Kriteria permulaan remaja ialah pencapaian kematangan seksual atau akil
baligh iaitu masa dalam hidup individu apabila organ pembiakan mula
berfungsi dan individu tersebut sudah berupaya melahirkan zuriat (Rahil
Mahyuddin, Marina Chong Abdullah & Habibah Elias, (2000). Kehidupan
remaja berkait rapat dengan perkembangan seksualiti di mana zaman remaja
merupakan zaman eksplorasi dan eksperimentasi, fantasi dan realiti seksualiti (Santrock, 2000). Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa isu kesihatan seksualiti
remaja telah menjadi isu yang diberi perhatian di Asia berdasarkan
trend demografi di Asia iaitu jurang yamg makin luas antara kematangan
seksual dengan umur perkahwinan dan kadar penggunaan kontraseptif yang
rendah semasa remaja ( Gubhaju, 2002).
Menurut Gubhaju (2002), terdapat beberapa faktor
yang menyumbang kepada masalah tingkah laku seksual di kalangan remaja.
Faktor pertama ialah peluang mendapatkan maklumat berkaitan seksualiti
yang terhad menyebabkan mereka kurang pengetahuan dan tidak mengetahui
sama ada maklumat yang diperolehi adalah tepat atau tidak. Maklumat
berkaitan seksualiti yang betul bagi golongan remaja amat penting untuk
mengelakkan berlakunya masalah-masalah seperti
hubungan seks sebelum kahwin, kehamilan dan penyakit kelamin. Faktor
kedua ialah tekanan daripada rakan sebaya kerana rakan sebaya memainkan
peranan sebagai sumber maklumat utama berkaitan seksualiti.
Walaupun ibu bapa dilihat sebagai sumber utama dalam menyampaikan
maklumat berkaitan seksualiti tetapi mereka agak tertutup dalam
membincangkan isu ini. Faktor ketiga ialah terhadnya perkhidmatan
berkaitan kesihatan seksualiti yang disediakan khas untuk golongan
remaja. Kebanyakan golongan ibubapa dan pembuat polisi bimbang dengan
maklumat yang diberikan akan menggalakkan remaja terlibat dalam hubungan
seks sebelum kahwin. Tetapi menurut Gubhaju (2002), tinjauan ke atas
program pendidikan seks ke atas beberapa negara menunjukkan pendidikan
seks tidak menggalakkan aktiviti seksual bahkan dapat melewatkan umur
mula mengadakan hubungan seks dan menjurus kepada tingkah laku yang
lebih bertanggungjawab terhadap seksualiti.
Dengan maklumat yang
terbatas dan perkembangan emosi yang masih belum kukuh, remaja sudah
dihadapkan pula pada berbagai godaan seperti filem-filem Barat yang
menawarkan nilai-nilai yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai
budaya Timur. Akibatnya remaja mungkin akan terjerumus dengan tingkah
laku yang menyalahi nilai agama dan budaya. Perkembangan teknologi masa
kini pula secara tidak langsung memperluaskan peluang remaja memperolehi
bahan-bahan lucah di mana menurut Ahmad Rizal (2005) pada era teknologi
maklumat kini menyaksikan seks menjadi bidang
yang amat popular di kalangan pengguna internet . Mereka yang melayari
internet terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk remaja. Ini kerana
capaian ke laman web berkaitan seks amat mudah dan pantas. Hal ini
menjadi serius bila banyak masalah sosial wujud akibat pengaruh laman
web berunsurkan seks. Bagi memastikan anak-anak ini tidak terikut-ikut
dengan gaya
hidup seks bebas seperti yang dipertontonkan, maka pendidikan seks
adalah perlu untuk memastikan anak-anak ini mendapat mesej yang positif
dan maklumat yang betul tentang seks.
Menurut Tepper (2001)
remaja berkeperluan khas mempunyai perasaan, keperluan dan naluri sama
seperti remaja yang normal. Mereka turut melalui proses yang sama dalam
perkembangan seksualiti. Dalam proses mencapai akil baligh tubuh badan
mengalami beberapa perubahan yang disebabkan oleh perubahan hormon.
Perubahan ini dialami oleh remaja secara sejagat dengan kadar yang
berbeza bagi setiap individu. Bagi golongan remaja bermasalah
pembelajaran keupayaan mental mereka lebih rendah dari umur kronologi di
mana walaupun fizikalnya menunjukkan ciri-ciri remaja tetapi
pemikirannya masih seperti kanak-kanak. Dalam hal ini pendidikan seks
adalah perlu bagi membimbing remaja bermasalah pembelajaran dalam
menangani masalah seksualiti mereka dengan cara yang positif dan bukan semata-mata memenuhi tuntutan naluri.
Menurut Jawatankuasa
Belia International Planned Parenthood Federation, IPPF dalam
Persekutuan Persatuan- persatuan Perancangan Keluarga Malaysia (2003)
semua orang muda di seluruh dunia tanpa mengira jantina, agama, warna
kulit, orientasi seksual atau keupayaan mental dan fizikal mempunyai
hak-hak berkaitan kesejahteraan seksualiti. Berdasarkan kepada
pernyataan hak-hak tersebut menunjukkan golongan remaja sama ada
golongan normal atau golongan berkeperluan khas mempunyai hak untuk
mendapat maklumat yang sewajarnya berkaitan pendidikan seks. Walaupun
mempunyai hak-hak seperti dinyatakan dalam pernyataan tersebut sebagai
seorang individu yang hidup dalam masyarakat beberapa pernyataan hak
tersebut perlu disemak dan diselaraskan mengikut perspektif agama,
budaya dan sosio politik negara Malaysia.
Walaupun golongan remaja adalah golongan yang mewakili nisbah yang besar
dalam populasi dunia, keperluan seksualiti mereka sering diabaikan
(Warwick & Aggelton, 2002). Menurut mereka lagi walaupun ada
perkhidmatan kesihatan seksual yang disediakan, remaja sukar mengakses
perkhidmatan tersebut kerana tidak digalakkan oleh ibu bapa atau para
profesional yang terlibat. Sebenarnya
ibu bapa dan orang dewasa perlu memahami pemikiran dan perasaan remaja
dan belia dengan mengamalkan komunikasi secara terbuka, menjadi rakan
yang sanggup melayan masalah remaja, menghormati idea dan paling penting
memberikan bimbingan mengikut kepercayaan, budaya dan agama.
Pendidikan yang diterima
di sekolah secara formal menjadi alat yang penting untuk menyiapkan diri
remaja menghadapi masa depan tetapi bila menyentuh hal seksualiti,
remaja didapati amat kurang atau tidak berinformasi mengenainya. Isu
pendidikan seks juga masih tidak dapat diterima sepenuhnya oleh
masyarakat di mana masih timbul keraguan dalam melaksanakannya. Ada
pihak yang masih berpandangan sempit dalam hal pendidikan seks. Bahkan
ada di kalangan guru sendiri yang mempersoalkan wajarkah pendidikan seks
dimulakan seawal umur 4 tahun. Justeru itu pembentukan
kurikulum dan modul pendidikan seks perlu melibatkan semua pihak agar
kefahaman mengenainya dapat disebarkan dan dapat mengelakkan tanggapan
negatif mengenainya.
2.0 Pendidikan seks
Pendidikan seks adalah
proses memberi pengajaran, kesedaran dan penerangan tentang
masalah-masalah seksual kepada anak bermula dari masa anak tersebut
memahami tentang masalah berkenaan seks, naluri perkahwinan sehinggalah
mereka dewasa serta dapat memahami urusan kehidupan serta memahami
persoalan-persoalan yang dihalalkan dan yang diharamkan dalam Islam
(Abdullah Nasih Ulwan, 2002). Menurut pandangan Islam manusia yang
dilahirkan di dunia ini telah dibekali dengan berbagai fitrah termasuk
fitrah seks (Hanafi Mohamed, 1994). Fitrah manusia terhadap seks adalah
salah satu fitrah yang terpendam yang ada dalam diri manusia yang dibawa
sejak lahir. Seks dikenali sebagai nafsu syahwat iaitu suatu kekuatan
pendorong hidup yang dimiliki oleh manusia secara fitrah dan ianya
merupakan kekuatan naluri yang paling dominan. Ini dapat dilihat dalam
Al- Quran yang telah menjelaskan bahawa keinginan utama dan pertama
seseorang manusia lelaki adalah wanita. Kenyataan ini disokong oleh firman Allah yang bermaksud seperti berikut:
“ Dihiaskan kepada manusia mencintai syahwat(keinginan nafsu) seperti wanita-wanita,
anak-anak dan harta-benda yang banyak dari emas, perak, kuda yang
bagus, binatang ternakan dan tanam-tanaman. Demikian itulah kesukaan
hidup di dunia dan di sisi Allah tempat yang sebaik-baiknya.”
( Ali-Imran: 14 )
Secara fitrahnya
naluri seks manusia berkembang dalam usia tertentu iaitu bagi lelaki
naluri seksnya timbul dalam lingkungan umur 16 tahun manakala perempuan
pula dalam lingkungan 12 tahun. Ini menunjukkan dalam hayat manusia, dorongan seksual memuncak pada peringkat zaman remaja. Kejahilan umat
manusia melestarikan keinginan dan keperluan seksual akan menimbulkan
berbagai gejala yang menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam
seperti hubungan seks sebelum kahwin, pelacuran, kehamilan luar nikah
dan lain-lain lagi. Justeru itu dalam hal ini pendidikan seks kepada
golongan remaja amat penting untuk membimbing mereka ke jalan yang betul
menurut syariaat agama Islam. Islam memandang pendidikan seks secara
universal di mana pendidikan seks adalah sebahagian daripada pendidikan
akhlak iaitu mendidik manusia supaya mematuhi segala perintah dan
sebaliknya menjauhi larangan Allah. Jelas di sini Islam mementingkan
pendidikan seks kepada anak-anak agar mereka dapat membina peribadi
sebagai insan yang mulia dan mengelakkan penyelewengan dalam hal-hal
berkaitan seks. Pandangan Islam ini adalah universal di mana ia adalah
sejajar dengan pandangan agama-agama lain tentang pendidikan seks.
Pengetahuan mengenai akil
baligh dan perkembangan seksualiti adalah penting untuk kesejahteraan
dan perkembangan remaja secara positif dan sihat. Menurut Winn, Roker
dan Coleman, (1998) terdapat empat kepentingan pengetahuan berkaitan seksualiti di kalangan remaja iaitu:
i. pengetahuan amat penting untuk penyesuaian psikologikal semasa remaja kerana mengetahui perubahan yang terjadi pada tubuh badan sendiri membolehkan remaja membuat penyesuaian diri.
ii. Pengetahuan adalah
menjadi pra-syarat untuk tingkah laku yang selamat di mana remaja patut
tahu cara melindungi diri daripada sebarang ancaman.
iii. Memahami apa yang
diketahui oleh remaja tentang akil baligh dan perkembangan seksual amat
penting untuk merekabentuk dan menilai program pendidikan seks di
sekolah.
iv. Pengetahuan penting kerana ia membolehkan remaja mengetahui apa yang berlaku dalam dunia seksualiti remaja.
Pendidikan seks perlu didedahkan kepada anak atau murid bagi memperlihatkan nilai akhlak yang terkandung
di dalamnya dan institusi yang boleh menerapkan nilai ini adalah
keluarga dan sekolah (Raja Yusoff Ariffin, 2005). Justeru itu ibu bapa
dan guru memainkan peranan
penting sebagai agen penyampai maklumat kepada anak atau murid. Setiap
ibu bapa dan guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan
seksualiti agar mereka lebih yakin dan bersedia dalam menjalankan tugas
mendidik.
Menurut Haffner (1992),
pendidikan seks telah mula wujud pada tahun 1880- an di Amerika Syarikat
. Sekitar tahun 1900-an antara aspek pendidikan seks yang diperkenalkan
ialah kepentingan kebersihan seksual dan persediaan untuk perkahwinan
dan menjadi ibu bapa.
Seterusnya pada sekitar tahun 1919 pengajaran dan pembelajaran
pendidikan seks telah dimulakan di sekolah-sekolah. US Public Health
Services melabelkan pendidikan seks untuk sekolah sebagai suatu
keperluan yang mendesak dan pada tahun 1953 American Medical Association
dan American Education Association menerbitkan lima risalah dalam siri pendidikan seks. Tahun
1980 an dunia dikejutkan dengan sindrom kurang daya tahan penyakit
(AIDS) menyebabkan keperluan terhadap pendidikan seks semakin meningkat. Pada
ketika ini negara-negara Barat seperti Amerika dan United Kingdom telah
menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan seks secara
formal bermula dari peringkat sekolah rendah.
The Planned Parenthood
Federation of America (PPFA) telah menggesa pendidikan seks dijalankan
di sekolah sejak tahun 1970. Pada tahun 1986
kenyataan dikeluarkan oleh presiden persatuan tersebut supaya
pendidikan seks dijalankan bermula dari peringkat tadika
(lizditz.typepad.com, 2006). Di Britain pula satu forum diadakan di mana
hasilnya ibu bapa, guru dan pekerja kesihatan mahu murid-murid menerima
pendidikan seks yang berkesan di sekolah dengan mencakupi aspek nilai
moral dan kepercayaan (BBC News, 2006). Pendidikan seks diwajibkan
sebagai sebahagian daripada PSE iaitu Personal and Social Education
dalam kurikulum kebangsaan Britain. Subjek pendidikan seks di Singapura
juga telah dijalankan secara formal di sekolah sebagai satu subjek
berasingan. Bagi murid Islam di
Singapura yang mengikuti pendidikan agama di masjid atau pusat swasta ,
mereka mendapat sebuah buku teks pendidikan seks yang dikategorikan
sebagai X-rated . Buku ini digubal sebagai sebagai satu bahagian dalam kurikulum sekolah agama (www.adnki.com, 2006).
Tinjauan yang dijalankan
melalui internet pada tahun 2005 ke atas 317,000 responden daripada 41
buah negara menunjukkan kebanyakan orang mahu pendidikan seks dimulakan
pada umur 11.7 tahun dan umur purata orang mula menerima pendidikan seks
ialah 13.2 tahun (Durex, 2006). Menurut tinjauan itu responden Malaysia
adalah yang ke empat dari 41 negara yang paling lewat menerima
pendidikan seks iaitu pada usia 14.9 tahun. Tinjauan bagi cara-cara
untuk meningkatkan kesedaran tentang seks menunjukkan responden
Malaysia mahukan kerajaan melaburkan wang untuk pendidikan seks (31 %),
bahan pengajaran disediakan di sekolah (36 %) dan perbincangan tentang
seks yang selamat (22 %). Berdasarkan tinjauan ini penulis berpendapat
rakyat Malaysia mahukan pendidikan tentang seksualiti dan pendidikan
seks dijalankan di sekolah.
Kurikulum dan modul
pendidikan seks yang khusus untuk murid bermasalah pembelajaran perlu
disediakan bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran
pendidikan seks. Mendidik dan berbincang tentang seksualiti anak-anak
remaja yang normal adalah sukar kerana ibu bapa mungkin kurang arif
dalam aspek bahasa yang patut digunakan atau alat bantu mengajar dan
sumber yang mana sesuai digunakan. Apatah lagi bila berhadapan dengan
anak-anak bermasalah pembelajaran. Begitu juga bagi guru-guru kerana
mendidik murid bermasalah pembelajaran adalah sangat mencabar. Menurut
Hallahan dan Kauffman (1986), guru-guru ini mesti ada kemahiran dalam
bidang pengajaran seperti strategi pengajaran untuk murid yang terdiri
daripada pelbagai jenis ketidakupayaan, pengurusan tingkah laku murid,
penggunaan teknologi dan juga pengetahuan tentang undang-undang murid
berkeperluan khas.
2.1 Pendidikan seks dan di Malaysia
Pendidikan seks di
Malaysia setakat ini telah dijalankan secara merentasi kurikulum dalam
beberapa matapelajaran. Buat masa ini belum ada kurikulum atau modul
pendidikan seks yang khas disediakan sebagai panduan guru-guru. Namun
begitu dalam mata matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
terdapat banyak aspek pendidikan seks yang diterapkan seperti isu
perkahwinan, peranan dan tanggungjawab dalam keluarga, isu-isu remaja
seperti pembuangan bayi, isu-isu kekeluargaan, seks abnormal, penyakit
kelamin dan lain-lain.
Pada tahun 2003,
Persekutuan Persatuan-Persatuan Perancang Keluarga Malaysia telah
menyediakan Modul Kesihatan Reproduktif Remaja dengan dibiayai oleh
United Nation Population Fund (UNFPA). Kementerian
Pendidikan Malaysia turut menyokong modul ini yang digunakan untuk
memantapkan Program Pendidikan Kesihatan Keluarga. Modul ini disediakan
khusus untuk golongan pendidik dan jurulatih termasuk pendidik rakan
sebaya di Persatuan-Persatuan Perancangan Keluarga Negeri dan
agensi-agensi kerajaan serta bukan kerajaan yang terlibat menggalakkan
kesihatan, tumbesaran dan perkembangan positif remaja. Modul ini terdiri
daripada dua komponen iaitu Manual Jurulatih dan panduan jurulatih.
Modul Kesihatan Reprodudktif Remaja ini didapati tidak meliputi
perspektif Islam termasuk pengaruh yang khusus dalam akil baligh dan
tumbesaran, pendidikan seksualiti serta larangan pengamalan seks sebelum
perkahwinan.
Senario di Malaysia
menunjukkan bahawa golongan remaja bukan sahaja terlibat dalam gejala
sosial malah turut terdedah kepada penganiayaan seksual di mana mengikut
perangkaan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005 menunjukkan dari tahun
2000 hingga 2004 terdapat sejumlah 11, 596 kes rogol di mana mangsa
rogol kebanyakannya iaitu lebih 50 peratus adalah gadis di bawah umur
enam belas tahun. Kes sumbang mahram juga semakin meningkat dari tahun
2000 hingga tahun 2004 iaitu berjumlah 1353 kes. Kebanyakan mangsa dalam
kes ini adalah yang berumur awal remaja. Pada saat ia terjadi mereka
tidak menyedari atau tahu itu ialah satu kesalahan yang dinamakan
sumbang mahram. Akibatnya ada yang mendiamkan diri dan berusaha
melupakankannya, namun lazimnya insiden sumbang mahram ini akan berulang
(Siti Zubaidah Ismail & Muhamad Zahiri Awang Mat, 2005).
Menurut Lee dalam Gubhaju
(2002), dapatan kajian ke atas remaja di Malaysia yang berumur antara
13 hingga 19 tahun menunjukkan bahawa 40 % responden telah mula keluar
berpacaran dengan pasangan pada seawal umur 13 tahun. Pada umur 18
tahun, 84 % sudah mula berpegangan tangan, 85 % bercium dan mencium
leher dan 83 % meraba. Manakala dalam tinjauan ke atas isirumah, 1 %
mengaku telah mengadakan hubungan seks sementara dalam tinjauan media
mendapati 24 % telah mengadakan hubungan seks di mana 18.4 % daripadanya
mula mengadakan hubungan seks semasa berumur antara 15 hingga 18 tahun.
Menurutnya lagi dalam satu kajian lain didapati 45 % responden berumur
15 hingga 21 tahun telah mula keluar berdua-duaan dan 9% dilaporkan
telah mengadakan hubungan seks sebelum kahwin.
Kajian yang dijalankan
oleh Lembaga Penduduk Dan Perancang Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan
80 % remaja berumur 13 hingga 18 tahun telah terdedah kepada bahan lucah
. Sebanyak 50% remaja berumur antara 13 hingga 15 tahun mengaku telah
membaca buku lucah dan 44 % lagi mengaku telah melihat bahan lucah
seperti majalah dan menonton video lucah (Utusan Malaysia, 1996). Seks
merupakan bidang yang amat popular di kalangan pengguna internet (Ahmad
Rizal, 2005). Mereka yang melayari internet terdiri daripada pelbagai
peringkat umur termasuk remaja. Ini kerana
capaian ke laman web berkaitan seks amat mudah dan pantas. Hal ini
menjadi serius bila banyak masalah sosial wujud akibat pengaruh laman
web berunsurkan seks.
Seksualiti adalah suatu perkara yang integral dan merupakan bahagian pengalaman semulajadi manusia di mana ianya bermula sejak lahir hingga ke hari tua seseorang. Seksualiti bukan hanya sekadar membicarakan hal-hal tentang hubungan seks sahaja. Ia merangkumi
aspek yang lebih luas seperti perkembangan fizikal dan akil baligh,
perkembangan emosi, perhubungan dengan rakan berlainan jantina,
keintiman dan perasaan kasih sayang serta lain-lain lagi. Bagi ibu bapa
yang mempunyai anak-anak istimewa persoalan mengenai seksualiti
anak-anak menjadi suatu cabaran yang besar. Ramai ibu bapa atau penjaga
bimbang mengenai keselamatan anak kurang upaya kerana mereka lebih
berisiko menghadapi penganiayaan seksual. Anak-anak ini juga akan
mengalami perubahan fizikal dalam mencapai akil baligh. Pengetahuan
mengenai seksualiti dapat membantu dalam memahami dan menangani tingkah
laku seksual anak-anak istimewa dan memberi ruang untuk berbincang
mengenai perasaan dan tingkah laku seksual bila ianya berlaku. Adalah
penting untuk memastikan anak-anak menerima mesej yang positif tentang
seksualiti. Ibu bapa dan sekolah terutamanya guru boleh bersama-sama
dalam usaha memperkenalkan isu seks ke arah yang positif.
2.2 Pendidikan seks daripada aspek agama
Menurut dali-dalil syara’ dalam Islam hukum
menyampaikan atau berterus terang dengan anak-anak berkaitan seks dan
keinginan batin adalah harus. Di dalam al-Quran pula terdapat hukum
halal atau haram atau perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan
ketika memuaskan batin atau syahwat (Abdullah Nasil Ulwan, 2002).
Menurut beliau lagi pendidikan seks boleh berjaya dengan pengawasan dan pemerhatian pendidik dan pengisian masa lapang anak-anak dengan perkara yang berfaedah.
Antara ayat-ayat al-Quran yang berkaitan seksualiti ialah :
- Al-mukmininun : ayat 5 – 7
“ Dan yang menjaga kehormatannya (tidak melepaskan syahwat). Melainkan
kepada isterinya atau kepada kepunyaan tangan kanannya. Maka
sesungguhnya mereka itu tiada tercela. Tetapi orang-orang yang mencari
selain dari itu, maka merekalah orang-orang yang melanggar batas.”
- Al-Baqarah : ayat 222
“ Mereka menanyakan kepada engkau tentang haid (kedatangan bulan bagi
perempuan). Katakan : itu agak kotor sebab itulah, jarakilah perempuan
itu selama masa haid dan janganlah dekati mereka sebelum suci. Dan bila
mana mereka telah mensucikan diri darinya, datangilah mereka sebagai
yang diperintahkan Allah kepadamu; sesungguhnya Allah itu menyukai
orang-orang yang kembali (taubat) kepadaNya dan Tuhan menyukai
orang-orang yang membersihkan diri”.
- Al-Dahr : ayat 2
“Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu dari setitis air mani yang
bercampur. Kami akan mengujinya, lalu dia Kami jadikan orang yang dapat
melihat dan mendengar.”
- Al-Isra : ayat 32
“ Dan janganlah kamu dekati perzinaan kerana sesungguhnya perzinaan itu perbuatan yang keji dan jalan yang salah.”
- An-Nur : ayat 3
“ Laki-laki yang berzina hanya
mengahwini perempuan yang berzina(pula) atau perempuan yang musyrik. Dan
perempuan yang berzina hanya dikahwini oleh laki-laki yang berzina atau
laki-laki musyrik. Dan yang demikian itu dilarang untuk orang-orang yang beriman.”
- Al-A’raf : ayat 80-81
“ Dan Kami mengutus Luth. Ingatlah ketika dia
mengatakan kepada kaumnya. Mengapa kamu kerjakan kekejian (pelanggaran
kesopanan) yang belum pernah diperbuat oleh seorang pun dari
bangsa-bangsa. Bahawa kamu melepaskan syahwatmu kepada orang laki-laki,
bukan kepada perempuan. Bahkan kamu ini kaum yang melampaui batas.”
Berdasarkan ayat-ayat
al-Quran di atas jelas menunjukkan Islam mementingkan adab dan tata
susila dalam merealisasikan naluri seks manusia. Islam
memberikan panduan mengenai seksualiti yang boleh didapati daripada
al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Sebenarnya pendidikan seks telah
diterapkan dalam ajaran agama Islam sejak dari awal kejadian manusia
lagi. Umat Islam dibimbing dari pelbagai aspek seksualiti bertujuan
melahirkan insan yang baik akhlak dan budi pekerti dengan mengerjakan
segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.
Dari sudut agama Kristian terdapat beberapa pernyataan berkaitan seks seperti:
- Sex used to be the glue that held our marriages togethers ( 1 Corinthians 7 : 5)
- A Christian’s body belongs to God ( 1 Corintihians 6:19), and He will send fornicators to hell ( 1 Corinthians 6:9-10)
- Because if you rebel against God, he will allow you to become possessed by urges that will enslave you ( Romans 1 : 28 – 32)
- Because if you allow your nature to rule, you will receive back like a growing cancer, sickness and pain (Galatians 6: 7-8)
- Because you are made in the image of God and as such have power to stop the curse that possess our dying nation. When you received the Holy Spirit at salvation, He gave you strength and wisdom to overcome the world and it’s lusts ( 1 Johan 4:)
- Because God put sexual power in you to help you fall in love and stay in love with your future spouse and create and mentor a healthy family.
- Because satan uses that same sexual power to enslave and destroy the lives of the foolish
(dipetik dari :http://www.christianebooks.com/christiansexeducation.htm)
Kesimpulannya menurut
ajaran Kristian, seks adalah anugerah Tuhan untuk cinta sejati dan
kejujuran. Seks dilihat sebagai agen yang dapat mengukuhkan sesuatu
perkahwinan atau sebaliknya sebagai asid yang memusnahkannya. Naluri
anugerah tuhan ini perlu dihormati dan dilindungi dengan kata lain seks
di luar perkahwinan adalah dilarang. Seks dicipta Tuhan untuk
mengekalkan keseronokan dan keindahan sesuatu perkahwinan. Seks bukan
semata-mata tindakan atau hubungan fizikal tatapi merangkumi satu set
pemikiran, hati, keluarga dan masyarakat. Jadi sepatutnya remaja perlu
menjauhi amalan seks yang salah seperti hubungan seks sebelum kahwin.
Penulis menyimpulkan
bahawa ajaran agama adalah untuk membawa kebaikan kepada semua
penganutnya. Jelas menunjukkan seks sebelum kahwin adalah dilarang
kerana darinya akan wujud pelbagai masalah sosial seperti kehamilan luar
nikah dan pembuangan bayi. Pendidikan seks adalah penting untuk
membimbing manusia dalam melayari kehidupan yang penuh godaan dan
cabaran. Panduan dan bimbingan agama dalam aspek seksualiti dapat
membantu manusia menangani naluri seks mengikut cara yang betul
seterusnya dapat mengelakkan perkara-perkara yang buruk seperti masalah
sosial yang berlaku sekarang.
Namun jika manusia
membelakangkan agama dan tidak menerapkan nilai-nilai murni dalam
melestarikan naluri seks mereka, nescaya mereka akan terjerumus dalam
pelbagai masalah sosial. Sebab itulah pendidikan seks yang berasaskan
nilai lebih baik berbanding pendekatan yang bebas dari nilai. Ini kerana
pemikiran remaja yang masih belum sepenuhnya dapat membezakan baik atau
buruk sesuatu perkara memerlukan bimbingan dan panduan. Tambahan lagi
dengan pengaruh rakan sebaya, media dan persekitaran menguatkan lagi
sebab kenapa mereka ini perlu diberikan panduan dai aspek agama dan
nilai.
2.3 Pendidikan seks remaja bermasalah pembelajaran
Kanak-kanak khas
bermasalah pembelajaran di Malaysia adalah daripada kategori Sindrom
Down, Autisme ringan, Attention Deficit Hyperactive Disorder, terencat
akal minimum dan bermasalah pembelajaran spesifik seperti Disleksia.
Kementerian Pelajaran Malaysia bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan
pendidikan bagi golongan murid ini dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, dan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.
Kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran menunjukkan masalah
tingkah laku, masalah neurologikal, fizikal, psikologikal dan masalah
persekitaran.
Penekanan diberikan kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya murid khas dapat
memaksimumkan pencapaian bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan dan
hidup berdikari. Program yang dijalankan adalah berdasarkan Akta
Pendidikan 1996, Bab 8, Akta Pendidikan Pindaan (2002) dan keputusan Jawatankuasa dari Kementerian atau Jabatan yang terlibat di Malaysia.
Program PKBP di Malaysia juga mengambilkira dasar-dasar peringkat antarabangsa meliputi :
· United Nation’s World Programme of Action Concerning Disabilities Person (1983)
· The World’s Declaration on Education for All (1990)
· The United Nation’s Standard rules on The Equalisation of Opportunities for Person with disabilities (1983)
· The Framework for Action on Special Needs Education ( Salamanca Statement) 1994
· Biwako
Millennium Framework for Action towards an Inclusive Barrier Free and
Rights-Based Society for Person with Disabilities in Asia and in Pacific (2002)
( dipetik dari : Buku Maklumat Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Khas, 2005)
Penubuhan Program Pendidikan Khas adalah
selaras dengan Akta Pendidikan 1996 di mana murid-murid berkeperluan
khas berhak mengikuti dan menerima pendidikan bersesuaian dengan
keperluan mereka. Peraturan
Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, mengkategorikan murid pendidikan khas
Kementerian Pelajaran sebagai murid yang mempunyai masalah deria atau
kognitif atau kedua-duanya iaitu :
i. penglihatan
ii. pendengaran
iii. pembelajaran ( yang boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain)
Murid dengan masalah
penglihatan dan pendengaran umumnya mempunyai keupayaan kognitif yang
normal dan boleh mengikuti Kurikulum Kebangsaan dengan beberapa
perubahan dibuat selaras dengan keadaan kecacatan yang dihadapi oleh
mereka. Bagi murid bermasalah pembelajaran pula mereka ini mempunyai
keupayaan kognitif yang jauh lebih rendah daripada murid biasa.
Berasaskan model perubatan, murid bermasalah pembelajaran KPM adalah
terdiri dari Sindrom Down, Autistik ringan, kurang upaya mental minimum
dan bermasalah pembelajaran spesifik dan/atau bermasalah tingkah laku.
Dalam konteks Malaysia murid bermasalah pembelajaran yang ditempatkan
dalam Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP),
Kementerian Pelajaran Malaysia adalah
dari kategori Sindrom down, autisme ringan, Attention Deficit
Hyperactive Disorder, terencat akal minimum dan bermasalah pembelajaran
spesifik seperti disleksia. Murid-murid ini mengikuti kurikulum
alternatif yang dibentuk untuk memenuhi keperluan golongan ini iaitu
menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui melalui
proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel untuk memenuhi
keperluan individu dengan pelbagai tahap keupayaan ke arah kehidupan
bermakna.
Kurikulum alternatif untuk murid berkeperluan khas dibina dengan
rekabentuk yang fleksibel dan berlandaskan tiga konsep utama iaitu:
- pendidikan menyeluruh dan bersepadu bertujuan memberi fokus kepada potensi individu meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan social
- Pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna merujuk kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang meransang dan mengekalkan minat murid. Suasana pembelajaran yang kondusif perlu diberi penekanan agar murid dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran yang boleh digunakan untuk keperluan diri dan kehidupan bermasyarakat. Ini dapat melahirkan murid yang berkeyakinan dan berfikiran terbuka
- Pendidikan sepanjang hayat merupakan pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran di alam persekolahan yang dapat menjana peluasan ilmu secara berterusan untuk digunakan dalam kehidupan seharian.
Prinsip-prinsip di atas perlu dilaksanakan melibatkan tiga aspek iaitu
pembelajaran, pendekatan pembelajaran dan pengajaran, dan penilaian
berteraskan kepada keperluan individu. Perhubungan antara ketiga-tiga
aspek ini adalah bersifat interaktif dan dalam keadaan fleksibel di mana
bentuk pengajaran adalah tidak terikat dan boleh dibentuk mengikut
keperluan murid yang berbeza. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran boleh
dibentuk mengikut keperluan murid melalui empat bidang iaitu :
i. bidang pengurusan kehidupan, ( komponen – pengurusan diri, kemahiran
manipulatif, pengurusan tingkah laku dan kemahiran hidup)
ii. bidang akademik berfungsi, ( komponen- Bahasa Melayu, Matematik , Bahasa Inggeris, Teknologi Maklumat dan Komunikasi)
iii.bidang kerohanian dan niali-nilai murni dan ( Komponen – pendidikan agama Islam dan pendidikan Moral)
iv. bidang sosial, riadah dan kreativiti ( komponen- Pendidikan Jasmani,
Pendidikan Seni, Pendidikan Muzik, gerakan dan drama, Pendidikan sains,
Sosial dan alam sekitar
Elemen pendidikan
seks diterapkan dalam ke empat-empat bidang ini di mana pelaksanaannya
bergantung sepenuhnya kepada kemahiran guru dalam menyampaikan
pengajaran. Namun begitu guru-guru ini tidak menerima sebarang latihan
khusus tentang strategi pengajaran pendidikan seks semasa dalam latihan
perguruan. Melalui tinjauan awal penulis didapati sumber maklumat
berkaitan pendidikan seks yang khusus kepada golongan remaja bermasalah
pembelajaran juga kurang.
Sepertimana remaja normal, remaja kurang upaya termasuk golongan
bermasalah pembelajaran tidak terkecuali daripada masalah-masalah
seksualiti. Menurut Schloss, Smith & Schloss (1995) isu berkaitan seksualiti mesti diberi pertimbangan yang sewajarnya bagi remaja kurang upaya disebabkan peluang untuk peluahan seksual terhad
kerana kekurangan kemahiran interpersonal, kekurangan sumber, dan tiada
model yang bersesuaian untuk menunjukkan tingkah laku yang dapat
diterima. Beberapa kajian menunjukkan berlakunya penderaan seksual di
kalangan golongan bermasalah pembelajaran dan sebaliknya mereka juga
boleh menjadi pesalah seks di mana mereka melakukan salahlaku seksual ke
atas rakan-rakan kurang upaya yang lain .
Menurut laporan Family Planning Queensland (2005) kajian terhadap masyarakat Australia mendapati orang kurang upaya menghadapi 3 hingga 7 kali risiko menjadi mangsa penganiayaan seksual di
mana 54 % lelaki dan 50 % perempuan cacat pendengaran mengalami
penganiayaan seksual. Sebanyak 39% orang dengan kepelbagaian
ketidakupayaan mengalami penganiayaan seksual. Kajian oleh Zuria Mahmud
dan Norshidah Mohd Salleh (2004) menunjukkan masalah tingkah
laku seksual murid berlaku di kalangan murid khas . Program Pendidikan
Khas Bermasalah Pembelajaran, PKBP ditubuhkan di sekolah harian biasa
dengan berkongsi bangunan serta kemudahan infrastruktur yang sama.
Secara tidak langsung tingkah laku seksual remaja PKBP akan memberi
kesan bukan sahaja kepada guru khas malah turut melibatkan warga sekolah
yang lain
Pendidikan seks juga
merupakan satu cabang ilmu pengetahuan yang perlu diberi mengikut
kesesuaian individu tetapi tidak ada suatu kurikulum atau modul
pendidikan seks yang disediakan khas untuk golongan remaja bermasalah
pembelajaran. Tidak hairanlah wujudnya masalah tingkah laku
berkaitan seksualiti di kalangan remaja ini akibat peluang mendapat
pengetahuan yang terhad berkaitan seksualiti dan kurangnya didikan
tentang seksualiti yang tersusun sejak awal persekolahan.
Rekabentuk model kurikulum yang dibina untuk murid-murid bermasalah
pembelajaran adalah bersifat fleksibel bagi membolehkan guru
mengembangkan bakat dan potensi sedia ada murid. Namun dalam hal
pendidikan seks, guru-guru ini tidak dilengkapkan dengan teknik atau
strategi pengajaran pendidikan seks apatah lagi sumber-sumber untuk
menyampaikan maklumat tentang seksualiti juga agak terhad. Keadaan ini
akan menggugat keberkesanan dalam penyampaian maklumat berkaitan
seksualiti. Ini di sokong oleh dapatan kajian Zuria Mahmud dan Norshidah
Mohamad Salleh, (2004) iaitu
antara cabaran yang dihadapi oleh guru khas ialah sukar mengawal tingkah
laku seksual murid, kurang pengetahuan dan kemahiran berkaitan murid
khas kerana tiada kursus atau latihan tertentu dan kurangnya alat bantu
mengajar yang sesuai dengan murid berkeperluan khas.
Guru atau pendidik bagi pendidikan seks yang berkesan mestilah seorang
yang percaya dengan program tersebut dan menerima latihan yang
mencukupi. Latihan pula perlu diberi bukan sahaja tentang program
pendidikan seks tetapi turut merangkumi strategi pengajaran (Kirby dalam
WHO, 2001). Menurut Kamn dalam
WHO (2001) , kajian menunjukkan latihan guru untuk pelaksanaan
kurikulum baru secara positifnya akan memberi kesan kepada kesediaan
guru untuk mengajar seterusnya memberi kesan yang positif juga terhadap
pelaksanaan kurikulum dan hasil pembelajaran murid. Namun terdapat
halangan-halangan kepada kejayaan pendidikan seks iaitu kekurangan
infrastruktur untuk latihan guru dan kurangnya bahan pengajaran yang
berkualiti. Dapatan ini disokong oleh James-Traore, Finger , Ruland dan
Savariaud (2004) di mana kajian mendapati latihan guru mempengaruhi
sikap guru terhadap pendidik seks secara positif. Menurut mereka kajian
ke atas 35 orang guru di Thailand yang menerima latihan menujukkan tahap
pengetahuan yang lebih baik dan sikap yang positif terhadap pendidikan
seks.
Menurut WHO (2001) penilaian terhadap pendidikan yang professional
menunjukkan latihan kepada guru mesti disusuli dengan kaedah mengajar
dan sokongan dari segi teknikal untuk memberi kesan dalam pengajaran
dalam bilik darjah. Guru yang terlatih dapat melaksanakan pendidikan
seks dari segi kandungan pelajaran dengan efektif dan kaedah pengajaran yang
berkualiti. Di samping kelayakan profesional, guru juga perlu ada
sifat-sifat yang tertentu bagi menjayakan pendidikan seks kerana
peranannya sebagai role-model, orang yang berkemahiran dan cekap, boleh
dipercayai dan boleh mengakses sumber serta sokongan. Oleh itu guru
perlu ada pengetahuan yang tepat dan selesa dalam membincangkan
perkara-perkara berkaitan seksualiti.
3.0 Penutup
Sejak kebelakangan ini isu pendidikan seks menjadi isu yang penting di
mana menurut Rowe dan Savage, (1987) perhatian turut diberikan kepada
golongan yang mengalami masalah ketidakupayaan mental yang diberi
perakuan mempunyai hak berkaitan
seksualiti. Pendidikan seks adalah penting untuk perkembangan remaja
dalam menyiapkan diri mereka menghadapi pelbagai cabaran masa
depan apatah lagi bagi golongan remaja bermasalah pembelajaran yang
memerlukan lebih bimbingan disebabkan ketidakupayaan mereka dalam aspek
kognitif atau keupayaan mental yang lebih rendah.
Aspek amalan yang baik dalam pendidikan seks menurut The Working Group
of sex education in Scottish schools (2002) ialah mengambilkira pendapat
ibu bapa, guru dan masyarakat dan pembinaan program pendidikan secara
menyeluruh dengan komitmen semua pihak. Garis panduan tentang kurikulum
pendidikan seks mesti jelas dengan sumber-sumber yang bersesuaian
mengikut acuan budaya Timur serta dapat diakses oleh para guru dan ibu
bapa kerana dalam pendidikan khas kolaborasi antara ke dua pihak ini
dapat menentukan kejayaan sesuatu program. Pendidikan seks harus
dimulakan dari peringkat awal kanak-kanak mengikut topik-topik yang
bersesuaian dan mesti ada kesinambungan pengajaran dan pembelajaran
antara pihak ibu bapa dan guru.
Justeru itu kedua-dua pihak ibu bapa dan guru perlu mendalami kurikulum
pendidikan seks dengan mengambilkira elemen agama dan budaya agar tidak
timbul salah faham mengenai konsep pendidikan seks. Menurut Scottish
Executive, (2000) di Scotland pendidikan seks dilihat
sebagai satu elemen dalam pendidikan kesihatan dalam konteks yang lebih
luas di mana ianya menyumbang kepada perkembangan fizikal, emosi, moral
dan rohani. Mereka juga menyarankan pendidikan seks dimulakan pada
peringkat awal kanak-kanak oleh ibu bapa dan penjaga dan berterusan
hingga memasuki sekolah mengikut kesesuaian. Pendidikan seks yang
diterapkan mesti berlatar belakangkan budaya dan agama terutamanya dalam
konteks Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya seiring dengan prinsip Rukun Negara.
Pendidikan seks
adalah penting untuk kesejahteraan remaja khasnya remaja bermasalah
pembelajaran. Kurikulum dan modul pendidikan seks yang khusus kepada
golongan ini perlu dibina dan dimandatkan agar semua pihak tidak ambil
lewa dalam proses penyampaian maklumat seksualiti kepada remaja.
Kurikulum ini tidak semestinya dijadikan satu matapelajaran tetapi boleh
dijadikan sebagai salah satu topik dalam matapelajaran yang sedia ada.
Matapelajaran yang sesuai bagi penulis ialah pendidikan agama dan moral
kerana pendidikan seks yang dijalankan secara mengasingkan agama
menunjukkan kegagalannya mencapai matlamat seperti di Amerika Syarikat.
Dalam pembentukan
kurikulum atau modul ini, pihak penggubal dasar perlu melibatkan
wakil-wakil guru, ibu bapa, pakar agama dan para professional dalam
bidang pendidikan khas. Pandangan guru dan ibu bapa amat penting kerana
mereka yang terlibat secara langsung dalam pendidikan anak-anak atau
murid bermasalah pembelajaran. Kurikulum yang dibina perlu dihebahkan kepada masyarakat agar tidak timbul lagi salah faham tentang pendidikan seks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan