31 Ogos akan menjelang lagi.Dua tahun lalu sewaktu 31 Ogos pihak Pinang Tunggal Revisit
telah mencoretkan tentang sejarah Batu Sempadan yang wujud di dalam
kawasan Pinang Tunggal. Tulisan berkenaan batu sempadan itu dapat dibaca
di SINI
Hasil coretan tersebut telah menarik perhatian Persatuan Sejarah
Kawasan Kepala Batas untuk datang dan melawat monumen tersebut dan
melakukan serba sedikit kerja kerja pemulihan iaitu dengan membersihkan
semak samun dan mengecat semula batu tersebut seperti mana yang terdapat
di entry INI. Pun begitu hasrat asal kami untuk menarik perhatian pihak Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal
tidak kesampaian. Walaubagai mana pun usaha yang dijalankan oleh
Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas telah menarik perhatian Persatuan
Siam Kedah yang begitu kuat melobi pihak kerajaan untuk memulihara batu
tersebut. Usaha mereka telah bermula sejak tahun 2010 lagi melalui
laman web mereka di SINI.
Akhirnya usaha yang dijalankan oleh
mereka telah berjaya kerana pihak Persatuan Siam Kedah mempunyai seorang
Senator mewakili kaum Siam yang bernama Senator Boon Som Inong . Dengan sokongan daripada Senator berkenaan dan juga Konsul Thailand
di Pulau Pinang, pihak jabatan warisan negara telah mengambil inisiatif
melawat tapak berkenaan bersama pihak Senator Boon Som Inong,Pengarah
Bahagian Pendaftaran dan Penguatkuasaan Jabatan Warisan Negara dan juga
Ketua Pengarah Bahagian Triti Perundangan Kementerian Luar Thailand,
Ittiporn Boonprachong.
Kini monumen batu sempadan berkenaan
telah pun dipasang dengan pondok yang melindunginya dari panas dan
hujan. Yang kami kesalkan ialah usaha permulaan yang dijalankan oleh
pihak Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas langsung tidak dinyatakan
dalam sidang media berkenaan. Berita penuh lawatan pihak berkenaan telah
menjadi sisipan dalam akhbar utama iaitu Utusan Malaysia seperti
dipaparkan dalam laman web INI.
Bagi orang melayu, batu Sempadan ini
seperti tidak ada signifikannya kerana tidak memberi sebarang faedah
kepada orang Melayu. Tapi bagi pihak masyarakat Siam di Malaysia batu
ini amat bermakna bagi mereka. Batu ini menjadi bukti kukuh dalam usaha
mereka menolak tuduhan pihak-pihak tertentu yang cuba menafikan hak
mereka dengan menyatakan mereka adalah pendatang di bumi Malaysia ini.
Soal pendatang bukanlah soal penting bagi masyarakat Siam di Malaysia
tapi lebih kepada isu hak mereka yang belum dipenuhi walaupun di iktiraf
oleh kerajaan sebagai Bumiputra Malaysia. Pun begitu masih terdapat
beberapa isu yang masih belum selesai walaupun dengan pengiktirafan
mereka sebagai bumiputra. Antara isu yang masih manjadi duri dalam
daging bagi masyarakat Siam di Malaysia ialah isu tanah rezab. Mereka
masih memperjuangkan hak mereka mendapat tanah rezab sama seperti kaum
Melayu yang mempunyai Tanah Rezab Melayu. Disamping itu juga mereka
sedang berusaha mendapatkan kouta rumah Bumiputra sama seperti yang
dimiliki oleh orang Melayu.
Penulis tidak mahu mengulas lebih lanjut
mengenai usaha pihak Masyarakat Siam dan perjuangan mereka memohon hak
dari pihak kerajaan kerana saya sendiri mempunyai ramai kawan dari
masyarakat Siam. Penulis tidak pernah menganggap mereka sebagai
pendatang kerana mereka sebenarnya telah pun berada di sini sebelum
British sampai ke Malaya. Hubungan antara masyarakat Siam dan Melayu
telah lama wujud dan mereka seharusnya di berikan hak sama seperti orang
Melayu.
Apapun penulis agak terkilan kerana
usaha yang pemuliharaan yang dijalan oleh Persatuan Sejarah Kawasan
Kepala Batas dan juga kami di Pinang Tunggal Revisit,dipandang
sepi oleh pihak berkuasa. Untuk pengetahuan semua, penulis telahpun
berusaha memperjuangkan nasib Batu Terat Sempadan ini sejak kali pertama
mendengar kisahnya dari arwah nenek penulis.Bahkan waktu penulis di
tingkatan 3 lagi penulis telah berusaha merakamkan gambar keadaan batu
ini yang tidak terurus. Pada waktu itu batu ini sukar untuk didekati
kerana terletak di tengah sawah padi. Hanya satu batas sempit yang
menghubungkan batu ini dari arah Pulau Pinang dan juga Kedah.Untuk
datang dari arah Pulau Pinang, penulis terpaksa memanjat pagar berkawat
duri sebelum meniti di atas batas sempit. Baru-baru ini penulis telah
menemui semula negatif filem asal yang penulis ambil pada tahun 1998
yang lalu.Jika berkesempatan penulis akan cuba memaparkan wajah asal
batu ini pada waktu itu.
Keadaan Batu Terat Pada Tahun 1998 |
Batu Terat Yang Terletak Di Atas Batas Dihujung Batas Terdapat Kubur Lama Di Dalam Kebun Getah |
Pada waktu itu batu ini langsung tidak
dipandang orang. Tambahan pula penduduk kampung takut mendekati batu ini
kerana kononnya dibawah batu ini ditanam kepala orang bagi
mengukuhkannnya. Kalau dapat dilihat di hujung batas ini pula dibawah
lindungan pokok getah terdapat beberapa kubur lama yang dikatakan
keramat. Itu kisah 15 tahun yang
lalu.Kini Batu Terat ini mudah sahaja didekati kerana projek tebatan
Sungai Muda menyebabkan kawasan sekeliling batu ini telah di sediakan
jalan yang boleh digunakan oleh kenderaan.
Pada mesyuarat Agung Persatuan Sejarah
Kawasan Kepala Batas yang berlangsung pada 17 Julai 2012 yang lalu,
Penulis telah mengusulkan supaya pihak persatuan mencari kembar kepada
Batu Sempadan ini. Menurut tulisan sebuah buku yang penulis pernah baca
pada awal 1990an yang lalu, sebenarnya terdapat 3 batu seumpama ini yang
menjadi tanda sempadan Pulau Pinang selepas perjanjian dengan siam pada
1831. Batu sempadan pertama yang dibina ialah yang terletak di sempadan
kampung Terat Batu dan juga Ekor Kucing/ Bukit Sementol Pinang Tunggal.
Seterusnya pihak British membina batu-batu sempadan yang lebih kecil
dan tidak mempunyai inskripsi sepanjang garis sempadan hinggalah ke
bahagian belakang Banjaran Timur Bukit Mertajam. Di belakang banjaran
timur Bukit Mertajam Terdapat sebuah lagi batu Sempadan yang besar yang
mempunyai inskripsi. Walaubagaimana pun batu berkenaan dikatakan telah
dimusnahkan sewaktu proses pembinaan empangan Mengkuang.Banyak pihak
keliru dengan batu batu sempadan lain yang lebih kecil seperti yang
terdapat di dalam ladang Sawit di belakang kawasan rumah murah Kampung
Selamat.
Kedudukan Tiga Batu Sempadan Yang Mempunyai Tulisan |
Memandangkan setiausaha kehormat
Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas bertugas di Pusat Kegiatan Guru
(PKG), penulis memohon jasa baik beliau untuk menghubungi pengurus
PKG-PKG di kawasan Seberang Perai Selatan dan juga Bandar Baharu Kedah
untuk membantu proses mengesan batu Sempadan terakhir yang mempunyai
inskripsi. Pencarian ini adalah berdasarkan satu petikan dari sebuah
buku yang dimiliki penulis. Sayangnya penulis gagal mencari tajuk buku
tersebut kerana telah rosak dalam banjir besar 2003 yang
lalu.Berdasarkan buku tersebut batu sempadan ketiga terletak di suatu
kawasan bernama Bukit Tunggal yang terletak di sempadan antara Kedah dan
Pulau Pinang pada waktu itu
Catatan Dalam Sebuah Buku Sejarah Berkenaan Kedudukan Batu Sempadan |
Ironisnya Bukit Tunggal yang mempunyai
nama seakan Pinang Tunggal telah menjadi tempat untuk pihak British
meletakkan Batu Tanda Sempadan berinskripsi terakhir. Pada waktu itu
sempadan Seberang Perai atau Province Wellesley adalah menggunakan
Sungai Muda dan juga Sungai Krian sahaja dan melibatkan negeri Kedah
yang terletak di bawah naungan kerajaan Siam. Walaubagaimana pun
sekiranya dilihat sempadan Seberang Perai sekarang terdapat satu jaluran
tanah diseberang Sungai Krian yang menjadi sebahagian Seberang
Perai.Sebenarnya tanah ini telah diberikan oleh Kesultanan Perak selepas
perjanjian Pangkor pada tahun 1874 yang juga beransur curang. Kawasan
itu kini lebih dikenali sebagai Transkrian.
Pihak Penulis telah berusaha berberapa
kali untuk menjejak batu berkenaan tetapi gagal kerana Bukit Tunggal
sudah tidak lagi wujud dalam peta terbaharu Pulau Pinang. Walaubagaimana
pun pada peta yang penulis miliki pada tahun 1996 nama Bukit Tunggal
masih wujud. Kini satu-satunya harapan adalah melalui pertanyaan yang
dilakukan oleh Cikgu Anuar. Semoga beliau berjaya menemui kedudukan batu
berkenaan untuk dilawati dan dipulihara oleh Persatuan Sejarah Cawangan
Kepala Batas. Siapa tahun mungkin selepas penemuan ini Batu Sempadan
itu mempunyai nilai signifikan kepada pihak pihak tertentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan