Jumaat, 7 September 2012

MASYARAKAT SIAM MALAYSIA

Semua penulisan yang diketemui mengatakan bahawa orang Siam berasal dari kawasan tengah Asia yang membentuk negara Mongolia dan Cina hari ini. Phrarajphongsawadarn oleh Phrarajhatlekha, Phongsawadarnchatthai oleh Phra Boriharnthepthani dan Sejarah Asia Tenggara (1971) oleh D.G.E. Hall sepakat mengisahkan perihal tanah asal orang Siam di Asia Tengah.

Dipercayai bahawa sekitar 7000 tahun dahulu mereka mendiami kawasan pergunungan Altai (Mongolia) dan sekitar 2500 tahun kemudian berkembang hijrah ke selatan yang lebih subur dan membina penempatan kekal di lembangan sungai Hoang Ho dan Yang Tze Kiang kerana selain sebagai penternak nomad, mereka juga petani berkebolehan. Penempatan kekal telah mewujudkan puluhan negara kota orang-orang Siam seperti Sze Chuan, Cheang Tu, Hu Pe, Hu Nan, Auhui di wilayah Sze Chuan dan Kwang Chao di negara Cina hari ini.

Sama ada disebabkan bilangan penduduk semakin ramai atau pergolakan sesama sendiri dan tekanan orang Cina dalam rentetan sejarah yang panjang, orang Siam mulai bergerak turun ke selatan dari penempatan besar mereka di Chungking. Orang Cina sebelum ini hidup secara nomad mulai membina kekuasaan dan menekan pengaruh ke atas orang Siam. Pada beberapa peringkat dengan diketuai oleh raja-raja mereka, orang Siam dapat memperlahankan penghijrahan mereka ke selatan. Orang Cina, menggelar nama kerajaan mereka sebagai ‘Syamkok' atau Ailao. Dari nama ini barangkali kita mengenali orang Siam atau Lao.


Antara tahun 757 masehi, kerajaan Siam Nancao di wilayah Yunan, selatan Cina telah wujud sebagai sebuah empayar yang luas hingga ke Syam dan hulu sungai Irrawadi. Sedang lembah Menam Chao Phraya masih di bawah pengaruh Khmer mulai didatangi oleh beberapa gerombolan Siam dari Muang Se, Tong King dan Annam. Mereka menjarah lembangan Mekong dan menjadi penduduk tetap Angkor Wat. Pada abad-abad seterusnya, lembangan Sungai Ping, Wang, Yom dan Nan mulai menerima pendudukan Siam. Beberapa kerajaan kecil yang merdeka wujud dan Phayao, salah sebuah wilayah di Thailand hari ini telah wujud semenjak TM 1096, diikuti dengan negeri kota di Ciengrai, Ciensen, Ciengmai, Sua (Luang Prabang) dan lain-lain.

Penaklukan ke atas Nancao oleh Kublai Khan (TM 1253) telah merubah taburan penempatan orang Siam di kerajaan kecil di selatan. Sukhothai (wujud sejak TM 1238) dan Luang Prabang di lembah sungai U mulai berkembang membentuk empayar Lannathai, walaupun akhirnya Sukhothai lebih dikenali. Kehancuran Nancao turut mengecilkan perkembangan kerajaan Siam Ahom di Assam (India) tetapi menyemarakkan perkembangan mereka di Sipsong Panna dan Sipsong Cuthai.

Sukhothai dianggap mencapai zaman keemasan semasa pemerintahan Rama Khamheng dan orang Siam mengingatinya sebagai pengasas huruf tulisan bangsa ini. Perluasan empayar Sukhothai dipercayai hingga ke Hujung Tanah (Johor - Singapura) walaupun tidak ada bukti kuukuh. Namun begitu, kerajaan Lavo, Khamphengphet hingga ke Caiya dan Ligor di Segenting Kra dianggap sebagai sebahagian empayar tersebut.

Sewaktu Sukhothai meniti zaman kemerosotan raja U-Thong (nama Kerajaan) membina kota baru ‘Dvaravati Sri Ayudhya' di sebuah pulau di Sungai Chao Phara. Di sebelah Luang Prabang pula, Fa Ngum berusaha membina empayar Sejuta Gajah (Lan Cang).

MASYARAKAT SIAM DI MALAYSIA

Satu cara yang difikirkan paling sesuai dapat memperkenalkan masyarakat Thai ialah dengan mendefinisikan masyarakat Thai itu sendiri sebagai suatu entiti yang dikenali. Linguistik misalnya, ia seharusnya melangkaui penyediaan kamus bahasa semata-mata dengan merujuk kepada nada bunyi juga.

Kedua, daripada segi ethnologi dan folkloristik. Ethnik Thai merupakan penduduk minoriti di Malaysia. Sebagai komuniti kecil dan terpisah-pisah, mereka membentuk ruang sosial dan ekonomi tersendiri dan berbeza di utara Semenanjung Malaysia; Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, dan Terengganu.

Beberapa penulisan bersifat etnologi telah memberi maklumat berguna terutama adaptasi sosial dalam sekitaran sosio-budaya Melayu dominan. Antara pengkaji awal; C. Archaimbault, Louis Golomb, Mohamed Yusoff Ismail, dan Robert Winzeler. Satu perkara yang jarang disentuh, tetapi sering disebut dalam penulisan tadi, berkenaan asal dan masa etnik Thai ini mewujudkan perkampungan mereka.

Dewan Negara yang bersidang pada 3 Disember 2001 dimaklumkan bahawa terdapat seramai 50,211 orang penduduk keturunan Siam di negara ini. 38,353 orang merupakan warganegara Malaysia dan Laporan Banci Penduduk dan Perumahan (1991) mendapati jumlahnya 36,184 orang. Dari laporan tersebut didapati orang Siam mendiami negeri bersempadan dengan Thailand, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Perak. Pulau Pinang walaupun agak jauh sedikit tetapi kedudukannya sebagai zon perindustrian menarik minat penghijrahan mereka di samping terdapat penduduk Siam yang tetap, sama ada dari Kedah atau Thailand.

Secara umumnya mereka merupakan penduduk luar bandar, terutama di daerah Pendang, Baling, Padang Terap, Kubang Pasu dan Sik (Kedah), Tumpat dan Pasir Mas (Kelantan) serta Pengkalan Hulu (Perak). Kehidupan budayanya tidak banyak berbeza dengan saudara mara di Thailand (Selatan). Hampir keseluruhannya beragama Buddha, dilambangkan oleh biara (wat) dan para bikkhunya yang memakai jubah serba kuning dengan kepala digondolkan sebagaimana bikkhu pertamanya; Putera Sidharthak, pengasas agama ini dari Kabilavasthu (India-Nepal). Bangunan wat yang unik dengan ukiran seni tampak Siam merupakan satu citra/ imej tersendiri. Rupa bentuk ini perlu terus dipelihara dengan beberapa penyesuaian, mungkin reka bentuk tempatan, tulisan rumi dan bahasa Melayu.

Dari aspek 'pelancongan - budaya' (cultural tourism) orang Siam boleh dikenali daripada dialek bahasa (dialek Thai Ligor atau Che' He), pakaian, seni persembahan, beberapa simbol di sekitar kawasan kediaman - 'Kathiau' perkuburan atau 'bua', perayaan dan amalan adat. Seni persembahan yang masih diwarisi ialah menora, wayang gedek (nang talung), ram klongjau dan ramvong. Seni ini sering diperagakan sempena perayaan atau pesta tertentu - Loy Krathong, perasmian bangunan tertentu di wat-wat, sambutan kepada para tetamu/ pembesar, majlis perkahwinan atau di perayaan tahun baru; "Songkran".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin