Dengan berlakunya serangan yang pertama oleh Siam ke 
atas Kedah pada akhir abad ke 13, maka bermulalah sejarah kedatangan 
orang Siam ke negeri ini. Sebenarnya di Kedah terdapat dua golongan 
masyarakat Siam. Golongan yang pertama terdiri daripada masyarakat Siam 
Buddha dan yang keduanya masyarakat Siam Islam. 
Kedatangan orang Siam ke Kedah di akhir abad ke 13 
diikuti dengan kedatangan beramai-ramai pada abad ke 18 dan 19. 
Kedatangan mereka ke Kedah adalah disebabkan oleh faktor penolak dan 
faktor penarik. Antaranya ialah krisis ekonomi yang berlaku di 
daerah-daerah selatan Thailand dan penaklukan Siam ke atas Kedah dan 
Patani. Di Kedah masyarakat Siam tertumpu di daerah-daerah yang 
berhampiran dengan kawasan-kawasan yang berhampiran sempadan 
Kedah-Thailand. Oleh itu mereka terdiri daripada penduduk-penduduk luar 
bandar. 
Penempatan mereka yang sedemikian rupa telah 
mempengaruhi corak kegiatan ekonomi yang mereka jalankan di Kedah. 
Hampir 90% orang Siam Kedah terlibat di dalam sektor pertanian. Di dalam
 sektor pertanian, aktiviti yang paling utama dikerjakan oleh orang Siam
 ialah menanam padi dan menoreh getah. Daerah-daerah yang didiami oleh 
masyarakat Siam merupakan kawasan penanaman padi. Oleh itu orang Siam 
yang sememangnya penanam padi di Thailand tidak menghadapi masalah untuk
 terus bertani apabila menetap di Kedah. 
Masyarakat Siam di Kedah telah berassimilasi dengan 
masyarakat tempatan terutamanya dengan masyarakat Melayu dan Cina. 
Assimilasi berlaku akibat kerana tiada sistem kelas di dalam masyarakat 
Siam Kedah yang membezakan kedudukan seseorang individu dengan individu 
yang lain. Dengan itu taraf kedudukan orang Siam adalah setaraf dengan 
kedudukan penduduk Melayu di luar bandar. Pergaulan yang bebas dan luas 
di antara orang Siam dengan masyarakat Melayu serta tiada perbezaan 
fahaman agama dengan di antara masyarakat Siam dengan masyarakat Cina 
merupakan faktor yang menggalakkan assimilasi. 
Masyarakat Siam masih lagi berpegang kuat kepada 
fahaman animisme terutama percayakan hantu-hantu yang menggangu 
kehidupan mereka. Oleh itu bomoh memainkan peranan penting di dalam 
kehidupan mereka. Unsur-unsur animisme itu diamalkan bersama-sama dengan
 amalan agama Buddha yang kuat dipegang oleh orang Siam. Contohnya 
lelaki Siam dimestikan menjadi sami dan tempoh untuk menjadi sami 
terpulang kepada seseorang individu. Semasa menjadi sami inilah 
ajaran-ajaran Buddha betul-betul diamalkan. 
Kepentingan orang Siam biasanya dipegang oleh Naiban 
(Ketua Kampung) dan Pegawai Luar Siam, yang berperanan sebagai orang 
tengah kepada masyarakat Siam. Naiban (Ketua Kampung) bertanggungjawab 
mengetengahkan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat Siam kepada
 pihak yang bertangguangjawab. Tetapi pada 1960an terdapat sebuah 
persatuan yang bertujuan menjaga kepentingan orang Siam di Kedah dan 
Perlis ditubuhkan. Pada masa yang sama beberapa buah cawangan UMNO 
ditubuhkan oleh orang Siam Kedah dengan tujuan mengetahui dan memahami 
selok belok politik Malaysia disamping mendukung tujuan-tujuan yang 
terdapat di dalam pertubuhan UMNO sendiri. 
Kerajaan telah melantik Dato Charern Intachat sebagai
 Ahli Dewan Negara, wakil orang Siam yang pertama pada 1996. Kini pada 
30hb Februari 2002 Pn. Chun a/p Eam senator kedua menggantikan Dato 
Charern. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan