(Gambaran Ringkas Kedatangan Portugis Ke Melaka)
Setelah
menakluki Goa, Portugis mendapati bukan India tetapi sebaliknya Asia
Tenggara yang boleh memberi kekayaan kepada mereka. Mereka telah
mengumpul maklumat daripada setiap pelaut yang datang ke Goa dan
akhirnya membuat kesimpulan bahawa sesiapa yang memerintah Melaka akan
mempunyai kuasa untuk menggegarkan Venice.
Bagi
mengukur kekuatan Melaka, Portugis telah menghantar sepasukan peninjau
dengan lima buah kapal yang diketuai oleh Diego Lopez de Sequeira.
Angkatan itu tiba di Melaka pada 11 Ogos 1509 dan de Sequeira menghantar
salah seorang nakhodanya mendarat dengan membawa warkah dan hadiah dari
Raja Portugis kepada Sultan. Penduduk Melaka tidak pernah melihat orang
Eropah sebelum ini dan apabila kelasi-kelasi Portugis itu medarat,
orang-orang Melayu mula mengerumuni mereka. Mereka amat terpegun dengan
paras rupa serta warna kulit orang-orang Portugis ini. Mereka mula
menyentuh janggut perang orang Portugis, mengusap kepala dan memegang
tangan mereka dan menggelar mereka sebagai Benggali Putih.
Setibanya
angkatan Portugis, Bendahara Melaka telah menerima kiriman warkah dan
hadiah yang dibawa untuk dipersembahkan kepada Sultan. Pada mulanya,
tetamu ini dilayan dengan baik tetapi keadaan berubah apabila
orang-orang India dan Arab Muslim mendesak Sultan dan Bendahara agar
tidak mempercayai pihak Portugis. Mereka mendakwa bahawa pihak Portugis
tidak akan berpuas hati dengan hanya sekadar berkongsi keuntungan
perniagaan tetapi akan merampas keseluruhannya untuk diri mereka
sendiri. Justeru, satu perancangan telah dibuat untuk menangkap
orang-orang Portugis dan menyerang angkatan laut mereka. Bagaimanapun,
perancangan tersebut telah terbongkar apabila seorang gadis Jawa yang
sedang dilamun cinta dengan salah seorang kelasi Portugis telah
memaklumkan mereka. Setelah mendapati rancangan mereka telah terbongkar,
pihak Melayu bertindak menangkap Ruy de Aranjo, salah seorang nakhoda
Portugis bersama dua puluh kelasinya yang tidak bersenjata yang sedang
membeli barang keperluan. De Sequeira gagal membebaskan tahanan tersebut
dan terpaksa berlayar meninggalkan mereka.
Apabila
Alfonso D’ Albuquerque, Gabenor dan Ketua Nakhoda Portugis di Timur
mendapat berita tentang penangkapan orang-orangnya, dia telah
mempersiapkan sebuah angkatan yang mengandungi lapan belas buah kapal
dengan 1,400 anggota yang terdiri daripada 800 orang Portugis dan 600
orang India Malabar, lalu menuju ke Melaka. Angkatan D’ Albuquerque tiba
di pelabuhan Melaka pada 1 Julai 1511 dengan tujuan untuk menaklukinya
dan menubuhkan sebuah kerajaan baru. Setelah mendapat berita yang D’
Albuquerque dan angkatannya telah melepaskan tembakan meriam ke atas
Melaka, Sultan Mahmud Syah menuntut penjelasan tentang tindakan Portugis
ini. D’ Albuquerque menuntut pembebasan orang-orangnya yang ditawan dan
bayaran pampasan ke atas kerugian yang mereka tanggung. Sultan Mahmud
Syah menggunakan pelbagai helah dan melengah-lengahkan masa bagi
memperkukuhkan lagi kubu pertahanan serta mempersiapkan segala bekalan
di kedua belah bahagian Melaka yang dipisahkan oleh sungai. Pihak
Portugis hilang sabar dan mengambil keputusan untuk membakar sebahagian
rumah yang terletak di persisiran pantai serta kapal-kapal perdagangan
yang sedang berlabuh kecuali tongkang-tongkang China dan kapal-kapal
India dari Tanjung Kormorin.
Justeru,
Melaka membebaskan semua tawanan akan tetapi D’ Albuquerque masih belum
berpuas hati. Dia mengarahkan satu serangan dilakukan ke atas kota
Melaka. Kota Melaka terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian utama
kota dan bahagian pinggir kota di seberang sungai di mana para pedagang
menetap. D’ Albuquerque merancang untuk menguasai jambatan yang
menghubungkan kedua bahagian kota ini bagi menghalang mereka daripada
saling bantu membantu di antara satu sama lain. Serangan tersebut
dilancarkan pada 25 Julai 1511. Beliau sendiri mengetuai sepasukan
beberapa ratus anggota tentera ke bahagian utara kota manakala sepasukan
lagi bertindak menyerang jambatan. Maka berlakulah pertempuran sengit
di antara tentera Portugis dengan tentera Melayu dan Jawa, yang
mengakibatkan ramai yang cedera parah atau terbunuh. Pihak Portugis
akhirnya terpaksa mengundurkan diri kembali ke kapal mereka dengan
membawa askar yang tercedera. Serangan pertama mereka gagal.
Selang
beberapa hari kemudian, D’ Albuquerque menyerang Melaka sekali lagi dan
akhirnya Melaka telah jatuh ke tangan Portugis pada tanggal 10 Ogos
1511. Justeru, Sultan Mahmud Syah dan keluarganya berundur ke Ulu
Bertam, Pahang. Pengunduran Sultan ke Ulu Bertam membolehkan pihak
Portugis melenyapkan saki-baki tentangan dari tentera diraja yang
terdiri daripada orang-orang Melayu, Gujerat dan India. Tentera Portugis
menawan setiap penjuru kota serta membunuh sesiapa sahaja yang disyaki
menentang mereka, tidak kira lelaki, perempuan atau kanak-kanak.
Orang-orang dari Pegu, Burma dan orang-orang Hindu dari Tanjung Kormorin
dibenarkan meninggalkan Melaka tetapi terpaksa menyerahkan segala harta
benda mereka kepada Portugis.
Pada
24 Ogos tahun 1511, Alburqueque telah mengarahkan askar-askarnya
merampas semua harta benda dan barang-barang bernilai milik Sultan dan
rakyat Melaka. Di antara barang-barang yang dirampas adalah pasu,
jongkong emas, barang kemas, batu permata, kain sutera, wangian dan dua
ribu meriam tembaga. Kubu dan istana Kesultanan Melayu Melaka akhirnya
musnah dan kesemua barangan bernilai habis dirampas. Keagungan dan
keunggulan Kerajaan Melayu Melaka hilang akibat serangan Portugis.
Bagi
mempertahankan dan memperkuatkan lagi pengkalan Portugis, Alburquerque
telah membina sebuah kubu yang terletak di antara kawasan tanah tinggi
dan Sungai Melaka. Kubu tersebut dikenali sebagai A Farmosa.
Beratus-ratus pekerja, hamba dan tawanan perang telah dikerah untuk
membina kubu tersebut. Batu-batu daripada masjid-masjid yang telah
musnah dan makam-makam diraja telah digunakan untuk membina tembok tebal
kubu ini. Di dalam kubu tersebut dibangunkan pula Istana Gabenor dan
istana Paderi Besar, kamar Dewan Kerajaan, beberapa gereja, berek-berek,
dua buah hospital, biara dan sebuah penjara.
Alburquerque
juga telah berjaya menghapuskan tentangan dari Utimutiraja, Sultan
Ahmad dan orang-orang Jawa yang ingin merampas Melaka kembali dari
tangan Portugis. Beliau telah melantik Rui de Brito sebagai Gabenor dan
Nina Chattu sebagai Perdana Menteri. Beliau kemudiannya memastikan
keamanan serta aktiviti perdagangan dipulihkan dengan menggalakkan
pedagang-pedagang membuka kembali perniagaan mereka. Selain itu, beliau
juga telah menghantar beberapa misi persahabatan ke Siam, Jawa, China
dan Kepulauan Maluku. Magellan, yang merupakan orang pertama belayar ke
seluruh dunia dari tahun 1519 hingga ke tahun 1522, adalah salah seorang
pegawai Albuquerque ketika penawanan Melaka.
Bagi
memastikan perdagangan berjalan lancar, Albuquerque telah
memperkenalkan mata wang yang baru di Melaka. Walaupun aktiviti
perdagangan secara amnya dijalankan secara barter, terdapat juga
beberapa urus niaga yang dijalankan dengan menggunakan wang timah
Melayu. Wang baru yang diperkenalkan oleh Portugis adalah dalam bentuk
timah atau tembaga, perak dan emas.
Apabila
beliau telah berpuas hati dengan keadaan di Melaka, Albuquerque pun
kembali ke markasnya di Goa. Beliau meninggalkan Melaka pada Januari
1512, membawa bersamanya kesemua khazanah Melaka untuk dipersembahkan
kepada Raja dan Permaisuri Portugal. Walau bagaimanapun, kapalnya, Flora
de la Mar, telah dilanda badai di perairan barat Sumatra. Hampir
kesemua barang-barang yang dibawanya hilang, namun beliau bernasib baik
kerana terselamat dari bencana tersebut.
fakta anda tidak tepat kerana banyak percanggahan..anda sangat memalukam
BalasPadam