
Hari Kiamat adalah hari di mana akan  musnahlah segala yang tercipta dan akan binasalah segala makhluk yang  pernah hidup di alam ini. Tahukah korang bahawa Kiamat akan berlaku pada  hari Jumaat? Jadi mari kita selami dan baca kisah di mana  peristiwa-peristiwa (besar) yang akan berlaku sebelum munculnya Kiamat.
1. Munculnya Imam Mahdi
Nabi Muhammad SAW merupakan nabi yang  terakhir diutuskan dan Imam Mahdi pula adalah imam yang terkahir dan  tiada lagi imam sesudahnya. Imam Mahdi adalah dari keturunan Hasan,  yakni anak kepada Fatimah dan Ali bin Abi Talib. Ali pernah melihat  Hasan sambil berkata: “Anakku ini akan menjadi pemimpin seperti  dijanjikan Rasulullah dan nanti juga akan keluar dari keturunannya  seorang lelaki yang namanya, kelakuannya sama seperti dengan nama nabi  kamu, namun bentuk tubuhnya tidak sama”. Kemudian Ali menceritakan  keadaan Imam Mahdi yang memimpin dunia secara adil dan bijaksana.

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Akan  keluarlah manusia dari sebelah timur, lalu mereka pergi menemui Mahdi,  yakni untuk mengikuti pemerintahannya”. Imam Mahdi yang dijanjikan akan  datang di akhir zaman itu dikatakan akan mucul dari timur dan mereka  akan melantiknya di Mekah. Beliau akan memimpin dunia selama lima, tujuh  atau sembilan tahun dan pada zamannya nanti ajaran Islam dapat  ditegakkan, musuh-musuh Islam takut akannya, pemerintahannya tiada cacat  cela, tiada kezaliman dan kebaikan berkekalan. Beliau menguasai dunia  seperti Nabi Allah Sulaiman.
2. Munculnya Al-Masih Dajjal
Mengapa dia digelar Al-Masih? Nama  Al-Masih diberi kerana buruknya rupa dan bentuk tubuh Dajjal dan dia  diciptakan sebagai makhluk yang dilaknat kerana ia kufur dan mengaku  dirinya sebagai tuhan. Al-Masih juga diberi kepada Dajjal kerana  terhapus atau hilang mata sebelahnya. Kekuasaannya mencakup seluruh  daratan dan lautan dan dia boleh menahan sungai daripada mengalir. Di  antara kedua matanya tertulis kalimat KAFIR dan ia dapat dibaca oleh  setiap mukmin sama ada pandai membaca atau tidak. Dia akan hidup di bumi  selama 40 tahun.

Pada akhir zaman nanti kemarau panjang  akan berlaku, hujan tidak turun dengan lamanya, tumbuhan tidak tumbuh  dan dunia semakin kering kontang, sementara manusia dalam kelaparan,  kehausan dan banyak penyakit melanda. Ketika itulah akan munculnya  Al-Masih Dajjal dengan hebatnya. Dia memerintahkan langit menurunkan  hujan dan dia menyuruh bumi mengeluarkan tumbuhan, dan ia benar-benar  berlaku. Kemudian dia menyuruh sungai supaya mengalir membasahi  kekeringan bumi.
Dajjal menunjukkan kehebatannya dalam  mengubati pelbagai penyakit, bahkan dia boleh menghidupkan orang yang  sudah mati. Dia berpura-pura mengajak manusia kepada pendamaian dan  kemudian banyaklah pengikutnya. Dalam keadaaan demikian, maka Dajjal  mengaku dirinya sebagai nabi Allah dan ramai percaya terhadapnya. Akhir  sekali dia akan mengaku dirinya sebagai tuhan bahkan dia mempunyai  syurga dan neraka.
Dajjal berkata, “Akulah tuhan semesta  alam dan aku sanggu menghidupkan dan mematikan”. Tiba-tiba ada seorang  mukmin membantahnya dan Dajjal terus membelahnya kepada dua bahagian.  Kemudian Dajjal menyeru kepada tubuh mukmin itu, “Berdiri engkau”, lalu  ia pon berdiri dan Dajjal bertanya lagi, “Percayakah engkau aku ini  tuhan sekalian alam?”, orang mukmin itu menjawab, “Tidak, engkau masih  Al-Masih pembohong”, lalu mukmin itu dicampakkan ke neraka milik Dajjal.
Orang-orang yang percaya pada Dajjal  kemudian mengikutinya setelah melihat sendiri penipuan yang berlaku.  Begitulah ramai yang akan kufur pada Allah dan beriman kepada Dajjal.  Dajjal akan dibantu oleh syaitan dan jin dalam melakukan segalanya  termasuk harta kekayaan. Mereka akan membantu Dajjal sama seperti mereka  membantu Nabi Sulaiman satu ketika dahulu. Namun Dajjal tidak dapat  memasuki kota Mekah dan Madinah kerana keduanya dijaga oleh Malaikat.

Bilangan orang-orang mukmin semakin  sedikit lalu mereka lari ke puncak Bukit Dukhan untuk menyelamatkan diri  dari Dajjal serta pengikutnya yang terdiri dari bani Iblis dan Bani  Adam yang ramai dan kahirnya mereka dikepung di sana. Mereka ketakutan  dan kelaparan berikutan tiada makan dan minuman di sana dan hanya mampu  berdoa, berzikir, bertasbih dan bertahmid dengan kuat meminta  pertolongan Allah. Tentera Dajjal tak dapat mendekati mereka kerana  bacaan yang kuat itu.
Berbulan-bulan mereka terperangkap di  atas bukit dan tiba-tiba langit menjadi gelap-gelita sehingga telapak  tangan pun tak dapat dilihat depan mata. Kemudian mereka mendengar satu  seruan dari langit, “Telah datang kepada kamu pertolongan!”. Tatkala itu  bumi disinari nur dari langit dan turunlah Isa bin Maryam dan tangannya  pada sayap dua Malaikat. Dajjal yang mengetahui kedatangan Nabi Isa  kemudian terus pucat dan menyuruh pengikutnya mengerjakan solat. Ketika  Nabi Isa mendatangi Dajjal, lalu Dajjal sambil ketakutan berkata, “Wahai  nabi Allah, kami baru sahaja mengerjakan solat”. Isa AS bekata, “Wahai  musuh Allah, engkau mengaku sebagai tuhan sekalian alam, untuk siapa kau  solat dan mengabdi?” Lalu tamatlah riwayat Dajjal dibunuh oleh Nabi Isa  di Babu Luddi Palestin.
3. Turunnya Isa bin Maryam
Nabi Isa adalah nabi kedua terakhir yang  diutuskan Allah. Nabi Isa telah dinaikkan ke langit dan hidup dengan  aman hingga sekarang setelah cubaan membunuh oleh kaumnya. Waktu Dajjal  berleluasa pada akhir zaman, Nabi Isa akan turun dan membunuhnya serta  memimpin umat Nabi Muhammad ke jalan yang benar dan akan dihapuskan  segala agama selain Islam. Dunia ketika itu akan aman sehingga anak  perempuan boleh bermain dengan harimau.

Turunnya Nabi Isa diriwayatkan  bahawa beliau akan turun berdekatan dengan menara putih di Timur Damsyik  dengan memakai pakaian kuning pada waktu fajar. Dua telapak tangannya  terletak di atas sayap dua Malaikat. Kulitnya putih kemerah-merahan dan  terdapat nur di wajahnya. Beliau akan menghancurkan salib-salib,  membunuh semua babi, menghapuskan cukai dan tidak membayar zakat kerana  waktu itu tiada seorang pun yang berhak menerimanya. Tiada lagi cemburu,  dengki , marah-memarahi antara satu sama lain, dunia berjalan dengan  aman dan lancar.
Bumi akan mengeluarkan cahaya dan  menumbuhkan tumbuhan sama seperti zaman Nabi Adam dan ramai orang  memetiknya dan makan sehingga kenyang. Nabi Isa akan memimpin dunia  dengan aman selama 40 tahun sebelum kewafatan beliau di Madinah. Beliau  disembahyangkan oleh kaum muslimin dan dimakamkan berdekatan makam  Rasulullah SAW. Yakjuj Makjuj iaitu kaum yang amat ditakuti manusia juga  akan muncul pada zaman Nabi Isa ini.
4. Keluarnya Yakjuj & Makjuj
Yakjuj dan Makjuj adalah dua kaum yang  telah hidup lama di sebalik dua gunung dari zaman Nabi Ibrahim hinggalah  sekarang dan mereka suka berbuat kerosakan di muka bumi dan menyusahkan  dan mengganggu manusia. Masyarakat waktu itu tidak tahan dengan Yakjuj  Makjuj lalu meminta Raja Zulqarnain iaitu pemimpin yang agung untuk  membuat benteng menahan Yakjuj Makjuj dari keluar dari sebalik gunung  tersebut. Lalu mereka bekerjasama membuat benteng yang tingginya sama  tinggi seperti dua puncak gunung itu. Di situlah Yakjuj Makuj terkurung  sehingga Kiamat nanti.

Telah tiba masanya lalu dengan izin  Allah maka hancurlah dinding yang menahan kaum Yakjuj Makjuj dari  melihat dunia selama ini. Mereka pun turun dari celahan gunung itu  dengan lajunya seperti empangan yang pecah mengeluarkan airnya. Lalu  Yakjuj Makjuj meminum dan memakan apa sahaja yang mereka jumpai sehingga  kering air sungai dan perigi. Manusia ketika itu semuanya ketakutan dan  bersembunyi, mereka memohon agar Nabi Isa menghancurkan Yakjuj dan  Makjuj. Maka berdoalah Isa ke hadrat Allah dan berkat doanya, lalu Allah  mengirimkan ulat kepada Yakjuj Makjuj dan mereka mati kesemuanya.
5. Matahari Terbit dari Barat
Terbitnya matahari dari ufuk barat  adalah suatu yang mustahil akan berlaku tanpa izin Allah kerana ia  bertentangan dengan hukum alam. Ketahuikah anda bahawa matahari itu  setelah ia diciptakan, ia sentiasa mengikut peredarannya iaitu terbit di  timur dan terbenam di barat? Setelah terbenam, ia pergi ke bawah Halimatul Arasy,  sujud kepada Allah dan mensucikanNya dan membesarkanNya. Kemudian  matahari akan meminta izin Allah untuk terbit kembali menjalankan  tugasnya seperti biasa.

Setelah wafatnya Nabi Isa, manusia  ketika itu ada yang tetap taat pada ajaran Islam dan banyak yang kembali  kufur kepada Allah. Tidak lama kemudian berlakulah satu perubahan yang  ketara pada alam semesta yang tidak pernah terjadi sepanjang umur dunia.  Apabila matahari terbenam, malam menjelma seperti biasa, namun semua  manusia dapat merasai keanehan malam tersebut. Malam itu terlalu lama  dan panjangnya sama dengan dua malam biasa. Orang yang tidur sudah puas  tidur, orang yang selalu solat subuh di awal waktu masih menanti masa  solat, sehingga ramai yang keluar dari rumah masing-masing bertanya  kepada jiran mengapa dunia masih gelap.
Rupanya Allah telah menahan matahari  dari menjalani tugasnya, Allah berfirman, “Diamlah engkau disini”.  Matahari pun diam selama dua malam sehinggalah Allah memerintahkan,  “Terbitlah engkau dari tempat terbenammu”, lalu terbitlah matahari dari  ufuk barat. Tatkala itu semua penduduk dunia berasa sangat pelik kerana  ia tak pernah berlaku dalam sejarah, matahari telah terbit dari tempat  terbenamnya. Kemudian kesemua mereka menangis sama ada yang Islam atau  yang kafir kerana mereka sudah tahu hampirnya Kiamat. Namun segala  tangisan dan taubat sudah tak berguna lagi. Pada waktu terbitnya  matahari dari barat, Allah telah menutup segala pintu taubat dan pintu  syurga, maka menyesallah mereka sehingga mulai hari itu, tidak seorang  pun akan bekerja lagi.
6. Keluarnya Binatang dari Perut Bumi
Setelah terbitnya matahari dari ufuk  sebelah barat, kemudian muncul lagi tanda kekuasaan Allah iaitu  keluarnya binatang yang melata dari perut bumi. Apabila ia keluar sahaja  ke muka bumi ini, lalu muncullah tanda pada dahi setiap manusia. Jika  manusia itu beramal soleh maka tercatitlah perkataan “mukmin” pada  dahinya manakala jika manusia itu seorang kafir, maka terang-terangan  akan tertulis “kafir” pada dahi mereka.

Rasullullah SAW pernah bersabda bahawa  panjang binatang ini adalah 60 hasta iaitu sama tinggi dengan Nabi Adam  AS dan orang yang mencarinya takkan menjumpainya, sedangkan orang yang  lari darinya takkan dapat lari daripadanya. Binatang ini dikatakan  kepalanya seperti kepala banteng,  matanya seperti mata khinzir, telinganya seperti telinga gajah,  tanduknya seperti tanduk rusa, lehernya panjang seperti leher burung  unta, dadanya seperti dada singa, warnanya seperti harimau, rusuknya  seperti rusuk kucing, ekornya seperti ekor kibas, tingginya seperti unta  dan ia akan membawa tongkat Nabi Musa dan cincin Nabi Sulaiman.
Apabila cincin Nabi Sulaiman dioleskan  pada mukan orang kafir, maka akan hitamlah seluruh mukanya manakala  apabila ia dioleskan pada muka orang mukmin, akan berserilah wajah  mereka. Begitu juga tongkat Nabi Musa, apabila ia memukul hidung orang  kafir dan mukmin, maka tertulislah pada dahi mereka kafir dan mukmin.  Maka dengan itu jelas sudah perbezaan antara orang kafir dan mukmin.
7. Dunia diliputi Kabut
Allah berfirman, “Maka tunggulah hari  ketika langit membawa kabut yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah  Azab yang pedih. Mereka berdoa, Ya tuhan kami hilangkanlah dari kami  azab itu, sesungguhnya kami akan beriman“. (Al Dukhan: 10-12)

Apabila kiamat itu hampir tiba, maka  dunia ini akan diliputi kabut yang tebal dan menjadikan dunia ini gelap.  Kabut itu akan membuatkan orang mukmin selsema dan sukar bernafas  manakala orang kafir berasa betul-betul merasa tersiksa dan terbakar.  Semua orang akan berasa lemas ketika itu lalu mereka tunduk pada Allah  namun segala penyesalan tak berguna lagi.
8. Angin yang Mematikan, diangkat Al-Quran & Perkara Baik
Setelah beberapa tanda besar berlaku,  lalu berlalu tahun demi tahun, kemudian manusia tetap lalai dari  menginsafi diri pada Allah. Yang baik akan membuat kejahatan kembali,  yang jahat tetap begitu. Orang mukmin makin ketakutan yakni mereka takut  terpengaruh membuat kejahatan serta fitnah lalu mereka berdoa pada  Allah agar tidak terjerumus ke arah maksiat. Lalu Allah menurunkan ubat  dari langit yakni angin yang kuat untuk mematikan orang-orang beriman  walaupun dalam diri mereka masih mempunyai secebis keimanan. Maka  tinggallah orang-orang kafir dan mungkar di muka bumi ini.

Lalu Allah angkat Al-Quran yakni  penyuluh iman manusia ke langit serta bersamanya Allah angkat segala  kebaikan dari dunia ini. Diceritakan bahawa Al-Quran datang mengadap  Allah lalu ia mengadu, “Tuhanku, aku cuma dibaca orang dan tidak  diamalkan sama sekali.” Mendengar yang demikian, lalu Allah mengangkat  Al-Quran (ilmu) dari dada manusia bahkan dari kitab-kitab Al-Quran dan  akhirnya tinggal kertas-kertas kosong sahaja, sedangkan huruf-huruf dan  tulisannya sudah tiada lagi. Namun Allah telah meninggalkan pada umat  masa itu satu kalimah sahaja dan ia hanya disebut oleh orang-orang tua  masa itu, yakni kalimah “Lailaha illallah”. Setelah orang tua itu  meninggal, maka hilang sama sekali ajaran Islam dari permukaan bumi.
Rasulullah SAW bersabda, “Yang mula-mula  sekali diangkat Allah dari hambaNya ialah sifat pemalu, kemudian  dicabutnya sifat amanah dan kasih sayang. Lalu Allah cabutkan pula  kalung keislaman dari leher hambaNya, maka jadilah hambanya itu jauh  dari rahmat dan dilaknat”. Apabila semua sifat berikut telah tiada dalam  diri manusia, maka sifat-sifat buruk akan berleluasa di muka bumi dan  manusia tatkala itu tidak memperdulikan sesama mereka. Mereka berbuat  apa sahaja yang mereka kehendaki.
9. Hancurnya Kaabah
Kota Mekah adalah tempat di mana  letaknya rumah Allah di muka bumi iaitu Kaabah. Ia menjadi tempat umat  Islam seluruh dunia beribadat kepada yang Esa. Diriwayatkan bahawa Allah  telah menjadikan tapak Kaabah itu disokong dengan empat tiang daripada  air dua ribu tahun sebelum Dia menciptakan dunia ini dan Dia telah  membentangkan bumi dari bawah Kaabah. Tiang Kaabah itu panjangnya  sehingga lapisan bumi yang ke tujuh.

Di setiap tujuh langit ada rumah Allah  tempat para malaikat beribadat padaNya dan pada langit ke tujuh nama  rumah Allah itu adalah Baitul Makmur. Rasulullah bersabda, “Baitul  Makmur adalah masjid yang berada di langit dan ia betul-betul di atas  Kaabah. Seandainya ia jatuh maka ia akan menghempap Kaabah”.
Sabda Rasullullah, “Kaabah akan  dihancurkan oleh orang Habsyah yang bergelar Dzus-Suwaiqatain (orang  yang kedua-dua betisnya kecil) dan ia akan merampas segala perhiasannya  dan melucutkan kelambunya. Seakan-akan terbayang di hadapan mataku  keadaan seorang yang botak, bengkok sedikit sendi-sendinya. Ia  memukul-mukul Kaabah itu dengan besi penyeduk dan kapak besar”. Nabi SAW  bersabda lagi, “Seolah-olah aku dapat melihat orang-orang yang  merobohkan Kaabah itu berkulit hitam, merenggangkan kedua kakinya dan  membongkar Kaabah itu batu-batunya satu demi satu”.
10. Api yang Menghalau Manusia
Terdapat hadis  menyebut, “Dan yang terakhir adalah api yang keluar dari Adan untuk  menghalau manusia ke tempat pengumpulan mereka”. Manusia di akhir zaman  makin jahat dan maksiat makin berleluasa, lalu ia menyemarakkan lagi  kemarahan Allah, lalu dikirimkan api yang keluar dari perut bumi.

Api tersebut akan datang dari Adan  (Yaman) dan akan membakar segala di langit dan dibumi. Datangnya api itu  akan membuatkan manusia lari bertempiaran. Api itu bukan sahaja  membakar segala di tanah dan di udara, namun segalanya di dalam laut  akan turut terbakar. Maka berlarilah manusia menggunakan tumit mereka  atau kenderaan-kenderaan hebat mereka, mereka berlari sekuat hati untuk  menyelamatkan diri masing-masing namun mereka takkan selamat pada waktu  itu jika mereka tidak ke negeri Syam.
Kenapa negeri Syam? Rasulullah ada  bersabda, “Api akan keluar dari Hadramaut sebelum kiamat yang tujuannya  untuk menghalau dan mengejar manusia”. Lalu para sahabat bertanya, “Ya  Rasulullah, ke manakah harus kami berlari?” Lalu Nabi menjawab,  “Pergilah ke negeri Syam”. Pada waktu itu berbondong-bondonglah manusia  pergi menyelamatkan diri ke negeri Syam. Jika terdapat orang muslim yang  masih hidup, api itu akan mengikuti sahaja muslim tersebut, jika dia  berhenti rehat, maka api itu pun turut berhenti manakala bagi orang  kafir, api tersebut akan terus mengejar mereka tanpa henti.
Maka terbakarlah segala-galanya di muka  bumi yang dipinjamkan Allah kepada makhluknya. Hanya negeri Syam yang  kecil sahaja tempat seluruh makhluk di dunia yakni manusia, binatang,  jin dan Iblis serta pengikutnya berkumpul. Keadaan di sana amat sesak  bahkan susah untuk bernafas apatah lagi nak tidur. Semuanya  berhimpit-himpit lalu Iblis menyuruh konco-konconya menyesatkan lagi  manusia yang dalam kesesakan. Lalu bertambah jahatlah mereka dan berbuat  sesuka hati mengikut nafsu.
11. Ditiupkan Sangkakala dan Berakhirnya Umur Dunia
Sangkakala pertama: Mengejutkan dan Mematikan
Masanya telah tiba, manusia-manusia  makin lalai dan tidak pernah insaf, lalu kemarahan Allah datang dan  Allah memerintahkan Malaikat Israfil meniupkan sangkakala. Israfil tidak  pernah lalai dari tugasnya. Sejak bumi diciptakan Allah, Israfil telah  siap sedia memegang dan meletakkan sangkakala itu ke mulutnya dan  matanya dihalakan ke Arasy Allah. Maka ditiupnya sangkakala pertama,  yakni untuk mengejutkan. Dengan bunyi yang cukup kuat dan lantang serta  didengar hingga langit ketujuh, menyebabkan seluruh makhluk Allah  tergamam dan terkejut lalu membisu kesemuanya.
Firman Allah, “Dan ingatlah hari ketika  ditiupkan sangkakala, maka terkejutlah segala yang ada di langit dan  segala yang di bumi, kecuali orang-orang yang dikehendaki Allah“.  (Al-Naml: 87)

Seluruh makhluk di bumi mendongak ke  langit dan melihat sumber datangnya bunyi yang amat menggerunkan itu.  Mereka tertanya-tanya dalam hati suara apa yang bergegar di langit itu.  Rupanya telah tiba masa nyawa dunia ini ditarik kembali. Gunung-ganang  tidak kukuh lagi, lalu ia berterbangan mengikut awan. Dunia bergoncang  sekuat-kuatnya dan menjeritlah seluruh makhluk di bumi sehingga ibu  melepaskan anaknya dan orang hamil melahirkan anak tak cukup umur.  Ketika itu gelaplah dunia segelap-gelapnya kerana Allah telah memadamkan  cahaya matahari, begitu juga cahaya dari bulan dan bintang. Tiada  istilah siang dan malam. Langit terbelah, bulan dan bintang jatuh  menghempap ke bumi.
Manusia tiada arah tuju lagi, mereka  berkawan dengan jin dan jin berlindung dengan mereka. Semuanya buntu  lalu mereka pergi berjumpa dengan Iblis yang mereka anggap dapat  menyelesaikan masalah ini. Iblis membawa mereka ke laut, namun alangkah  terkejutnya mereka melihat laut yang sudah naik dan api menyala dan  mendidihkan laut itu. Mereka kecewa lalu berdiri sahaja melihat laut.  Iblis yang bingung berlari ke sana sini namun segala yang dilihatnya  adalah api. Dia teringat atas peristiwa dahulu yakni peristiwa yang  memulakan permusuhannya dengan Adam dan sekaligus menjadikan dia kafir.  Dia menyesali perbuatannya dan berkata, “Tuhanku, sekarang suruhlah aku  sujud kepada sesiapa sahaja yang Engkau kehendaki”.
Syaitan-syaitan yang setia bersama Iblis  selama ini berasa hairan dengan kelakuan pemimpinnya, lalu bertanya,  “Wahai penghulu kami, kepada siapa engkau tunduk?” Lalu Iblis menjawab,  “Aku merendah diri dan sujud kepada tuhan sekalian alam yang telah  memanjangkan umurku sehingga hari kiamat. Sekarang sudah dekatnya masa  yang telah dijanjikan.” Syaitan yang tidak pernah tahu akan kewujudan  Allah selama ini lalu berkata, “Sesungguhnya engkau telah mencelakakan  dirimu dan engkau telah mencelakakan kami”. Mereka menyesal namun  penyesalan pada waktu ini tidak berguna lagi.
Tiba-tiba terdengarlah suara dari  langit, “Sekarang sudah datanglah ketentuan Allah, maka jangan kamu  minta untuk dipercepatkan lagi”. Meremang bulu roma mereka semua  ketakutan dan menyesali perbuatan mereka namun ianya tidak berguna. Lalu  ditiupnya Israfil sangkakala kedua yakni untuk mematikan, maka  kedengaran ngauman sangkakala yang cukup kuat dan panjang sehingga  menembusi lapisan langit dan bumi yang ke tujuh. Turunlah Izrail dengan  rupa yang mengerikan dan dicabutnya nyawa segala makhluk dengan kasar  secara paksa kecuali yang tertentu sahaja.
Allah berfirman kepada malaikat maut,  “Pakailah pakaian kemurkaanKu dan bawalah bersamamu 70,000 Malaikat  Zabaniyah (malaikat penjaga neraka) dan setiap satu malaikat itu membawa  70,000 cangkuk dari Neraka Jahanam dan cabutlah nyawa Iblis  Laknatullah”. Malaikat maut turun ke bumi Allah dengan rupa  seburuk-buruknya, bau sebusuk-busuknya, dan diceritakan rupa malaikat  maut tiada seorang pun berani melihatnya. Maka larilah Iblis ke  mengelilingi bumi, ke laut, ke langit, ke timur, ke barat, namun Izrail  telah sedia berada di depannya. Akhirnya Iblis dikepung di tempat  mula-mula ia turun ke bumi sewaktu zaman Nabi Adam dahulu, lalu  dibentaknya Iblis dan dicabutnya nyawa Iblis secara kasar dan paksa lagi  mengerikan. Menjeritlah Iblis dan matilah ia disana. Maka tamatlah  permusuhan antara Adam dan Iblis dan dihancurkan dunia ini.
Malaikat Maut kemudian pergi mengadap  Allah kemudian berkata, “Ya tuhanku, telah mati semua penghuni langit  dan bumi kecuali makhlukMu yang Engkau kehendaki”. Allah bertanya pada  Izrail walaupun Dia lebih tahu, “Siapa lagi yang masih belum mati?”  Izrail menjawab, “Yang tinggal adalah Engkau yang sentiasa hidup dan  tidak akan mati untuk selamanya, malaikat penjaga ArasyMu, begitu juga  Jibril, Mikail dan saya sendiri”. Lalu Allah memerintahkan Izrail  mencabut nyawa Jibril dan Mikail, kemudian mereka pun mati. Serta merta  Arasy Allah bergoyang dan dengan izin Allah, Arasy berkata, “Ya tuhanku,  mengapa diwafatkan Jibril dan Mikail?” Allah berfirman, “Diam engkau!  Tidakkah engkau tahu bahawa Aku telah menetapkan kematian bagi semua  makhluk yang berada di bawah ArasyKu?”
Izrail mengadap Allah sekali lagi lalu  ditanya Allah siapakah yang masih tinggal, lalu Izrail menjawab, “Hanya  Engkau ya tuhanku, malaikat pemegang ArasyMu dan aku”. Dia diperintahkan  mencabut nyawa malaikat pemegang Arasy dan bergoncanglah Arasy tersebut  disebabkan tiada siapa yang memegang Arasy yang besar itu. Dengan izin  Allah, Arasy itu diam sendiri. Kemudian Allah bertanya lagi, siapakah  yang masih tinggal, lalu Izrail berkata hanya dirinya dan Allah yang  Maha Esa. Allah berfirman padanya, “Tidakkah kau mendengar firmanku  bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati? Maka cabutlah nyawamu  sendiri.”
Pergilah malaikat maut di suatu tempat  yakni antara syurga dan neraka lalu dicabutnya nyawa sendiri di situ  dengan cara selembut-lembutnya. Izrail berteriak sekuat hati dan  andainya ada makluk Allah yang lain mendengar teriakannya, maka akan  mati kesemuanya. Lalu Izrail berkata, “Andainya aku tahu pedihnya rasa  mati, akan aku cabut nyawa orang beriman dengan selembut-lembut cara.”
Sangkakala kedua: Membangkitkan
Setelah kewafatan Izrail, maka  tinggallah Allah sebagai Raja di alam semesta ini, lalu Allah bertanya  kepada alam, “Siapakah raja-raja yang memiliki kerajaan hari ini?” Namun  tiada seorang pun menjawab persoalannya, maka Allah sendiri menjawab,  “Hanya kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan”. Kemudian  Allah memerintahkan langit menurunkan hujan seakan-akan air mani lelaki  ke bumi selama berbulan-bulan sehingga bumi ditenggelami air. Lalu Allah  hidupkan Jibril, Mikail dan Malaikat penjaga Arasy serta Israfil.
Israfil telah bersedia meletakkan  sangkakala di mulutnya sambil menunggu arahan dari Allah. Jibril pula  ditugaskan membawa pakaian yang serba cantik lagi harum ke kubur Nabi  Muhammad bersama Buraq yang pernah baginda tunggah ketika Israk Mikraj  dahulu. Kemudian Israfil memasukkan kesemua roh-roh umat-umat sejak Nabi  Adam hinggalah kiamat ke dalam sangkakala dan ditiupkan sangkakala kali  ketiga yakni untuk menghidupkan segala makhluk, maka terbukalah kubur  Rasulullah dan keluarnya baginda disambut Jibril. Bertanya Rasulullah  pada Jibril, “Hari apakah ini? Bagaimanakah perihal umatku”. Jibril  menjawab, “Ketahuilah bahawa engkau adalah manusia pertama yang  dibangkitkan.” Maka dipakaikan Rasulullah pakaian yang serba agung lagi  baik dan ditunggangi Buraq ke Masyar.
Sangkakala terus ditiupkan dalam masa  yang panjang dan bertebaran roh-roh masuk ke kubur masing-masing dan  dihidupkan semua makhluk kali kedua. Mereka semua tertanya-tanya hari  apakah ini. Itulah hari pengadilan dan mereka semua dihalau ke Padang  Masyar untuk dihisab.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan