KENINGAU : Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Sairin
Hj Karno berkata,masih ramai rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman
tidak pernah menonton televisyen,berikutan kesukaran menerima siaran
daripada stesen penyiar.
Katanya,jurang itu berlaku bukan kerana rakyat tidak mampu memiliki set
televisyen,tetapi disebabkan sukar untuk menerima ‘siaran’. Sairin
berkata,siaran televisyen di sebahagian besar kawasan pedalaman diterima
dengan ‘kabur’,atau sama sekali tidak menerima siaran.
"Terdapat rakyat yang langsung tidak berpeluang untuk menonton
televisyen,atau tidak pernah menonton siaran RTM,TV3 atau siaran-siaran
yang lain,” katanya.
Sehubungan dengan itu,beliau menyarankan kepada kerajaan melalui
Kementerian Penerangan Malaysia,agar memberi kelonggaran kepada rakyat
di kawasan ini untuk menggunakan parabola,sebagai penerima siaran
televisyen.
Katanya,rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman hanya menerima siaran
televisyen apabila menggunakan parabola sebagai penerima pemancar atau
penerima pemancar Astro.
Sungguhpun begitu katanya,bayaran perkhidmatan Astro yang terlalu tinggi
mengakibatkan ramai rakyat yang langsung tidak berpeluang untuk
menonton televisyen sepanjang hayatnya.
Beliau turut mencadangkan agar pengendali siaran Astro mengkaji semula
bayaran perkhidmatan di kawasan luar bandar,apa yang beliau cadangkan
sebagai ‘bayaran perkhidmatan mampu bayar’.
"Terlalu mahal,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis
Kaamatan dan Kesyukuran Kemenangan Wakil Rakyat bagi peringkat Kg
Keritan Laut pada Ahad.
Sairin yang merupakan Wakil Rakyat Liawan berkata,penyaluran dasar-dasar
kerajaan melalui program televisyen amat penting,justeru mereka wajar
diberi kemudahan agar menerima siaran televisyen itu,sama seperti rakyat
yang tinggal di kawasan bandar.
Katanya,ramai rakyat yang berpaling tadah pada pilihan raya yang
lalu,disebabkan mereka tidak menerima maklumat yang jelas mengenai
dasar-dasar kerajaan.
"Saya benar-benar memandang serius mengenai masalah ini,” katanya.
Sumber- New Sabah Times
Tiada ulasan:
Catat Ulasan