Khamis, 8 November 2012

SEJARAH PATTANI



Apabila daulat raja-raja Melayu Patani telah dapat dimansuhkan oleh kerajaan Siam dalam tahun 1902 dengan ikhtiar tipu dayanya. Kedudukan negeri Patani semakin beransur-ansur tercamtum menjadi sebahagian daripada jajahan negeri Siam-Thai dan kerakyatan orang-orang  Melayu Patani pun berubah pula menjadi kerakyatan warga negara Siam-Thai. Semenjak itu pegawai-pegawai Siam yang datang dari kawasan Bangkok mulalah masuk memegang jawatan di dalam Patani. Caranya pentadbiran di dalam negeri Siam-Thai pada masa itu dijalanakan secara pemerintahan kuasa raja (autokrasi) yang demikian corak pemerintahan dalam Patani pun telah dijalankan dengan mementingkan faedah dan muslihat dalam Patani pun telah dijalankan dengan mementingkan faedah dan muslihat untuk pegawai-pegawai Siam dan kerajaannya. s
          Orang-orang Melayu telah dikenakan dan dipaksa membayar cukai hasil mahsul kepada kerajaan dengan sebanyak-banyaknya serta segala kekayaan di dalam Patani hendaklah juga dipungut itu hendaklah semuanya dihantar ke Bangkok. Sebahagian kecil telah diasingkan kerana perbelanjaan gaji pegawai-pegawai Siam itu dan boleh dikatakan tidak ada satu bahagian pun dari hasil mahsul itu yang digunakan dalam urusan kebajikan orang-orang  Melayu yang telah berpenat lelah membayar hasil cukai itu.
          Kebanyakan daripada pegawai-pegawai Siam itu tidak pernah mengambil berat atas perkara faedah-faedah dan kebajikan orang-orang  Melayu. kedatangan mereka ke Patani pada mulanya hanya membawa pangkat jawatan masing-masing sahaja tetapi bila mereka bersara, banyaklah kebun-kebun yang luas dan kampung halaman yang besar-besar yang didapatinya dalam Patani. Setengahnya pula bila telah bersaram mereka pun pulanglah ke Bangkok dengan membawa harta benda itu yang boleh menghidupkan mereka dengam limpah mewah. Pegawai-pegawai Siam-Thai itu tidak pernah menindas faham kebangsaan Melayu dan agama Islam kerana pada zaman pemerintahan autokrasi itu dasar yang seumpama ini belum lagi ada mereka telah memerintah dengan senang lenang saja, tetapi mereka tidak mengambil berat sedikit pun pada memajukana jajahan-jajahan itu melainkan pada perkara yang mengenai muslihat mereka.
Rajah : Salasilah Raja Patani dari Keturunan Raja Kelantan
          Perkhidmatan dalam perkara kesihatan, pelajaran, dan kemakmuran sama sekali tidak ada, sekolah-sekolah Siam pada masa itu hanya didirikan dalam bandar untuk faedah anak-anak pegawai Siam. Sekolah Melayu tidak ada langsung. Sewaktu pemerintah hendak mengadakan jalan-jalan raya bagi menyenangkan perhubungannya di antara satu jajahan dengan satu jajahan, semuanya terpulang kepada anak negeri yang membuatnya. Mereka dikerah berkerja menjadi buruh ada kalanya terpaksa pula membawa bekalan masing-masing.
          Pentadbiran kerja di mahkamah semuanya terpulang kepada Pesuruhjaya Tinggi, kepada pegawai polis dan akhirnya kepada hakim.
Ada kalanya orang yang dibawa ke mahkamah itu terpaksa menanti berbulan-bulan lamanya sebelum perkara itu dibicarakan. Hai ini ialah disebabkan pegawai-pegawai itu mahu mengetahui berapakah banyak wang yang dapat diberi oleh orangyang terdakwa itu kepada mereka apabila perkaranya dibicarakan.
          Pentadbiran yang dijalankan seumpama ini semuanya dirasa oleh orang-orang  Melayu itu dengan bergelisah dan tidak puas hait.
          Dalam tahun 1923 orang-orang  Melayu itu mula mengadakan pergerakan enggan membayar cukai kerana benci atas perbuatan pegawai-pegawai Siam-Thai yang menerima wang dan juga perbuatan mereka tidak mengambil tahu akan hal pentadbiran memperbaiki negeri. Dalam tahun ini juga orang-orang  Melayu telah melancarkan pergerakan menuntut kebebasan tetapi pergerakan ini telah dapat dipadamkan oleh kerajaan Siam setelah berlaku sesuatu pertempuran di antara ahli pergerakan dengan pasukan polis Siam dalam daerah Mayor (Rakak). Beberapa banyak ketua-ketua Melayu Patani yang telah dituduh bersubahat dalam pergerakan ini telah ditangkap kemudian dihantar ke Bangkok dengan alasannya sebagai kaum penderhaka, ada di antara mereka yang telah mati dan terus berkubur di sana.
          Di antara ketua-ketua Melayu yang mengetuai dalam pergerakan ini ialah Tengku Abdul Kadir Kamarudi, Raja Patani yang akhir yang telah menolak tawaran kerajaan Siam hendak menjadikannya raja patung, setelah pergerakan yang mula-mula ini kecewa, baginda pun terus berundur ke Kelantan dan terus tingal di sana hingga mangkat.
          Dengan sebab berlaku kejadian ini, serta umur telah terlampau tua, maka Phraya Deca Pesuruhjaya Tinggi bagi provinsi (Monthon) Patani telah dilucutkan dari jawatan serta diganti oleh seseorang yang lain kemudian beberapa kali bertukar ganti orang-orang  yang memangku jawatan ini. Hingga sampai pada tahun 1932 iaitu tahun negeri Siam sedang diperintah oleh Raja Prajadhipok Raja Siam yang ketujuh. Dalam masa pemerintahan raja ini keadaan iktisad negeri Siam sangatlah terjatuh hampir-hampir akan memerbahayakan kepada kerajaannya.
          Dengan tujuan memulihkan kejatuhan iktisad ini, kerajaan Siam-Thai banyaklah mengubah cara-cara pentadbiran di dalam negerinya. Di antaranya mengurangkan jumlah pegawai-pegawai kerajaan dan memotong rancangan belanja yang tidak mustahak dan kemudian telah dihapuskan beberapa buah provinsi di seluruh negeri Siam. Satu daripadanya termasuk provinsi Patani iaitu dihapuskan serta disatukan dengan provinsi Nakhorn Sri Thammarat. Dalam Patani itu telah dihapuskan sebuah wilayah iaitu wilayah Saiburi (Teluban) setengahnya disatukan dengan wilayah Patani dan setengahnya disatukan dengan wilayah Narathiwat. Semenjak itu tinggallah hanya tiga buah wilayah sajaha iaitu Patani, Yala, Narathiwat dan ketiga-tiganya termasuk di bawah perintah Pesuruhjaya Tinggi Provinsi Nakorn Sri Thammarat yang berpusat di Singgora.
          Langkah-langkah memulih iktisad ini telah dijalankan dengan tidak memberi kejayaan yang penuh, ahli-ahli  politik Siam telah merasai negerinya akan jatuh meleset dan miskin serta akan menambahkan lebih banyak lagi jumlah kaum penganggur dan orang-orang  yang tiada berperkerjaan.
          Oleh itu pada waktu pagi 24 Jun 1932 berlakulah pemberontakan merampas kuasa dalam Bangkok yang dijalankan oleh ahli politik yang bergelar “Kumpulan Rakyat” terdiri dari pegawai-pegawai tentera darat, laut dan udara serta orang-orang  periman. Tujuannya akan mengubah pemerintahan secara autokrasi itu kepada pemerintahan secara demokrasi (kedaulatan rakyat). Perkumpulan ini diketuai oleh Phray Pahon, Nai Pridi Panomyang, Luang Phibun Songgram dan lain-lain termasuk juga pemimpin-pemimpin kaum Islam dalam Bangkok seperti Haji Abdul Wahab dan Haji Shamsudin Mustafa.
          Kemudian telah diisytihar dan dipakai sebuah undang-undang perlembagaan yang baharu cara-cara demokrasi iaitu memberi kesempatan kepada rakyat tiap wilayah berhak memilih seseorang wakilnya hadir ke majlis mesyuarat kerajaan di Bangkok sebagai wakil-wakil rakyat yang berketanggungan dan berhak mencampuri dalam urusan pemerintahan kerajaan. Manakala daulat Raja Siam yang tiada berhad itu telah dibataskan oleh undang-undang perlembagaan ini, mengisytiharkan enam dasar pemerintahan negeri sebagai sendi amalan demokrasinya iaitu:
-Mengawal keselamatan politik, keadilan dan ekonomi;
-Mengawal keselamatan dan ketenteraman di dalam negeri;
-Memajukan kemakmuran rakyat jelata;
-Memberi persamaan hak kepada rakyat jelata dan
-Memberi pelajaran kepada rakyat jelata dengan secukupnya.
Dalam tahun 1933 kerajaan Siam-Thai telah memansuhkan segala provinsi (Monthon) dalam negeri Siam. Dikekalkan hanya wilayah-wilayah (Changwat) sahaja dan seluruh wilayah-wilayah itu termasuk wilayah Patani, Yala dan Bangnara (Narathiwat), terus termasuk dibawah takluk dan perintah Jabatan Menteri Dalam di Bangkok. Dengan perubahan yang akhir ini negeri Patani pada hakikatnya telah mulai menjadi sebahagian dari nageri Siam-Thai jati dan keadaannya  semakin bertambah jauh terpisah dari negeri Melayu dalam Semenanjung.
          Di dalam susunan perlembagaan negeri baharu itu, telah termasuk pada ayat yang pertama bahawa (di negeri Siam-Thai) adalah satu di dalam segala-galanya dan tidak boleh dibahagi-bahagikan.
          Dalam hal itu pun, dengan corak pemerintahan demokrasi itu, orang-orang  Melayu dalam wilayah-wilayah yang tersebut telah merasai lapang dadanya. Bila mereka mendengar isytihar-isytihar demokrasi yang manis bunyinya itu dan masing-masing menunggu akan mengecap rasa demokrasi yang memberi persamaan hak dan kebebasan.
          Tetapi dari setahun ke setahun tidak ada satu perubahan pun yang berlaku istimewa dalam kesihatan, pelajaran, jalanraya dan lain-lain lagi, semuanya tinggal terbiar juga seperti zaman pemerintahan autokrasi dahulu. Sekali lagi orang-orang  Melayu berasa sungguh gelisah tidak puas hati.
          Akan tetapii dengan cara pemerintahan demokrasi ini menjadikan orang-orang  Siam bertambah dalam rasa kebangsaa lebih daripada masa yang dahulu. Dalam golongan orang-orang  Siam ini teah mentafsirkan ayat pertama dalam perlembagaan tadi bahawa tiap-tiap orang yang menjadi kerakyatan Siam-Thai mestilah dihitung sebagai orang-orang  Siam. Dalam segala hal ehwal ertinya mesti memakai satu bahawa, adat rasmi, pakaian yang sama dan agama yang satu. Mereka telah lupa bahawa kebebasan beragama, beribadat dan cara kedudukan kepada semua orang yang mendiami dalam negeri Siam.
          Dalam tahun 1939 faham kebangsaan Siam-Thai telah mulai merebak di negeri Siam dibawa oleh Luang Phibun Songgram yang pada masa itu telah menjadi Perdana Menteri. Di kalangan orang-orang  besar Siam Luang Phibun Songgram telah terkenal seorang ahli politik yang kuat memakai faham kebangsaan. Dia telah mengadakan bermacam rancangan untuk membina faham kebangsaan itu dan telah menjadi cita-citanya supaya Semenanjung Indochina serta berbagai-bagai pula ikhtiarnya hendak menindas pula puak kecil dalam negerinya.
          Dalam tahun 1940, sebuah Dewan Kebudayaan Siam telah ditubuhkan di Bangkok dan terkenal dengan nama Sapha Wattanatham tujuannya hendak memajukan faham kebangsaan dan meluaskan kebudayaan Siam ke seluruh negerinya. Dewan Kebudayaan ini dengan beransur-ansur mengeluarkan perintah yang berupa sebuah undang-undang “paksa” atas orang ramai suatu daripada perintah yang mula-mula dikeluarkannya ialah memaksa semua orang-orang  Siam mesti memakai pakaian cara barat dan disajakkan dengan topi bagi lelaki dan perempuan. Waktu makan mesti menggunakan garpu dan bermeja kerusi.
          Orang-orang Melayu dalam wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan Setul telah merasai perintah ini mengenai tepat atas mereka oleh kerana mereka telah dilarang memakai pakaian Melayu, mempunyai nama-nama Melayu bertutur dalam bahasa Melayu dan memeluk agama Islam.
          Dalam berapa syarat undang-undang memajukan kebudayaan Siam itu ialah mengharamkan bahasa Melayu dalam segala pejabat kerajaan, pegawai kerajaan yang tahu berbahasa Melayu telah dilarang keras bercakap-cakap bahasa Melayu dengan anak negeri. Orang-orang Melayu yang mengurus sesuatu hal di pejabat kerajaan terpaksalah menggunakan bahasa Siam. Jikalau mereka tidak tahu berbahasa Siam terpaksalah diupah kepada siapa-siapa yang tahu bahasa Siam menjadi guru bahasanya dengan tiada peduli sama ada urusan itu penting atau tidak.
          Dalam syarat-syarat memajukan kebudayaan itu juga menyatakan bahawa agama Buddha ialah agama rasmi dan agama Islam adalah mesti ditentang serta tiap-tiap urusan yang akan memajukan agama Islam itu mesti dihalang, lebih-lebih hebat lagi apabila orang-orang  Melayu dalam daerah Saiburi (Teluban) telah dipaksa menyembah berhala Buddha. Demikianlah berhala Buddha itu telah diletak dalam sekolah-sekolah Siam dan murid-muridnya sebahagian banyak kanak-kanak Melayu telah dipaksa menyembahnya.
          Sejumlah kecil anak-anak Melayu yang memegang jawatan kerajaan telah dipaksa menukar namanya dengan bahasa Siam dan segala jawatan yang tinggi telah diharamkan kepada anak-anak Melayu memegangnya istimewa orang-orang  yang beragama Islam telah dilarang menuntut dalam sekolah-sekolah tentera dan memegang jawatan-jawatan yang tinggi.
          Dalam tahun 1941 undang-undang kebudayaan ini telah berjalan dengan rancaknya. Dalam wilayah-wilayah Melayu itu pada mulanya ialah memaksa orang-orang  Melayu berpakaian Barat, kot patalon dan bertopi bagi lelaki serta bergaun singkat dan berbaju pendek bagi perempuan. Siapa-siapa yang enggan mengikut undang-undang ini ditangkap dan didenda kadang-kadang disepak teranjang oleh polis-polis Siam. Dalam tahun inilah orang-orang  Melayu dalam wilayah itu mulai bergelisah istimewa bagi pihak alim ulama, mereka juga dipaksa berpakaian Barat dan kerapkali berlaku baju-baju jubah dan serban orang-orang  haji itu telah diseret oleh polis-polis Siam serta dipijak dengan kakinya. Begitulah juga orang-orang  perempuan sewaktu berjual beli di pekan-pekan selalu ditendang dan dihentam dengan buntut senapang oleh polis-polis Siam itu kerana memakai baju kebaya dan berkelubung.
          Yang demikian dengan anjuran Luang Phibun Songgram itu telah menjadikan pegawai-pegawai Siam dalam wilayah Melayu itu dapat bermaharajalela dengan seluasnya. Istimewa dengan adanya undang-undang kebudayaan tadi, menjadikan mereka semakin rancak mencabul kehormatan agama Islam dan menoda adat istiada Melayu serta apabila dirasuk oleh faham kebangsaan menyebabkan mereka memandang hina dan keji ke atas orang-orang  Melayu.
          Pada 8 Disember 1941 berlaku peperangan Asia Timur Raya, manakala tentera Jepun telah melancarkan serangannya di sekitar Tenggara Asia di antaranya telah mendarat di seluruh Pantai Timur Siam begitu juga di Patani, di sepanjang-panjang sempadan Timur Siam telah di serang oleh tentera Jepun dan perjuangan dengan tentera Siam telah berlaku beberapa jama lamanya, Luang Phibun Songgram telah memecahkan dasar perkecualinya dengan membenar tentera Jepun melalui negeri Siam meneruskan serangannya ke Burma dan Tanah Melayu. Dengan langkahnya Luang Phibun Songgram inilah telah menyebabkan Tanah Melayu dan Singapura jatuh ke tangan Jepun dengan senang. Tiada berapa hari kemudian dia telah mengisytiharkan perang ke atas pihak berikat dan mengikat setia berkerjasama dengan Jepun.
          Dalam masa peperangan itu gerakan memajukan kebudayaan dan faham kebangsaan Siam semakin bertambah-tambah luas dan suatu perjanjian telah dibuat antara Dewan kebudayaan Siam dengan Dewan kebudayaan Jepun kerana berbantu-bantu dalam usaha memajukan kebudayaan masing-masing.
          Dengan menggunakan kekuatan tentera dan pengaruh tangan besi, Luang Phibun Songgram telah berjaya memegang jawatan yang tinggi dalam pemerintahan. Dan dengan berlindung di sebalik Pedang Samurai dia telah mulai menjalankan pemerintahan diktator dan meniru kepada langkah-langkah yang dijalankan oleh fasis.
          Dalam masa pemerintahan diktator Phibun Songgram inilah tindakan-tindak pegawai-pegawai Siam atas orang-orang  Melayu semakin bertambah keras dan kejam serta gerakan hendak “mensiamkan” orang-orang  Melayu itu semakin bertambah-tambah jelas. Langkahnya yang kedua telah mulai pula dijalankan iaitu mendirikan keagungan negara Siam-Thai dengan berdasar kepada Siam Maha Besar (Greater Siam). Dengan dasarnya ini diktator Phibun Songgram telah menghantar pasukan tenteranya pergi menakluk wilayah Shan dalam Burma dan masuk memerintah dalam negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah dalam tahun 1943.
          Dalam tahun 1944 Phibun Songgram telah memansuhkan jawatan Qadi Islam dalam wilayah-wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan Setul serta membatalkan undang-undang Islam yang berkenaan dengan nikah cerai dan harta pusaka yang telah dipakai oleh kerajaan Siam yang dahulu semenjak berpuluh-puluh tahun lamanya. Kemudian segala perbicaraan yang berkenaan dengan urusan Islam ini telah dipaksa mesti mengikut undang-undang sivil kerajaan dan diputuskan oleh mahkamah Siam.
          Dalam tahun ini kedudukan orang-orang  Melayu dan kehormatan agama Islam semakin bertambah genting bagi mempertahankan kedudukan mereka. Dalama tahun ini juga ahli-ahli  ulama dengan diketuai oleh Haji Sulong bin Abdul Kadir telah mendirikan sebuah pertubuhan Islam dalam Patani yang dinamakan “Hai’ah al-Nafz al-Ahkam al-Syar’iah” tujuannya hendak memperkemaskan kerjasama di antara ketua-tua agama yang bertanggungjawab itu mempertahankan gerakan kerajaan Siam hendak mensiamkan orang-orang  Melayu dan mencabul agama Islam.
          Maka pada 14 haribulan Januari 1944 bersamaan 1487 tahun Siam suatu rayuan telah dihantar kepada Perdana Menteri Phibun Songgram oleh Tengku Abdul Jalal bin Tengku Abdul Muttalib pemimpin Melayu Selatan Siam yang berjiwa kebangsaan yang sejati dan Ahli Parlimen wakil Melayu dalam parlimen Siam-Thai pada masa itu. Berkenaan kecabulan dan perkuasaan undang-undang kebudayaan Siam-Thai itu terhadap kebudayaan bangsa Melayu Selatan Siam dan terhada agama Islam yang dijalankan oleh Gabenor Patani (bangsa Siam-Thai) pada masa itu. Akan tetapi malangnya telah mendapat jawapan rasmi pada 29 haribulan April tahun 1944 bersamaan 2487 tahun Siam jawapan itu datangnya dari Pejabat Setiausaha Perdana Menteri Phibun Songgram dan kandungnya oleh menyokong kelakuan Gabenor Patani itu menjalankan undang-undang kebudayaan yang zalim dengan cara kasar dan paksa, surat itu demikian bunyinya:
Saya suka memaklumkan kepada tuan bahasa surat tuan kepada Perdana Menteri bertarikh 14/2/1944 kerana memaklumkan darihal kekasaran peerjalanan Gabenor negeri Patani itu telah diperiksa, dan Pejabat Menteri Dalam telah memberi kenyataan bahawa yang diperbuat oleh Gabenor negeri Patani itu difikirkan patut tidak ada mendatangkan perasaan panas kepada rakyat yang banyak. Demikianlah dimaklumkan.:
          Sekianlah jawapan kerajaan Phibun Songgram terhadap rayuan bangsa Melayu dan umat Islam selatan Siam itu yang disuarakan oleh pemimpin dan ketua mereka akan tetapi rayuan itu bukannya mendapat pertibangan yang adil malah pemerintah Siam menyokong pula kelakuan pegawainya yang zalim dan kejam itu.
          Pada 14 Ogos Jepun telah mengaku kalah kepada pihak Berikat serta peperangan Asia Timur Raya pun tamat. Diktator Phibun Songgram telah ditangkap sebagai orang salah peperangan yang utama di dalam Siam kerana berkerjasamanya dengan Jepun dan dimasukkan ke dalam jel selama enam bulan.
          Dengan kemenangan pihak Berikat itu menjadikan angan-angannya hendak mendirikan negara Siam yang maha besar tidak berjaya dan pergerakan memajukan kebudayaan dan faham kebangsaan Siam telah terhenti juga. Pada bulan Ogos 1945 Nai Khuang dilantik menjadi Perdana Menteri Siam serta membentuk sebuah jemaah menterinya yang baharu. Kerajaan Nai Khuang ini telah memansuhkan semua undang-undang kebudayaan yang dibuat oleh Phibun Songgram serta gerakannya hendak mensiamkan orang-orang  Melayu itupun terhenti dengan sendiri.
          Walaupaun begitu keganasan dan kekkejaman pegawai-pegawai Siam atas orang-orang  Melayu itu tidak juga berhenti. Dengan kerana akibat dari Peperangan Dunia Kedua, telah menjadikan akhlak dan perasaan pegawai-pegawai Siam itu sangat rosak hingga undang-undang keadilan dan perikemanusiaan telah dibelakangkan oleh mereka. Pada mas itu suatu penyakit yang sangat merebak di kalangan pegawai-pegawai Siam ialah pekerjaan pecah amanah dan makan suap iaitu mulai dari pegawai-pegawai yang renda. Sesuatu perkara yang mustahak diuruskan dengan kerajaan tidaklah akan mendapat kejayaan jikalau tidak disediakan terlebih dahulu wang suap kepada pegawai-pegawai itu.
          Di pihak Pegawai Polis pula, seorang jahat yang telah ditangkapnya, dengan senang sahaja boleh selamat dan biasa bila diberi wang suap kepada mereka. Acapkali berlaku apabila seseorang anak Melayu yang telah disyaki ada bersubahat dengan penjahat-penjahat terus-terus ditangkap oleh Polis Siam kemudian dibawanya ke tempat yang sunyi lalu ditembak dengan beramai-ramai sebelumnya orang-orang  Melayu itu dibawa ke tempat tahanan. Begitu juga anak-anak Melayu yang dituduh ada mengambil bahagian dalam pergerakan politik  melawan pemerintah, selalu diugut atau dibuat bermacam-macam fitnah oleh Polis Siam sehingga mereka dapat ditangkap kemudian ditembak sahaja dengan tidak payah dibawa ke dalam perbicaraan mahkamah.
          Dalam bulan Disember 1947 suatu kejadian yang sedih dan dahsyat telah berlaku dalam Patani manakala seorang Merinyu Polis Siam telah ditembak mati oleh penjahat-penjahat berhampiran dengan sebuah kampung yang bernama “Belukar Semak”. Sepasukan Polis Siam telah datang ke kampung itu menangkap anak-anak Melayu kemudian diseksa dengan bermacam-macam perbuatan kerana hendak mengetahui siapa dia sipembunuhnya. Tuduhan mereka mengatakan anak-anak Melayu dalam kampung itu membekalkan makanan kepada penjahat-penjahat serta berpihak kepada penjahat-penjahat itu dengan memberi bantuan yang penuh. Dengan tuduah ini datanglah  Polis Siam dengan beramai-ramai membakar kampung itu dengan alasannya penduduk dalam kampung itu ada bersubahat dengan penjahat. Dengan pembakaran ini menyebabkan 25 kaum keluarga anak Melayu yang tiada berumahtangga.
          Pada 26 September 1947 Miss Barbara Wittingham-Jones, seorang wartawan wanita Inggeris telah melawat ke Patani bagi julung kali semenjak lepas perang. Dia telah menjelajah sejauh 250 batu melalui negeri ini kerana memerhati dan menyiasat kedudukan 700,000 orang-orang  Melayu di bawah penindasan kerajaan Siam-Thai.
          Dalam akhbar Straits Times, di Singapura keluaran 1 Disember, Miss Jones telah menceritakan pendapatan dari penyiasatan di Patani itu demikian katanya, “Di mana saya pergi, saya dapati dasar penindasan yang dijalankan dengan teratur dan satu gerakan sengaja dilancarkan untuk mensiamkan anak negeri. Perasaan rakyat telah menggelegak oleh larangan yang dipaksa oleh kerajaan Siam ke atas pendidikan orang-orang  Melayu di sana,” kata Miss Jones sambil menerangkan bahawa sekolah-sekolah Melayu dalam Patani, telah ditutup oleh kerajaan Siam-Thai.
          “Di sepanjang-panjang jalan raya lihat bangunan-bangunan sekolah ditutup dan kosong bahkan sekolah-sekolah agama pun ikut diharamkan oleh kerajaan Siam. Meskipun satu dua sekolah-sekolah Melayu masih hidup terutama sekali di Yala dan Narathiwat tetapi sehari dua selama lawatan saya ke sana, beberapa buah lagi telah dipaksa ditutup, kerana orang-orang  Melayu itu tak mahu menghantarkan anak-anaknya ke sekolah Siam sehingga mereka pun berdegil juga tidak mahu mempelajari bahasa Siam. Maka kemunduran tentang pelajaran antara bangsa Melayu di Patani ini adalah menghalang kemajuan masyarakat dan ekonomi mereka.
          Mengatakan bahawa dasar Siam ini telah mematikan roh dan semangat bangsa Melayu maka Miss Jones telah menerangkan bahawa akibatnya ialah jurang yang menceraikan “penakluk-penakluk Siam itu dengan orang-orang  Melayu makin hari makin luas”. Penjajah Siam katanya lagi terang memandang keji dan hina rakyat Melayu iaitu mensifatkan rakyat Melayu itu sebagai satu bangsa yang buta huruf dan orang tani yang bodoh.
          “Sebagai qariah dalam pergaulan masyarakat maka tidaklah hairan sekiranya setengah-setengah orang Melayu lebih keras hatinya telah menjadi musuh terhadap masyarakat iaitu denga merompak di darat dan di laut.” Demikian kata Miss Jones.
          “Segenap lapisan pegawai-pegawai Siam adalah memakan suap dan kerana keburukan ini diburukkan lagi oleh perasaan pegawai-pegawai Siam itu memandang keji dan hina ke atas orang-orang  Melayu maka jadilah nasib orang-orang  Melayu Patani itu terus menerus menderitaaniaya kecerobohan dan dasar tuntut bela pegawai-pegawai Siam itu.” Kemudian Miss Jones pun meceritakan bagaimana Polis Siam pernah membakar kampung-kampung Melayu sampai hangus semata-mata kerana kampung itu dituduh melindungi penjahat-penjahat.
          “Polis-polis Siam tidak mahu menyiasat sama ada benar atau tidak tuduhan-tuduhan itu atau membicarakan orang-orang  itu di dalam mahkamah. Pegawai-pegawai Siam pernah masuk ke rumah-rumah orang-orang  Melayu mencabul perempuan-perempuan Melayu dan memaksa kedai-kedai Melayu supaya membayar wang perlindungan kepada mereka wang perlindunga ini berjumlah sampai beribu-ribu dan polis Siam selalu masuk ke kedai-kedai Melayu merampas apa sahaja barang yagn disukainya” kata Miss Jones.
          Menunjukkan nyawa orang-orang  Melayu di Patani tidak berharga. Wartawan itu mengatakan, “Orang-orang Melayu selalu ditembak begitu sahaja dengan tidak ada usul periksa lagi atau hilang ghaib dengan tidak meninggalkan kesan dan cerita lagi.
          “Kerana Patani terpencil dari dunia luar makan orang-orang  Melayu tak dapat dan tak berupaya menentang pemerintahan yang kejam dan ganas ini, teguran-teguran yang sederhana kepada pemerintah Siam adalah dianggap sebagai membahayakan keselamatan negeri, oleh kerajaan Siam teguran-teguran ini pun ditindas dengan hukum bunuh atau disiksa. Orang-orang Melayu di Patani tidak ada kebebasan bercakap, tidak ada surat khabar, tidak banyak mempunyai peti-peti radio dan tidak ada badan politik. Tempat yang digunakan oleh orang-orang  Melayu Patani untuk bersuara ialah di masjid-masjid. Sekali sekali sebuah surat khabar Melayu telah dibawa masuk dengan sulit ke Patani iaitu surat khabar Utusan Melayu
          Lebih jauh Miss Jones menerangkan, “Bahawa walaupun sudah lebih lima puluh tahun Siam-Thai menindas orang-orang  Melayu begini dahsyatnya. Tetapi dasar mensiamkan orang-orang  Melayu belum lagi berjaya. Saya hairan melihat kekuatan batin orang-orang  Melayu Patani menahan tindasan itu sehingga dapat mereka memelihara adat mereka.
          Demikianlah ringkasan dari kenyataan wartawan Miss Jones membayangkan keadaaan yang sebenar berlaku dalam wilayah-wilayah Melayu selatan Siam dan dapatlah pengertian mengapa sebabnya orang-orang  Melayu Patani telah bangkit serentak menuntut kemerdekaan dan keadilan.
          Setelah berita keganasan dan gerakan hendak mensiamkan orang-orang  Melayu di Patani itu terheboh ke seluruh dunia terutama di Malaya, maka pada bulan Ogos 1947 kerajaan Siam-Thai telah menghantar rombongan penyiasatnya seramai tujuh orang ke Patani, bagi menyiasat perkara-perkara yang tersebut serta akan mendengar fikiran penduduk-penduduk tempatan bagi mengadakan suatu perubahan yang sesuai dengan kehendak orang-orang  Melayu itu.
          Pada 24 Ogos rombongan penyiasat ini telah mengadakan perjumpaan besar dengan orang-orang  Melayu di Patani serta diberi kesempatan bersoal jawap dengannya. Dalam perjumpaan ini Haji Sulong bin Abdul Kadir, Ketu Majli Islam dan Wan Othmann Ahmad ketua Persatuan Semangat Patani dengan mewakil rakyat tuntutan yang dihadapkan kepada kerajaan. Kandungan tuntutan itu ialah;
1.        Hendaklah kerajaan Siam-Thai mengadakan seorang yang berjawatan tinggi dengan berkuasa penuh memerintah atas empat wilayaw iaitu Patani, Yala, Narathiwat dan Setul, yang dilantik daripada orang Islam yagn diperanakkan dalam salah satu wilayah ini dengan dipilih oleh rakyat jelatanya sendiri. Orang yang memegang jawatan ini hendaklah dikekalkan selama-lamanya dengan tidak bertukar ganti.
2.        Sekalian hasil-mahsul yang didapati dalam empat wilayah ini hendaklah dibelanjakan untuknya semata-mata.
3.        Hendaklah kerajaan mengadakan pelajaran bahasa Melayu dalam sekolah-sekolah mukim dalam empat wilayah ini hingga sampai darjah empat.
4.        Pegawai kerajaan dalam empat wilayah ini hendaklah 80 peratus jumlahnya daripada orang-orang  Islam yang diperanakkan dalam wilayah-wilayah ini.
5.        Hendaklah kerajaan menggunakan bahasa Melayu dalam pejabat kerajaan bersama-sama dengan bahasa Siam.
6.        Hendaklah kerajaan membenarkan Majlis Agama Islam mengeluarkan undang-undangnya sendiri yang berkenaan dengan adat istiadat agama Islam dengan persetujuan orang yang berjawatan tinggi itu.
7.        Hendaklah kerajaan mengasingkan mahkamah syariah daripada mahkamah kerajaan yang ada dalam empat wilayah itu dan berkuasa menghukum perbicaraannya dengan bebas.
Gambar : Pintu Kota Cabang Tiga, Patani
Kandungan surat tuntutan ini lebih lanjut lagi mengupaskan peri amalan bahagian daripada pegawai-pegawai Siam tempatan kerap kali menceroboh hak-hak rakyat jelata Melayu sambil dirayukan kepada kerajaan Siam-Thai bahawa tuntutan mereka hari bukanlah bererti hendak memecah dasar perlembagaan kerajaan Siam-Thai malah tuntutan ini adalah dituju pada maksud untuk memperbaiki nasib bangsa dan tanah air mereka dalam masa dunia sedang sibuk merancangkan kepentingan hak dan kemerdekaan bangsa-bangsa yang telah terjajah.
          Tatkala mengupas soal kerakyatan Melayu maka tuntutan itu berkata, “....kami orang-orang  Melayu telah insaf bahawa hakikat yang sebenar kedudukan kami di dalam pemerintahan Siam telah tercabul dan terhina manakala kami telah dipanggil ‘Thai-Islam’ dengan panggilan ini nyatalah soal kerakyatan kami sebagai bangsa Melayu telah tiada diiktiraf oleh kerajaan Siam-Thai. Oleh itu kami atas nama seluruh rakyat jelata Melayu di Patani dengan sebulat suara menuntut hendaklah kerajaan Siam mengutamankan kerakyatan kami sebagai bangsa Melayu yang berugama Islam supaya janganlah selama-lamanya dunia memandangkan kami sebagi Thai-Islam yang sejati.
          Segala tuntutan orang-orang  Melayu itu telah diterima oleh rombongan penyiasat kerajaan Siam-Thai itu dan sanggup hendak menyampaikannya kepada kerajaan di Bangkok.
          Sementara itu dikhabarkan bahawa orang-orang  Melayu dalam wilayah Narathiwat juga bersama-sama mengemukakan tuntutan seumpama itu kepada Rombongan Penyiasat tersebut. Tuntutan dengan menerusi 55 orang ketua-ketua Melayu di sana. Di antara tuntutannya itu ialah pejabat Tetuang Udara Siam di Bangkok hendaklah mengadakan bagaiman siaran dalam bahagian Melayu pada tiap-tiap hari. Pejabat-pejabat kerajaan hendaklah ditutup pada hari Jumaat sebagai hari kelepasan dan juga pada hari kemuliaan agama Islam. Menubuhkan pelejaran cara baharu mengikut bagaimana kemajuan dunia sekarang di bawah anjuran pegawai-pegawai Islam, hasil-mahsul dalam yang didapat dalam empat wilayah hendaklah diutamakan bagi kemakmuran di dalam empat wilayah itu. Dan lain-lain lagi tuntutannya yang mengandungi 13 perkara begitu juga tiada beberapa hari kemudian itu juga, tuntutan dengan menerusi Encik Abdullah bi Muhamad Saad wakil rakyat Wilayah Setul.
          Sekalian tuntutan orang-orang  Melayu itu telah disampaikan kepada kerajaan di Bangkok, tetapi kesudahannya tidak mendapat layanan dari pemerintah Siam-Thai, sebaliknya di antara ahli pemerintah Siam telah berpendapat bahawa tuntutan itu sangat berlawanan dengan dasar Perlembaggan Negara dan tidak harus diberi timbangan.
          Pada 30 Januari 1948 wakil khas Utusan Melayu di Bangkok telah bertanya kepada Timbalan Perdana Menteri Siam, bagaimana sikap pemerintah terhadap tuntutan itu, dia telah menjawab, “bahawa tuntutan-tuntutan itu akan dihalusi dengan saksama dan seberapa dapat tuntutan itu akan dipenuhi.” Ertinya jawapan ini mana-mana tuntutan Melayu itu yang tidak merugikan muslahat pemerintah Siam akan dipenuhi manakala mana-mana yang mengecewakan kepentingannya akan ditolak.
          Setengah ahli-ahli  pemerintah Siam telah mentafsirkan bahawa tuntutan itu ialah suatu pergerakan politik yang salah dalam undang-undang perlembagaan. Dan wajib dijalankan tindakan kerasa ke atas orang-orang  Melayu.
          Dengan perintah Pesuruhjaya Siam Patani maka pada pagi 16 Januari 1948 sepasukan polis Siam yang bersenjata telah datang menangkap  Haji Sulong di rumahnya dan dua hari kemudian telah menangkap Wan Othman Ahmad, Haji Wan Husin dan Wan Muhamad Amin iaitu ketua-ketua Melayu yang menghantar tuntutan orang-orang  Melayu itu atas tuduhannya “menderhaka” kepada kerajaan. Sebulan kemudian Haji Sulong dan rakannya telah dibawa ke Nakorn Sri Thammarat. Dan Mahkamah Siam di sana telah memutuskan perbicaraannya dengan hukuman jel 3 tahun dua bulan kemudian mereka telah dibawa ke Bangkok dan ditahan dalam jel besar “Bang Kuang”.
          Semenjak penangkapan ini, banyaklah orang-orang  Melayu Patani yang dituduh bersubahat dalam pergerakan itu, telah melarikan diri masing-masing berlindung di Malaya. Dan Majlis Agama Islam di Patani telah diharamkan oleh pemerintah dalam tahun inilah juga segala gerak-geri orang-orang  Melayu Patani sentiasa dalam pemerhatian pemerintah Siam. Dan beberapa banyak pula dihantar mata-mata gelap istimewa dari Bangkok ke dalam Patani, Yala, Narathiwat. Bagi menyiasat pergerakan orang-orang  Melayu itu yang telah dituduhnya mengadakan pergerakan politik menentang pemerintah dan menuntut kemerdekaan.
          Soal orang-orang  Melayu itu telah mendapat tempat yang utama dalam perbincangan ahli-ahli  pemerintah Siam selanjutnya soal mereka telah menjadi heboh lagi di Tanah Melayu. Manakala surat-surat khabar Melayu telah berdiri menyertai dan menyokong pergerakan orang-orang  Melayu Melayu di Selatan Siam. Utusan Melayu ialah akhbar kebangsaan Melayu yang utama sekali telah membela dan menyokong cita-cita mereka itu. Suara Utusan Melayu kerap kali mengharu masuk ke dalam lubang telinga ahli-ahli  pemerintah Siam dan suaranya pernah pula bergema di dalam Parlimen Siam tatkala kedudukan orang-orang  Melayu yang menderiata di sebalik tabir besi Siam itu telah dapat dipecahkan.
Gambar : Bekas Kota Jerenga. Wilayah Bangnara.

          Sementara itu golongan akhbar Siam yang memakai faham kolot dan penganut pemerintahnya kerap kali cuab memburukkan cita-cita orang-orang  Melayu itu serta menjahatkan pergerakan mereka. Dan ada pula akhbar-akhbar Siam yang memakai fahaman yang jujur dan menghargakan dasar persuratan akhbar Melayu membayangkan rasa simpatinya kepada orang-orang  Melayu itu.
          Pada 30 Januari 1948 pasukan polis Siam istimewa telah dihantar dari Bangkok ke wilayah-wilayah Melayu itu bagi memperkuatkan kawalan pemerintah atas orang-orang  Melayu yang telah dipercayainya pergerakan mereka akan bertambah besar. Pada 28 April 1948 berlakulah pertempuran hebat di antara seribu orang-orang  Melayu dengan pasukan polis Siam-Thai di kampung Dusun Nyiur dalam wilayah Narathiwat. Polis Siam lebih dahulu yang memulakan serangannya atas orang-orang  Melayu itu kerana dituduhnya orang-orang  Melayu di situ sedang menganjurkan pergerakan melawan pemerintah Siam. Pertempuran telah berlaku selama 36 jam, kemudian orang-orang  Melayu telah mengundur diri ke hutan rimba kerana melanjutkan perjuangan cara gerila, hampir 400 orang-orang  Melayu termasuk orang-orang tua, perempuan dan kanak-kanak kecil telah mati dalam pertempuran ini dan lebih daripada 30 orang polis Siam telah terbunuh.
          Pada 27 April tiga buah kapal terbang pengebom Siam telah melayang di angkasa pertempuran itu mencuba hendak menggugurkan bom atas orang-orang  Melayu. Kapal perang Siam yang sedang berlabuh di Kuala Bangnara telah diperintah mendaratkan tenteranya bagi membantu polis Siam kerana membunuh orang-orang  Melayu itu. Kemudian Kamnan Muhamad, Penggawa Kampung Tanjung Mas dan Mustafa seorang ketua Melayu di Teluban, telah ditangkap oleh polis Siam atas tuduhan bersubahat menganjurkan pergerakan dan keduanya telah dibunuh dengan tidak dibawa bicara di mahkamah.
          Pihak pemerintah Siam telah mencuba hendak menyembunyikan punca-punca yang menyebabkan berlaku pertempuran itu dan menbuat dakyah palsunya kepada dunia mengatakan kejadian itu ialah suatu pertempuran biasa sahaja di antara kaum penjahat dengan pengawal keamanan. Tetapi kebenaran tidak dapat disembunyikan kerana iaitu menjadi bukti yang terang menunjukkan bahawa orang-orang  Melayu itu telah hilang rasa sabar dan lebih mendalam rasa tak puas hati mereka kepada pemerintah Siam-Thai. Dengan terkorban ratusan jiwa orang-orang  Melayu itu telah menjadi suatu peristiwa yang besar sekali dalam sejarah kebangkitan orang-orang  Melayu Patani, menuntut keadilan dan kebebasan.
          Lebih dari itu, pemerintah Siam telah berusaha hendak mengaburkan mata dunia dengan jalan dakyahnya memperkecilkan pergerakan orang-orang  Melayu itu sambil menegaskan bahawa orang-orang  Melayu itu bergerak dengan kerana dihasut dan diupah oleh sebilangan kecil orang-orang  Melayu Patani yang melarikan diri ke Malaya.
          Bagi menentang dakyah pemerintah Siam ini maka pada 6 Februari 1948 dengan menerusi Ketu Jawatankuasa Perwakilan Melayu di Selatan Siam telah menghantar bantahan kepada Perdana Menteri Siam yang mengatakan pergerakan orang-orang  Melayu itu terbit daripada sekumpulan kecil sahaja.
          Ketua Jawatankuasa itu telah menghantar juga bantahannya ke Lake Success New York meminta supaya Majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, mengambil tindakan campur tangan menyiasat ke Siam bagi mengadakan suatu pemilihan suara ramai untuk menentukan kedudukan dan sikap orang-orang  Melayu yang sebenar di selatan Siam itu.
          Salinan dari bantahan ini telah dihantar juga kepada Menteri utusan British dan Amerika di Bangkok kerana menyatakan kedudukan yang sebenar dalam pergerakan orang-orang  Melayu itu. Dalam bantahan ini telah menuntut juga kepada Perdana Menteri Siam membuktikan kepada dunia betul atau tidaknya pendirian kerajaan Siam itu dengan jalan membenarkan langkah mengadakan suara ramai yang diketuai oleh wakil Bangsa-bangsa Bersatu tetapi tidak dengan menghadirkan tentera dan pegawai-pegawai Siam dalam pemilihan raya itu.
          Bantahan ini telah diterima oleh pemerintah Siam di Bangkok. Tetapi tidak diendahkannya pada 8 Disember 1947 pemeberontakan rampas kuasa telah berlaku di Bangkok dan dua kemudian Luang Phibun Songgram bekas ahli jenayah peperangan telah menjadi Perdana Menteri. Pada 29 Januari 1948 kerajaan Phibun Songgram telah mengadakan pemilihan raya bagi mengkhaskan kerajaannya untuk mendapatkan pengakuan negara-negara luar terutama kuasa-kuasa dunia.
          Orang-orang Melayu Patani telah mencuba hendak memulaukan pemilihan raya itu dan tidak mahu memilih wakil-wakil mereka ke Parlimen kerana kedatangan Luang Phibun Songgram kali yang kedua ini tidak sah dalam undang-undang Perlembagaan Negara. Dan meraka tidak mahu mengiktiraf kerajaan Phibun Songgram tetapi percubaan orang-orang  Melayu itu tidak berjaya kerana digerak dan dipaksa oleh polis Siam. Akhirnya Luang Phibun Songgram datang sekali lagi memegang kuasa pemerintah. Kedatangan ini orang-orang  Melayu rasa bergelisah tidak puas hati sebab dalam zaman pemerintahan diktator dahulu, Luang Phibun Songgram telah menjadi musuh besar orang-orang  Melayu.
          Dengan kedatangan Luang Phibun Songgram kali yang kedua ini telah menimbulkan tanda soal yang besar kepada orang-orang  Melayu adakah dia akan menjalankan semula dasar “mensiamkan”orang-orang  Melayu seperti dahulu atau langkah mana pula dia akan berjalan. Tetapi dalam beberapa bulan kemudian dia telah menghidup semula “Dewan kebudayaan” dan mulai beransur-ansur memulihkan undang-undang kebudayaan yang dahulu yang merupakan undang-undang paksa. Suatu perintah telah dikeluarkan mulai dari tahun 1950 maka 13 macam mata pencarian hidup telah diharamkan kepada orang-orang  Cina di dalam Siam dan telah ada ura-uranya akan memaksa orang-orang  Melayu memakai pakaian Barat semula. Hal ini sedang dirasa oleh orang-orang  Melayu.
          Pada 10 Oktober 1949 dengan jemputan kerajaan Siam. Maka sekumpulan wartawan-wartawan Malaya yang diwakili akhbar-akhbar Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil telah dibawa melawat dan meninjau ke dalam wilayah Patani, Yala, Narathiwat bagi memerhati dan menyiasat hal ehwal kedudukan orang-orang  Melayu yang sebenar di selatan Siam. Sepanjang-panjang lawatan mereka itu senantiasa digaul dan diintip oleh polis Siam keadaan mereka samalah seperti orang-orang tawanan. Tujuannya tidak mahu memberi wartawan-wartawan itu dapat berjuma dan bercakap dengan orang-orang  Melayu bagi mendapat kenyataan yang sebenar daripada mereka.
          Walau bagaimanapun ditutup dan disembunyikan oleh pemerintah Siam, akan tetapi kedudukan orang-orang  Melayu di selatan Siam hari ini telah terang kepada mata dunia bahawa mereka selama-lamanya hidup menderita tidak mendapat layanan baik dari pemerintah Siam-Thai. Jikalau dikaji dengan sedalam-dalamnya, bahawa semenjak kejatuhan negeri Patani dalam abad 18 Masehi yang lampau hingga sekarang telah terang bahawa pemerintahan Siam sangat kurang kebolehan dan kecakapannya dlaam hal pemerintahan. Dalam masa begitu lama, tidak ada saatu perubahan yang lebih besar berlaku dalam hal kemajuan negeri Patani yang boleh memberi kebajikan kepada orang-orang  Melayu, perkara kesihatan, pelajaran, perkawalan dan iktisad dalam Patani sangat jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kemajuan dalam negeri rakan-rakannya di Malaya. Langkah pemerintah Siam membiarkan orang-orang  Melayu hidup dalam kemunduruan itu memang memberi keuntungan yang besar kepada dasar mereka tetapi itulah yang menyedihkan hati orang-orang  Melayu. Orang-orang Melayu Patani telah dipaksa menggadaikan negerinya kepada pemerintahan Siam dengan harapannya supaya mereka diberi suatu pimpinan yang baik menuju kepada kemajuan umum sekurang-kurangnya biarlah setimbang dengan pimpinan yang diberikan kepada orang-orang  Siam. Negeri Patani tidaklah begitu miskin, tetapi kaya-raya dengan hasil buminya yang asli, di antaran jajahan-jajahan yang di selatan Siam, maka Patani sebuah jajahan yang berhitung kaya tidak berkehendak menumpang kepada harta orang-orang  Siam dari lain-lain jajahan untuk dibelanjakan bagi kebajikan orang-orang  Melayu itu. Sekiranya dalam masa 60 tahun leboh pemerintah Siam menjajah negeri Patani itu, kalau 50 peratus sahaja dari hasil buminya dibelanjakan bagi kebajikan orang-orang  Melayu, sudah tentu hari ini negeri Patani akan berupa dengan keadaan yang lebih bagus dalam perkara kemajuan sekurang-kurangnya jalan-jalan raya dalam Patani hari ini telah menjadi jalan-jalan untuk kereta-kereta lembu dan bandarnya tentulah tidak menjadi seperti bandar-bandar kaum Sakai di Malaya.
          Dasar demokrasi Siam telah mendakwa hendak memberi persamaan hak kebebasan, memberi pelajaran yang cukup kepada rakyat dan berbagai-bagai rupa dakwa yang indah. Tetapi sudah 17 tahun lamanya demokrasi Siam berjalan, satu bukti tak dapat dipandang oleh orang-orang  Melayu. Memang ada juga kemajuan di zaman demokrasi misalnya bentuk bandar Bangkok hari ini lebih jauh maju dari masa sepuluh tahun yang lalu. Jalan-jalan raya dalamnya telah dibuat dengan batu konkrit, beratus-ratus buah hospital telah didirikan, berpuluh-puluh buah sekolah tinggi telah diadakan, segala segi penghidupan orang-orang  Siam telah diberi layanan dan bermacam-macam lagi pimpinan yagn baik kepada orang-orang  Siam itu. Di Patani demokrasi yang seumpama itu rupanya tidak sampai dan tidak diketahui oleh orang-orang  Melayu dalam Patani, kerana demokrasi Siam itu nampaknya bersetakat dan ada sempadan Cuma di dalam kawasan Bangkok dan jajahan yang di sekelilingnya sahaja. Tegasnya demokrasi Siam-Thai itu untuk orang-orang Siam-Thai, untuk agama Buddha, untuk menindasi orang-orang  Melayu dan mencabul agama Islam. Sungguh aneh demokrasi Siam maka nyatalah demokrasi buatan Siam tidak sesuai dengan orang-orang  Melayu.
          Melihat kepada keadaan dunia hari ini, timbul pula satu tanda soal. Apakah kesudahannya kedudukan orang-orang  Melayu Patani, memadaikah selama-lamanya mereka hidup dnegan merengkok di bawah demokrasi Siam-Thai yang kolot, pada hal sekarang dunia sedang bergerak membina faham demokrasi tulen, dasar agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lake Success, New York, ialah membebaskan bangsa-bangsa yang terjajah. Menanam rasa demokrasi kepada seluruh bangsa supaya reka cipta mesra kepada demokrasi sehingga mereka insaf bertanggungjawab bersama-sama mengawal keamanan dunia. Bilakah orang-orang  Melayu Patani semuanya akan faham demokrasi, insaf kepada nasib mereka, sanggup mereka berjuang berhabis-habisan kerana demokrasi soal-soal ini menjadi kesulitan yang besar kepada ahli-ahli  fikri Melayu Patani hari ini.
          Di antara 100 juta bangsa Melayu dalam dunia, maka orang-orang  Melayu di Patani itulah yang lebih buruk nasib mereka, walaupun orang-orang  Melayu Patani telah lama hidup di dunia demokrasi, tetapi dengan kerana demokrasi Siam-Thai itu ada kelas-kelas dan bersetakat jadilah nasib orang-orang  Melayu itu seperti “pokok kadok tak nak junjung”. Hanya sentiasa merengkok di pangkal junjung.
          Sesungguhnya nasib orang-orang  Melayu Patani tidak harus diletak dalam tangan pemerintah Siam tetapi langkah memperbaiki nasib kedudukan mereka adalah terletak di dalam tangan mereka sendiri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin