Apakah Hukum melakukan onani?
 
 
 
 
 
 
 
 
 
  
  
  
  
 
 
 
 
 
 
 
  
 
  
 
  
 
 
 
  
 
 
  
  
 
 
 
 
 
 
 
 Berikut adalah jawapan yang pernah diberikan oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi :-
 Kadang-kadang
 darah pemuda bergelora, kemudian dia menggunakan tangannya untuk 
mengeluarkan mani supaya alat kelaminnya itu menjadi tenang dan darahnya
 yang bergelora itu menurun. Cara semacam ini sekarang dikenal dengan 
nama onani (bahasa Arabnya: istimta' atau adatus sirriyah).
 Kebanyakan para ulama mengharamkan perbuatan tersebut, di antaranya Imam Malik. Beliau memakai dalil ayat yang berbunyi:
"Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barangsiapa mau selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melewati batas." (Al-Mu'minun: 5-7)
 Sedang orang yang onani adalah melepaskan syahwatnya itu bukan pada tempatnya.
 Sedang
 Ahmad bin Hanbal berpendapat, bahawa mani adalah barang lebihan. Oleh 
karena itu boleh dikeluarkan, seperti memotong daging lebih.
 Pendapat ini diperkuat oleh Ibnu Hazm. Tetapi ulama-ulama Hanafiah memberikan Batas kebolehannya itu dalam dua perkara:
Karena takut berbuat zina.
Karena tidak mampu kawin.
 Pendapat
 Imam Ahmad ini memungkinkan untuk kita ambil dalam keadaan gharizah 
(nafsu syahwat) itu memuncak dan dibimbangkan akan jatuh ke dalam haram.
 Misalnya seorang pemuda yang sedang belajar atau bekerja di tempat lain
 yang jauh dari negerinya, sedang pengaruh-pengaruh di hadapannya 
terlalu kuat dan dia bimbang akan berbuat zina. Karena itu dia tidak 
berdosa menggunakan cara ini (onani) untuk meredakan bergeloranya 
gharizah tersebut dan supaya dia tidak berlaku zina.
 Tetapi yang lebih baik dari itu semua,
 ialah seperti apa yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap 
pemuda yang tidak mampu berkahwin, iaitu kiranya dia memperbanyak puasa,
 dimana puasa itu dapat mendidik beribadah, mengajar bersabar dan 
menguatkan kedekatan untuk bertaqwa dan keyakinan terhadap penyelidikan 
(muraqabah) Allah kepada setiap jiwa seorang mu'min. Untuk itu 
Rasuluilah s.a.w. bersabda sebagai berikut:
 "Hai
 para pemuda! Barangsiapa di antara kamu sudah ada kemampuan, maka 
kahwinlah sebab dia itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara 
kemaluan; tetapi barangsiapa tidak mampu, maka hendaknya ia berpuasa, 
sebab puasa itu baginya merupakan pelindung." (Riwayat Bukhari)
 Dipetik dari kitab al-Halal wal Haram fil Islam
 Terlalu
 banyak persoalan berkenaan onani ini. Kotak email dan ruangan komentar 
di web saya ini juga tidak terlepas dari pertanyaan seumpama ini. Ada 
sebahagiannya terpaksa saya dan admin 'delete' kerana bahasa dan bentuk 
soalannya yang kurang sesuai. 
 Antara soalan-soalannya :- 
 1)      " ...ustaz, saya ada masalah yang menimpa diri saya semalam iaitu saya telah melakukan onani di siang hari bulan ramadhan." 
 2)      "Assalammualaikum... Saya
 sudah berumur 24 tahun, saya sering beronani sebelum ini sehinggakan 
dalam satu hari pernah saya buat perkara keji ini sampai 3 kali oleh 
sebab terasa ghairah melihat perempuan yang seksi.  
 3)      "Saya
 tidak dapat menahan lalu saya melihat gambar porno untuk memuaskan 
nafsu saya dengan cara beronani. Dan ini pernah berlaku pada siang hari 
di bulan ramadhan.apa yang saya perlu buat dan apakah hukumnya serta 
hukumannya." 
 4)      "Saya
 juga ada masalah pasal onani ni oleh kerana terlalu menyesal dah 
perbuatan saya, saya telah bernazar untuk berpuasa 1 hari bagi setiap 
kali saya beronani." 
 5)      "Salam..ustaz
 adakah beronani perlu mandi wajib? apa bezanya air mazi dan mani?adakah
 kedua2 tu ada pada perempuan? harap ustaz dapat jelaskan.terima kasih" 
 6)      "Salam,
 saya sudah berkahwin tetapi tinggal berjauhan dengan isteri..kadang 
kala apabila teringatkan isteri saya, saya merasa ghairah dan kadang 
kala sehingga melakukan onani..apakah hukumnya?"
 
  
 Sebeban Alasan 
 Dalam
 masa yang sama, adakalanya terlalu banyak pula alasan dan sebab yang 
diberikan oleh si penanya dengan harapan saya atau mana-mana individu 
yang ditanya akan mengatakan harus baginya. 
 "Seolah-olah
 ingin menjadikan kita sebagai jambatannya 'ke neraka', then kat akhirat
 dok tuding jari kepada kita" kata seorang rakan saya yang juga seorang 
penceramah aktif di Lembah Klang. 
 Selain
 hukum khas bagi perbuatan tidak sihat ini. Lebih dari itu, kebanjiran 
soalan-soalan sebegini menyebabkan saya menjadi semakin bimbang dengan 
keadaan umat Islam di Malaysia terutamanya. 
 Virus Bermula 
 Ia
 secara langsung menunjukkan umat Islam samada lelaki dan wanita sedang 
menghidap sindrom lemah kawalan nafsu syahwat seksual terhadap perkara 
nafsu syahwat yang haram. 
 Melayani
 syahwat dengan cara haram adalah salah satu punca kehancuran kemanisan 
solat, tanpa kemanisan solat, runtuhlah 'tiang agama' dalam diri 
seseorang, tatkala itu nafsu kebinatangan dan syaitan akan mula 
menguasai sehingga lahirlah manusia binatang seperti pembunuh Nurin 
Jazlin dan lain-lain. 
 Terdapat hadis yang mengingatkan melayani syahwat mata kepada yang haram sahaja akan menghancurkan kelazatan dan kemanisan iman.
 ما من مسلم ينظر إلى محاسن امرأة ثم يغض بصره إلا أخلف الله له عبادة يجد حلاوتها
 Ertinya
 : Tiada seorang Muslim pun yang melihat kepada kecantikan wanita 
(aurat) kemudian ia mengalih pandangan matanya kecuali Allah s.w.t  akan
 memberikan kepadanya kemanisan dalam ibadahnya (Riwayat Ahmad & 
At-Tabrani , Ibn kathir, 3/283, Ibn Kathir & Al-Munziri : Dhoif dan 
Ibn Kathir berkata , boleh diguna dalam hal galakkan) 
 Juga disebut dalam sebuah athar :
 النظر سهم مسموم من سهام إبليس
 Ertinya : "Pandangan mata adalah panah beracun dari panahan Iblis" ( Mirqatul Mafatih, 1/255; Ruhul Ma'ani, 22/7) 
 Malah ia juga bakal merosakkan hati :- 
 كل عين باكيه يوم القيامه الا عينان عين غضت عن محارم الله
 Ertinya
 : Setiap mata akan menangis di hari kiamat kecuali mata yang dilindungi
 (berpaling) dari perkara yang diharamkan Allah s.w.t" ( at-taysir bi 
Syarhi al-Jami' as-Soghir, 2/216 : Hadis Hasan) 
 Ketahuilah
 saudara-saudariku, melayani onani merupakan permulaan kehancuran hati 
seseorang. Merupakan salah satu permulaan kepada zina. 
 Ia sering diwarwarkan kononnya sebagai penyelamat dari zina, hakikatnya ia juga merupakan pintu mula kepada zina. 
 Ia
 adalah pintu mula seseorang berjinak dengan melayani nafsu syahwat 
seksual mereka tanpa menurut arahan Allah dan RasulNya. Nafsu yang tidak
 dikawal ini adalah sentiasa meminta lebih dan lagi, akhirnya akan 
menjerumus kepada menonton gambar pornografi, video, mengintai dan 
ditamatkan dengan zina yang tiada had kepuasannya. Memang itu sifat 
nafsu syahwat samada seksual ataupuan harta. Sekali ia dilayan, tiada 
lagi pintu puas. 
 Sebagaimana hadis yang telah saya bawakan dahulu iaitu :-
 لو كان لابن آدَمَ وَادِيَانِ من مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا ولا يَمْلَأُ جَوْفَ بن آدَمَ إلا التُّرَابُ 
 Ertinya
 : Sekrianya anak Adam itu punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya 
sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan 
diperutnya tanah (mati)( Riwayat al-Bukhari , 5/2364 ) 
 Demikian
 juga perihalnya dengan nafsu syahwat seksual. Ia merupakan satu 
penyakit dalaman yang serius. Saya cuba memperkemaskan huraian berkenaan
 onani walaupun jawapan Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi terhadap masalah 
Onani yang telah saya siarkan di web ini. 
 Kesimpulan pandangan terkuat oleh pelbagai kumpulan ulama mendapati bahawa hukum Onani adalah : - 
 1) satu perbuatan yang haram, tetapi ia bukanlah satu jenis dosa besar seperti zina, rasuah, riba, membunuh dan sebagainya. 
 Ia dianggap melepaskan nafsu bukan pada tempatnya, ia adalah ditegah oleh Allah s.w.t :-
 وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ 
أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ 
ابْتَغَى وَرَاء ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ
 Ertinya
 :  "dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap 
istri-istri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki; maka 
sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela; Barang siapa mencari 
yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. (
 Al-Mukminun : 5-7) 
 Allah menyifatkan orang yang memuaskan nafsunya dengan cara selain dengan isteri atau suami yang sah sebagai :- 
- a) Malumin : Ertinya : "tercela"
- b) Al-'adun : Ertinya : " orang-orang yang melampaui batas"
 2) Hukum dosa ini sememangnya boleh berubah menjadi tidak berdosa sekiranya ia dilakukan dalam keadaan dharurat iaitu di ketika tanpa melakukan seseorang akan PASTI terjerumus dalam kancah zina. 
 Perlu diingat dharurat di sini hanya adalah di ketika 'pasti akan terjerumus'
 iaitu tatkala kemudaratan zina itu benar-benar BOLEH BERLAKU seperti ia
 telah tahu di mana boleh mendapatkan pelacur, bohsia atau teman 
wanitanya, punyai tempat yang strategik untuk maksiat dan lain-lain. 
 Maksud
 saya, jika sekadar ia rasa ingin berzina sahaja tetapi ia tidak punyai 
teman wanita, ia tidak pernah tahu di mana mahu melanggani pelacur, atau
 kesimpulan tiada mempunyai idea sebenarnya bagaimana ingin 
merealisasikan niat jahat berzinanya, disamping masih tidak yakin ia 
boleh terjerumus ke lembah sehina itu. Hukum keringanan (rukhsah) 
sementara akibat terdesak dan bagi mengelak zina yang disebutkan oleh 
sebahagian ulama itu TIDAK boleh dipakai sewenang-wenangnya. 
 3) Hukum dosa ini boleh menjadi bertambah besar apabila ia menjadi tabiat dan amalan kebiasaan disebabkan tindakannya sendiri
 seperti menjadi kegemarannya untuk melihat gambar dan video lucah. 
Akibat dari tindakannya itu, ia terdorong ingin berzina lalu beronani. 
Tatkala itu, tindakan onaninya bukan lagi terdesak tetapi dirinya 
sendiri yang sengaja mendorong kepada terdesak itu. 
 Ia
 berbeza dengan seseorang yang terangsang syahwat akibat ternampak dan 
sukar mengelakkan pandangan matanya dari permandangan kurang elok di 
tempat kerja atau dalam perjalanannya ke tempat kerja dan pulang. 
 4) Hukum
 dosa atau haram melakukan onani bagi lelaki dan wanita juga menjadi 
bertambah serius apabila dapat disahkan perbuatan onani tadi mempunyai 
kesan negatif kepada kesihatan.  
 Bagi menguatkan fatwa hukum, kenyataan doktor sakit tuan, Dr.Ismail Thamby boleh dijadikan panduan fakta iaitu :- 
 1) kesan buruk kepada kehidupan seksual apabila berumahtangga 
 Beliau menyebut :- 
 Jika
 anda lakukan onani secara luar biasa seperti melakukan rangsangan 
seksual secara kasar dan kuat untuk mengecapi klimaks, mungkin apabila 
beristeri, anda akan mendapati bersetubuh dengannya tidak memberi 
kepuasan seperti anda kecapi secara onani. 
 Masalah
 ini dikenali sebagai ‘Traumatic Masturbatory Syndrome'. Yang 
menimbulkan masalah ialah onani mengakibatkan klimaks anda berlaku 
dengan cepat, yang jika berterusan dan diamalkan akan mengakibatkan anda
 tidak dapat bertahan lama apabila mengadakan hubungan seksual sebenar. 
 2) Tahap kesihatan kemaluan boleh terjejas hingga Mati Pucuk 
 Beliau menyebut :- 
 Selain
 itu, jika agak ganas dengan cara merangsang anggota sulit anda sehingga
 mengakibatkan anggota itu sakit dan bengkak, kemungkinan satu hari anda
 akan mengalami mati pucuk apabila kerosakan lama menunjukkan kesannya. 
 Ini
 kerana anggota sulit adalah organ vaskular dan tidak boleh diurut atau 
dirangsang dengan keras. Ia hanya sesuai untuk dirangsang melalui salur 
faraj perempuan. 
 3) Boleh Mandul kerana kerosakan buah zakar lelaki 
 Beliau berkata : 
 Namun,
 saya ingin mengingatkan yang kerosakan buah zakar boleh berlaku pada 
bila-bila masa ketika melakukan onani, dan jika ia berlaku dan 
menjejaskan kilang sperma, sudah tentu anda akan mandul kerana sperma 
tidak lagi dihasilkan ‘kilang'. 
 Sebagai
 contoh, anda melakukan onani dalam keadaan tidak terkawal seperti 
pengaruh alkohol, menyebabkan tidak tahu atau sedar ketika itu anda 
teragut buah zakar atau mencederakan buah zakar. 
 Anda
 hanya menyedari selepas beberapa lama yang buah zakar anda menjadi 
semakin kecil atau bengkak, dan jika kilang sperma terjejas, anda akan 
menjadi mandul. 
 Sudah
 tentu perkara yang menyeronokkan sukar untuk dihentikan, kecuali 
berlaku sesuatu perkara yang memudaratkan seperti keradangan buah zakar,
 kecederaan zakar seperti kebengkakan zakar. 
 Bagaimanapun,
 ia sudah terlewat jika tiada cara perawatannya. Mungkin jika zakar 
terkulai, bengkok atau patah, ada cara rawatan seperti pemulihan dengan 
pembedahan atau penggunaan alat pemulih. 
 Namun,
 jika kilang sudah rosak dan buah zakar mengecil, tiada penawarnya. Jadi
 cuba kurangkan amalan onani, terutama secara kasar. Anda perlu ingat, 
anda hanya ada satu zakar, bukan sepasang. Jika zakar itu tidak berguna,
 hidup anda merana selama-lamanya! 
 Penutup 
 Sebagai akhirnya, antara fungsi Ramadhan adalah mendidik hati dan diri agar mampu mengawal nafsu berikut :- 
- 1) Nafsu marah apabila Nabi menegah kita dari melayani ajakan pergaduhan semasa berpuasa.
- 2) Nafsu makan dan minum. Apabila kita di tegah makan dan minum di siang hari.
- 3) Nafsu tidur. Apabila kita dianjurkan untuk bangun sahur.
- 4) Nafsu Syahwat. Apabila kita diarahkan untuk elakkan ‘bersama' isteri di siang hari Ramadhan.
 Amat
 diharapkan Ramadhan yang baru berlalu dapat menghasilkan kemampuan 
kekangan segala nafsu melampau dalam hal yang disebut di atas. 
 Teringat saya kepada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Prof. Dr Sano Qutoub Mustafa ( Prof Syariah di UIAM ) pada 19 Oktober yang lalu. Beliau mengatakan 
 "jika keadaan
 iman dan amalan anda selepas Ramadhan adalah sama atau lebih teruk dari
 sebelumnya, ia adalah tanda anda tidak mendapat keampunan Allah pada 
bulan Ramadhan yang lalu"  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan