Di saat-saat akhir 
pilihanraya, pembangkang terus cuba memomokkan rakyat bahawa menukar 
kerajaan bukanlah sesuatu yang harus dikhuatiri kerana mana-mana parti 
pun pasti akan cuba berbuat yang terbaik untuk rakyat.
Dalam pada itu, 
pembangkang terus menonjolkan Barisan Nasional sebagai bukan sebuah 
parti yang baik, manakala parti mereka adalah yang terbaik.  
Hakikatnya, menukar 
kerajaan bukanlah perkara kecil dan boleh dicuba-cuba dan diperbetulkan 
kembali dengan mudah.  Sekali kita menukar kerajaan, beberapa polisi 
akan turut berubah sama yang mana tidak semudah itu untuk diubah pula 
jika tidak berpuas hati.....
Apatah lagi jika kerajaan
 baru itu mengambil langkah awal menghapuskan atau menukar semua 
platform bagi menyukarkan polisi tersebut diubah kembali ke asalnya.  
Lihat saja bagaimana 
Presiden Morsi di Mesir yang mendapat kuasa melalui pemberontakan kini 
menyusun prosedur dan undang-undang baru bagi menghapuskan apa jua 
peluang bagi orang lain menjatuhkannya melalui cara yang sama, termasuk 
menangkap mereka yang mengkritiknya.  
Apa yang berlaku kepada 
rakyat Mesir tidak mustahil berlaku di Malaysia, iaitu terpedaya dengan 
pihak yang ingin merampas kuasa kerajaan yang ada tetapi berakhir dengan
 mendapat kerajaan yang jauh lebih kejam.   Bak kata pepatah, sia-sia 
saja rakyat Mesir lari dari mulut harimau tetapi akhirnya masuk ke mulut
 buaya.  
Malaysia adalah negara 
yang jauh lebih ‘rapuh’ dari Mesir dan juga jauh lebih ‘muda’.  Oleh itu
 tindakan menukar kerajaan tentulah jauh lebih berisiko lagi.  
Ini kerana kita bukan 
sahaja berhadapan dengan risiko ketidakstabilan kerana diperintah oleh 
tiga orang pemimpin kuku besi dari tiga parti yang sering bertentangan 
prinsip, tetapi juga berhadapan dengan kemungkinan terhapusnya 
keseluruhan sistem dan budaya bangsa asal negara ini dengan terbuangnya 
Raja-raja Melayu yang merupakan cita-cita azali Parti DAP.    
Kita juga mungkin 
berhadapan dengan risiko kehilangan kedaulatan jika dilihat dari 
bantuan-bantuan asing yang dipohon dan diberikan oleh rangkaian zionis 
kepada Parti PKR.  
Malah, kita juga mungkin 
berhadapan dengan pemerintahan ala Taliban, mundur, chauvinis, kejam, 
tidak adil dan terkebelakang bagaikan zaman jahiliah jika dilihat dari 
mentaliti PAS yang mengambil sikap tidak apa jika puak mereka terlibat 
dalam skandal melibatkan wanita tetapi di masa yang sama mengambil sikap
 tertutup terhadap hak-hak wanita.  
Dengan semua kemungkinan 
ini bercampur-baur, adalah mustahil bagi kita untuk menggambarkan satu 
pemerintahan yang stabil di bawah kerajaan PR.    Apatah lagi apabila PR
 telah terbukti gagal menjadi kerajaan yang baik di negeri-negeri yang 
diperintah mereka.  
Mengambil kira semua risiko ini, terbukti rakyat tidak mampu membuat pilihan yang salah dalam pilihanraya.   
Rakyat wajib memahami 
bahawa pilihanraya ini bukan lagi berkisar tentang hal setempat, atau 
diri sendiri atau calon.   Pilihanraya kali ini perlu dilihat dari 
gambaran yang lebih luas iaitu soal masa depan negara, dari segi 
kedudukan agama Islam, bangsa dan kedaulatan, sekali gus diri sendiri, 
keluarga dan generasi masa depan.    
Oleh itu, jika kita yakin dengan kepimpinan Dato’ Seri Najib, maka kita wajib yakin dengan calon pilihannya.  
Bagaimanapun, kita 
percaya yang rakyat Malaysia kini sudah jauh lebih matang dan terbuka 
untuk menilai keadaan.  Rakyat juga sudah cukup lali dengan masalah 
cantas-mencantas dan sabotaj-mengsabotaj siapa saja yang terpilih nanti
Justeru, usah terpedaya 
dengan pihak-pihak yang berpolitiking keterlaluan itu, kerana kuasa 
memilih ada di tangan rakyat, bukan Ketua Bahagian atau Cawangan atau 
Ahli-ahli Jawatankuasa parti.
Biarkan golongan yang 
masih tidak sedar itu berpolitik sesama sendiri, tetapi rakyat wajib 
menetapkan pendirian untuk memilih berdasarkan Parti - bukan calon.   
Pendek kata, jika anda 
memilih BN, maka anda wajib memangkah BN walau siapa pun calonnya.   
Ingatlah bahawa undi anda akan menentukan kerajaan, bukan hanya wakil 
rakyat di kawasan anda.   
Menilai dan memilih calon
 terbaik bukanlah mudah. Tetapi, menilai dan memilih sebuah parti 
politik itu adalah tidak sukar kerana kita hanya perlu melihat kepada 
diri kita dan sekeliling kita.
Sekiranya, kita berada di
 dalam suasana aman dan selesa, negara pula tidak bergolak, suara dan 
ketidakpuasan hati kita diberi perhatian, peluang untuk berjaya ada di 
mana-mana, maka itu menunjukkan bahawa parti politik yang memerintah 
adalah cukup baik.   
Maka, jelaslah bahawa Malaysia bukan berada di mulut harimau pun, jadi kenapa kita perlu lari ke mulut buaya...?
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan