[SN228] Sudah tidak terkata! Itulah keluhan sesetengah pihak apabila membaca berita pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi sekarang ini. Menurut statistik rasmi, sejumlah 472 kes buang bayi dilaporkan sejak 2005 sehinggalah ke Ogos 2010. Daripada jumlah tersebut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin mengatakan bahawa 214 bayi yang ditemui masih hidup manakala 258 lagi sudah meninggal [UM16/08/10].
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dalam reaksi kepada isu yang semakin serius ini menegaskan bahawa kerajaan membuat keputusan untuk mengenakan hukuman mati ke atas pihak yang terbabit dengan kes kejam ini. Beliau turut mengatakan bahawa punca sebenar permasalahan ini adalah dari bidang pendidikan. Dan penyelesaiannya juga turut membabitkan sektor tersebut. Bagaimanapun, Najib menyerahkan isu ini kepada pihak polis dan Peguam Negara bagi menangani hukuman bagi pesalahlaku terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori. Daripada menteri hinggalah kepada pelajar-pelajar sekolah, banyak pihak yang memberikan respons terhadap isu ini dengan pelbagai bentuk cadangan dan penyelesaian menurut akal masing-masing. Namun seperti biasa, cadangan yang diberikan itu adalah lebih kepada bentuk ‘merawat’ daripada ‘mencegah’. Jika ada pun cadangan untuk mencegah, maka cadangan-cadangan lapuk jualah yang sering diulang-ulang yang terbukti tidak pernah menyelesaikan masalah tersebut. Dan jika ada cadangan baru sekalipun, kebanyakannya tidak pernah keluar dari kepompong berfikir sekular yang memisahkan agama dari pemerintahan negara.
Beberapa bulan lalu kita dihidangkan dengan penyelesaian ‘baby-hatch’ yakni sebuah tempat yang disediakan khas kepada mereka yang ingin membuang bayi. Idea ‘canggih’ ini ditiru dari cara berfikir orang-orang kafir dari negara Jerman dan Jepun. Hasilnya, setakat ini sudah ramai bayi yang selamat ‘dibuang’ di sini. Justeru, bagi pasangan yang telah atau ingin berzina atau sesiapa sahaja yang ingin membuang anak, sudah tidak lagi perlu risau kerana adanya baby-hatch sebagai tempat ‘pembuangan yang sah’ dan diiktiraf oleh kerajaan. Dengan kata lain, siapa sahaja yang telah berzina dan mengandung dan hendak membuang anaknya, ‘dipersilakan’, cuma buanglah di tempat yang telah disediakan, jangan buang merata-rata. Selain itu, untuk penzina wanita sama ada yang hamil atau tidak, mereka juga tidak perlu risau kerana telah ada banyak pusat-pusat perlindungan untuk mereka, antaranya ialah Raudhatus Sakinah, Rumah Perlindungan Wanita Gombak, Kem Modal Insan Kewaja dan lain-lain. Majlis Agama Islam Selangor juga menyediakan Pusat Pemulihan Akidah dan Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan. Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula mempunyai Pusat Perlindungan Wanita Taman Seri Puteri, Cheras. Banyak lagi cadangan dan ‘langkah-langkah penyelesaian’ lainnya yang telah dan sedang diambil yang tidak perlulah kita bincangkan di sini satu per satu. Pokoknya, kebanyakan langkah yang diambil hanyalah untuk ‘mengubati’ simptom, bukannya untuk mencegah ‘punca’ berlakunya pembuangan bayi dan langkah-langkah itu pula diambil berlandaskan akal tanpa merujuk kepada hukum Islam sedikitpun!
Antara Mencegah Dan Merawat
Apabila kita membincangkan isu pembuangan bayi, kita sebenarnya tidak dapat lari dari membincangkan isu perzinaan. Secara logiknya dan juga terbukti dari segi statistik bahawa pembuangan bayi lebih banyak dilakukan oleh pasangan kekasih yang berzina dan apabila ‘si betina’ mengandung, lantas tidak sanggup menanggung malu dan pelbagai risiko lainnya, maka jalan mudah adalah dengan membuang atau membunuh bayinya sendiri. Boleh dikatakan mustahil bagi pasangan suami isteri untuk membuang anak. Anak yang terhasil dari pernikahan yang sah adalah anak yang lahir dari hubungan kasih sayang antara suami isteri dan tidak mungkin mereka akan membuang bayi mereka. Begitu juga jika seseorang perempuan hamil kerana dirogol. Perempuan yang dirogol tidak menanggung ‘malu’ sebagaimana yang ditanggung oleh perempuan yang berzina. Justeru tidak ada sebab untuk mereka membuang bayi mereka. Oleh itu, kita boleh membuat kesimpulan mudah bahawa sebahagian besar dari kes pembuangan bayi adalah disebabkan oleh pasangan yang berzina. Apa yang lebih menakutkan kita adalah terdapat pasangan yang berzina ini yang terdiri dari golongan remaja seawal peringkat persekolahan.
Inilah antara punca utama kes pembuangan bayi ini di mana manusia telah membuang hukum Allah dari kehidupannya. Tambahan pula, penyelesaian yang diambil oleh pihak kerajaan lebih menekankan kepada kaedah ‘rawatan’, bukannya ‘pencegahan’. Tindakan ‘merawat’ ini hakikatnya tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya akan terus menyebabkan ia berulang dan berulang. Ia tidak akan pernah tuntas kerana tidak dibendung dari ‘punca’nya. Metod rawatan ini juga, di samping gagal dan tidak bertepatan dengan syarak, ia menelan belanja yang tidak sedikit kerana melibatkan pelbagai bentuk penyelidikan, pelaksanaan dan pemantauan yang berterusan. Walhal, satu-satunya penyelesaian sebenar kepada setiap permasalahan adalah dengan kembali kepada Islam. Dalam ruangan yang serba terbatas ini, kami cuba memperjelaskan sepuluh perkara yang diajar oleh Islam di dalam mencegah dan mengubati gejala sosial yang sudah tidak terbendung oleh sistem kufur pada hari ini:-
Pertama: Keimanan individu. Keimanan yang dimaksudkan di sini ialah seseorang Muslim itu, dengan akidah Islam yang ada di dalam dirinya, semestinya tahu dan meyakini bahawa tujuan hidupnya di dunia adalah semata-mata untuk mematuhi perintah dan larangan Allah. Justeru, apabila Allah melarangnya untuk berzina atau mendekati zina, maka dia akan terus menjauhinya kerana akidahnya telah menetapkan bahawa hal ini adalah haram. Jika dia beriman kepada Allah, maka akan terjauhlah segala kemaksiatan dari dirinya.
Kedua: Hukum menundukkan pandangan. Allah SWT memerintahkan agar masing-masing baik lelaki mahupun wanita menundukkan pandangan mereka ketika bergaul dalam suatu keadaan yang diperbolehkan oleh syarak. Allah SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan (menundukkan) pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka...Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan (menundukkan) pandangan mereka (daripada memandang yang haram)...” [TMQ An-Nur (24):30-31]. Apabila masing-masing dari lelaki dan wanita bertakwa kepada Allah dan mematuhi perintah Alllah untuk menundukkan pandangan, maka syahwat yang berasal dari pandangan (mata) dapat dihindari. Jika pandangan sudah dapat ditundukkan, maka Insya Allah zina sudah pasti dapat dijauhi oleh seseorang itu.
Ketiga: Hukum menutup aurat. Islam mengajar hukum menutup aurat dengan terperinci untuk lelaki dan juga wanita. Islam memperjelaskan satu persatu hukum berkenaan aurat di dalam kehidupan khusus (di dalam rumah) dan juga kehidupan umum (di luar rumah). Sekiranya aurat ditutup sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka syahwat lelaki mahupun wanita akan secara automatik terhindar atau tertutup. Aurat yang tertutup dapat menghindari atau mengurangkan daya tarikan dan gangguan seksual yang menjadi salah satu faktor kepada perbuatan zina atau rogol. Di samping hukum Allah (ke atas individu) untuk menutup aurat, Negara pula wajib mengenakan uqubat (hukuman) berupa ta’zir ke atas sesiapa sahaja yang membuka auratnya di tempat awam.
Keempat: Haramnya khalwat dan ikhtilat (percampuran). Islam membenarkan lelaki dan perempuan bergaul di dalam kehidupan umum seperti membeli-belah, belajar, melakukan kontrak dan seumpamanya, namun kesemua ini ada batasnya. Islam mengharamkan lelaki dan wanita berada berdua-duaan tanpa disertai mahram (berkhalwat). Islam juga mengharamkan ikhtilath (percampuran bebas) di antara lelaki dan perempuan. Pada hari ini, khalwat dan pergaulan bebas antara dua lawan jenis ini langsung tidak disekat oleh pemerintah sekular yang ada dan sudah menjadi fenomena biasa di mana-mana sahaja baik di dalam rumah, apatah lagi di tempat-tempat awam. Hal inilah yang menyumbang kepada perzinaan apabila syahwat manusia sering dirangsang dengan pergaulan tanpa batas umpama haiwan ini. Di samping mengharamkan khalwat dan ikhtilath, Islam merincikan lagi batas-batas komunikasi antara lelaki dan perempuan di mana perempuan diharamkan bercakap dalam bentuk manja atau menggoda terhadap lelaki. Negara pula akan menangkap dan mengenakan uqubat ke atas mereka yang berkhalwat dan bergaul bebas yang jelas-jelas menyalahi Islam ini. Uqubat (oleh Negara) di peringkat awal lagi ini sudah pasti akan dapat mencegah atau mengurangkan kes perzinaan.
Kelima: Haramnya pornografi, baik berbentuk gambar mahupun video dan haramnya aktiviti pelacuran. Pemodenan yang berlaku hari ini telah mewujudkan sebuah ‘industri seks’ di seluruh dunia dengan sarang pelacuran, video-video dan gambar-gambar lucah yang boleh didapati dengan mudah, malah kesemua ini ‘sah’ di beberapa buah negara. Hasil dari kajian dan realiti menunjukkan bahawa kesemua kekejian ini telah menyumbang kepada berleluasanya aktiviti perzinaan di mana ramai individu menjadi ketagih seks disebabkan selalu menonton video lucah yang mudah di dapati di internet. Islam mengharamkan pornografi dan pelacuran dengan jelas yang sekaligus menjauhkan seseorang dari rangsangan perzinaan. Negara akan menyekat segala aktiviti pelacuran dengan serius, menyekat kemasukan dan pengedaran kesemua bahan lucah dan jika ada pihak yang masih berdegil melakukannya, maka uqubat akan dikenakan ke atasnya.
Keenam: Sistem pendidikan Islam. Kita semua tahu bahawa sistem pendidikan memainkan peranan penting untuk membentuk generasi muttaqin dan kita semua tahu bahawa sistem pendidikan sekular hari ini telah terbukti merosakkan anak-anak umat Islam dan berjaya melahirkan ramai penzina di kalangan pelajar. Polisi pendidikan seharusnya dibina atas akidah Islam yang bertujuan untuk melahirkan individu yang mempunyai syakhsiyyah Islam baik dari segi pola fikir mahupun pola jiwa yang Islami, bukannya dicedok atau diwarisi dari sistem kuffar penjajah. Selain pendidikan dalam ilmu kehidupan (akademik) seperti sains, matematik, geografi, kemahiran dan seumpamanya, para pelajar mesti ditanam dengan pengetahuan Islam (akidah dan syariat) dan tsaqafah Islam dengan baik. Dalam proses pendidikan Islam, pelajar lelaki adalah terpisah dari pelajar wanita, di mana pemisahan ini sudah tentu akan menjauhkan rangsangan syahwat di antara kedua lawan jenis ini, yang seterusnya dapat menghindari dari terjadinya perzinaan.
Ketujuh: Peraturan dan prosedur pernikahan dan perceraian yang betul dan mudah. Sesebuah pernikahan di dalam Islam dikira sah apabila memenuhi rukun dan syaratnya. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk berkahwin dan menggalakkan wanita agar meletakkan mas kahwin yang memudahkan pasangannya untuk membayarnya. Prosedur yang mudah tentunya dapat menenangkan jiwa pasangan yang ingin bernikah sekaligus dapat mengawal gharizah nau’ (naluri seksual) yang ada pada pasangan yang ingin berkahwin. Berbeza dengan undang-undang yang ada pada hari ini yang amat menyukarkan pasangan yang ingin bernikah apatah lagi untuk bercerai. Mas kahwin (yang biasanya ditetapkan oleh keluarga) yang tinggi juga turut memainkan peranan menyebabkan ramai ‘pasangan’ tinggal lama dalam hubungan percintaan (baca: maksiat) sehingga menyebabkan mereka mengambil ‘jalan mudah’ untuk melampiaskan naluri masing-masing dengan melakukan perzinaan.
Kelapan: Kemudahan poligami. Poligami adalah hak yang Allah SWT berikan kepada lelaki/suami. Adapun kedudukan undang-undang pada hari ini telah menyekat atau menyukarkan pelaksanaan hak yang Allah berikan ini dengan pelbagai syarat dikenakan ke atas lelaki yang ingin berpoligami. Seringkali kita mendengar kes suami yang bermain kayu tiga, yang nyatanya terhasil dari kesukaran proses untuk berpoligami. Kita tidak menafikan kesalahan dan dosa si suami yang bermain kayu tiga, cuma apa yang ingin ditekankan di sini adalah undang-undang yang ada pada hari ini telah ‘menyumbang’ kepada meningkatnya kes perzinaan oleh mereka yang tidak dapat menahan nafsu seksnya yang ‘disekat’ oleh peraturan poligami yang ketat. Walhal, Islam membolehkan poligami tanpa syarat-syarat sebagaimana yang dikenakan oleh kerajaan sekular pada hari ini.
Kesembilan: Pelaksanaan sistem ekonomi Islam. Sistem ekonomi yang digunapakai oleh negara cukup besar peranannya dalam memastikan kemakmuran hidup rakyat. Penerapan sistem ekonomi Kapitalisme oleh pemerintah sekular telah terbukti mengkucar-kacirkan kemakmuran manusia yang turut memberi impak ke atas sosiologi sesebuah negara. Pemerintah hari ini memerintah untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan untuk diri sendiri dan kroni di mana darah rakyat dihisap sehabis-habisnya. Berbeza dengan sistem Islam di mana pemerintah wajib mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat, apatah lagi kepada rakyat yang memerlukan, termasuklah di dalam keperluan perkahwinan. Contoh terbaik adalah bagaimana Khalifah Umar bin Abdul Aziz membantu memudahkan lagi urusan perkahwinan rakyatnya dengan menyediakan mas kahwin (dari Baitul Mal) kepada kaum lelaki yang tidak mampu dari segi kewangan. ‘Keindahan’ ini tidak akan wujud dalam sistem sekarang di mana pemerintah hanya rakus berkuasa dengan menyedut segala kekayaan rakyat tanpa langsung mempedulikan masalah rakyat.
Kesepuluh: Penerapan hukum Islam secara kaffah (menyeluruh) oleh negara yang termasuk di dalamnya hukum uqubat (jinayat, hudud, ta’zir dan mukhalafat). Di dalam keadaan kesembilan ‘langkah pencegahan’ di atas berjalan (diterapkan) di dalam negara mengikut ketentuan Islam, namun jika tetap juga terjadi perzinaan, maka negara akan menerapkan pula hukum hudud ke atas penzina, sesuai dengan firman Allah, “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” [TMQ An-Nur (24): 2]. Di dalam sejarah penerapan hukum Islam, kita mendapati bahawa kebanyakan penzina yang dihukum adalah akibat dari pengakuan mereka sendiri. Ini menunjukkan kepada kita akan kesedaran dan ketakwaan mereka terhadap Allah. Mereka tidak sanggup menerima hukuman yang lebih berat di akhirat, justeru mereka memilih untuk dihukum di dunia sebagai jawabir (penebus/penghapus) dosa mereka. Uqubat Islam juga bertindak sebagai zawajir (pencegah) manusia dari melakukan kemaksiatan kepada Allah. Ini kerana dengan hukuman yang dilakukan di tempat terbuka dan disaksikan oleh sekumpulan orang, maka sudah tentu ia akan menakutkan dan mencegah orang lain (dan si pelaku sendiri) dari melakukan kesalahan yang sama.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin yang merindukan syariah dan kehidupan Islam! Ketahuilah bahawa punca utama kepada semua masalah ini adalah kerana umat Islam telah membuang hukum Allah dari kehidupannya. Kita menyaksikan berapa ramai dari individu Muslim yang telah membuang hukum Allah dari dirinya. Masyarakat pula turut membuang hukum Allah dalam kehidupan bermasyarakat. Dan yang lebih buruk dari semua itu adalah pemerintah yang membuang hukum Allah dari pemerintahan negara. Natijah dari dibuangnya hukum Allah ini, maka kita menyaksikan pelbagai kerosakan di dalam negara yang tidak kunjung padam. Pemerintah pada hari ini bukan sekadar tidak mahu menerapkan hukum Allah, malah jika kita memuhasabah mereka untuk menerapkan hukum Islam, kita pula yang akan dipersalahkan dan akan dianggap sebagai penjenayah dan akan ditangkap. Sesungguhnya kita amat-amat memerlukan penerapan sistem Islam di dalam negara. Namun kesemua ini sudah pastinya suatu yang sangat berat untuk dilaksanakan dalam negara sekular seperti Malaysia, tambahan pula di bawah kepimpinan mereka yang jahil dan telah berkarat hatinya. Justeru, apakah kalian masih mengharapkan sisa-sisa hidup kalian untuk terus dibelenggu dengan undang-undang dan sistem kufur buatan manusia? Ayuh kita kembalikan semula Daulah Khilafah yang akan menerapkan hukum Allah dan RasulNya. Kita berusaha sedaya upaya di samping sentiasa memohon pertolongan dari Allah agar Daulah Islam ini segera berdiri di masa hayat kita agar kita dapat menyaksikan segala keindahan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan