Bukit Kayu Hitam
terletak di kawasan Parlimen Kubang Pasu di Kedah. Ia merupakan
penghujung Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS). Di sini letaknya pintu masuk
ke negara Thailand. Beberapa buah kompleks perniagaan jualan murah dan
bebas cukai telah didirikan di Bukit Kayu Hitam ini.
Sejarah Bukit Kayu Hitam bermula dari zaman kemaraan tentera Siam menyerang Kedah pada tahun 1824.
Menurut cerita masyarakat tempatan, nama Bukit Kayu Hitam ini asalnya diberikan oleh tentera Siam
semasa berehat di sebuah bukit.
Mengikut cerita, dalam perjalanan untuk
menyerang Kedah, tentera Siam telah singgah di sebuah bukit dan
berkampung di situ sementara meneruskan perjalanan ke Kedah. Mereka
telah memasak nasi disitu dan menggunakan sebatang kayu sebagai senduk.
Tanpa disedari, setelah nasi tadi masak, ia berubah menjadi kehitaman,
maka tentera Siam tadi kehairanan dan mereka cuba mencari sebab kenapa
nasi boleh menjadi hitam. Maka, mereka dapati ia berpunca dari kayu yang
digunakan sebagai senduk tadi. Mereka menyiasat dari mana asalnya kayu tersebut dan apabila ditemui
tempat kayu itu diambil mereka dapati sekitar pokok tersebut bewarna kehitaman. Pokok tersebut adalah
Pokok Komoi. Maka dari situlah wujudnya Bukit Kayu Hitam dimana dalam bahasa Siam disebut Kuan Mhai Dam.
Setelah Siam kalah, orang-orang Melayu mula mendirikan perkampungan di sekitar Bukit Kayu Hitam
dengan kegiatan utamanya pertanian disamping peranannya sebagai pintu masuk ke Siam untuk menjual
hasil
pertanian mereka. Akhirnya ia semakin berkembang yang kemudian berubah
menjadi sebuah pekan kecil dimana penduduknya semakin bertambah. Dengan
ini kegiatan perdagangan antara Kedah dan Siam semakin rancak disini.
Namun begitu Bukit Kayu Hitam terpaksa
ditutup sepenuhnya pada tahun 1948 berikutan keadaan Darurat 1948 dimana
meningkatnya kegiatan Komunis (PKM) pada masa ini. Semua penduduk,
polis dan kastam diarahkan berpindah ke Changloon dan tidak dibenarkan
tinggal di Bukit Kayu Hitam. Ini menyebabkan Bukit Kayu Hitam kembali
menjadi hutan dan dipenuhi semak.
Namun beberapa kampung orang Melayu
dan Siam iaitu Kampung Padong, Kampung Kokpoo dan Bukit Batu Bertangga
(sekarang Felda Bukit Tangga) masih dikekalkan. Kampung ini telah
dikawal oleh polis bantuan yang telah ditugaskan menjaga keselamatan
penduduk setempat. Jalan kecil yang tidak berturap ini masih menjadi
nadi penghubung utama dan penting laluan keluar masuk orang awam dari
perkampungan ini ke Pekan Changloon dan ke Pekan Danok.
Apabila kegiatan Komunis dapat dibendung
dengan kehadiran anggota tentera di kawasan Bukit Kayu Hitam maka
aktiviti perniagaan di kawasan Bukit Kayu Hitam telah mula tumbuh
seperti cendawan dan mendapat sambutan orang ramai. Kawasan ini mula
membangun dengan kedai-kedai yang beratapkan daun nipah/zink yang
dimiliki oleh penduduk setempat dan terkenal sebagai pekan sehari Bukit
Kayu Hitam.
Pada tahun 1972, Bukit Kayu Hitam dibuka
semula oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dengan membuka sebuah
ladang getah di Bukit Kayu Hitam iaitu Ladang Rakyat Laka Temin. Pada
masa ini juga nama Bukit Kayu Hitam telah hilang dan diganti dengan
panggilan Laka Temin. Setelah pembukaan ladang ini, penduduk Laka Temin
semakin bertambah.
Pada tahun 1977, Kampung Laka Jaya
diwujudkan bagi menempatkan Kuarters Pekerja Ladang. Jalan telah diturap
oleh kerajaan Kedah dan menghubungkan pekan Changloon melalui Bukit
Kayu Hitam ke pekan Danok, Thailand. Ia juga bertujuan bagi memudahkan
urusan perniagaan dan pengangkutan hasil tanaman getah oleh penduduk
setempat ke pekan Changloon dan pengeluaran barangan import dan eksport
yang menggunakan lori atau pacuan empat roda, motosikal dan sebagainya
oleh peniaga yang berurusan dengan negara ini atau jiran.
Pada akhir tahun 1977, Bukit Kayu Hitam
telah diistiharkan (gazate) sebagai Pintu Masuk dari negara Thailand ke
negara ini. Sebuah Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin telah dibina
bersama kuarters bagi menempatkan kakitangan kerajaan yang bertugas di
sini. Bukit Kayu Hitam juga telah dilengkapi dengan bangunan pentadbiran
kakitangan kerajaan yang lain seperti Balai Polis, Balai Bomba, Kem
Polis Hutan, Kem Tentera dan lain-lain lagi. Jalan raya telah mula
dibina menghubungkan Pekan Danok, Thailand melalui Kompeks Kastam
Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam ini ke Jitra, Kedah. Pada tahun
1981, nama Laka Temin ditukar kembali kepada Bukit Kayu Hitam dan
dengan persetujuan pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Bukit Kayu
Hitam dikenali sebagai Bandar Bukit Kayu Hitam hingga kini. Pada 1997
Kampung Padong dikenali sebagai Kampung Baru Padong dan Kampung Kokpoo
dikenali sebagai Kampung Padang Satu.
Majoriti penduduk yang mendiami Bukit Kayu Hitam adalah orang-orang Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan