SEJARAH BUDDHISME DI MALAYSIA
 Sejarah Buddhisme di Malaysia boleh dibahagikan kepada 2 peringkat :
Pada awal kurun Masehi, seperti yang disebutkan oleh 
Dr. Coedes dalam bukunya, Indianized States of South East Asia, "Warisan
 kebudayaan Orang India di Asia Tenggara dapat dibuktikan daripada corak
 kebudayaan yang terdapat di Semenanjung dan Tanah Besar Asia Tenggara; 
Bahasa Sanskrit telah menjadi ansur bahasa tempatan; dan unsur-unsur 
tradisi orang India masih terdapat di negara-negara yang bertukar kepada
 Islam." Tetapi Prof. D.G.E. Hall, dalam bukunya A History of South East
 Asia, percaya bahawa kebanyakan tradisi India telah mengubahsuai 
apabila bertentangan dengan tradisi tempatan, misalnya sistem kasta 
tidak pernah dipraktikkan di sini. Akan tetapi fakta ini tidak boleh 
dihapuskan iaitu aktiviti perdagangan dan perniagaan telah menarik ramai
 pedagang India datang berdagang di Asia Tenggara. Pedagang-pedagang ini
 membawa bersama kebudayaan, ugama serta kesenian mereka ke rantau ini. 
 Untuk menentukan bilakah Buddhisme mula-mula wujud di Semenanjung Melayu, maka kita memerlukan 3 jenis sumber yang penting:
1. rekod orang China di People's Republic of China,
2. rekod buddhis dan orang India dan
3. bukti-bukti arkeologi.
 Banyak barangan yang digali dari tanah oleh ahli 
arkeologi membuktikan bahawa bahagian utara Tanah Melayu, iaitu Negeri 
Kedah, pernah dipengaruhi oleh kebudayaan awal Buddhisme.
 Pada pertengahan kurun ke 3 sebelum masehi, selepas 
Kausil Buddhis Ketiga, Maharaja Asoka telah menghantar dua orang Bhiksu,
 iaitu Ven. Sona dan Ven. Uttara datang ke rantau ini untuk menyebarkan 
agama Buddha.
 Pada kurun yang ke 5, Buddhisme telah berkembang 
dengan baik di Semenanjung Melayu. Exkavasi arkeologi bukan hanya terhad
 di Kedah sahaja, tetapi didapati di Kuala Selinsing, Tanjung Rambutan, 
Lembah Kinta, Bidor dan Sungai Siput di Perak, di Perlis dan juga di 
Pahang.
 Langkasuka merupakan sebuah negara Buddhis yang 
pertama, ia ditubuhkan pada kurun masehi ke 2 dan berpusat di Banjaran 
Gunung Jelai, kemudian ia mengembangkan kuasanya ke bahagian Selatan 
Negeri Thai.
 Pada kurun ke 7, Buddhisme Mahayana telah menjadi 
sistem Buddhisme yang lebih diterima oleh rakyat Semenanjung Tanah 
Melayu. Pada masa itu, Tanah Melayu berada di bawah kuasa Srivijaya, 
sebuah empayar Buddhis yang berpusat di Pulau Jawa.
 Agama Hindu telah mengalami kebangkitan semula di 
India pada kurun ke 10, maka Agama Buddha kehilangan sokongan yang 
diberi oleh istana serta golongan bangsawan. Kejatuhan pengaruhnya di 
India telah mempengaruhi kekuasaannya di Asia Tenggara. Pada akhir abad 
ke 12, empayar Srivijaya mengalami kejatuhan, begitu juga halnya dengan 
pengaruh Buddhisme. Pada awal kurun ke 10, Parameswara mendirikan 
Empayar Melaka. Apabila Parameswara dan Raja-Raja lain menganuti Agama 
Islam, agama tersebut telah menjadi agama utama di rantau ini. Sehingga 
abad ke 15, Islam telah berjaya mengambil alih kedudukan Buddhisme 
sebagai agama yang utama diterima oleh istana dan rakyat biasa, lantas 
Buddhisme di Tanah Melayu pada masa itu mengalami kemerosotan.
 Walaupun begitu, masih terdapat banyak peninggalan 
kebudayaan Buddhisme di Kedah, Perlis dan Kelantan akibat pengaruh 
Negeri Thai. Unsur-unsur Buddhisme masih terbukti dalam drama Menora dan
 wayang kulit.
 Penghijrahan beramai-ramai orang China ke Tanah 
Melayu pada abad ke 17 merupakan arus ombak yang kedua. Pada masa itu, 
Buddhisme hanya merupakah upacara amalan yang penuh dengan kepercayaan 
dan kebudayaan Cina. Hanya pada tahun 1950, barulah terdapat penganut 
Buddha yang cuba meningkatkan status dan kedudukan Buddhisme. Dengan 
tertubuhnya banyak organisasi buddhis, termasuk YBAM (Young Buddhist 
Association of Malaysia) dan MBA (Malaysian Buddhist Association), maka 
wujudlah satu suasana yang baru yang menyatupadukan para Buddhis.
 Satu perkembangan lain yang penting ialah 
terdapatnya pengaliran masuk bentuk-bentuk Buddhisme yang dipengaruhi 
oleh kebudayaan-kebudayaan Thai, Sri Langka, Burma, Jepun dan Tibet. Ini
 telah membentuk Buddhisme di Malaysia yang pelbagai rupa bentuk.
 Kebanyakan organisasi Buddhis di negara ini 
mengamalkan sama ada Bahasa Cina atau Bahasa Inggeris atau kedua-duanya 
sekali. Tetapi Persatuan Buddha Wakaf Bharu adalah yang unik sekali. 
Ianya boleh dikatakan organisasi yang pertama di Malaysia menggunakan 
Bahasa Malaysia untuk menyebar Ajaran Buddha kepada ahli-ahli serta 
orang ramai. 
 Walaupun fakta sejagat ketidakkekalan ANICCA 
sentiasa mempengaruhi perbuatan kita, tetapi demi bangsa dan ugama, 
marilah kita bersama-sama membakti, membantu, mendidik agar generasi 
kini dan akan datang dapat menghayati dan mengamalkan Ajaran Buddha 
untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara kita Malaysia.
Disediakan oleh POH KIM HEE 27/7/89.
Rujukan: Bahan keluaran YBAM: Benny Liow: An Outline of Buddhism in Malaysia.
Berita dari Nanyang Siang Pau 22/11/87 (AHAD)
Sebuah kuil Buddhis yang dipercayai dibina di antara 
abad ke 10 hingga 12 telah ditemui oleh pasukan arkeologi Universiti 
Kebangsaan Malaysia di Lembah Bukong, dekat Merbok, di Kedah Tengah.
Dengan pertemuan tersebut, bilangan kuil-kuil Buddhis
 yang bersejarah telah bertambah ke 17, yang mana 9 daripadanya telah 
dibina semula.
Pasukan ini diketuai oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Dr. Maya serta AJK Arkeologi Muzium En. Kamarudin Zakaria.
Apabila ditemuramah, En. Kamarudin menegaskan bahawa 
kawasan, di mana kuil itu dijumpa, pada awal 1985, telah dipilih oleh 
UKM untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk membuat kajian 
arkeologi. Di kawasan yang sama, terdapat dan dikenalpasti bahan-bahan 
kaca dan tembika yang dibawa dari Negara Belanda dan China di antara 
abad 9 hingga 16.
Pakar Pengajian Sejarah Negara China, Prof. Shi 
Shu-qing, semasa memberi syarahan mengenai bahan sejarah di KL, membawa 
bersamanya 2 keping gambar lukisan. Gambar-gambar itu adalah hasil 
lukisan orang China yang melukis orang-orang dari Langkasuka datang ke 
Negara China untuk mempersembahkan upeti. Dalam gambar itu, jelas 
kelihatan pakaian mereka dan kesemua mereka itu berkaki ayam. 
Perhubungan antara kedua-dua negara ini berlaku lebih kurang 1500 tahun 
yang lalu.
SEJARAH PERGERAKAN BELIA BUDDHIS DI MALAYSIA
Pergerakan belia Buddhis di Malaysia bermula pada 
tahun 1955, iaitu apabila seorang Bhikkhu yang berbangsa Amerika, Ven. 
Sumangalo, mengasaskan Kumpulan Belia Persatuan Buddhis Pulau Pinang.
Sehingga tahun 1958, hasil dari usahanya, banyak 
persatuan belia Buddhis telah diasaskan, ai antaranya termasuk Kumpulan 
Belia Persatuan Buddhis Melaka, Kumpulan Belia Wat Buddha Jayanti, 
Kumpulan Belia Persatuan Buddhis Kelantan, Persatuan Belia Buddhis Kedah
 dan Persatuan Belia Buddhis Selangor.
Penubuhan Persatuan-Persatuan Belia Buddhis ini telah
 telah membawa kepada tersidangnya Perhimpunan Belia Buddhis Kebangsaan 
yang pertama pada Disember, 1958. Kejayaan penting yang dicapai ialah 
tertubuhnya Kesatuan Persaudaraan Buddhis Malaysia. Setelah itu, tiga 
lagi perhimpunan tersebut diadakan, masing-masing bertempat di Melaka 
(1960), Kuala Lumpur (1962) dan Kuala Terengganu (1964). Sehingga 1965, 
11 buah Persatuan Belia Buddhis menyertai Kesatuan Persaudaraan Buddhis 
Malaysia, iaitu separuh dari jumlah Persatuan Buddhis yang tertubuh di 
Malaysia pada ketika itu.
Pergerakan Kesatuan tersebut berhenti pada tahun 1965 dan berterusan selama 5 tahun.
Oleh kerana Ven. Sumangalo merupakan orang yang 
bertanggungjawab terhadap perkembangan awal pergerakan belia Buddhis di 
Malaysia, beliau dikenali umum sebagai Bapa Belia Buddhis Malaysia.
Persatuan Belia Buddhis Malaysia telah ditubuhkan 
hasil daripada seminar belia Buddhis yang pertama diadakan pada 25hb 
hingga 29hb Julai 1970 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Sejumlah 17 
buah Persatuan Belia Buddhis menghantar wakil untuk menyertai seminar 
tersebut yang telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Buddhis Selangor.
Para belia Buddhis ini berpendapat bahawa kekurangan 
semangat untuk mengembangkan Agama Buddha telah menyekat perkembangan 
Buddhisme di Malaysia. Belia Buddhis haruslah bersatupadu, bergembeleng 
tenaga manusia, kewangan dan material lain untuk membentuk wajah baru 
Buddhisme, mempertingkatkan perpaduan dan memberi sumbangan yang lebih 
besar dalam perkembangan Buddhisme serta peradaban bukan-material di 
Malaysia.
Seminar tersebut berbincang sama ada perlu atau tidak
 untuk menyusun semula Kesatuan Persaudaraan Belia Buddhis Malaysia yang
 telah lama tidak aktif, ataupun membentuk satu pertubuhan baru. Setelah
 perbincangan hangat diadakan, para perwakilan bersetuju menubuhkan 
Persatuan Belia Buddhis Malaysia (Young Buddhist Association of 
Malaysia, YBAM). Persatuan tersebut berperanan untuk menyatupadukan umat
 Buddhis dari pelbagai kaum dan sektarian serta membentuk Buddhisme 
ala-Malaysia.
 Setelah tertubuhnya YBAM, banyak Persatuan Belia 
Buddhis di seluruh negara memohon untuk menjadi ahli. Banyak Persatuan 
Belia Buddhis yang ada sekarang di seluruh negara merupakan hasil usaha 
YBAM, dan Persatuan-Persatuan ini giat menyertai program menyebarkan 
Ajaran Buddha yang dianjurkan oleh YBAM. Beribu-ribu belia mulai 
menerima ajaran Buddha, mempelajari sutra (sutta), sila dan sastera 
Buddhisme, serta menjalani cara hidup yang berdasarkan Ajaran Buddha. 
YBAM telah berusaha dengan gigih dan ia berjaya meningkatkan suata gerak
 kuasa dalam pemelajaran Buddhisme di seluruh negara.
Setakat ini tahun 1994, terdapat lebih 260 buah 
pertubuhan Buddhis menyertai YBAM, termasuklah Persatuan Buddha Wakaf 
Bharu, ini telah menyebabkan YBAM bertindak sebagai satu gentera 
perpaduan dan perhubungan baik umat Buddhis di Malaysia.
YBAM ialah wakil belia Buddhis yang tunggal yang 
diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan. YBAM juga menganggotai 
Jawatankuasa Belia Malaysia dan Jawatankuasa Perunding Belia Negara. 
YBAM aktif menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Kerajaan dan sentiasa
 mendapat bantuan dari Kementerian Belia dan Sukan.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan