Khamis, 1 November 2012

MENGHADAPI MUSIBAH


Tahun 2004 lalu menyaksikan beberapa kejadian yang mengakibatkan kehilangan nyawa, harta benda, binatang ternakan, punca pendapatan dan sebagainya. Semua peristiwa itu merupakan musibah yang menimpa umat manusia termasuklah di beberapa negeri di negara kita.

Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu melihat musibah tersebut dengan merenung firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 155, 156 dan 157: Dan sesungguhnya akan Kami (Allah) berikan cubaan (atau ujian) kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ``Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un (sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali). Mereka itulah orang yang mendapat keampunan dan rahmat daripada Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Ayat tersebut memberi panduan kepada orang yang ditimpa musibah supaya bersabar dan segera merujuk serta kembali kepada Allah dengan penuh keredhaan menerima segala qadha' dan qadar Ilahi. Di samping itu, manusia perlu kembali kepada Allah dengan erti melihat dan menilai semula tugas mereka sebagai hamba Allah s.w.t. Apakah hidup di dunia ini penuh dengan ketaatan dan kepatuhan kepada-Nya atau sebaliknya. Apakah hidup di dunia ini manusia benar-benar memahami tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah s.w.t. yang diberi amanah memakmurkan bumi dengan panduan Ilahi atau sebaliknya. Ini kerana manusia dan apa yang ada di atas muka bumi ini adalah milik Allah s.w.t. Dia-lah yang maha hebat dan maha berkuasa. Manusia hanyalah satu juzuk daripada segala makhluk yang Allah ciptakan di dunia ini.

Melalui ayat tersebut kita dapat mengenal pasti bahawa musibah yang melanda merupakan satu bentuk ujian yang Allah berikan kepada manusia. Manusia selaku penduduk dunia perlu mengakui bahawa dunia ini penuh dengan ujian. Malah dunia ini seperti yang disifatkan oleh ahli tafsir sebagai `tempat ujian'. Di samping itu, ujian yang dihadapi manusia melalui musibah itu merupakan salah satu bentuk pendidikan iaitu pendidikan jiwa. Dengan erti kata lain, ujian tersebut mendidik manusia supaya terus memantapkan keimanan kepada Allah s.w.t., menguatkan akidah yang dipegang selama ini dan menanam sifat sabar dalam diri manusia. Natijahnya akan lahir insan-insan yang kuat akidah dan keimanannya kepada Allah s.w.t. dan mantap kesabarannya sekalipun dilanda musibah besar.

Seseorang yang ditimpa musibah dengan kehilangan nyawa dan harta benda perlu menyedari bahawa segala yang ada padanya bukan miliknya secara mutlak. Semuanya itu merupakan milik Allah s.w.t. yang Dia pinjamkan buat sementara waktu kepada manusia ketika berada di atas muka bumi. Ini kerana Allah s.w.t. mahu menguji manusia sama ada mahu mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan dengan menggunakannya ke jalan yang diredhai atau sebaliknya. Justeru apabila kita ditimpa musibah seperti itu kita perlu bersabar sambil mengucapkan Inna lillah wa inna ilaihi raji`un seperti yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. Malah ucapan itu bukan sekadar diucapkan apabila kita berhadapan dengan musibah kematian seseorang. Kita perlu mengucapkannya apabila kita ditimpa sebarang kekurangan, kehilangan dan sebagainya, walaupun musibah itu hanya kecil bentuknya. Sehubungan itu Rasulullah s.a.w. pernah berada dalam kegelapan akibat lampu yang menerangi baginda s.a.w. padam. Lantas baginda mengucapkan Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un. Seorang sahabat bertanya kepada baginda adakah dengan padamnya lampu itu dikira musibah? Baginda menjawab, Ya. Setiap sesuatu yang menimpa orang mukmin itu dikira musibah.

Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w. menasihatkan umat Islam agar bersabar dan segera kembali kepada Allah s.w.t. apabila ditimpa musibah. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ummu Salamah r.a. bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, ``Tiada seorang hamba yang ditimpa musibah seraya berkata Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un sambil berdoa ``Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku pahala akibat musibah ini dan gantikanlah kepadaku sesuatu yang lebih baik daripada musibah yang menimpa diriku, kecuali Allah s.w.t. mengurniakan pahala (ganjaran) kepadanya setelah ditimpa musibah dan Allah akan menggantikan sesuatu yang lebih baik daripada musibah yang menimpa. Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya Bahawa siapa yang kembali kepada Allah ketika ditimpa musibah, Allah akan menampung kembali kekurangannya dan dikurniakan kebaikan serta Allah akan menggantikan sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya.

Walau bagaimanapun, apa yang Allah gantikan kepada kita itu tidak semestinya kita peroleh di dunia ini. Ia kerana menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Tirmizi daripada Abu Musa r.a. bahawa apa yang Allah gantikan itu akan diperoleh dalam syurga kelak. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya, Apabila anak seseorang itu meninggal dunia, Allah bertanya kepada malaikat, `` Adakah kamu mencabut nyawa anak hamba-Ku? Malaikat tersebut menjawab, ``Ya.'' Allah bertanya lagi, Adakah kamu mencabut nyawa buah hatinya? Malaikat menjawab, ``Ya.'' Allah bertanya lagi, Apakah yang dikatakan oleh hambaku itu? Malaikat menjawab, Dia memuji-Mu dan kembali kepada-Mu. Allah berfirman, Binalah bagi hamba-Ku itu sebuah rumah dalam syurga dan namakanlah rumah tersebut sebagai rumah pujian.

Justeru itulah musibah yang menimpa merupakan salah satu rahmat Ilahi yang tidak diketahui oleh manusia. Ini diakui sendiri oleh Rasulullah s.a.w. ketika baginda berhadapan dengan kematian anaknya yang bernama Ibrahim, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim. Sebagai manusia baginda mengalirkan air mata apabila berhadapan dengan situasi sedemikian. Justeru seorang sahabat bertanya kepada baginda, Bukankah Tuan melarang kami menangisi kematian? Baginda s.a.w. menjawab, Sesungguhnya musibah itu merupakan rahmat. Kemudian baginda berkata lagi, Mata tetap mengalirkan air mata dan hati tetap dirundung kesedihan, dan kami tidak berkata melainkan sesuatu ucapan yang Allah redha, dan sesungguhnya pemergianmu wahai Ibrahim cukup menyedihkan. Hadis itu juga mengisyaratkan bahawa kesedihan dan tangisan seseorang itu yang diiringi dengan sikap redha dengan qadha' dan qadar Ilahi bukanlah menafikan sifat sabar dan mengurangkan keimanan seseorang ketika ditimpa musibah.

Di samping itu, Umar bin al-Khattab r.a. juga menyifatkan musibah itu sebagai nikmat. Beliau berkata, Aku tidak ditimpa musibah melainkan aku dapati padanya tiga nikmat. Nikmat pertama, bahawa musibah yang menimpa itu bukanlah yang berkaitan dengan agama. Kedua, musibah itu bukanlah musibah yang besar seperti yang sebelum-sebelumnya. Ketiga, sesungguhnya Allah s.w.t. akan memberi balasan baik daripada musibah tersebut. Kemudian beliau membaca firman Allah surah al-Baqarah ayat 157. Dengan kata lain, kurniaan yang Allah berikan kepada orang-orang yang sabar ketika ditimpa musibah sambil kembali menyerah diri kepada-Nya ialah keampunan, kerahmatan dan hidayah. Ini menunjukkan bahawa setiap sesuatu yang menimpa manusia, manusia tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Di situlah terdapat hikmah dan nikmat Allah s.w.t. Barangkali hikmah dan nikmat itu dalam bentuk pemuafakatan sesama manusia yang membantu mangsa musibah. Barangkali ia merupakan satu pemuafakatan dalam bentuk mengurangi kesan kemusnahan musibah yang mungkin berlaku pada masa hadapan. Barangkali ia merupakan satu kajian dan penyelidikan bagaimana untuk menghadapi musibah pada masa hadapan dan sebagainya. Justeru kita sebagai umat Islam tidak boleh berputus asa daripada rahmat Allah s.w.t.

Oleh itu marilah kita kembali kepada Allah s.w.t dengan mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Ini supaya kita tidak hilang punca apabila berhadapan dengan sebarang musibah seperti musibah ombak besar Tsunami. Walaupun musibah seperti itu sunah alam, tetapi sebagai umat Islam yang percaya dengan qadha' dan qadar Allah s.w.t., kita tetap percaya ia merupakan satu ujian dan peringatan daripada-Nya, supaya kita segera kembali dengan menilai kehidupan kita yang sebenar sebagai hamba-Nya yang soleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin