Rabu, 24 Oktober 2012

KESETIAAN KAUM INDIA TERHADAP KERAJAAN MALAYSIA

Jumlah penduduk kaum India di negara ini hampir 1.5 juta orang; dengan majoriti keturunan Tamil. Sejarah membuktikan bahawa kedatangan penduduk awal kaum India adalah dari Benua Kecil India. Malah, walaupun sudah mencapai kemerdekaan 46 tahun lalu, masih ramai penduduk kaum India di Malaysia lebih berminat mengetahui perkembangan politik – selain perkembangan filem – di India berbanding perkembangan dalam negeri.
Anak-anak muda yang lahir jauh selepas merdeka juga didapati lebih terkesan oleh perkembangan politik di India berbanding apa yang berlaku di dalam negeri. Tidak kurang juga yang masih menggelar serta menganggap diri mereka sebagai kelompok “pendatang” (imigran) dari India. Sekumpulan kaum India menganggap Malaysia sebagai “negara mereka” (their country) dan bukannya “negara kita” (our country).
Agak menarik jika dikaji mengapa keadaan ini wujud. Mungkin sahaja penelitian terhadap sejarah awal kedatangan kaum India ke negara ini boleh membantu kita untuk sama-sama memahami mentaliti dan sifat mereka pada masa kini.
Hubungan antara Benua Kecil India dan Kepulauan Melayu di nusantara sebenarnya terjalin jauh sebelum bermulanya Kerajaan Melayu Melaka. Sejak awal kurun Masehi, sudah terdapat kerajaan-kerajaan awal seperti Srivijaya, Funan, Langkasuka, Kadaram (Kedah), Tun-Sun (Terengganu) dan Chih-Tu (Kelantan). Kajian membuktikan bahawa kesemuanya adalah kerajaan yang dipengaruhi unsur Hindu-Budha dan budaya serta tradisi pemerintahan India.
Walaupun kemudian Kerajaan Melayu Melaka menerima pengaruh Islam, unsur-unsur agama Hindu dan budaya India terus kekal dan sebati dengan budaya Melayu-Islam hingga kini.
Kedatangan orang India ke Kepulauan Melayu pada peringkat awal hanyalah sebagai pedagang. Jumlah mereka tidak ramai dan mereka tidak bercadang untuk menetap di sini. Namun, mereka mendapat tempat istimewa daripada golongan diraja sehingga digelar “saudagar diraja”.
Pada tahun 1820-an, banduan-banduan India dibawa ke Tanah Melayu. Perlu diingat bahawa India dan Tanah Melayu sama-sama dijajah British waktu itu. Tenaga buruh banduan berkenaan digunakan untuk membina bangunan, jalan raya dan jambatan.
Pada tahun 1840-an pula, ladang-ladang tebu mula diusahakan secara besar-besaran di Seberang Perai oleh pengusaha Eropah. Lalu, buruh dibawa dari Tamil Nadu, India untuk bekerja di sana. Pembukaan ladang kopi di Selangor pada tahun 1870-an membuatkan lebih ramai buruh dibawa dari India.
Suatu perkara yang cukup menarik untuk diteliti adalah berhubung soal mengapa pengusaha ladang Eropah berminat mengambil rakyat India menjadi buruh di ladang. Alasan yang biasa diberi adalah bahawa Tanah Melayu dan India sama-sama dijajah British. Maka, proses membawa buruh adalah lebih mudah dan murah. Upah yang diminta juga jauh lebih rendah berbanding upah yang sedia diterima pekerja dari Eropah.
Sebenarnya, selain daripada alasan di atas, ada beberapa lagi alasan yang lebih menarik untuk diteliti secara mendalam. Alasan-alasan ini bukan sahaja relevan untuk mengkaji mengapa pengusaha ladang Eropah mengambil buruh dari India. Malah, boleh membantu untuk mengetahui sifat dan peribadi penduduk kaum India secara am.
Ada beberapa sebab mengapa orang India bersedia datang ke Tanah Melayu sebagai buruh pembinaan dan buruh di ladang. Sistem kasta dalam budaya masyarakat India menjadi penghalang untuk mencapai mobiliti sosial. Seseorang yang lahir dalam kasta sudra, misalnya, hanya boleh menjadi pekerja biasa dan tidak boleh mencapai status lebih tinggi dalam masyarakat.
Berbekalkan impian membaiki kedudukan ekonomi dan status dalam masyarakat tanpa dipengaruhi ikatan kasta, ramai yang bersedia datang ke Tanah Melayu yang dikenali Suwarna Bumi (“Semenanjung Emas”).
Pertambahan dan kepadatan penduduk di Benua Kecil India juga menyebabkan masalah mendapat bekalan makanan yang mencukupi. Begitu juga dari segi pekerjaan. Situasi menjadi bertambah buruk sepanjang musim kemarau dan banjir besar.
Di bawah pemerintahan British, penduduk di India terpaksa membayar cukai yang tinggi. Semua faktor ini menyebabkan ramai rakyat India memutuskan untuk mencari kehidupan baru di Tanah Melayu.
Di pihak pengusaha Eropah pula, mereka memilih untuk mengambil buruh dari India kerana golongan ini sentiasa akur pada segala arahan yang diberi. Mereka sangat patuh dan tidak suka melawan. Sebaliknya hanya menunggu arahan untuk melakukan sesuatu kerja tanpa banyak soal.
Sikap “pak turut” seperti ini tentu sekali disukai pengusaha ladang Eropah yang menghadapi masalah mendapatkan “pak turut” daripada kalangan buruh dari Eropah dan penduduk Melayu tempatan waktu itu. Imigran Cina pula sudah sedia tertumpu dalam kerja perlombongan bijih timah; serta sering menimbulkan masalah pergaduhan antara puak.
Sebagai golongan tidak berpendidikan, buruh dari India pada waktu itu tidak mengharapkan upah yang tinggi. Mereka bekerja keras walaupun dibayar upah yang sangat rendah. Bagi mereka, kehidupan di Tanah Melayu adalah “mewah” berbanding di negara asal. Maka, mereka sangguh menerima apa sahaja dugaan kecuali untuk pulang semula ke India.
Hampir lapan puluh peratus daripada jumlah buruh India yang dibawa sebagai buruh di ladang adalah keturunan Tamil dari Tamil Nadu. Kumpulan kedua terbesar adalah keturunan Telegu dari Andra Pradesh; diikuti keturunan Punjabi dari Punjab.
Agak menarik jika diteliti mengapa keturunan Punjabi digelar “Benggali” di negara kita. Tenaga kerja dari bahagian selatan India dikumpul di pelabuhan Nagapattanam, Tamil Nadu sebelum dibawa ke Pulau Pinang sebagai buruh dan pekerja ladang. Maka, mereka semua digelar “orang Tamil” tanpa mengira sama ada mereka keturunan Tamil, Telegu atau Malayali.
Orang Punjabi pula dikumpul di Teluk Benggal (Bangladesh) sebelum dibawa ke Pulau Pinang. Maka, mereka digelar “orang Benggali”. Gelaran itu terus lekat hingga kini. Sebaliknya apabila Malaysia menerima pekerja dari Bangladesh sejak beberapa tahun lalu, mereka yang sepatutnya lebih layak digelar “orang Benggali” digelar pula sebagai “orang Bangla”.
Penduduk keturunan Punjabi yang dibawa masuk oleh pihak British sejak tahun 1870-an diserap ke dalam angkatan tentera atau sipahi. Penduduk keturunan Punjabi juga menguasai sistem pengangkutan kereta lembu yang sangat popular dan penting waktu itu. Maka interaksi antara keturunan Punjabi dan keturunan Tamil agak terbatas. Bahasa yang berbeza juga menambah jurang interaksi.
Pengusaha ladang Eropah turut membawa pekerja dari Ceylon (Sri Lanka) dan keturunan Malayali dari Kerala untuk bekerja di ladang-ladang di Tanah Melayu. Bagaimanapun, mereka adalah golongan yang lebih terpelajar berbanding keturunan Tamil dan Telegu. Mereka memiliki penguasaan Bahasa Inggeris. Maka mereka bekerja sebagai kakitangan stesen kereta api, kerani di ladang atau pembantu hospital.
Pekerja keturunan Malayali juga diberi tugas sebagai mandoor (“kangani” atau penyelia) di ladang tebu dan ladang getah. Namun masih wujud jurang interaksi antara kakitangan keturunan Malayali dengan buruh keturunan Tamil dan Telegu. Mandoor dan kerani menerima arahan daripada majikan supaya bersikap tegas terhadap buruh ladang.
Sebaliknya buruh ladang pula mengharapkan simpati dan kerjasama daripada kakitangan dan kerani keturunan Malayali dan Ceylon. Semua ini meletakkan kelompok keturunan Malayali dan Ceylon dalam dilema. Tidak kurang juga antara mereka yang memang sombong kerana menganggap kedudukan mereka lebih tinggi berbanding para pekerja di ladang.
Sehingga kini, masih ada kelompok kaum India yang menggelar keturunan Malayali sebagai “pengkhianat” kerana tidak membantu mereka atau berjuang di pihak mereka apabila timbul apa-apa masalah antara buruh dan majikan.
Kejatuhan ekonomi dunia pada awal tahun 1930-an menyebabkan ramai kaum India pulang ke negara asal. Namun, ramai juga yang terus memilih untuk tinggal di Tanah Melayu kerana mereka sudah menganggap negara ini sebagai tanah air.
Penjajahan Jepun 1942-1945 juga memberi kesan yang hebat terhadap identiti kaum India di negara ini. Sekelompok menyertai Indian National Army (INA) pimpinan Subhas Chandra Bose untuk memperjuangkan kemerdekaan Benua Kecil India yang masih dianggap oleh mereka sebagai ibu pertiwi. Kelompok ini hilang arah apabila pemimpin mereka dilaporkan terkorban dalam nahas udara pada Ogos 1945.
Bagaimanapun, apa yang lebih penting, majoriti kaum India dan Cina di Tanah Melayu selepas zaman penjajahan Jepun sudah benar-benar bertapak (settled) di Tanah Melayu dan menganggap negara ini sebagai tanah air. Mereka mahu menjadi warganegara serta diberi hak politik yang sama dengan kaum Melayu.
Keadaan ini disedari oleh pihak Britain yang mencadangkan Malayan Union tanpa berunding dengan kaum Melayu di Tanah Melayu waktu itu. Malayan Union 1946 disambut baik “kaum pendatang” kerana ditawarkan hak kerakyatan secara jus soli.
Bagaimanapun, berikutan penentangan kaum Melayu terhadap Malayan Union maka lahirlah UMNO yang kemudian berjaya memaksa penjajah mengganti Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Kelahiran UMNO adalah kejayaan besar bagi kaum Melayu di negara ini.
Kongres India Malaya (MIC) yang lahir pada Ogos 1945 bertujuan menjaga kepentingan kaum India di Tanah Melayu. Bagaimanapun, pada peringkat awal, MIC kurang mendapat sambutan dan sokongan daripada kumpulan pekerja ladang dan buruh. Pemimpin parti terdiri daripada golongan peniaga dan profesional. Maka wujud jurang antara pemimpin dan ahli.
MIC juga tidak mendapat sokongan dalam Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur 1952 walaupun bekerjasama dengan Independence of Malaya Party (IMP) pimpinan Dato’ Onn Jaafar. Sokongan hanya mula diterima selepas MIC menyertai Perikatan bersama-sama UMNO dan MCA pada tahun 1954 bagi menghadapi pilihan raya umum 1955.
Walaupun lahir sebagai parti yang bertujuan menjaga kepentingan kaum India di Malaya, MIC pada realiti lebih berciri parti bagi keturunan Tamil – Bahasa Tamil, budaya Tamil, tarian Tamil, sastera Tamil, jati diri Tamil dan segala macam “Tamil”. Bahasa, budaya, tarian dan sastera keturunan lain dalam kaum India bagaikan tidak wujud.
Rata-rata penduduk kaum India di negara ini menganggap bahawa semua kaum India adalah keturunan Tamil; semata-mata kerana hampir 80% adalah keturunan Tamil. Pemimpin politik juga tidak berusaha bersungguh-sungguh memberi penjelasan.
Ramai pemimpin dalam masyarakat India juga masih meneruskan tradisi menganggap kaum India sebagai “kaum pendatang” atau imigran dengan erti kata tumpuan masih pada Benua Kecil India. Dalam segala ceramah, sering ditimbulkan kehebatan keturunan Tamil di India pada masa lalu. Jarang sekali disentuh mengenai kehebatan kaum India di Malaysia. Kesilapan ini dilakukan oleh pemimpin pelbagai peringkat.
Dengan segala macam perkembangan negatif sejak dahulu, tidak hairanlah generasi muda kaum India masih menganggap Malaysia sebagai “negara mereka” (their country) dan bukannya “negara kita” (our country).
Mungkin sahaja kewujudan begitu banyak pertubuhan yang masing-masing mahu berjuang bagi kaum India (baca: keturunan Tamil) menjadikan keadaan semakin bercelaru. Kelompok pemimpin pertubuhan sendiri belum mencapai kata sepakat. Lebih banyak perbalahan daripada perjuangan.
Akhirnya tidak hairanlah sekelompok kaum India di Malaysia terus terpinggir dan memilih untuk berkiblatkan perkembangan politik dan filem India. Sekurang-kurangnya filem (dan politik?) dari India memberi hiburan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin