Setiap orang perlukan rakan dalam 
    hidupnya.  Hidup tanpa rakan dikatakan seperti kera sumbang.   
    Ada rakan yang hanya sebagai kenalan, kita sekadar beberapa kali 
    sahaja bertemu atau bercakap dengannya.  Ada rakan yang sekadar 
    sahabat biasa, iaitu seseorang yang kita kenal agak lama seperti 
    rakan sekolah, rakan sekerja, rakan sekampung dan sebagainya 
    tetapi tidaklah akrab dengan mereka.  Ada rakan maya, iaitu yang 
    kita kenal melalui laman sembang, internet, telefon dan e-mel. 
    Ada pula rakan karib iaitu seseorang yang kita kenal secara 
    mendalam, tahu hati budinya, tempat kita mengadu dan berbincang, 
    dan orang yang tahu banyak rahsia diri kita.
    
    Apa yang menariknya, ramai orang 
    apabila semakin akrab hubungan persahabatannya maka makin 
    sensitif jadinya.  Malah makin kita ambil mudah dalam menjaga 
    hubungan yang terjalin itu dengan alasan rakan sudah memahami 
    kita.  Kesilapan ini akan membawa kepada retaknya sebuah 
    persahabatan dan ia perlu di atasi segera.
    
    Dalam artikel kali ini saya akan 
    berikan beberapa petua untuk menambat hati rakan dalam pergaulan 
    seharian dan semoga hubungan silaturahim yang sedia terjalin 
    menjadi satu hubungan yang hebat.
    
    Fikir Sebelum Berkata
    
    Sewaktu diperingkat awal kita 
    berkenalan dengan seseorang kita sering berfikir terlebih dahulu 
    apa yang mahu dikatakan agar tidak disalah faham, tidak dianggap 
    kasar dan tidak mengguris perasaan orang lain.  Malangnya, 
    semakin akrab sebuah persahabatan perkara ini dianggap tidak 
    begitu penting.  Kita menjadi sebaliknya iaitu cakap dahulu baru 
    berfikir.   Kesannya, kita telah tanpa niat menyakitkan hati 
    rakan dan yang peliknya kita anggap rakan tidak akan ambil kisah 
    kerana dia sepatutnya telah memahami perangai kita.  Jadi untuk 
    menambat hati rakan dalam pergaulan fikirkan perkara berikut 
    sebelum berkata-kata:
    
Adakah apa yang diperkatakan ini 
    akan menyinggung perasaannya?
    
Adakah masa dan tempatnya sesuai?
    
Apa perkataan-perkataan yang mahu 
    digunakan?
    
Apakah yang mahu dikatakan ini 
    membawa sesuatu kebaikan?
    
Adakah ia penting?
    
Bolehkan keadaan rakan 
    membolehkan dia terima gurauan ini?
    
Ada atau tidak kemungkinan apa 
    yang mahu diperkatakan itu akan disalah erti?
    
    Bukanlah bermakna setiap kali mahu 
    bercakap maka semua perkara di atas mesti difikirkan serentak.  
    Lihatlah keadaannya juga.  Namun kerap kali dengan 
    mempertimbangkan satu atau dua perkara yang disenaraikan di atas 
    itu sebelum bercakap akan menyuburkan sebuah ikatan persahabatan 
    kita.
    
    Mesra Dalam Berkomunikasi
    
    Kajian menunjukkan 55% komunikasi 
    letaknya pada fisiologi iaitu gaya, gerak badan dan mimik muka, 
    38% kesan komunikasi letaknya pada nada suara dan hanya 7% 
    sahaja bergantung kepada fakta.  Oleh itu bagaimana kita 
    menyampaikan sesuatu itu adalah lebih penting daripada apa yang 
    disampaikan.  Jadi beberapa perkara yang mesti dilakukan agar 
    komunikasi antara kita dan rakan sentiasa mesra ialah:
    - 
     Sampaikan dalam senyuman
- 
     Mulakan dengan mencari kebaikan kawan
- 
     Bercakap dengan nada suara yang rendah dan lembut
    Menjadi Pendengar Yang Baik
    
    Hikmah manusia dijadikan dengan 
    dua telinga dan satu mulut ialah agar kita lebih mendengar dari 
    bercakap.  Kerapkali kita gagal memahami apa yang dimaksudkan 
    oleh rakan kerana tidak mendengar dengan baik dan ini membuatkan 
    mereka rasa tidak dihargai.  Sebagai rakan, kita sering 
    dijadikan tempat untuk mengadu.  Bila kawan dalam bermasalah 
    kitalah jadi pendengarnya.  Bila kawan tertekan, kitalah tempat 
    dia melepaskan tekanannya.  Bila kawan dimarahi, kitalah tempat 
    dia minta dipujuk dan disejukkan hatinya.  Oleh itu, peranan 
    kita sebagai pendengar yang baik sangatlah penting.  Untuk 
    menjadi pendengar yang baik, lihat matanya ketika dia bercakap, 
    angguk dan iyakan tanda kita mendengar, tidak memotong cakapnya, 
    ulang kata-katanya tanda kita faham, gunakan seni sentuhan 
    sebagai bukti kita ambil berat, dan memberikan pandangan apabila 
    diminta berbuat demikian.
    
    Memahami Sebelum Difahami
    
    Orang lain tidak kisah apa yang 
    kita tahu sehinggalah mereka tahu yang kita memang ambil 
    kisah.   Maksudnya, orang lain tidak akan pedulikan nasihat, 
    teguran, pandangan, kata-kata dan idea kita sehinggalah mereka 
    sedar bahawa kita sebenarnya ambil berat tentang dirinya.   
    Sebab itulah penting bagi kita sebagai rakan memahami rakan kita 
    dahulu dan mereka akan ambil langkah yang sama kelak untuk 
    memahami kita pula.  Faham sikapnya, tingkah laku dan tabiatnya, 
    hobinya, pantangnya, cara fikirnya dan sebagainya.
    
    Ingat Tarikh Lahirnya
    
    Adakah kita ingat tarikh 
    lahirnya?  Sesiapa juga akan bangga apabila kita ingat tarikh 
    lahirnya dan seterusnya memberikan ucapan kepadanya.  Lebih 
    mesra lagi apabila ucapan disertai dengan kad dan hadiah.  
    Hadiah tidak semestinya mahal sebab yang berharga itu bukan 
    nilainya tetapi mesej disebalik pemberian itu.
    
    Akrab Dengan Keluarganya
    
    Untuk menambat hati rakan maka 
    kenalilah ahli keluarga terdekatnya seperti ibu bapa, isteri, 
    anak-anak dan adik beradiknya.  Lebih akrab lagi apabila kita 
    ingat nama-nama ahli keluarganya ini dan sesekali menziarahi 
    mereka.  Ada ketikanya, apabila masalah timbul maka ahli 
    keluarga terdekat inilah yang akan jadi penasihat tentang 
    hubungan persahabatan kita.  Adalah tidak rugi merapatkan 
    hubungan dengan ahli keluarga sahabat kita sekurang-kurangnya 
    kita tahu latar belakangnya dan dapatlah mengenali diri rakan 
    itu dengan lebih dekat lagi.
    
    Ketepikan Soal Remeh Temeh
    
    Dalam pergaulan bersama 
    rakan-rakan banyak perkara-perkara kecil yang berlaku setiap 
    hari yang sepatutnya tidak perlu disimpan dihati.  Lagi pun 
    tiada siapa pun yang sempurna di dunia ini termasuk diri kita 
    dan rakan kita juga.  Kita akan lebih berjaya menambat hati 
    rakan apabila kita menerima diri rakan itu seadanya.  Iaitu kita 
    bersahabat dengannya kerana kita tahu kelemahan dan kekurangan 
    serta kebaikan dan kekuatan yang ada padanya.   Kalau 
    tindakan-tindakan rakan itu bertitik tolak dari kelemahan 
    dirinya yang kita sedia maklum maka tidak perlulah kita ambil 
    hati sangat.  
    
    Perkara-perkara yang remeh seperti 
    sesekali menggunakan barang kita tanpa izin, terlupa hendah 
    ucapkan terima kasih atas pertolongan kita, terlepas cakap 
    sedikit dan sebagainya lagi adalah lebih baik tidak dikisahkan 
    langsung.  Apatah lagi kalau semua itu berlaku tanpa 
    disengajakan atau tanpa niat.
    
    Tegur Secara Membina Dan 
    Berhemah
    
    Untuk menambat hati rakan kita 
    mestilah bersedia untuk menegurnya untuk kebaikan dirinya 
    sendiri.  Tetapi teguran itu bukanlah bertujuan untuk 
    menjatuhkan maruah, memalukan atau merendah-rendahkannya.  
    Sebaliknya teguran itu dibuat sebagai bukti bahawa kita ambil 
    berat tentang diri rakan tersebut.  Teguran itu mestilah membina 
    dan disampaikan dengar cara yang paling baik hingga tidak 
    menyentuh hati dan perasaan rakan.  
    
    Bersedia Memohon Maaf
    
    Ada ketikanya kita melakukan 
    kesilapan sama ada disengajakan atau tidak.  Kesediaan kita 
    untuk memohon maaf akan mengeratkan lagi perhubungan 
    persahabatan itu.  Memohon maaf bukanlah bererti jatuh ego kita 
    sebaliknya ia membuatkan rakan lebih menghormati kita.  Lama 
    kelamaan rakan akan sedar bahawa kita adalah orang yang tidak 
    hanya mementingkan perasaan dan diri kita sendiri.  Maaf itu 
    pula mestilah disegerakan dan ikhlas datang dari hati.   Setelah 
    permohonan maaf itu dibuat kita pula mestilah sanggup lupakan 
    apa yang telah berlaku dan tidak diungkit-ungkitkan lagi perkara 
    tersebut dimasa-masa yang lain.  
    
    Berikannya “Surprise”
    
    Semua orang sukakan ‘surprise’ 
    begitu juga rakan kita.  Apa salahnya tanpa disangka-sangka kita 
    berikannya hadiah, atau belanjanya makan, atau ajak dia ke 
    tempat yang menarik dan sebagainya.   Semua ini dilakukan tanpa 
    kita mengharapkan apa-apa balasan selain dari usaha untuk 
    menambat hati rakan agar persahabatan yang sedia terjalin 
    semakin akrab.  
    
    Berikan Ucapan Syabas
    
    Apabila rakan kita mendapat suatu 
    kejayaan atau menerima sesuatu anugerah maka berusahalah untuk 
    menjadi antara orang pertama dan terawal mengucapkan syabas 
    kepadanya.  Ucapan ini boleh dibuat sama ada secara berdepan 
    atau melalui telefon, SMS, kad ucapan atau e-mel.  Ada juga yang 
    mengiklankan dalam akhbar ucapan syabas ini agar ia menjadi saat 
    yang tidak dilupakan oleh rakan tersebut.  Jangan pula kita 
    menjadi orang yang cemburu, iri hati dan dengki atas kejayaan 
    rakan kerana sikap sedemikian tidak membawa sebarang kebaikan 
    dalam persahabat itu.
    
    Ziarahi Rakan 
    
    Jadilah juga orang pertama dan 
    terawal yang menziarahinya apabila sahaja kita dengar dia 
    ditimpa musibah atau jatuh sakit.  Ketika inilah rakan 
    memerlukan sahabatnya dan kita perlu ada di sisinya.   Berilah 
    bantuan setakat yang terdaya sama ada dari segi sokongan moral, 
    masa, tenaga, wang ringgit, buah fikiran dan sebagainya.  Tolong 
    uruskan apa yang patut untuknya agar beban yang dirasakan itu 
    terasa berkurangan.  Hari ini hari rakan esok lusa mungkin hari 
    kita pula.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan