Firman Allah SWT:
“(Al-Quran ini) sebuah kitab yang 
diturunkan kepadamu (wahai  Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah 
ada perasaan bimbang dalam  dadamu mengenainya, supaya engkau memberi 
amaran dengan Al-Quran itu  (kepada orang-orang yang ingkar), dan supaya
 menjadi peringatan bagi  orang-orang yang beriman.” (Surah al-A’raf 7:2)
Pada 16 Ramadhan 1432 yang lalu kita 
telah meraikan Hari Nuzul Al-Quran (Penurunan Al-Quran). Insya Allah 
pada  tanggal yang sama pada bulan hadapan, 16 September, sekali lagi 
seluruh  rakyat Malaysia akan menzahirkan rasa syukur terhadap nikmat 
keamanan dan kesejahteraan dikurniakan  sebuah negara Malaysia yang 
tercinta ini. Marilah kita menadah tangan  berdoa agar diamanjayakan 
negara ini.
Kita semua samada pemimpin dan rakyat 
sepakat dan setuju mengatakan  usaha membangun dan mengekal 1001 nikmat 
anugerah Allah terhadap nikmat  bernegara ini adalah kerja besar. Sangat
 berhajat kepada pedoman, tunjuk  ajar dan bimbingan Allah Yang Maha 
Besar. Pedoman-pedoman yang berharga itu akan kita temui di dalam  
Al-Quran kepada sesiapa yang menggalinya.
Sempena sambutan hari penurunan 
Al-Quran, saya mengajak para pembaca sama-sama menekuni beberapa pedoman
 keramat dari Allah Yang Maha Besar  Tuhan Yang Maha Mengamankan 
menerusi beberapa ayat al-Quran.
PEDOMAN 1
Firman Allah SWT:
“(Balasan) yang demikian itu, ialah 
kerana sesungguhnya Allah tidak  akan mengubah sesuatu nikmat yang telah
 dikurniakanNya kepada sesuatu  kaum sehingga mereka mengubah apa yang 
ada pada diri mereka sendiri. Dan  (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha 
Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Keadaan mereka) samalah seperti 
keadaan Firaun dan kaumnya serta  orang-orang yang terdahulu dari 
mereka. Mereka mendustakan ayat-ayat  Tuhan mereka, lalu Kami binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka,  dan Kami tenggelamkan Firaun serta pengikut-pengikutnya (di laut),  kerana kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Anfal 8:53-54)
Firman Allah lagi:
“Tidakkah mereka memerhati dan 
memikirkan berapa banyak umat-umat yang  telah Kami binasakan sebelum 
mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami  teguhkan kedudukan mereka di
 muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan 
kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas  mereka dengan lebatnya, dan 
Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah  mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?” (Surah al-An’am 6:6)
Firman Allah lagi:
“Tidakkah mereka telah berjalan dan 
mengembara di muka bumi, dengan  itu tidakkah mereka memerhatikan 
bagaimana kesudahan orang-orang yang  terdahulu dari mereka? Orang-orang
 itu adalah orang-orang yang lebih  dari mereka tentang kekuatan tenaga 
dan tentang kesan-kesan usaha  pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun 
demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah.” (Surah Ghafir 40:21)
Secara tematiknya ataupun secara tafsir maudhu’inya kita menyimpulkan bahawa pedoman pertama mengungkapkan bahawa dosa hasil dari maksiat dan kemungkaran adalah antara faktor mengekalkan nikmat bernegara dan bermasyarakat menjadi sukar dan bermasalah.
PEDOMAN 2
Al-Quran memberi pedoman bahawa dosa yang akan memusnahkan nikmat sedia ada terbahagi kepada dua: yang zahir dan yang batin.
Firman Allah SWT:
“Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka  akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-An’am 6:120)
Firman Allah SWT:
“Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi.” (Surah al-A’raf 33)
Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya’rawi ketika memberi komentar beliau untuk ayat 120 surah al-An’am, beliau mengungkap:
“Kerosakan masyarakat sumbernya banyak 
yang tidak dikesan oleh  pancaindera. Di sana banyak juga kerosakan ini 
berpunca dan bermula dari  dalaman diri itu sendiri sebagai momentum 
perselisihan. Sebelum  munculnya dosa-dosa zahir, wujud dahulu dosa-dosa
 batin. Maka  undang-undang manusia cuba memelihara kita daripada 
dosa-dosa zahir  manakala undang-undang langit memelihara kita daripada 
kerosakan dosa  zahir dan dosa batin.”
Dr Sa’id Ramadhan al-Buti dalam bukunya 
“Bawatin al-Ithmi”  menyenaraikan contoh maksiat / kemungkaran batin 
yang membawa kepada dosa  seperti tidak sayang kepada Islam, sombong, 
riya’, takabbur,  individualistik, hasad dengki, rakus pangkat dan 
pengaruh, tiada sifat  belas, tamak dan lain-lain lagi.
Semoga kita semua, raja dan rakyat, 
ulamak dan umarak berusaha  menyisihkan dosa zahir dan batin dalam 
kehidupan kerana al-Quran memberi  pedoman bahawa al-zunub (dosa) boleh 
menghakis nikmat Allah kepada kita  termasuk nikmat bernegara secara 
aman dan damai. Penghakisan nikmat itu  ada yang drastik, ada yang 
perlahan tidak disedari, ada yang bersifat  zahir dan ada yang bersifat 
batin.
Ada orang senang tapi tak tenang, ada orang kaya tapi tak upaya, ada orang yang mewah tapi lemah.
PEDOMAN 3
Tasik kasih al-Rahman dan al-Rahim Allah
 tidak pernah kontang untuk  melimpahkan air kasih sayangNya kepada 
mereka yang segera sedar dan  bertaubat atau dalam istilah al-Quran 
sebagai istighfar dan taubat,  bahkan 
al-Quran memberi penegasan bahawa “kuasa” istighfar dan taubat  bukan 
sekadar membersihkan diri dari dosa tetapi ia juga akan bukan  sekadar 
mengekal nikmat yang ada bahkan menambahkan nikmat yang sedia  ada.
Firman Allah SWT:
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat
 kepadaNya; supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik 
(di  dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) 
Dia  akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan 
(dalam  sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika
 kamu  berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya 
aku  bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar  
(huru-haranya)”. (Surah Hud 11:3)
FirmanNya lagi:
“Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat
 kepadaNya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta  
menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan  
janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!” (Surah Hud 11:3)
Kesimpulan yang boleh kita ambil dari tulisan ini ialah:
- Kita memerlukan perkenan dan keizinan Allah Yang Maha Besar untuk menggalas tugas besar mempertahankan nikmat Allah.
- Dosa hasil maksiat dan kemungkaran membawa kesan kepada kemusnahan peringkat individu, masyarakat dan negara.
- Dosa itu pula ada yang nampak zahir dan ada yang berlaku secara rahsia dan berlaku dalam diri.
- Memohon ampun kepada Allah (istighfar) dan kembali menjalani ketaatan (taubat) akan memelihara nikmat sedia ada bahkan akan menambahkan kekuatan sedia ada.
Akhir al-kalam saya mengingatkan diri 
saya dan pembaca yang diamanahkan mentadbir bumi Malaysia yang disayangi
 ini dengan firman Allah  SWT:
“Adakah (yang demikian itu 
tersembunyi dan) tidak jelas kepada  orang-orang yang mewarisi negeri 
itu sesudah penduduknya (hilang lenyap  kerana ditimpa bencana), bahawa 
kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan  menimpakan mereka pula dengan 
azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami  meteraikan di atas hati 
mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar  (nasihat-nasihat 
pengajaran)?” (Surah al-A’raf 7:100).
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan