SOALAN:
 Saya seorang hamba Allah yang telah separuh usia 
tetapi hingga kini masih belum berkahwin kerana masalah-masalah 
peribadi. Sejak akhir-akhir ini saya kerap dipermainkan oleh kawan-kawan
 kononnya saya membelakangkan sunah nabi dan sekali gus saya tidak 
diakui umatnya.
Soalan saya, apakah hukum seorang lelaki seperti 
saya yang tidak berkahwin sepanjang usianya? Sebesar manakah dosa yang 
bakal ditanggung oleh saya? Benarkah saya tidak diakui umat Nabi 
Muhammad s.a.w? Jika perkahwinan itu merupakan usaha menghayati sunah 
nabi, sebesar manakah pula pahala yang bakal diterima, terutama bagi 
lelaki yang berjaya berkahwin lebih daripada satu? 
- UMAR, hulu Klang, Selangor.
JAWAPAN:
Setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kepada anda
 yang bertanya. Sangka baik anda dan rakan-rakan yang mengirim soalan 
menambahkan lagi keyakinan saya untuk terus menjawab segala kemusykilan 
yang dimajukan. 
Islam adalah agama yang menggalakkan seseorang yang 
mampu kahwin dan bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan 
ketua keluarga supaya berkahwin dan membina rumah tangga. Rasulullah 
s.a.w. tidak menyukai orang yang membujang seumur hidup, kecuali dia 
mempunyai masalah yang tidak mengizinkannya untuk berkahwin. Mungkin 
anda termasuk dalam golongan yang dikecualikan.
Nabi Muhammad s.a.w. dan rasul-rasul terdahulu 
terdiri daripada golongan orang yang berkahwin dan mempunyai zuriat 
keturunan. Kebanyakannya beristeri lebih daripada satu. Hakikat ini 
dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami 
telah mengutus rasul-rasul sebelummu dan Kami jadikan untuk mereka 
isteri-isteri dan zuriat keturunan (al-Ra'd: 38).
Dalam hadis pula, nabi s.a.w. mengecam segolongan 
sahabat yang pernah menyatakan hasrat mereka untuk berkasi dan terus 
membujang sepanjang hayat bagi menumpukan sepenuh usia mereka kepada 
ibadat dan solat malam. Baginda menasihati mereka: ``Kahwinlah kamu 
dengan wanita yang penyayang dan ramai anak. Sesungguhnya aku berbangga 
dengan ramai bilangan umatku pada hari kiamat.''
Meskipun rangsangan kahwin begitu jelas, namun 
hukumnya berbeza antara seorang individu dengan yang lain, mengikut 
keperluan dan keadaan. Bagi mereka yang mampu berkahwin, berkemahuan 
tinggi serta menaruh kebimbangan terjebak dalam maksiat, maka hukumnya 
wajib kahwin dan berdosa jika ditangguhkan.
Bagi mereka yang ada kemahuan berkahwin, tetapi tidak
 mendatangkan apa-apa masalah jika hidupnya membujang, maka hukumnya 
sunat kahwin. Bagi mereka yang yakin tidak mampu melaksanakan 
tugas-tugas sebagai suami isteri, atau sebenarnya dia tidak berminat 
kepada hidup berpasangan, maka haram baginya kahwin. Hukum ini sama 
sahaja bagi lelaki mahupun wanita.
Anda tidak menyatakan dengan terus terang masalah 
yang dihadapi yang menghalang anda untuk meneruskan perkahwinan. Jika 
halangan itu disebabkan tekanan nafsu yang rendah, atau kerana tidak 
mampu menjalankan kewajipan selepas kahwin, atau mungkin ada sebab-sebab
 lain lagi yang munasabah, maka saya sependapat dengan sikap anda untuk 
terus membujang sepanjang usia. Mungkin anda termasuk dalam golongan 
orang yang haram kahwin.
Anda tidak perlu melayani suara kawan-kawan yang suka
 bergurau kerana mereka sebenarnya tidak tahu masalah anda. Jika anda 
berasa cukup bahagia dengan hidup tanpa kahwin dan memangpun anda telah 
menjalani kehidupan itu hingga ke separuh usia, maka anda tidak perlu 
risau terhadap masa depan yang masih ada. Mungkin usia yang tinggal 
tidak sepanjang yang telah pergi.
Anda perlu tenangkan fikiran dan hadapi masa depan 
dengan penuh kepercayaan. Sebagai ganti kepada kahwin, berikan sumbangan
 kepada masyarakat sebanyak yang anda mampu. Carilah kebahagiaan melalui
 sumbangan anda kepada masyarakat. Anda sebenarnya tidak keseorangan 
dalam kehidupan seumpama itu, malah masih ramai orang yang hidup 
membujang sepanjang usia tetapi menikmati kebahagiaan yang sungguh 
bermakna sama ada lelaki atau wanita. Saya cuba kemukakan di sini 
beberapa ulama dan ilmuwan Islam yang tidak pernah berkahwin dan 
membujang sepanjang usia. Nama-nama mereka masih disebut-sebut oleh para
 pencintanya.
Anda mungkin terkejut apabila saya menyebutkan 
nama-nama ulama yang membujang sepanjang usia seperti Ibn Jarir 
al-Tabari (224-310H). Beliau ialah pengarang kitab Tafsir al-Quran yang 
terkemuka, pakar dalam bidang sejarah dan pengasas sebuah mazhab Fiqh 
pada zamannya. Demikian juga dengan Imam Jar Allh al-Zamakhsyari 
(467-538H), Jalal al-Din al-Suyuti (849-911H) dan lain-lain.
Tiga tokoh yang disebutkan ini ialah antara 
tokoh-tokoh besar dalam tafsir al-Quran yang sukar ditandingi. Pemikiran
 mereka masih segar dalam ingatan umat Islam, nama-nama mereka selalu 
disebut dalam majlis-majlis forum dan seminar-seminar akademik. 
Kitab-kitab karangan mereka memenuhi rak-rak buku dalam perpustakaan di 
seluruh dunia. 
Ratusan penyelidik pula berjaya mendapatkan ijazah 
sarjana atau doktor falsafah hasil kajian tentang sejarah dan sumbangan 
mereka kepada ilmu-ilmu Islam.
Penulis sendiri ialah salah seorang peminat al-Suyuti
 dan berjaya memperoleh ijazah sarjana dengan mengkaji sumbangannya 
kepada ilmu hadis. Sesetengah orang berpendapat keilmuan al-Suyuti boleh
 dikaji dalam apa jua bidang sekalipun, semuanya layak untuk dinilai 
pada peringkat sama ada sarjana atau doktor falsafah.
Ramai lagi ulama dalam berbagai-bagai bidang ilmu 
yang memilih untuk hidup tanpa kahwin seperti Imam al-Nawawi iaitu pakar
 hadis dari negeri Syam, Ibn al-Nafis ahli perubatan Arab, Ibn Yunus 
ahli nahu dari Basrah, Bisyr al-Hafi ahli Sufi, Abu Ali al-Farisi 
sasterawan Arab dan lain-lain. Meskipun mereka tidak pernah mendidik 
anak-anak kandung kerana tidak pernah membina keluarga, tetapi mereka 
pernah membangunkan ummah dan pernah mengasaskan beberapa institusi 
dalam pemikiran Islam melalui anak-anak murid mereka.
Kembali kepada sindirian tajam sesetengah kawan 
terhadap anda kerana tidak kahwin, kononnya anda tidak mengikuti sunah 
nabi dan kemungkinan nabi tidak mengaku anda sebagai umatnya.
Anda boleh sebut kepada kawan-kawan anda itu 
nama-nama ulama yang disenaraikan di atas. Pastinya mereka lebih tahu 
tentang hukum dan keperluan sebenar dalam kehidupan mereka dan pastinya 
juga mereka tidak rela diri mereka tidak menjadi umat Nabi Muhammad 
s.a.w.
Terdahulu telah disebutkan hukum kahwin dalam fiqh
 Islam yang banyak bergantung pada suasana dan kedudukan seseorang. 
Ulama yang memilih hidup tanpa kahwin tentu ada sebab-sebabnya sama ada 
peribadi atau lain-lain.
Biasanya mereka memilih cara hidup seumpama itu 
disebabkan kewajipan dan tanggungjawab mereka yang besar terhadap 
masyarakat dan ummah. Mereka rela hidup tanpa kahwin sepanjang usia 
sebagai bayaran kepada hidup sepenuh masa sebagai ulat buku, sebagai 
ahli ibadat, sebagai pengarang dan lain-lain.
Ramai ulama beranggapan kahwin membunuh cita-cita 
sebagai ilmuwan. Umar ibn al-Khattab radiallahuanhu pernah menasihati 
muridnya supaya belajar bersungguh-sungguh sebelum kahwin. Setelah 
berkahwin, masa akan tertumpu kepada keluarga, tidak lagi kepada ilmu.
Imam Abu Hanifah radiallahuanhu menasihati murid 
pintarnya Abu Yusuf. Katanya: Hati-hati engkau dengan wanita. Jangan 
kahwin semasa belajar, nanti masa kamu terbuang kerana melayani isteri 
dan anak-anak.'' Nasihat Imam Abu Hanifah ini perlu diamati 
pelajar-pelajar di sekolah-sekolah tinggi hari ini. Ramai pelajar yang 
tidak sabar-sabar lagi untuk berkahwin sebaik sahaja menjejak kaki ke 
universiti.
Imam Abu Hamid al-Ghazali (505 H) dalam kitabnya 
Ihya `Ulum al-Din berpendapat sebaik-baiknya ulama memilih hidup tanpa 
kahwin kerana kesibukan keluarga biasanya menjejaskan kehidupan 
seseorang sebagai ulama. Jika tidak dibimbangi menjejaskan kewibawaan 
sebagai ulama, maka kahwin lebih afdal daripada hidup membujang.
Ibn Taimiyyah (660 H) sependapat dengan 
al-Ghazali. Beliau hidup selama 67 tahun tanpa isteri dan anak-anak yang
 menghiburnya. Beliau akhirnya meninggal dunia ketika dalam penjara di 
Syam setelah dihalangnya daripada menyentuh kitab, memegang pena dan 
kertas yang sangat dicintainya.
Ibn Taimiyyah tidak kesempatan menjadi suami atau 
ketua keluarga kerana beliau sibuk dengan urusan masyarakat dan negara. 
Beliau berjuang dengan lidah dan penanya yang tajam, kadang-kadang 
tenang buat seketika, tetapi belumpun sempat berkahwin, suasana dengan 
tiba-tiba kembali menjadi kacau bilau. Beliau terpaksa menangguh 
perkahwinannya hingga akhirnya meninggal dunia.
Ada orang berpendapat kelatangan Ibn Taimiyyah 
menegur dan mengkritik sesuatu yang dilihatnya salah, termasuk 
dasar-dasar kerajaan yang dilihatnya sebagai mungkar, adalah disebabkan 
beliau ketiadaan isteri dan anak-anak. Andainya beliau mempunyai isteri 
dan anak-anak, kemungkinan sikapnya tidak sekasar itu.
Saya berpendapat kemungkinan inilah menjadikan Ibn
 Taimiyyah memilih untuk hidup tanpa kahwin. Beliau menyedari lebih awal
 bahawa jika dia hidup sebagai seorang suami dan ketua keluarga yang 
mempunyai anak-anak, nescaya banyak prinsip beliau gagal pertahankan. 
Bukankah pengaruh isteri itu sangat besar bagi seorang suami. Wallah 
A'lam. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan