disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan, seperti yang berlaku
 terhadap perubahan struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan ke-19, 
masyarakat Malaysia tidak begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan 
bahawa, semenanjung Tahan Melayu ketika itu didiami oleh orang Melayu 
dan Orang Asli bersama sebilangan kecil bangsa atau kaum lain. Tetapi 
kini coraknya telah berubah dan wujudlah pembentukan masayarakat majmuk.
J.S.Furnivall merupakan orang pertama 
yang mengemukakan konsep masyarakat majmuk berdasarkan kajiannya di 
Indonesia dan Burma. Menurut Furnivall (1967:54), masyarakat majmuk 
terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa 
dan adat resam yang tersendiri. Walaupun pelbagai kaum berganding bahu 
di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah 
berasingan dan interaksi sosial dalam kalangan mereka amat berkurangan 
dan hubungan mereka hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli. 
Pembahagian tugasan dilakukan atas garis-garis ras.
Idea Furnivall mengenai masyarakat majmuk
 telah banyak dibincangkan oleh tokoh-tokoh sosiologi yang terkemudian. 
M.G. Smith merupakan salah seorang yang telah memberikan satu analisis 
yang panjang lebar mengenai konsep ini. M.G. Smith juga menganggap 
masyarakat majmuk sebagai masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya, 
perpecahan sosial dan perselisihan. Dari segi politik pula, masyarakat 
majmuk dikuasai oleh satu kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan 
yang tersendiri. Smith juga berpendapat bahawa masyarakat wujud atas 
dasar konflik dan paksaan, bukannya atas dasar nilai bersama. Selain 
daripada Furnivall dan Smith, P.L. Van Den Berghe juga memberikan 
sumbangan terhadap perbincangan mengenai konsep masyarakat majmuk. 
Beliau membezakan kemajmukkan sosial iaitu masyarakat dipecahkan kepada 
kelompok korporat dan bukannya budaya daripada kemajmukkan budaya iaitu 
wujud daripada beberapa kelompok etnik.
Ketiga-tiga tokoh ini menekankan konflik 
dan perpecahan sebagai unsur ketara dalam masyarakat majmuk. Pendirian 
ini amat bertentangan dengan pendekatan fungsional yang mendakwa bahawa 
masyarakat majmuk wujud atas dasar konsensus dan nilai bersama. Oleh 
yang demikian, tidak hairanlah beberapa kritikan mengenai idea atau 
teori masyarakat majmuk juga datang daripada ahli fungsional. Walau 
bagaimanapun, teori ini mempunyai kelebihannya iaitu salah satu 
percubaan untuk membentuk satu teori secara umum mengenai hubungan ras. 
Teori ini cuba memasukkan pentingnya unsur ras dan etnik ke dalam satu 
rangka dasar berbentuk konseptual dan merupakan satu syarat asas untuk 
memahami sifat hubungan ras.
Sebelum abad ke-18, penduduk di Tanah 
Melayu dan kepulauan borneo ketika itu didominasi oleh orang Asli, orang
 Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Migrasi daripada luar 
juga berlaku tetapi jumlahnya terhad. Selain itu, terdapat juga kaum 
pendatang daripada Sumatera, Indonesia. Tetapi tidak menjejaskan corak 
masyarakat ketika itu kerana kaum pendatang ini adalah daripada rumpun 
bangsa yang sama (James P. Ongkili, 1985:4).
Pada awal abad ke-18, perubahan dalam 
struktur masyarakat berlaku di Malaysia disebabkan oleh fenomena migrasi
 dari luar yang berlaku akibat faktor penarik yang ada di bumi mahupun 
faktor penolak di negara asal masing-masing yang bertanggungjawab 
mencernakan perubahan yang berkekalan sehingga ke hari ini. Struktur 
masyarakat di Malaysia berubah adalah disebabkan migrasi daripada luar 
dan juga faktor penolak dan penarik. Migrasi ini berlaku sedikit demi 
sedikit sebelum penjajahan barat, tetapi berleluasa setelah penjajahan 
berlaku. Aktiviti ekonomi dan perladangan menjadi faktor utama dalam 
aktiviti migrasi daripada luar terutamanya daripada China dan India.
Menurut B.W. Andaya dan L.Y Andaya 
(1983:159), masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin 
keluar daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu,
 mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan 
buruh-buruh Cina ke Tanah Melayu melalui beberapa cara yang dikenalpasti
 diusahakan oleh orang Cina sendiri yang telah menetap lama di Tanah 
Melayu melalui sistem tiket yang sangat popular. Menurut W.L. Blythe 
(1953:3), bilangan buruh Cina yang berhijrah memang ramai dan sentiasa 
bertambah dari semasa ke semasa. Namun angka yang tepat sukar ditentukan
 kerana ketiadaan dokumen yang sah dan kemasukan secara haram ke Tanah 
Melayu.
Kemasukkan masyarakat Cina ke Tanah 
Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk 
daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah. Pengaruh 
masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial 
Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat
 Melayu ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru 
iaitu Baba Nyonya dan Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa 
kepelbagaian atau kemajmukkan masyarakat di Malaysia dan mengambarkan 
keunikannya pada pandangan masyarakat luar.
Migran kedua terbesar selepas China 
adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka berasal daripada India
 Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga mengalami 
masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar. 
Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang 
mendorong penduduknya berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke
 Tanah Melayu ketika itu. Migran India datang sejak pembukaan Pulau 
Pinang oleh Inggeris. Pada waktu itu bilangan mereka masih kecil dan 
bertambah setelah Inggeris berjaya benguasai negeri-negeri Melayu.
Selain migran daripada negara China dan 
India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menjadi tumpuan daripada 
masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon. Namun, bilangan 
mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China dan 
India. Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan 
(Banjarmasin), Celebes, Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagain 
kepulauan yang berhampiran dengan Selat Melaka.. Pendatang daripada 
Indonesia juga berbilang suku kaum dan etnik antaranya orang Jawa, 
Bugis, Minang dan Banjar. Menurut S.N. Arseculeratne (1991:8), pendatang
 dari Ceylon kebanyakannya terdiri daripada kaum Sinhalese. Mereka 
datang dari kawasan pantai selatan negara tersebut. Mereka datang dengan
 jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19 berterusan hingga abad ke-20.
 Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan British di Ceylon. 
Faktor ekomoni adalah bukan faktor utama penghijrahan mereka, sebaliknya
 mereka ingin mencari rezeki yang lebih berbanding apa yang mereka dapat
 di negara asal mereka (S.N. Arseculeratne,1991:10).
Setelah kemasukan migran daripada luar, 
bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum 
seperti sekarang. Proses pembentukan masyarakat pada mulanya sukar 
kerana berbeza fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian. 
Banyak konflik yang berlaku dalam proses pembentukan ini seperti 
peristiwa 13 mei 1969. Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, 
konflik berkenaan mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas. 
Pengambilan pekerja buruh daripada luar di buat secara tetap sudah pasti
 akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik yang lebih 
membimbangkan dan bagi mengelak pembentukan masyarakat majmuk pelbagai 
etnik atau heterogeneous seperti mana yang cuba dielak oleh 
negara-negara Eropah Barat dan Telok (Weiner, 1990:143).
Campur tangan Inggeris di Tanah Melayu 
bermula apabila Francis Light menduduki Pulau Pinang pada Ogos 1786, 
menyebabkan kemasukkan migran secara besar-besaran daripada luar. Dalam 
jangka masa yang panjang semasa pemerintahan kolonial British di 
Malaysia iaitu selama lebih satu ratus lima puluh tahun bermula 1786 
hingga 1957. Antara tahun itu, Malaysia telah diduduki oleh Jepun semasa
 perang dunia kedua. Walau bagaimanapun, jangka masa singkat itu 
dianggap tidak mempunyai signifikan yang besar kepada komposisi dan 
mobiliti penduduk. Masyarakat homogenis Melayu Tanah Melayu telah 
mengalami transformasi kepada masyarakat heterogenios Malaysia yang 
mengandungi etnik-etnik Melayu, Cina dan India sebagai komponen 
utamanya.
Setelah kemasukan migran dari luar 
akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan India yang 
berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang 
berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi
 bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan
 penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah 
campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini 
kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, 
Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.
Kesimpulannya, pembentukan masyarakat 
majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. 
Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh 
itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia.
 Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang 
kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan 
yang berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini 
menjadi tarikan masyarakat luar.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan