Tahukah anda bahawa Sabah & 
Sarawak mempunyai perlindungan dan kepentingan istimewa berbanding 
negeri-negeri lain? Pelajari tentang "Sabah & Sarawak" pada hari 
ini.
16
 Sept 1963. Tarikh keramat yang mengukir sejarah, tarikh terbentuknya 
Persekutuan Malaysia. Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura 
bergabung menjadi satu. Lahirlah negara baru “Malaysia”. 
Perlembagaan
 Persekutuan adalah tunjang kepada negara ini.  Perlembagaan yang 
mulanya digubal untuk Persekutuan Tanah Melayu telah melalui 
pengubahsuaian ketara dengan terbentuknya Malaysia. 
Sebagai
 menyambut hari yang penuh bermakna ini dan dengan semangat ingin 
merakyatkan Perlembagaan, Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis
 Peguam (“Jawatankuasa”) melalui kempen MyConstitution (PerlembagaanKu) mempersembahkan kempen-mini melalui internet yang dipanggil, “Menghitung Hari ke Hari Malaysia”.
Bermula
 dari 7 Sept 2011 hinggalah 15 Sept 2011, Jawatankuasa akan menyebar ke 
seluruh pelusuk internet dua inisiatif utama MyConstitution iaitu Buku 
Panduan Rakyat (Rakyat Guides (“RG”)) dan juga video-video Pesanan 
Khidmat Rakyat (Rakyat Service Advertisements (“RSA”)).
Setiap
 hari anda akan disajikan dengan tema yang berlainan berkenaan dengan 
konsep-konsep asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. 
 Kami akan memaparkan teks yang menjadi kandungan RG.  Kami juga akan 
mempertontonkan RSA kami sebagai kesinambungan kepada tema hari 
tersebut. Sekiranya anda mengikuti kempen-mini ini, anda boleh memahami 
asas Perlembagaan Persekutuan dalam masa sembilan hari! 
Kami
 juga memerlukan kerjasama anda untuk membantu kami menyebarkan 
kempen-mini ini melalui saluran-saluran anda, supaya kita dapat 
sama-sama merakyatkan Perlembagaan. 
Pesanan Khidmat Rakyat (RSA)
Buku Panduan Rakyat (RG)
Bagaimana Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian daripada Malaysia?
Untuk
 memahami bagaimana Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian daripada 
Malaysia pada 1963, adalah penting untuk mengetahui sejarahnya. Sarawak 
diperintah oleh dinasti Rajah Sir James Brooke selama lebih 100 tahun 
manakala Sabah diperintah oleh Sultan Sulu dan Syarikat Berpiagam Borneo
 Utara British sebelum kedua-dua negeri tersebut menjadi koloni Empayar 
British selepas Perang Dunia Kedua. 
Apabila
 Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, penduduk
 Sabah dan Sarawak mula berbincang tentang kemerdekaan Negeri-negeri 
mereka. Persoalan tentang Sabah dan Sarawak membentuk persekutuan dengan
 negara lain menjurus kepada penubuhan Suruhanjaya yang diketuai oleh 
Lord Cobbold untuk mendapat tahu kehendak penduduk Sabah dan Sarawak. 
Setelah
 bercakap dengan pelbagai pihak, Suruhanjaya tersebut melaporkan bahawa 
majoriti penduduk Sabah dan Sarawak akan bersetuju untuk membentuk 
persekutuan dengan Tanah Melayu jika terdapat perlindungan istimewa 
untuk memelihara kepentingan mereka. Sebuah Jawatankuasa Antara Kerajaan
 telah dibentuk yang terdiri daripada Kerajaan Tanah Melayu, Kerajaan 
British, Sabah dan Sarawak untuk merangka perlindungan istimewa untuk 
Sabah dan Sarawak.
Pada
 Julai 1963, “Perjanjian Malaysia” ditandatangani di London di antara 
Kerajaan-kerajaan British dan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan 
pihak-pihak lain (termasuk Singapore) untuk membentuk Malaysia, dan 
perjanjian tersebut termasuk kepentingan dan perlindungan istimewa untuk
 Sabah dan Sarawak yang disyorkan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan. 
Parlimen
 Tanah Melayu kemudian membuat perubahan kepada Perlembagaan tahun 1957 
untuk menjadikannya Perlembagaan Persekutuan untuk Malaysia, dan 
perlindungan istimewa untuk Sabah dan Sarawak dimasukkan ke dalam 
Perlembagaan. 
Pada 16 September 1963, lahirlah Malaysia.
Apakah kepentingan dan perlindungan istimewa Sabah dan Sarawak?
Berikut adalah kepentingan dan perlindungan istimewa Sabah dan Sarawak:-
Sabah dan Sarawak boleh mengawal kemasukan dan kemastautinan mereka yang bukan orang Sabah dan Sarawak ke dalam Negeri-negeri tersebut. Hanya peguam yang bermastautin di Sabah dan Sarawak atau telah memenuhi kelayakan kemastautinan Sabah dan Sarawak boleh mengamal undang-undang di Negeri-negeri tersebut. Sabah dan Sarawak mempunyai Mahkamah Tinggi yang berasingan yang dinamakan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang mempunyai bidangkuasa ke atas Sabah dan Sarawak. Apabila hendak melantik Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, harus meminta fikiran Ketua-ketua Menteri Sabah dan Sarawak. Selain daripada Mahkamah Syariah, terdapat juga Mahkamah Anak Negeri di Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak mempunyai sumber pendapatan dan pemberian kewangan khas daripada Kerajaan Persekutuan yang tidak dimiliki oleh Negeri-negeri lain di Malaysia dan juga mereka boleh mengenakan cukai jualan mereka sendiri. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak punya kuasa untuk gubal undang-undang berkenaan dengan perkara-perkara yang DUN Negeri-negeri lain tidak punya kuasa dan perkara ini termasuklah undang-undang dan adat anak negeri; perkhidmatan dan bekalan air; undang-undang peribadi berkenaan dengan perkahwinan, perceraian, penjagaan dan nafkah; bekalan kuasa air dan elektrik yang dijanakuasa melalui kuasa air dan perkara mengenai perkapalan. Parlimen punya kuasa untuk gubal undang-undang mengenai beberapa perkara dalam Senarai Negeri bagi memastikan penyeragaman di Semenanjung Malaysia. Tetapi, kuasa ini tidak sampai ke Sabah dan Sarawak. Anda boleh mempelajari tentang Senarai Negeri di dalam Buku Panduan Rakyat: 3. Hubungan Persekutuan-Negeri. Parlimen juga mempunyai kuasa untuk gubal undang-undang di dalam Senarai Negeri untuk memberi kesan kepada Rancangan Pembangunan Negara tetapi jika ia melibatkan Sabah dan Sarawak, persetujuan Yang di-Pertuan Negeri (YDPN) Negeri tersebut harus diperolehi. Anda boleh pelajari tentang Rancangan Pembangunan Negara di dalam Buku Panduan Rakyat: 3. Hubungan Persekutuan-Negeri. Sabah dan Sarawak juga boleh mendapat pinjaman untuk tujuan mereka dengan kebenaran Bank Negara Malaysia. Anak negeri Sabah dan Sarawak menikmati kepentingan istimewa seperti kuota perkerjaan di dalam perkhidmatan awam, biasiswa, tempat di institusi pengajian awam dan lesen dan permit perniagaan. Sabah dan Sarawak boleh menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, dan bahasa ibunda anak negeri Sabah dan Sarawak di dalam Mahkamah Anak Negeri atau bagi undang-undang atau adat anak negeri. 
Bagaimana kepentingan istimewa ini dilindungi di bawah Perlembagana Persekutuan?
Perlembagaan
 menyatakan bahawa sebelum apa-apa pindaan dibuat ke atas mana-mana 
kepentingan dan perlindungan istimewa tersebut, sekurang-kurangnya dua 
pertiga daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Parlimen harus 
bersetuju dan YDPN Sabah dan Sarawak (yang harus mengikut nasihat 
Kabinet Negeri) juga harus bersetuju. 
Sekurang-kurangnya
 dua pertiga Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Parlimen juga harus 
bersetuju dan persetujuan YDPN Sabah dan Sarawak juga diperlukan sebelum
 apa-apa pindaan dibuat ke atas perkara-perkara berikut:-
hak orang Sabah dan Sarawak untuk mendapat layanan saksama dengan warganegara Malaysia yang lahir atau tinggal di mana-mana Negeri di Malaysia; perlantikan, penggantungan dan pemecatan hakim-hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dan bidangkuasa Mahkamah itu; Kuasa DUN Sabah dan Sarawak untuk gubal undang-undang dan kuasa Kerajaan Negeri untuk mentadbir mengikut undang-undang tersebut, dan juga penyusunan kewangan di antara dua Negeri tersebut dan Kerajaan Persekutuan; agama, penggunaan apa-apa bahasa samada di dalam DUN Sabah atau Sarawak atau Parlimen, dan kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak; kuasa imigresen yang diberi kepada Sabah dan Sarawak untuk mengawal hak kemasukan dan kemastautinan di dalam kedua-dua Negeri itu dan perkara yang berkaitan. 
Adakah Sabah dan Sarawak mempunyai kepentingan istimewa lain yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan?
Bahagian
 VII Akta Imigresen 1959/1963 menyatakan bahawa sesiapa yang tidak 
berasal daripada Sabah dan Sarawak harus mempunyai Permit atau Pas sah 
untuk masuk Sabah dan Sarawak, selain daripada ahli Kerajaan 
Persekutuan, hakim-hakim, kakitangan awam atau individu yang mempunyai 
tujuan tunggal untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti politik yang 
sah.
Selain
 daripada itu, terdapat beberapa undang-undang persekutuan yang tidak 
diikuti di Sabah dan Sarawak seperti Akta Kerajaan Tempatan 1976, Kanun 
Tanah Negara dan Akta Pekerjaan 1955. Sabah dan Sarawak mempunyai 
undang-undang tersendiri tentang perkara-perkara ini. 
Berapa lama harus kepentingan istimewa tersebut dilindungi?
Selagi
 mana orang Sabah dan Sarawak merasakan bahawa kepentingan istimewa 
tersebut diperlukan. Kepentingan istimewa tersebut adalah perlindungan 
yang dikehendaki oleh orang Sabah dan Sarawak sebagai syarat menyertai 
Malaysia pada tahun 1963.
Persetujuan
 YDPN harus diperolehi sebelum mana-mana kepentingan tersebut 
dimansuhkan dan YDPN harus mengikut nasihat Kabinet Negeri. 
Menteri-menteri Kabinet Negeri dilantik daripada ahli DUN Sabah dan 
Sarawak, yang dipilih oleh penduduk Sabah dan Sarawak. 
Ini
 bermakna ia terpulang kepada orang Sabah dan Sarawak untuk menentukan 
melalui wakil rakyat mereka di DUN samada memansuhkan kepentingan 
istimewa mereka. 
Sumber pendapatan tambahan bagi Sabah dan Sarawak yang tidak dinikmati oleh Negeri-negeri lain
Perlembagaan
 juga memperuntukan pemberian khas dan sumber pendapatan tambahan bagi 
Sabah dan Sarawak yang tidak dinikmati oleh Negeri-negeri lain. 
Contohnya,
 Kerajaan Persekutuan memberikan pemberian khas tahunan kepada Sabah dan
 Sarawak untuk kos perkhdimatan dan pengurusan Negeri-negeri tersebut. 
Pemberian khas ini disemak setiap lima tahun atau lebih (dengan 
persetujuan Kerajaan Persekutuan dan Negeri). 
Sabah
 dan Sarawak juga menerima pendapatan daripada tanah, lombong dan hutan,
 duti hiburan, yuran untuk perkhidmatan spesifik yang diberikan oleh 
jabatan-jabatan negeri, pendapatan daripada pihak berkuasa tempatan dan 
daripada bekalan air. 
Di
 samping itu, Sabah dan Sarawak juga boleh mengenakan duti import dan 
eksais ke atas keluaran petroleum, duti eksport ke atas balak dan hasil 
hutan lain, cukai jualan dan yuran daripada pelabuhan.
Apakah struktur Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak?
Di
 dalam kedua-dua Negeri, Ketua Negeri atau YDPN adalah Gabenor yang 
pangkatnya adalah Tuan Yang Terutama (TYT). TYT dilantik oleh Yang 
di-Pertuan Agong. 
TYT
 melantik Ketua Menteri sebagai ketua eksekutif Negeri. Jawatan Ketua 
Menteri selalunya dipenuhi oleh ketua parti politik yang mempunyai wakil
 paling banyak di dalam DUN. 
DUN
 menggubal undang-undang yang tidak jatuh di bawah bidangkuasa Parlimen 
dan memantau dasar dan perbelanjaan Kerajaan Negeri. Wakil yang dipilih 
di dalam DUN dikenali sebagai Ahli DUN. 
Kerajaan
 Negeri atau ‘Eksekutif’ terdiri daripada Ketua Menteri dan Kabinet 
Menteri yang dilantik oleh Ketua Menteri. Ketua Menteri juga boleh 
melantik Timbalan Menteri. Setiap Menteri dan Timbalan Menterinya 
bertanggungjawab ke atas Kementerian masing-masing. 
Apakah undang-undang yang boleh digubal oleh DUN Sabah dan Sarawak?
DUN
 Sabah dan Sarawak boleh gubal undang-undang tentang perkara yang 
terkandung di dalam ‘Senarai Negeri’ dan ‘Senarai Bersama’ Perlembagaan.
 DUN Sabah dan Sarawak boleh gubal undang-undang tentang perkara 
tambahan yang tidak boleh digubal oleh DUN Negeri-negeri lain. Senarai 
Negeri dan Senarai Bersama dibincangkan di dalam Buku Panduan Rakyat: 3. Hubungan Persekutuan-Negeri.
Contoh-contoh
 perkara yang mana DUN Sabah dan Sarawak punya kuasa untuk gubal 
undang-undang adalah pentadbiran tanah di Sabah dan Sarawak, pekerjaan 
dan buruh, hutan, imigresen, perkapalan dan perikanan. 
Soalan-soalan Lazim
1. Mengapa ada rakyat Malaysia yang harus memenuhi Borang Imigresen ketika memasuki Sabah dan Sarawak?
Sabah
 dan Sarawak mempunyai kuasa untuk mengawal individu yang boleh memasuki
 sempadan mereka untuk memastikan bahawa hanya mereka yang boleh 
menyumbang kepada pembangunan dan tidak mengancam undang-undang dan 
ketenteraman dibenarkan untuk masuk dan tinggal di Negeri-negeri 
tersebut. 
2. Adakah rakyat Malaysia dari Negeri-negeri lain perlu menunjukkan pasport atau memohon visa apabila memasuki Sabah dan Sarawak? 
Tidak,
 mereka hanya perlu menunjukkan kad pengenalan nasional mereka dan akan 
diberikan pas lawatan apabila memasuki Sabah dan Sarawak. 
3. Bukankah undang-undang imigresen ini suatu sekatan ke atas kebebasan seorang rakyat Malaysia untuk bergerak di dalam negara? 
Walaupun
 Perlembagaan memberikan rakyat Malaysia kebebasan bergerak di dalam 
Malaysia dan tinggal di mana-mana, Perlembagaan juga menyekat hak ini 
apabila ia melibatkan Sabah dan Sarawak. Ini adalah sebahagian daripada 
kepentingan dan perlindungan istimewa Sabah dan Sarawak apabila mereka 
menyertai Malaysia pada tahun 1963.
4. Bolehkah seseorang dari Negeri lain kerja di Sabah atau Sarawak? 
Walaupun
 tiada undang-undang yang menghalang seseorang dari Negeri lain untuk 
bekerja di Sabah atau Sarawak, Kerajaan Sabah dan Sarawak boleh mengawal
 siapa yang boleh masuk dan tinggal di dalam Negeri-negeri tersebut. 
Maka untuk bekerja di Sabah atau Sarawak, seseorang dari Negeri lain 
masih perlu mendapatkan kebenaran untuk masuk dan tinggal di Sabah atau 
Sarawak daripada pihak berkuasa Negeri tersebut. 
5. Mengapakah bahasa Inggeris masih merupakan bahasa yang digunakan di dalam DUN dan Mahkamah di Sabah dan Sarawak?
Bahasa
 Inggeris adalah bahasa rasmi DUN dan Mahkamah di Sabah dan Sarawak pada
 Hari Malaysia, 16 September 1963. Apa-apa perubahan bahasa rasmi kepada
 Bahasa Melayu hanya menjadi efektif apabila DUN Sabah atau Sarawak 
bersetuju untuk menerima undang-undang persekutuan yang menjadikan 
Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. 
6. Adakah Kerajaan Persekutuan pernah mengambilalih kuasa Kerajaan Negeri Sabah atau Sarawak? 
Ya,
 pada tahun 1966 YDPN Sarawak cuba untuk memecat Ketua Menteri ketika 
itu, Stephen Kalong Ningkan. Tetapi Mahkamah Persekutuan memutuskan 
bahawa pemecatan itu tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan kerana ia
 tidak mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak. Seterusnya, Yang di-Pertuan
 Agong mengisytiharkan Darurat mengikut Perkara 150 Perlembagaan 
Persekutuan. 
Ini
 membolehkan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan Akta Darurat 
(Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak) 1966 yang memberi 
kuasa kepada YDPN untuk memecat Ketua Menteri walaupun  ia bertentangan 
dengan Perlembagaan Negeri Sarawak. 
7. Mengapakah Sabah dan Sarawak menikmati kuasa yang lebih berbanding Negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia? 
 Budaya
 dan kepercayaan agama Sabah dan Sarawak adalah berbeza daripada 
Semenanjung Malaysia. Kedua-dua Negeri ini apabila digabungkan adalah 
lebih besar daripada Semenanjung Malaysia. Sabah dan Sarawak kaya dengan
 sumber asli seperti hutan, sungai dan petroleum. Sabah dan Sarawak 
ingin memastikan kebebasan dan kawalan yang lebih besar ke atas 
perkara-perkara dan sumber asli di dalam Negeri-negeri tersebut serta 
cara hidup mereka, ketika mereka menyertai Malaysia. Inilah sebab 
mengapa mereka mempunyai perlindungan istimewa di dalam Perlembagaan dan
 kuasa yang lebih berbanding Negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan